Sejarah Awal Negeri Kelantan Darul Naim

Taman Serendah Sekebun Bunga2

Sejarah Negeri Kelantan Darul Naim

Berdasarkan buku Keluarga Diraja Kelantan Darul Naim tulisan Mohd Zain Saleh, Kesultanan Kelantan dalam lipatan sejarahnya dikaitkan dengan kisah pemerintahan Cik Siti Wan Kembang yang pernah ditabal sebagai raja yang bersemayam di Gunung Chinta Wangsa, Ulu Kelantan.

Cik Siti Wan Kembang

Pemerintahan Cik Siti Wan Kembang yang dipercayai tidak pernah berkahwin itu dikatakan terkenal sehingga menjadi tumpuan pedagang dalam dan luar negeri termasuk dari Arab.

Wanita pertama menjadi Raja Kelantan itu juga dikatakan memiliki seekor kijang sebagai binatang peliharaan kesayangannya sehingga gambar binatang itu diterap di atas wang emas perbelanjaan negeri dan diabadikan sebagai sebahagian daripada lambang kebesaran negeri Kelantan hingga kini.

Ketika pemerintahan Cik Siti Wan Kembang, ada sebuah kerajaan berpusat di Jembal yang diperintah oleh Raja Sakti (1638M atau 1046H). Selepas baginda mangkat, puteranya, Raja Loyor ditabal sebagai raja pada 1649M atau 1059H dan mempunyai dua anak termasuk Puteri Saadong.

Kerajaan Cik Siti Wan Kembang bersahabat baik dengan Raja Loyor, terutama selepas wanita pertama memerintah di Kelantan mengambil anak Raja Loyor, Puteri Saadong sebagai anak angkat untuk dijadikan pewaris takhta baginda.

Puteri Saadong dikatakan pernah menjadi tawanan Raja Siam, sebelum terpaksa membebaskan baginda selepas puteri berkenaan mengubati penyakit dihidapi raja itu.

Bukit Marak, Peringat, Kota Bharu dipercayai merupakan tempat istirehat bagi lagenda Puteri Saadong. Di sebelah kirinya ialah Sekolah Menengah Bukit Marak. Batu-batu timbul menarik yang terdapat di Bukit Marak sering dikunjungi oleh pelawat-pelawat dan ahli-ahli kaji sejarah. Bukit Marak terletak kira-kira 20 km daripada bandar Kota Bharu.

Menurut sejarah, Cik Siti Wan Kembang, juga pernah bersemayam di sini sewaktu Pengkalan Datu menjadi pelabuhan yang penting sekitar tahun 1605. Bukit Marak juga menjadi tempat bersemayam Puteri Saadong selepas kemangkatan suaminya Raja Abdullah dalam tahun 1761M.

Raja Abdullah dan Puteri Saadong

Makam Raja Abdullah terletak di Kampung Padang Halban, Kota Bharu. Raja Abdullah adalah suami kepada Puteri Saadong dan Raja Abdullah sendiri adalah putera kepada Raja Bahar(Raja Jembal). Baginda telah dikahwinkan dengan sepupunya Puteri Saadong, Puteri kepada Raja Loyor oleh Paduka Cik Siti Wan Kembang.

Perkahwinan ini adalah untuk mengelakkan angkara dari Raja Siam yang juga berhasrat untuk memperisterikan Puteri Saadong. Selepas istiadat perkahwinan tersebut, Paduka Cik Siti Wan Kembang telah menabalkan Raja Abdullah menerajui Kota Tegayung.

Perkahwinan ini juga secara tidak langsung telah menamatkan sejarah pemerintahan di Jembal. Kemudiannya Cik Siti Wan Kembang telah meninggalkan Kota Tegayung.

Kota yang baru ini dinamakan Kota Jelasin (sekarang Kampung Kota, Kota Bharu). Kota Jelasin juga kemudiannya diserahkan kepada Raja Abdullah dan Puteri Saadong. Dalam tahun 1671 baginda Raja Abdullah telah mangkat. Baginda dikatakan mati ditikam oleh isteri baginda Tuan Puteri Saadong dengan penyucuk sanggul dalam satu pergaduhan di Kota Mahligai.

