Terdapat beberapa taman rimba di sekitar bandar raya Kuala Lumpur yang menjanjikan suasana hutan yang tenang dan nyaman sebagai tempat rekreasi sekeluarga. Mungkin pada hujung minggu, anda merancang untuk membawa keluarga bersiar-siar atau berkelah, apa kata anda membawa keluarga ke senarai taman rimba di bawah.
Selain daripada menjanjikan keseronokan dan keindahan alam, anda tidak perlu untuk berbelanja mahal untuk masuk ke taman rimba yang diselenggara dan diuruskan oleh Jabatan Perhutanan Negeri dan Tourism Selangor Sdn. Bhd. Berikut adalah beberapa taman eko rimba yang sesuai untuk anda dan keluarga.
Taman Eko Rimba Kuala Lumpur
- 3 km dari pusat bandar raya Kuala Lumpur
- Terletak di dalam Hutan Simpan Bukit Nanas
- Merupakan jenis Hutan Dipterokarpa Pamah
- Kemasukan adalah percuma
Taman Eko Rimba Kuala Lumpur adalah sebuah hutan simpan yang terletak di Bukit Nanas, Kuala Lumpur. Taman Eko Rimba ini cukup kaya dengan hidupan flora dan fauna. Ia merupakan sebuah kawasan Warisan Hijau Malaysia di Kuala Lumpur. Hutan Taman Eko Rimba ini dikelaskan sebagai Hutan Dipterokarpa Pamah. Ini kerana Taman Eco Rimba mempunyai pelbagai spesis hidupan yang terdiri daripada Dipterokarpa dan Bukan Dipterokarpa.
Suasananya yang cantik dan udaranya yang sejuk menarik ramai pengunjung untuk datang ke sini. Jambatan gantung sepanjang 200 meter antara tarikan yang terdapat di sini. Apabila anda berjalan kaki sehingga ke hujung jambatan ini, anda akan sampai ke Menara Kuala Lumpur. Di Taman Eko ini juga, anda boleh melihat monyet yang bergayut-gayut di pokok dan pelbagai jenis tumbuhan hutan liar. Taman ini dibuka setiap hari bermula pada jam 7 pagi sehingga jam 7 malam.
Maklumat lanjut mengenai Taman Eko Rimba, boleh layari ke website Taman Eko Rimba Kuala Lumpur.
Pejabat Hutan Bukit Nanas, Lot 240, Bukit Nanas,
Jalan Raja Chulan, 50250 Kuala Lumpur
Tel: 603- 2026 4741
Faks: 603- 2070 6342
Taman Eko Rimba Komanwel
- 6 km dari Bandar Rawang, 24 km dari pusat bandar raya Kuala Lumpur
- Terletak di dalam Hutan Simpan Lagong
- Merupakan jenis Hutan Dipterokarpa Pamah
- Kemasukan : Dewasa RM 1.00, Kanak-kanak RM 0.50
Satu lagi tarikan alam semulajadi yang terletak tidak jauh dari pusat bandar raya Kuala Lumpur ialah Taman Eko Rimba Komanwel (Commonwealth Forest Park and Resort), yang terletak di KM43 di utara berdekatan sempadan Rawang-Selayang. Taman eko rimba ini terletak di hutan simpan Lagong, kira-kira 30 hingga 40 minit perjalanan dari Kuala Lumpur.
Dilancarkan sempena dengan Persidangan Perhutanan Komanwel ke-14 pada tahun 1993, Taman rimba ini menarik dengan keaslian pokok-pokok hutan dan keindahan landskap. Satu keistimewaan di taman ini ialah anda berpeluang menaiki titian silara yang memberikan pengalaman melihat silara pokok-pokok yang terdapat di sekitar kawasan taman. Anda akan dapat melihat pemandangan panorama sebahagian besar kawasan Taman Eko Rimba Komanwel melalui titian silara ini serta melihat hidupan liar yang terdapat di sini.
Di samping itu, terdapat juga kawasan untuk berkhemah, monumen air pancut, trek jogging dan lain-lain aktiviti yang memberi peluang kepada orang ramai dan pengunjung untuk menikmati alam semulajadi.
