“Sesungguhnya Safa dan Marwah adalah sebahagian dari syi’ar Allah SWT. Maka barang siapa yang beribadah haji ke Baitullah atau berumrah, maka tidak ada dosa baginya mengerjakan sa’i antara keduanya. Dan barang siapa yang mengerjakan suatu kebajikan dengan kerelaan hati, maka sesungguhnya Allah Maha Mensyukuri kebaikan lagi Maha Mengetahui.” (surah al-Baqarah, ayat 158)
Melakukan sa’i antara Safa dan Marwah, selain sebagai bentuk ibadah kepada Allah SWT, ini juga sebagai ingatan kepada kisah wanita mulia bernama Siti Hajar. Siti Hajar merupakan isteri Nabi Ibrahim AS dan ibunda kepada Nabi Ismail AS.
Siti Hajar adalah wanita yang begitu mulia, cantik jelita malah seorang yang penuh sabar dan tabah. Sebagai seorang isteri, Siti Hajar begitu patuh pada suami. Ia juga merupakan seorang wanita yang tawakal dan beriman dengan bersungguh-sungguh hanya kepada Allah. Wanita yang menjadi perantara munculnya mukjizat air zam-zam ini tidak pernah mengeluh atau pun pantang menyerah dalam berbuat kebaikan.
Pernikahan Siti Hajar dan Nabi Ibrahim AS
Siti Hajar merupakan isteri kedua Nabi Ibrahim AS. Sebelum menikah dengan Siti Hajar, Nabi Ibrahim telah menikah dengan Siti Sarah. Pernikahan baginda dengan Siti Sarah sayangnya tidak dikurniai zuriat. Siti Sarah lantas meminta Nabi Ibrahim untuk menikah lagi. Awalnya, Nabi Ibrahim menolak permintaan Siti Sarah. Namun Siti Sarah berkeras meminta Nabi Ibrahim menikahi wanita lain dan berharap dari pernikahan tersebut baginda akan mendapat keturunan.
Dengan berat hati namun tetap menyerahkan segalanya kepada Allah SWT,Nabi Ibrahim memenuhi permintaan Siti Sarah untuk menikah lagi. Ibrahim lalu menyunting Siti Hajar. Siti Hajar dan Nabi Ibrahim dikurniai seorang putera setelah usia mereka tidak muda lagi. Mereka tidak henti meminta kepada Allah untuk dikurniai seorang anak. Hingga akhirnya, Siti Hajar hamil dan melahirkan bayi lelaki yang diberi nama Ismail.
Siti Hajar dan Nabi Ismail AS dibawa ke Lembah Bakkah
Suatu hari tidak lama setelah kelahiran puteranya, Nabi Ibrahim AS membawa isteri dan anaknya ke Makkah. Sewaktu Nabi Ibrahim AS diarahkan oleh Allah SWT ke Lembah Bakkah (Makkah) untuk memindahkan isteri bersama anaknya, Ismail AS masih menyusu dengan ibunya, masih kecil dan berada di ribaan ibunya. Sesampai mereka di lembah (Bakkah) Makkah, Nabi Ibrahim AS menempatkan mereka di bawah satu pohon kayu yang besar yang tegak di antara pohon-pohon kayu berduri yang jarang-jarang tumbuh di lembah itu, berdekatan dengan Baitullah (Ka’bah) dan telaga zam-zam yang kita saksikan hari ini.
Keadaan lembah Makkah ketika itu masih sunyi dari manusia. Suasana kering kontang itu sangat sulit untuk mendapatkan setitik air, tidak ada mata air atau anak sungai yang mengalir di tempat tersebut. Setelah beberapa hari Nabi Ibrahim AS berada di tempat tersebut, baginda berhasrat untuk kembali semula ke Palestin. Hasratnya itu tidak diketahui oleh Siti Hajar bahawa kedatangannya itu semata-mata untuk menurut arahan dari Allah SWT.