Pergaduhan ini berpunca daripada sikap marah Tuan Puteri Saadong terhadap suaminya Raja Abdullah yang tidak setia terhadap janji. Baginda Raja Abdullah telah dimakamkan di Padang Halban, dalam daerah Melor kira-kira 17 km dari bandar Kota Bharu.

Kota Mahligai yang menjadi pusat pemerintahan pada masa itu telah diserahkan kepada Raja Abdul Rahim yang ditabal menggantikan Raja Abdullah. Semasa berada di Bukit Marak, Puteri Saadong amat disayangi oleh rakyat jelata kerana kemurahan hati baginda.

Baginda sering menjadi tempat rakyat jelata meluahkan perasaan terhadap kezaliman yang dilakukan oleh Raja Abdul Rahim. Peristiwa ini membuat baginda sering berdukacita dan akhirnya menyebabkan baginda memencilkan diri ke Gunung Ayam.

Hingga kini kesan-kesan peninggalan Tuan Puteri Saadong di Bukit Marak masih lagi dapat dilihat. Antaranya kesan-kesan istana tempat baginda bersemayam dan bahagian bawahnya pula terdapat satu kawasan yang dipercayai tanah perkuburan pengikut-pengikut baginda.

Manakala daripada maklumat yang diperolehi tentang Kota Salor pula, ternyata Kota Salor mempunyai dua cerita yang berbeza, satunya ia diserang oleh Siam dan satu lagi ianya diserang oleh Sultan Muhamad Mulut Merah, iaitu Sultan Muhamad II, bapa kepada Long Ghafar.

Kedua-duanya merujuk kepada abad yang berbeza, mungkin juga kedua-dua peristiwa tersebut terjadi pada zaman yang berbeza, tetapi pada zaman Sultan Muhamad II Kota tersebut lenyap atau dilenyapkan kerana cita-cita serta usahanya dalam menghapuskan raja-raja kecil yang ada diseluruh negeri Kelantan.

Selain kisah Cik Siti Wan Kembang dan Puteri Saadong yang masih dianggap sebagai mitos sesetengah pihak, negeri Kelantan juga pernah menyaksikan beberapa episod perebutan takhta untuk menguasai pemerintahan negeri ini.

Raja pertama Kelantan

Berdasarkan, buku Keluarga Diraja Kelantan Darul Naim, antara perebutan takhta yang pernah berlaku dalam sejarah negeri ini membabitkan Long Muhamad yang juga Sultan Muhamad I dengan iparnya iaitu Tengku Muhamad. Kemelut tercetus ketika itu apabila Long Yunus mangkat tanpa menamakan penggantinya, walaupun mempunyai ramai pewaris.

Keadaan diburukkan apabila tiada kesepakatan dicapai membabitkan tujuh putera Almarhum Long Yunus untuk melantik seorang daripada mereka sebagai raja.

Berikutan daripada itu, menantu Almarhum Long Yunus, Tengku Muhamad yang juga putera Yang Di-Pertuan Terengganu, Sultan Mansur, dilantik sebagai Pemangku Sultan selama 100 hari bagi membolehkan jenazah Long Yunus dimakamkan sekali gus membolehkan pemerintahan negeri berjalan seperti biasa.

Bagaimanapun, selepas tempoh 100 hari tamat, Tengku Muhamad enggan menyerahkan kembali takhta menyebabkan timbul perbalahan perebutan kuasa membabitkan dirinya dengan Long Muhamad. Pertembungan antara mereka bagaimanapun menyebelahi Long Muhamad, sekali gus membolehkan baginda menaiki takhta kerajaan mulai 1800 dengan gelaran Sultan Muhamad I.

