Tips Jimatkan Minyak Kenderaan Semasa Memandu

Tips Jimat Minyak

Penggunaan minyak bukanlah bergantung kepada jenis dan model kereta sahaja, tetapi juga bergantung pada faktor lain seperti cara pemanduan, penggunaan gear, brek, cuaca, kondisi enjin dan lain-lain. Dengan tahap ekonomi sekarang yang tidak stabil dan harga pasaran minyak yang sentiasa naik dan turun, pasti penggunaan minyak dengan jimat dapat mengurangkan sedikit kos bulanan seseorang individu atau keluarga yang memiliki kereta.

Berikut adalah beberapa tips yang boleh dilakukan oleh anda untuk menjimatkan penggunaan bahan api  kereta semasa memandu.

  • Tekan Pedal Perlahan-lahan dan Jangan Memandu Terlalu Perlahan

Semasa memulakan perjalanan, tekan pedal secara perlahan-lahan untuk mendapatkan momentum. Elakkan menekan pedal dengan terlalu kuat seperti anda ingin berlumba di litar. Tetapi jangan mengambil masa yang lama untuk mencapai kelajuan di gear 5.

Kajian menunjukkan penggunaan minyak lebih tinggi apabila mencapai kelajuan 50 batu/jam dalam masa 30 saat berbanding 15 saat. Mungkin ada antara kita terfikir menggunakan gear rendah akan menjimatkan minyak, ianya betul tetapi apabila ia mencapai had kelajuan pada gear tersebut, penggunaan minyak akan bertambah.

  • Guna Gear Yang Sesuai Semasa Memandu

Pilih gear yang sesuai mengikut kelajuan. Menggunakan gear rendah untuk kelajuan yang tinggi menyebabkan pembaziran petrol kerana tekanan terhadap enjin menjadi terlalu tinggi. Gunakan mod `ekonomi’ jika kereta anda memiliki fungsi tersebut.

Kajian menunjukkan, pemanduan dengan kadar yang laju pada gear rendah boleh meningkatkan penggunaan minyak sehingga 45% dari yang sepatutnya. Penggunaan kenderaan bertransmisi manual lebih menjimatkan minyak jika memandu dengan betul.

Jika anda memandu kereta bertransmisi manual, pastikan anda sentiasa pada kedudukan gear tertinggi bila memandu pada kelajuan yang tinggi. Bagi kereta bertransmisi automatik, biarkan komputer baca pendikit (throttle) pada RPM rendah dan kerap lepaskan pedal minyak jika RPM mula memanjat lebih 3000. Biasanya pada putaran ini, gear akan terus naik pada nisbah tertinggi.

  • Jangan Menurunkan Gear Dari Tinggi Ke Rendah Dengan Mengejut

Sikap dan cara pemanduan banyak mempengaruhi penggunaan petrol kereta. Jangan terlalu gopoh dan membuat sesuatu secara mengejut. Misalnya ketika menuju ke plaza tol atau membelok di selekoh tajam, jangan sesekali menukar gear, misalnya gear 5 terus kepada gear rendah dan brek secara mendadak. Teknik ini hanya digunakan oleh pelumba trek sahaja!

  • Tukar Gear Rendah Ke Tinggi Dengan Cepat

Tukar gear rendah kepada gear tinggi dengan lebih cepat. Bunyi enjin akan kedengaran kasar jika anda lambat tukarkan gear rendah kepada gear tinggi. Keadaan ini membuatkan kenderaan perlu mengepam lebih banyak minyak untuk menggerakkan kenderaan.

  • Kekalkan Kelajuan

Mengekalkan kelajuan pada kadar malar membantu menjimatkan bahan api. Cara ini amat mudah dilakukan jika anda memandu di lebuhraya. Sentiasa kekalkan kelajuan bergantung pada RPM. Misalnya anda memandu 100km/j dengan rpm 2500, kekalkan posisi ini kerana beban enjin dan kelajuan sedang berada pada tahap optimum. Andai kata berdepan dengan jalan mendaki, elakkan menekan lagi pedal minyak. Jika kenderaan masih mampu mendaki, kekalkan posisi pedal, anda akan lihat kelajuan menurun tetapi RPM masih sama. Sentiasa amalkan pemanduan mengikut RPM dan bukan mengikut kelajuan.