Siti Hajar dan Nabi Ismail AS ditinggalkan di lembah tandus
Sebelum Nabi Ibrahim AS meninggalkan lembah tandus itu, Nabi Ibrahim AS membawa bekal untuk ditinggalkan untuk isteri dan anaknya Ismail yang disayangi. Bekal tersebut ialah satu karung tamar (kurma) dan satu qirabah berisi air (bekas air yang dibuat dari kulit). Sampai waktunya, Nabi Ibrahim AS mula berangkat ke Palestin, tanpa berkata apa-apa, tidak juga ditunjukkan kesedihannya.
Maka tanpa berlengah-lengah lagi baginda dengan kenderaannya mengarahkan haluannya sedikit demi sedikit meninggalkan lembah sunyi itu. Atas perintah Allah SWT, sebagai seorang Rasul, baginda akur segala-galanya. Siti Hajar melihat keberangkatan Nabi yang mulia dengan rasa terkejut, lalu ia segera mengikuti dari belakang dengan suara yang tersekat-sekat sedih dan sayu. Pertanyaan Hajar, “Wahai Ibrahim… ke mana tuan berangkat meninggalkan kami di lembah sunyi ini?… Tidak seorang manusia pun ada di sini….” Namun panggilan Hajar itu sia-sia dan tidak dijawab oleh Nabi yang mulia itu.
Nabi Ibrahim terus menggerakkan kenderaannya tanpa berkata apa-apa pun. Hajar mula menangis dan bertanya lagi dengan suara yang agak tinggi, “Adakah Allah menyuruh tuan berbuat demikian?” Dengan suara yang agak sayup kedengaran, Nabi Ibrahim menjawabnya, “Ya! Sebenarnya begitulah… semua yang saya lakukan ini adalah arahan dari Allah SWT.” Dalam al-Qur’an, Allah berfirman yang bermaksud :
” Ya Tuhan kami, sesungguhnya aku menempatkan sebahagian keturunanku (anak-anak cucuku) di lembah yang tiada mempunyai tumbuh-tumbuhan di sisi Rumah Engkau (Baitullah) yang dihormati. Ya Tuhan kami, supaya mereka mendirikan solat, maka jadikan oleh-Mu akan segala hati manusia kasih sayang kepada mereka itu dan beri rezeki oleh-Mu akan mereka itu buah-buahan supaya mereka itu syukur.” (Surah Ibrahim, ayat 37)
Siti Hajar yang pada mulanya sangat terkejut, tapi hatinya tetap tabah dan terus menghampiri puteranya Ismail. Di tempat itulah dia mendiamkan diri dan berlindung dengan rasa cemas, tetapi tetap tabah di bawah naungan Ilahi. Hidup dengan bekalan yang ditinggalkan yang hanya boleh menampung hidup dalam masa hanya beberapa lama sahaja.
Keadaan sudah pun berlalu dari hari demi hari. Bekalan hampir habis, ingin mengadu tidak seorang pun yang ada di tempat itu, hanya doa yang dipohon kepada Ilahi. Suratan takdir dari Ilahi setelah berhari-hari Siti Hajar dan anaknya Ismail berada di situ, akhirnya mereka kehabisan bekalan. Persediaan air minum mereka habis, juga air susu Siti Hajar telah mengering. Keadaan Ismail tersangat lapar dan dahaga. Anak yang kecil itu tidak berhenti-henti menghempas dan menggulingkan dirinya, kakinya tidak berhenti bergerak kerana keadaan yang sangat lapar dan dahaga. Sebagai seorang ibu yang mempunyai sifat halus dan budi pengasih, Siti Hajar sedih dan kasihan melihat keadaan anaknya yang sedemikian. Maka kepada siapa lagi harus ia pinta pertolongan selain daripada rahmat Tuhan Yang Maha Pemurah lagi Penyayang.