Ringkasan Sejarah Kelantan

Kelahiran Cik Siti Wan Kembang

  • Cucu Raja Gombak iaitu Raja Ahmad berkahwin dengan Cik Banun Puteri Sri Nara D’Raja iaitu
    sepupu Raja Hussin.
  • Baginda dikurniakan seorang puteri bernama Cik Wan Kembang.
  • Sultan Ahmad mangkat ketika Cik Wan Kembang berusia 4 tahun.
  • Raja Hussin dari Johor dilantik sebagi pemangku raja.

Kerajaan Cik Siti Wan Kembang

  • Pada tahun 1610, Raja Hussin mangkat.
  • Cik Wan Kembang ditabal menjadi raja.
  • Pusat Pentadbiran di Gunung Cinta Wangsa, Ulu Kelantan.
  • Kerajaan Cik Wan Kembang sangat masyhur.
  • Ramai pedagang datang berniaga, termasuk dari Arab.
  • Orang-orang Arab memanggil baginda dengan panggilan ‘Paduka Cik Siti’.
  • Dari situ baginda lebih dikenali dengan nama ‘Cik Siti Wan Kembang’.

Asal-usul Kerajaan Jembal

  • Kerajaan Jembal diasaskan oleh Raja Besar.
  • Raja Besar dikatakan dari keturunan Raja Bersiung yang memerintah Kedah abad 14.
  • Raja Besar dan pengikut-pengikutnya mencari tempat yang sesuai untuk dijadikan negeri.
  • Baginda mendirikan sebuah kota di tepi sungai Babong, di Pulau Melaka.
  • Di situ terdapat satu pokok ‘jambu jembal’ yang besar.
  • Lalu baginda menamakan tempat itu ‘JEMBAL’.

Pertabalan Raja Sakti

  • Pada tahun 1638, Raja Besar menabalkan Raja Sakti sebagai penggantinya.
  • Raja Sakti dikurniakan 7 orang anak iaitu Raja Adiluddin (Raja Loyar), Raja Bahar (Raja Udang), Raja Omar (Raja Ekok), Raja Sungai, Puteri Sayu Bari, Puteri Unang Melor dan Puteri Cempaka Bongsu

Kelantan Di Bawah Raja Loyar

  • Pada tahun 1649 Raja Loyar ditabalkan sebagai raja memerintah Jembal.
  • Raja Bahar dilantik sebagai Bendahara.
  • Raja Omar sebagai Raja Muda.
  • Raja Sungai sebagai Temenggong.
  • Raja Loyar sangat dikasihi oleh rakyatnya.
  • Baginda dikatakan mempunyai sifat kesaktian dengan berdarah putih, tulang tunggal, bulu roma songsang, lelangit hitam, lidah fasih dan air liur masin.

Hubungan Dengan Kerajaan Cik Siti Wan Kembang

  • Di bawah Raja Loyar, kerajaan Jembal bertambah maju dan makmur.
  • Hubungan dengan kerajaan Cik Siti Wan Kembang adalah baik.
  • Raja Loyar mempunyai 2 orang cahaya mata, iaitu seorang putera (meninggal) dan seorang puteri bernama Puteri Mariam.
  • Puteri Mariam lebih dikenali sebagai Puteri Saadong.
  • Cik Siti Wan Kembang telah mengambil Puteri Saadong sebagai anak angkat.
  • Puteri Saadong dihadiahkan dua ekor anak kijang untuk dijadikan mainan.
  • Hingga sekarang gambar dua ekor kijang dijadikan lambang kebesaran Kerajaan Negeri Kelantan.

Perkahwinan Puteri Saadong dengan Raja Abdullah

  • Puteri Saadong termasyhur dengan kecantikannya.
  • Raja Prasat Thong dari Siam menghantar utusan untuk meminang Puteri Saadong tetapi pinangan itu ditolak.
  • Puteri Saadong lalu dikahwinkan dengan sepupunya Raja Abdullah.
  • Raja Abdullah telah mendirikan sebuah kota yang dinamakan ‘Kota Jelasin’ (kini dikenali kampung Kota).
  • Cik Siti Wan Kembang, Raja Abdullah dan Puteri Saadong telah membuka penempatan baru di Kg. Chetok yang dikenali sebagi ‘Tanah Serendah Sekebun Bunga’.
  • Di sini Cik Siti Wan Kembang gering, lalu dibawa ke Gunung Cinta Wangsa dan meninggal di sana.
  • Selepas itu negeri Kelantan diperintah oleh Raja Loyar.

