Ikan Jenahak bakar sambal ini amat sesuai dihidangkan bersama nasi panas dan ulam-ulaman, enak dijadikan menu untuk makan tengah hari mahupun menu berbuka puasa sempena bulan Ramadhan yang mulia ini. Kali ini, penulis ingin berkongsi resepi untuk menyediakan ikan Jenahak bakar sambal yang ringkas dan mudah. Selain daripada ikan Jenahak, resipi ini boleh juga digunakan untuk ikan-ikan lain seperti ikan Siakap, ikan Kaci, ikan Kembong dan lain-lain.
Resipi Ikan Jenahak Bakar Sambal
Berikut ialah bahan-bahan yang diperlukan :
- 1 ekor ikan Jenahak (saiz sederhana, dalam anggaran 1 kg)
- 1 helai daun kunyit (dihiris halus)
- 3 helai daun limau purut (dihiris halus)
- Daun pisang atau foil
Bahan-bahan kisar :
- 3 biji bawang merah
- 3-4 ulas bawang putih
- 1 kuntum serai
- 1 helai daun limau purut
- 1 kuntum bunga kantan
- 1 sudu besar serbuk cili kisar
- 2 biji cili merah besar
- 1 sudu besar serbuk rempah ikan
- 3 sudu teh asam jawa
- 1 sudu besar kicap pekat
- 1 sudu kecil belacan
- 1 inci halia
- 0.5 inci lengkuas
- Garam dan gula secukup rasa ( gula lebih dari garam)
Cara-cara untuk memasak :
- Panaskan 2 sudu besar minyak masak di dalam kuali. Masukkan bahan-bahan yang telah dikisar. Tumis sehingga naik bau dan mendidih.
- Apabila sambal telahpun masak, cuba rasa terlebih dahulu. Tambah garam dan gula untuk mendapatkan rasa yang enak. Padamkan api.
- Ikan Jenahak dibersihkan dan dikelar. Letakkan ikan di atas daun pisang atau foil. Separuh dari sambal dilumurkan pada ikan. Jika anda gemarkan ikan bakar yang garing, gunakan daun pisang. Jika sebaliknya, gunakan foil. Untuk ikan yang bersaiz besar, lebih elok jika menggunakan daun pisang dan dibakar di atas bara untuk mendapatkan hasil yang terbaik.
- Taburkan daun limau dan daun kunyit pada ikan. Tutup foil/ daun pisang dan ikan sedia untuk dibakar. Gunakan api yang sederhana jika dibakar menggunakan kuali ajaib. Jika anda membakar menggunakan bara api, pastikan jarak ikan dan bara tidak terlalu dekat (dalam anggaran 1 jengkal) supaya ikan masak dengan sempurna dan tidak hangus di luar.
- Apabila ikan sudah masak, hidangkan di atas pinggan. Separuh dari sambal yang telah dimasak tadi dituangkan ke atas ikan. Hiaslah mengikut kreativiti. Ikan Jenahak bakar sambal sedia untuk dimakan.
Tags: #cara buat ikan bakar sedap #cara masak ikan jenahak #ikan jenahak bakar #masak ikan bakar #resipi ikan bakar #resipi ikan bakar sedap #resipi mudah ikan bakar #resipi rempah ikan bakar mudah