  • Elakkan Kerap Tekan Brek

Ada sesetengah pemanduan yang memiliki tabiat suka menekan brek terlalu kerap. Bila sahaja ada selekoh, terus menekan brek. Lebih-lebih lagi ketika mengekori kenderaan lain dari jarak dekat dan berselisih. Perhatikan situasi dan cuba perlahankan kenderaan secara beransur-ansur iaitu dengan melepaskan pedal minyak. Jika sudah biasa dan tahu keadaan jalan, perlahankan kenderaan di tempat-tempat yang anda tahu memerlukan kelajuan yang sesuai.

  • Elak Memperlahankan Kereta Dengan Mengejut

Jangan berhenti secara tiba-tiba kerana tenaga yang digunakan untuk memberhentikan kereta secara drastik lebih banyak berbanding berhentikan kereta secara perlahan. Perlahankan kenderaan dengan melepaskan minyak perlahan-lahan sebelum menekan brek. Elakkan menekan brek secara mengejut kecuali kecemasan!

  • Jangan Gunakan Gear Neutral Ketika Menuruni Bukit

Mungkin anda akan tertanya-tanya kenapa tidak boleh gunakan gear neutral (N)? Bukankah gear neutral lebih menjimatkan minyak? Sebenarnya anda sedikit silap kerana kebanyakan kereta terkini dilengkapi dengan Deceleration Fuel Cut-off yang dikawal oleh komputer.

Apabila anda turun bukit tanpa meneutralkan gear dan anda tidak memijak pedal minyak, alat yang ‘menyuntik’ minyak tersebut ke dalam enjin akan tertutup sendiri, tetapi tayar masih lagi berjalan dan tiada penggunaan minyak semasa keadaan tersebut. Lagipun, adalah amat berbahaya meneutralkan gear semasa menuruni bukit.

  • Tutup Tingkap dan Pasang Penghawa Dingin

Ramai pemandu beranggapan jika membuka tingkap dan mematikan penghawa dingin dapat menjimatkan minyak. Tetapi itu adalah anggapan yang tidak berasas. Setiap kereta dibina dengan bacaan CD (Coefficient of Drag) yang merujuk aerodinamik kereta.

Cermin tingkap kereta yang dibuka sewaktu kereta sedang bergerak akan menyebabkan geseran angin tak sekata. Ia menyebabkan kereta terpaksa mengharung beban merentas angin lebih berat dari sepatutnya. Bila tingkap dibuka, kereta anda akan jadi kurang aerodinamik dan akan membantutkan sedikit pecutan kereta. Hasilnya, lebih minyak diperlukan. Kajian juga menunjukkan penggunaan penghawa dingin ketika memandu laju menggunakan lebih minyak berbanding ketika memandu perlahan.

  • Kurangkan Berat Kereta dan Singkirkan Barangan Yang Tidak Perlu

Anda juga perlu mengetahui apabila membawa bebanan yang lebih daripada kadar yang sesuai juga menyebabkan penggunaan minyak melebihi tahap biasa. Jadi, jangan bawa barang yang tidak perlu. Perhatikan dalam but kereta anda, mungkin ada banyak barang yang tidak sepatutnya berada dalam but tetapi dibawa ke sana ke mari.

Penambahan berat sebanyak 50 kilogram meningkatkan penggunaan minyak sebanyak 2%. Selain itu juga, berat yang lebih akan membebankan sistem suspensi dan brek dan tidak bagus untuk jangka masa yang lama kerana akan memberi kesan pada bunga tayar, penyerap hentak serta peralatan yang bersangkutan seperti bushing dan tie rod.