Peperangan Dengan Angkatan Siam

  • Raja Siam marah di atas perkahwinan Puteri Saadong dengan Raja Abdullah.
  • Baginda menghantar angkatan menyerang Kota Jelasin.
  • Raja Abdullah berundur ke Melor dan membina ‘Kota Mahligai’ di sana.
  • Angkatan Siam mara pula ke Melor.
  • Kerana sayangkan nyawa rakyat, Puteri Saadong menyerah diri dan dibawa ke Ayudhiya.

Kemangkatan Raja Loyar

  • Ketika Puteri Saadong berada di Siam, ayahanda Raja Loyar telah mangkat.
  • Jenazah baginda dimakamkan di Jembal iaitu bersebelahan SMK Raja Sakti (sekarang).
  • Adinda baginda Raja Omar ditabal menjadi raja dengan gelaran Sultan Omar.

Puteri Saadong Berangkat Pulang

  • Setelah kembali dari Siam, Puteri Saadong mendapati ayahandanya telah mangkat.
  • Puteri Saadong terus ke Kota Mahligai.
  • Sepeninggalan Puteri Saadong, Raja Abdullah telah berkahwin dengan anak pembesar negeri.
  • Satu pertengkaran telah berlaku.
  • Raja Abdullah mangkat setelah tertikam penyucuk sanggul Puteri Saadong.
  • Jenazah baginda dimakamkan di Kampung Padang Halban, dekat Melor.

Pemerintahan Raja Abdul Rahim

  • Pada tahun 1671, Raja Abdul Rahim, adinda Raja Abdullah, dilantik memerintah di Kota Mahligai.
  • Puteri Saadong berpindah ke Bukit Marak.
  • Pemerintahan Raja Abdul Rahim sangat zalim.
  • Ramai rakyat datang mengadu kepada Puteri Saadong.
  • Pada tahun 1673, Puteri Saadong berpindah ke Gunung Ayam untuk mengasingkan diri.

Kemangkatan Raja Abdul Rahim

  • Raja Omar dari Jembal menghantar anaknya Raja Kecil Sulong untuk menyelesaikan masalah di Kota Mahligai.
  • Salah seorang pengikut Raja Kecil Sulong berjaya menikam Raja Abdul Rahim di tepi Tasik Lelayang Mandi dan mangkat.

Kegemilangan Kelantan Di Bawah Sultan Omar

  • Kelantan amat maju di bawah Sultan Omar.
  • Baginda dapat menyatukan Kelantan di bawah satu pentadbiran.
  • Membuka satu kawasan tanaman padi yang luas di Padang Jembal, Bachok.
  • Mengadakan hubungan dengan negara luar seperti Pattani, China, Jawa dan negeri berjiran Terengganu.
  • Baginda dikurniakan lima orang putera dan puteri iaitu Raja Kecil Sulong, Raja Pah, Raja Sakti III, Raja Ngah dan Raja Nah.

Kedatangan Anak Raja Pattani

  • Pada tahun 1686, tiga orang anak Datu Pengkalan Tua, Raja Pattani datang mengadap Sultan Omar iaitu Tuan Sulong (Long Sulong), Tuan Senik (Long Senik), Tuan Besar (Long Bahar)
  • Long Bahar dikahwinkan dengan anakanda baginda, Raja Pah.
  • Yang lain dikahwinkan anak pembesar negeri.
  • Sultan Omar membina Kota Seneng yang kemudiannya diserah kepada Raja Pah dan suaminya.