Siti Hajar berulang-alik antara Bukit Safa dan Marwah
Hajar terpaksa meninggalkan anak dari pelukannya buat sementara waktu untuk pergi melihat ke bukit Safa dan Marwah dengan harapan kemungkinan ada rombongan musafir yang lalu di situ, setidak-tidaknya dapat juga memperolehi seteguk air dari mereka. Siti Hajar terus menuju ke bukit Safa, kawasan yang tinggi berdekatan dengan tempat mereka tinggal. Di sanalah dia memandang ke lembah Makkah. Tetapi hancur harapannya kerana tidak seorang manusia pun kelihatan. Hajar segera menuruni bukit Safa menuju bukit yang satu lagi iaitu bukit Marwah dengan termengah-mengah. Ditarik tepi kainnya sambil berlari-lari di atas perut kedua-dua lembah itu berulang kali sehingga tujuh kali antara bukit Shafaa dan Marwah. Namun, ia hampa.
Munculnya air Zam Zam
Maka dengan keadaan yang hampa ia terus meluru kepada puteranya Ismail yang ditinggalkan bersendirian. Sementara itu, Ismail yang diletakkan di tanah terus menangis sambil kakinya menendang-nendang pasir di bawahnya. Atas kurnia dan kuasa Allah SWT, maka dari pasir yang ditendang Ismail, terpancarlah mata air. Allah Maha Perancang segala-segalanya dan semuanya yang berlaku itu adalah kehendak-Nya. Sebenarnya Malaikat Jibril telah berada di samping Ismail, di tempat mereka ditinggalkan oleh Nabi Ibrahim AS iaitu di tepi telaga zam-zam pada masa sekarang ini.
Jibril mengorek-ngorek dengan tumitnya ke Bumi; ada setengah riwayat hadis menyatakan Malaikat Jibril mengorek dengan sayapnya. Maka terbitlah mata air di tempat tersebut. Apabila Siti Hajar melihat kejadian yang sangat ajaib itu, ia menadah tangan bersyukur kepada Tuhan, lalu bergegas membendung sekeliling mata air tersebut. Siti Hajar berteriak, “Alhamdulillah… zam… zam… zam…” yang ertinya, berkumpullah. Hajar segera menakung air mukjizat tersebut, takut kalau-kalau air tersebut mengalir ke tempat lain dan akan meresap ke dalam padang pasir yang tandus itu.
Tempat tersebut dijadikan telaga atau sumur yang dipanggil telaga zam-zam. Siti Hajar dan Ismail dapat menggunakan air tersebut untuk meneruskan hidupnya. Maka dengan terdapatnya mata air tersebut, Siti Hajar dan anaknya Nabi Ismail AS meneruskan hidup kembali kepada keadaan sedia kala.
Lembah Makkah mula dikunjungi kerana wujudnya mata air Zam Zam
Kemudian pada suatu hari, kafilah (rombongan) orang-orang Jurhum iaitu salah satu qabilah yang terdapat di Yaman; dalam perjalanan membawa muatan dagangan dari Yaman ke Syam melalui hilir Makkah dan berhenti di tempat tersebut. Sambil berehat, mereka melihat burung-burung berterbangan keliling di udara, kemudian singgah merayap dan meniti di pinggiran kaki bukit bagaikan mendapatkan minuman di tempat tampungan air.
Pedagang-pedagang ini sebagai musafir yang sangat berpengalaman di padang pasir mempunyai firasat atau petanda baik dari burung-burung tersebut, bahawa burung-burung tersebut sedang mendapatkan sumber air di tempat itu. Mereka berbicara sesama mereka kalau-kalau terdapat sumber air di lembah itu. Lalu mereka menyuruh orang-orang mereka untuk pergi meninjau tempat tersebut. Setelah menjelajah di persekitaran, mereka telah menjumpai mata air yang sangat jernih dan menyegarkan iaitu mata air zam-zam dan terdapat seorang wanita dengan seorang anak kecil berhampiran dengan pancuran air di lembah tersebut.
