Dengan keadaan ekonomi pada masa kini, perbelanjaan untuk menyara sebuah keluarga kecil tidak sama lagi dengan masa dahulu. Sama ada anda baru mendirikan rumah tangga ataupun telah lama berkahwin, kehadiran seorang cahaya mata pastinya sangat mengujakan. Berita tersebut sudah semestinya menggembirakan anda berdua, tetapi pada masa yang sama, pelbagai persoalan turut bermain di fikiran. Kehidupan anda yang dahulunya dilalui berdua, kini bakal melalui perubahan yang ketara.
Ketika menanti kehadiran si kecil, kebanyakan pasangan mengabaikan aspek perbelanjaan yang bakal mengiringi cahaya mata mereka. Hal-hal yang dahulunya tidak penting, kini mula menjadi keutamaan. Contohnya, perbelanjaan untuk membeli lampin, susu dan juga simpanan untuk pendidikan tinggi. Sekiranya anda mula membuat bajet dan pelan kewangan keluarga, besar kemungkinan tidak akan wujud banyak masalah berhubung pelbagai keperluan untuk bakal anak anda.
Tips Merancang & Mengurus Kewangan Kepada Bakal Ibubapa
Berikut adalah cara-cara untuk merancang kewangan serta mengurus kewangan keluarga anda berdasarkan keperluan terkini keluarga dengan mengambil kira kehadiran si kecil nanti.
- Ketahui kedudukan kewangan anda
Setiap pasangan ibu bapa pasti setuju bahawa keperluan si kecil mengatasi segala aspek lain. Namun, jangan mengabaikan komitmen kewangan yang sedia ada, seperti pembiayaan rumah, kereta dan sebagainya kerana ia juga sebahagian daripada tanggungjawab yang perlu dipenuhi. Apabila berbincang tentang perbelanjaan keluarga, anda perlu ingat bahawa perbelanjaan yang akan datang bukan sahaja untuk keperluan bayi seperti baju dan lampin, tetapi juga untuk keperluan ibu, iaitu sebelum dan selepas bersalin.
- Buat senarai semak
Senarai semak banyak membantu ketika membuat perancangan kewangan. Anda dan pasangan seharusnya menyenaraikan barangan atau perkhidmatan yang anda rasa perlu mengikut kategori, seperti peralatan untuk perjalanan jauh, perabot bayi, perkakas mandian, pemakanan bayi dan lain-lain. Dengan menyenaraikannya mengikut kategori, anda dapat mengenal pasti sekiranya terdapat barang keperluan lain yang masih belum disenaraikan. Jangan lupa untuk memasukkan satu kategori, bagi keperluan kecemasan, contohnya apabila isteri terpaksa menjalani pembedahan bagi melahirkan anak atau keperluan perubatan lain yang mungkin terlibat.
- Buat perbandingan harga barangan
Ketika membeli-belah berdasarkan senarai semak anda, jangan terlalu gopoh dengan terus membeli barang pertama yang anda lihat. Luangkan sedikit masa untuk membandingkan harga jenama-jenama yang berbeza. Pastikan anda mencatat harga barangan tersebut dalam senarai semak anda. Jangan terpengaruh dengan jenama terkenal. Selalunya, anda boleh membeli barang yang sama kualitinya setanding dengan barangan berjenama, tetapi pada harga yang lebih rendah. Di samping itu, jangan malu untuk bertanya kepada jurujual tentang kegunaan barangan bayi yang dibeli. Kadangkala, barangan yang anda rasa perlu dibeli sebaik sahaja bayi dilahirkan sebenarnya hanya diperlukan apabila bayi anda lebih besar kelak.
- Beli apa yang perlu sahaja
Setelah selesai membandingkan harga dan barangan yang diperlukan, lihat kembali senarai semak anda. Bezakan antara barangan yang betul-betul mustahak untuk menyambut ketibaan bayi dan apa pula barangan yang boleh ditangguhkan pembeliannya pada kemudian hari. Pada masa yang sama, keluarkan senarai barang yang tidak perlu daripada senarai semak dan tandakan barangan yang boleh ditangguhkan.
- Buat senarai permintaan
Selalunya, ahli keluarga dan sahabat handai gemar membelikan hadiah untuk si kecil. Ada kalanya, disebabkan terlalu banyak barangan bayi yang terdapat di pasaran, mereka kurang pasti apa yang harus dibeli dan akhirnya membeli barangan, seperti permainan atau lain-lain yang tidak begitu diperlukan. Oleh itu, buatlah satu senarai permintaan (wish list) untuk barangan yang anda mahu, bersama dengan harga dan tempat pembelian. Kemudian, sebarkan senarai tersebut melalui e-mel, ataupun laman media sosial milik anda agar sahabat-handai anda boleh menghadiahkan barangan tersebut kepada anda.
Pada peringkat ini, anda mungkin sudah mengetahui cara-cara berhadapan dengan isu-isu kewangan yang bakal dihadapi. Jangan lupa tentang perbelanjaan akan datang yang perlu ditanggung, seperti pemeriksaan bulanan bayi, pusat asuhan atau penjagaan bayi. Anda juga sepatutnya mula memikirkan tentang pilihan pelaburan bagi simpanan pendidikan anak anda. Dengan memulakan simpanan pendidikan, anda bukan sahaja menjamin masa depan si kecil, malahan masa depan anda sendiri .
Rujukan:
Suruhanjaya Sekuriti Malaysia
Ringgit Edisi 88
Tags: #belanja bakal berkeluarga #budget keluarga #cara mengurus kewangan bagi bakal ibu bapa #Formula Urus Duit Gaji Yang Mudah #Langkah Asas Menguruskan Kewangan Keluarga #Pengurusan Kewangan Keluarga #rancang kewangan keluarga #tips keluarga #tips mengurus kewangan bakal ibu bapa #tips merancang kewangan apabila mempunyai anak #Tips merancang kewangan bakal ibu bapa #tips merancang kewangan keluarga #Tips Pengurusan Kewangan Peribadi #urus kewangan keluarga