  • Padamkan Auto Cruise

Sistem auto cruise memang memudahkan pemanduan. Tidak memerlukan anda untuk menekan pedal minyak, cuma bersedia pada brek sahaja. Tetapi tahukah anda ia juga menyebabkan penggunaan bahan bakar kereta anda bertambah? Sistem auto cruise kebanyakannya membaca pengesan kelajuan.

Misalnya anda tetapkan kelajuan pada 110km/j, throttle akan dikawal pada kelajuan ini dan sesetengah sistem diintegrasi bersama brek. Lebih dari 110km/ brek akan diaktifkan. Ketika mendaki, sistem auto cruise ini akan cuba mengekalkan kelajuan sebagaimana tips #5 di atas. Lebih kelajuan, lebih PRM, lebih beban dan lebih penggunaan minyak.

  • Matikan Enjin Ketika Menunggu

Jika kereta tidak bergerak, matikan enjin jika sekadar menunggu seseorang. Menunggu kawan dari tempat kerja atau isteri yang singgah di kedai runcit untuk membeli barangan kadang kala boleh menjadi terlalu lama. Jadi, buka tingkap kereta dan matikan sahaja enjin untuk menjimatkan minyak kereta anda.

  • Pastikan Tayar Sentiasa Memiliki Tekanan Yang Betul

Periksa tekanan tayar sekurang-kurangnya sebulan sekali dan patuhi arahan pengeluar. Periksa dan tetapkan tekanan tayar mengikut spesifikasi. Setiap tekanan tayar berbeza mengikut pengeluar dan jenis kereta. Ia biasanya ditampal pada bahagian sisi pintu setiap kereta. Tekanan angin mesti betul. Tekanan angin yang tidak mengikut spesifikasi mengakibatkan penggunaan minyak bertambah 5%.

Jangan biarkan tayar kurang tekanan angin kerana ia menyebabkan pertambahan sentuhan permukaan dan daya geseran menyebabkan kereta dipandu lebih berat dan ini tidak menjimatkan minyak. Tekanan tayar yang kurang menyebabkan menyebabkan penambahan penggunaan minyak sehingga 35%.

  • Ikut Kenderaan Besar

Kenderaan besar seperti lori dan bas yang tinggi membantu anda menjimatkan minyak. Tapi, awas, ia memerlukan kemahiran kerana secara teknikalnya adalah berbahaya jika ikut terlalu rapat. Pastikan jarak yang selamat dan kelajuan rendah, mengekori belakang kenderaan besar mengurangkan rintangan angin.

  • Selenggara Kereta Secara Berkala

Selenggara kenderaan mengikut jadual yang telah ditetapkan. Patuhi jadual penyelenggaraan agar kenderaan anda sentiasa dalam keadaan tip top. Penalaan enjin yang tidak sesuai akan meningkatkan penggunaan minyak sehingga lebih 50 %.

IMG_20171206_114610-150x150 Tips Jimatkan Minyak Kenderaan Semasa Memandu

A. Manaf Mohammad

More Posts

Loading...

Tags: #cara jimatkan minyak #cara penjimatan minyak kereta #jimat minyak kereta #menjimatkan minyak #tips jimat petrol #tips jimatkan minyak semasa memandu #tips memandu jimatkan minyak

Tips Berucap Untuk Majlis : Teknik Ini Membantu Anda Berucap Dengan Baik!
Memberi ucapan yang baik boleh menjadi pengalaman yang bermakna buat anda. Ucapan yang
Kaedah Menghafal Dengan Baik
Menghafal memerlukan pendekatan yang baik yang disesuaikan dengan gaya pembelajaran individu. Berikut adalah
Tips Pupuk Kasih Sayang Isteri Dalam Hubungan Perkahwinan
Memupuk kasih sayang dalam hubungan perkahwinan adalah aspek penting untuk mengekalkan keharmonian dan
10 Tips Atasi Gagap Bercakap
Gagap ialah gangguan pertuturan yang boleh menjejaskan cara seseorang bercakap, termasuk kelewatan atau

Comments are closed.