Kemangkatan Sultan Omar

  • Sultan Omar memerintah selama 46 tahun.
  • Baginda mangkat pada tahun 1721
  • Jenazah baginda dimakamkan berhampiran Kota Seneng (kini dikenali Kampung Seneng)

Raja Kecil Sulong

  • Sultan Omar diganti oleh anakanda baginda Raja Kecil Sulong.
  • Raja Kecil Sulong membina sebuah kota yang dinamakan ‘Kota Teras’.
  • Kota ini diperbuat daripada teras kayu tembesu.
  • Baginda memerintah selama lima tahun sahaja.
  • Baginda mangkat pada tahun 1725 dalam usia yang muda.

Kota Jembal dan Kedai Lalat

  • Nama Jembal kekal sehingga tahun 1922 sahaja.
  • Tempat itu telah berubah kepada nama Kedai Lalat dengan secara tidak dirancang.
  • Pekan tersebut dikunjungi oleh ramai penjual dan pembeli dalam masa yang singkat sahaja (seperti lalat).
  • Kerana itu pekan ini dinamakan Kedai Lalat.

Keturunan Jembal

  • Keturunan Jembal tersebar di seluruh negeri Kelantan.
  • Terdapat juga di Kedah, Perak, Pahang, Terengganu dan lain-lain negeri.
  • Mereka memakai berbagai gelaran seperti Raja, Tengku, Ku, Tuan dan Nik.
  • Ada juga yang mengugurkan gelaran nama itu.
  • Pada tahun 1991, PKRJK ditubuhkan dan telah berjaya mengembalikan nama pekan kecil ini kepada Kota Jembal hingga sekarang.

Wikipedia : https://ms.wikipedia.org/wiki/Sejarah_Kelantan

Gambar sejarah Negeri Kelantan

bendera-negeri-kelantan-150x150 Sejarah Awal Negeri Kelantan Darul Naimgambar-puteri-saadong-150x150 Sejarah Awal Negeri Kelantan Darul Naimwajah-cik-siti-wan-kembang-150x150 Sejarah Awal Negeri Kelantan Darul Naimgambar-makam-sultan-Omar-150x150 Sejarah Awal Negeri Kelantan Darul Naim makam-dipercayai-kepunyaan-cik-siti-wan-kembang-150x150 Sejarah Awal Negeri Kelantan Darul Naim

gambar-makam-raja-abdullah-150x150 Sejarah Awal Negeri Kelantan Darul Naim taman-serendah-sekebun-bunga-150x150 Sejarah Awal Negeri Kelantan Darul Naim

makam-long-yunus-150x150 Sejarah Awal Negeri Kelantan Darul Naimsejarah-kelantan-sultan-kelantan-pertama-150x150 Sejarah Awal Negeri Kelantan Darul Naim

Loading...

Tags: #asal negeri kelantan #asal usul kelantan #gambar cik siti wan kembang #gambar makam long yunus #gambar puteri saadong #gambar raja kelantan terawal #kisah puteri saadong #kisah raja abdullah #kisah sejarah awal kelantan #makam lama kelantan #raja pertama kelantan #sejarah awal kelantan #sejarah cik siti wan kembang #sejarah kerabat jembal kelantan #sejarah puteri saadong

Cara Hindarkan Panggilan Scammer
Panggilan daripada penipu atau scammer boleh menjadi sangat memudaratkan dan mengancam keselamatan peribadi
Kelebihan Pelaburan Dalam Hartanah dan Aset
Pelaburan dalam aset dan hartanah boleh memberikan beberapa kelebihan kepada pelabur. Berikut adalah
Overlap Loan : Pinjam Wang Untuk Bayar Pinjaman
Mengambil pinjaman baru untuk membayar pinjaman sedia ada selalunya tidak disyorkan, kecuali dalam
Strategi Kurangkan Beban Hutang Pinjaman Bank
Untuk mengurangkan beban hutang pinjaman bank anda, anda boleh melaksanakan beberapa strategi yang

Leave a reply "Sejarah Awal Negeri Kelantan Darul Naim"