Kemudahan yang disediakan adalah chalet serta beberapa kemudahan lain untuk berkelah, berkhemah, trekking dan bersiar-siar. Kemudahan di sini sesuai digunakan bagi aktiviti berkumpulan oleh murid sekolah, dari agensi kerajaan dan swasta untuk menjalankan aktiviti rekreasi. Terdapat juga air terjun di taman rimba ini dikenali sebagai Air Terjun Komanwel. Sebarang pertanyaan lanjut boleh diajukan kepada :
Pejabat Hutan Daerah Hulu Selangor, Jalan RP4/1, Kompleks Kerajaan,
Rawang Perdana, 48000 Rawang, Selangor.
Tel : 603 – 6091 6131
Faks : 603 – 6091 7533
Taman Eko Rimba Kanching
- 13 km dari Bandar Rawang, 28 km dari pusat bandar raya Kuala Lumpur
- Terletak di dalam Hutan Simpan Kaching dan Hutan Simpan Lagong
- Merupakan jenis Hutan Dipterokarpa Bukit
- Kemasukan : Dewasa RM 1.00, Kanak-kanak RM 0.50
Taman Eko Rimba Kanching terletak di Hutan Simpan Kanching yang mempunyai jenis Hutan Dipterokarp Pamah dan Bukit, kira-kira 33 minit dari pusat bandar Kuala Lumpur. Hutan lipur ini juga terletak lebih kurang 2 km dari Templer Park. Keunikan kawasan ini ialah ianya mempunyai 7 strata air terjun yang cantik. Pada setiap strata air terjun terdapat kolam yang cantik dan sangat sesuai untuk mandi-manda.
Di Taman Eko ini juga, anda boleh melihat sangat banyak monyet. Anda dinasihatkan suapaya menjaga barangan peribadi dan makanan anda kerana monyet-monyet yang banyak di sini akan mencuri. Selain itu, anda boleh juga berkhemah dan menyusur denai hutan sambil menikmati suasana yang hijau di sekeliling air terjun.
Hutan lipur ini menyediakan beberapa kemudahan untuk keselesaan pengunjung melakukan aktiviti di sini. Antara kemudahan – kemudahan yang disediakan termasuklah kawasan perkelahan, tempat memancing, rentis, kawasan letak kereta, tandas awam dan gerai pejaja. Kira-kira 500 meter dari tempat letak kereta, terdapat sebuah kolam mandi yang menggunakan sumber air semulajadi yang cukup popular.Di samping itu tempat ini sesuai untuk aktiviti berkelah atau aktiviti berkumpulan. Sebarang pertanyaan lanjut boleh diajukan kepada :
Pejabat Hutan Daerah Hulu Selangor, Jalan RP4/1, Kompleks Kerajaan,
Rawang Perdana, 48000 Rawang, Selangor.
Tel: 603 – 6091 6131
Faks: 603 – 6091 7533
Taman Eko Rimba Sungai Tua
- 10 km dari Bandar Baru Selayang, 26 km dari pusat bandar raya Kuala Lumpur
- Terletak di dalam Hutan Hulu Gombak
- Merupakan jenis Hutan Dipterokarpa Bukit
- Kemasukan : Dewasa RM 1.00, Kanak-kanak RM 0.50
Taman Eko Rimba Sungai Tua merupakan satu lagi kawasan rekreasi hutan yang sesuai untuk keluarga, terletak dalam Hutan Simpan Hulu Gombak yang mempunyai jenis Hutan Dipterokarp Pamah. Lokasinya adalah di Ulu Yam. Keistimewaan hutan lipur ini ialah terdapat sungainya iaitu Sungai Tua, mempunyai batu-batan yang unik. Selain daripada itu terdapat pelbagai flora dan fauna dari Hutan Dipterokarp Pamah yang tumbuh secara semulajadi. Kemudahan yang disediakan adalah kemudahan untuk mandi, berkelah, berkhemah, trekking dan jogging. Di sini juga pengunjung boleh bersiar-siar melalui persiaran kaki untuk menikmati keindahan alam semulajadi. Sebarang pertanyaan lanjut boleh diajukan kepada :