Mereka balik ke rombongan dan menceritakan hal tersebut. Betapa besarnya kenikmatan air di tengah-tengan padang pasir yang gersang itu kerana selama berbulan-bulan mereka melalui tempat itu, tidak pernah menemukan setitik air pun. Kemudian rombongan itu bertolak ke tempat mata air tersebut. Sesampainya ke tempat itu, beberapa orang dari rombongan pergi berjumpa dengan Siti Hajar. Mereka dengan hormat meminta izin sekiranya boleh mendapatkan air tersebut. Jika diizinkan, mereka menawarkan air susu perahan unta sebagai pertukaran.
Apabila Siti Hajar mendengar tawaran seperti itu, ia sangat gembira dan menerima tawaran mereka. Siti Hajar juga amat bahagia jika ada antara kafilah itu dapat tinggal menetap di tempat itu. Siti Hajar mengizinkan mereka mengambil air sebanyak mana yang dikehendaki, tetapi dengan syarat air itu tidak boleh untuk dimiliki. Mungkin maksudnya biarlah air zam-zam itu untuk manfaat umum buat selama-lamanya untuk kegunaan semua.
Maka rombongan orang Jurhum itu sangat gembira dan menerima tawaran Siti Hajar untuk menetap di daerah tandus itu yang baru dianugerahi Allah sumber yang sangat berharga kepada manusia. Maka dengan terdapatnya sumber air di situ, mereka telah melihat jauh ke depan bahawa lembah tandus itu berpotensi menjadi lembah makmur di masa akan datang. Sejak itu, kafilah Jurhum memutuskan untuk menetap di situ.
Sejak bermula terbitnya air zam-zam, maka banyaklah rombongan datang ke lembah Makkah. Sedikit demi sedikit lembah Makkah yang tandus menjadi lembah makmur bilamana Nabi Ibrahim AS datang semula meletakkan asas pembinaan Ka’abah. Seterusnya makin ramai rombongan yang datang ke tempat itu dan lanjutan dari itu, terbentuklah suatu kerajaan kecil di zaman Qushai bin Kilab dengan balairung seri yang dipanggil “Darun Nadwah” dan rumah-rumah qabilah Quraisy yang berdiri berdekatan dengan Baitullah.
Kesimpulan
Kisah Siti Hajar dan anaknya Nabi Ismail AS di atas merupakan kisah pengorbanan seorang ibu yang pada peringkat awalnya berdepan dengan masalah tekanan hidup dalam suasana kehidupan di padang pasir yang amat susah dan mencabar untuk membesarkan anak yang amat disayangi di lembah sunyi tanpa manusia lain. Namun semuanya ini telah ditakdirkan oleh Allah, bahawa begitu agung dan mulianya seorang ibu yang berjaya melalui ujian Allah yang sangat getir itu, maka Allah juga menganugerahkan sumber air yang menjadi ibu segala sumber air yang terdapat di atas muka Bumi ini yang sangat terkenal iaitu air Zam-Zam.
Siti Hajar adalah seorang ibu yang sangat penyabar, berjuang untuk menyelamatkan anaknya dari kehausan di daerah yang sangat tandus. Dia menunjukkan erti ketabahan seorang ibu di lembah gersang dan sunyi, tiada manusia, tiada sumber rezeki, air dan tumbuh-tumbuhan untuk diminum dan dimakan. Pengorbanan dan jihad inilah yang sentiasa diperingati oleh orang-orang yang mengerjakan ibadah Haji dan umrah iaitu Sa’i di antara Safa dan Marwah.
Tags: #Air Zam Zam #bukit safa dan marwah #ibadat haji #kisah air zam zam #Kisah ketabahan siti hajar #kisah munculnya air zam zam #kisah nabi ibrahim dan siti hajar #kisah siti hajar dan nabi ismail #permulaan lembah makkah #sa’i #safa ke marwah #sejarah air zam zam #sejarah awal makkah #sejarah bukit safa dan marwah #siti hajar #telaga zam zam #umrah