Pegawai Hutan Daerah
Pejabat Hutan Daerah Hulu Selangor,
48000 Rawang, Selangor.
Tel. : 03-60916131
Taman Eko Rimba Sungai Tekala
- 13 km dari Bandar Semenyih, 43 km dari pusat bandar raya Kuala Lumpur
- Terletak di dalam Hutan Simpan Sungai Lalang
- Merupakan jenis Hutan Dipterokarpa Pamah
- Kemasukan : Dewasa RM 1.00, Kanak-kanak RM 0.50
Taman Eko Rimba Sungai Tekala (Hutan Lipur Sungai Tekala) terletak 43 km dari pusat bandar raya Kuala Lumpur di kawasan Hulu Langat, berdekatan dengan Empangan Semenyih. Ia merupakan sebahagian daripada hutan simpan Sungai Lalang yang merupakan sebahagian daripada Hutan Taman Negeri, yang juga dikenali sebagai Taman Warisan Negeri Selangor.
Dengan suasana redup dilitupi kanopi hutan, di sini merupakan tempat yang amat baik untuk berkelah dan beraktiviti bersama keluarga. Pemandangannya sangat menenangkan dengan kehijauan pokok-pokok dan deruan air yang mengalir.terdapat beberapa strata air terjun yang mengalir ke sungai di bahagian, agak cetek tetapi sesuai untuk anak kecil bermandi-manda.
Antara kemudahan yang disediakan ialah tempat menyalin pakaian, tong sampah, laluan bertangga, pelbagai jenis pondok dan wakaf, tempat barbeku dan banyak lagi. Sebarang pertanyaan lanjut boleh diajukan kepada :
Pejabat Hutan Daerah Selangor Tengah, Km 11 (Batu 7), Jalan Cheras,
43200 Cheras, Kajang, Selangor
Tel : 603-9075 2885
Faks : 603-9075 6022
Taman Eko Rimba Sungai Congkak
- 21 km dari Bandar Cheras, 35 km dari pusat bandar raya Kuala Lumpur
- Terletak di dalam Hutan Simpan Hulu Langat
- Merupakan jenis Hutan Dipterokarpa Pamah
- Kemasukan : Dewasa RM 1.00, Kanak-kanak RM 0.50
Taman Eko Rimba Sungai Congkak terletak di dalam kawasan Hutan Simpan Hulu Langat, Selangor, kira-kira 1 jam perjalanan dari Kuala Lumpur. Kawasan persekitaran yang terjaga rapi dengan hutan malar hijau yang masih terpelihara setidak-tidaknya akan melegakan mata. Sebaik melangkah masuk ke kawasan perkelahan, rimbunan pohon hutan, deruan sungai dan bunyi girang para pengunjung bermandi-manda menyambut kedatangan anda.
Dikelilingi hijau rimba dan pelbagai flora hutan yang dijaga membuatkan suasana sentiasa redup dan dingin. Kawasan perkelahan yang terjaga rapi ini merupakan sebahagian daripada Taman Warisan Negeri Selangor. Terdapat banyak kemudahan yang disediakan seperti tapak perkhemahan, tandas awam, bilik persalinan, gerai dan pelbagai lagi. Keadaan di sini tidak banyak bezanya seperti Taman Eko Rimba Sungai Tua. Sebarang pertanyaan lanjut boleh diajukan kepada :
Pejabat Hutan Daerah Selangor Tengah, Km 11 (Batu 7), Jalan Cheras,
43200 Cheras, Kajang, Selangor
Tel: 603-9075 2885
Faks: 603-9075 6022
Tags: #Commonwealth Forest Park and Resort #hutan lipur sekitar selangor #hutan lipur selangor #hutan lipur sungai kanching #Hutan Lipur Sungai Tekala #hutan simpan bukit nanas #Hutan Simpan Hulu Gombak #Hutan Simpan Hulu Langat #hutan simpan selangor #kanching waterfalls #taman eko rimba kanching #taman eko rimba komanwel #taman eko rimba kuala lumpur #taman eko rimba selangor #Taman Eko Rimba Sungai Congkak #Taman Eko Rimba Sungai Tekala #Taman Eko Rimba Sungai Tua #taman eko rimba templer #Taman Eko Rimba Untuk Rekreasi Keluarga Di Sekitar Kuala Lumpur #Taman Warisan Negeri Selangor #tempat rekreasi keluarga di selangor #tempat rekreasi menarik sekitar kuala lumpur #Ulu Yam