Pernahkah anda terfikir, apa yang menyebabkan seseorang itu berjaya? Apa bezanya mereka dengan orang yang kurang atau tidak berjaya? Cuba fikirkan seseorang yang ternama dan telah berjaya. Adakah anda sama seperti mereka?
Kadangkala pengalaman orang lain boleh dijadikan pengajaran untuk diri sendiri supaya kita dapat memperolehi masa depan yang lebih baik. Mungkin benda itu nampak remeh tapi kalau dipratikkan atau diamalkan boleh membawa perubahan yang besar kepada diri. Berikut adalah rahsia-rahsia untuk berjaya dalam hidup.
Rahsia Untuk Menjadi Kaya Dan Berjaya
Menguruskan Wang Dengan Baik
Tidak kiralah apa pun kerja anda, anda mestilah sudah mahir menguruskan hal ehwal kewangan sendiri. Bezakan yang mana kehendak dan yang mana keperluan dan tahu aliran keluar masuk wang sendiri. Tidaklah bila sahaja mendapat gaji, duit anda terus habis dijoli. Buat bajet kewangan. Bila sudah mendapat gaji, rancang apa yang perlu dibayar, apa yang perlu dibeli dan sebagainya. Barulah kewangan anda akan lebih terurus.
Mempunyai Sumber Pendapatan Kedua
Pada zaman sekarang ini, satu sumber pendapatan mungkin tidak mencukupi. Cubalah cipta pendapatan kedua. Contohnya buat dropship, ejen takaful, ejen affiliate ataupun berniaga atas talian.
Mempunyai Strategi Sendiri
Orang berjaya tidak mengambil pendekatan hentam sahaja dalam melakukan sesuatu terutama perkara-perkara besar. Mereka selalunya akan mengambil kira beberapa faktor seperti adakah ianya membawa kebaikan, berapa lama masa yang perlu diluangkan, adakah kebaikan tersebut untuk jangka panjang dan banyak perkara lagi. Di samping itu, mereka juga mempunyai strategi untuk menerima kegagalan. Kerana mereka yakin, ada perkara boleh berlaku di luar jangkaan dan setiap kegagalan ada pengajarannya.
Mempunyai Tabung Simpanan
Orang yang berjaya mempunyai beberapa tabungan. Buatlah tabung simpanan, tabung kecemasan, tabung pelaburan, tabung umrah, tabung percutian dan pelbagai tabung untuk kegunaan anda. Tabung atau dana kecemasan ini sangat penting di saat menghadapi ujian atau masalah. Sediakan tabung kecemasan sekurang kurangnya 3 hingga 6 bulan gaji. Simpan sekurang-kurangnya 10% daripada pendapatan anda.
Jangan Terlalu Mengikut dan Tangguhkan Kehendak
Ukur baju di badan sendiri. Tidak perlu bergaya hidup mewah sekadar untuk menunjuk kepada kawan-kawan anda. Belanja dan bergayalah mengikut kemampuan anda. Jangan mengikut apa yang orang lain buat. Jika orang lain memakai kereta mahal, anda juga ingin membeli kereta mahal. Ini salah! Sebenarnya tidak perlu untuk mengikut apa yang orang lain buat kerana bukan semuanya baik atau sesuai untuk anda. Buat sesuatu yang anda suka dan rasa selesa. Sesuatu yang akan membawa kebaikan untuk anda. Tangguhkan kehendak anda. Jika diikutkan kehendak yang menggunung itu, sampai bila tidak akan ada penghujungnya. Pasti akan selalu sahaja ada barang hendak dibeli atau barang hendak ditukar. Utamakan keperluan dahulu sebelum membeli kehendak.
Belajar Kawal Emosi
Individu yang tidak dapat mengawal emosi mampu melakukan sesuatu di luar jangkaan. Sesuatu yang mungkin akan membuat diri sendiri menyesal seumur hidup. Jadi, sebelum mengambil sesuatu tindakan atau meluahkan sesuatu, pastikan emosi berada dalam keadaan stabil.
Jangan Buang Masa
Jangan dibazirkan masa untuk melakukan perkara-perkara yang tidak mendatangkan hasil. Sebelum anda menyesal kerana banyak masa yang telah dirugikan lebih baik anda isikan masa yang dimiliki sekarang ini dengan melakukan perkara yang lebih berfaedah
Harus Ada Pegangan Hidup
Tanpa pengangan hidup, kita ibarat layang-layang yang terputus talinya. Tiada hala tuju malah masa depan pun nampak gelap. Dengan adanya prinsip hidup, anda akan lebih fokus untuk meneruskan kehidupan seharian.
Membeli Aset Hartanah Di Usia Muda dan Mulakan Pelaburan
Aset hartanah semakin tahun harga semakin naik. Setkan minda anda untuk membeli rumah di usia yang muda. Rumah mahal? Tidak mampu simpan untuk deposit rumah? Teruskan menggali ilmu hartanah ni. Melaburlah dengan bijak. Jauhi skim cepat kaya, skim yang membawa keuntungan cepat. Realiti kekayaan tiada jalan pintas. Kalau berjaya kaya cepat pun, tddak akan kekal lama. Banyak pelaburan di Malaysia yang dijamin kerajaan. Contohnya ASB. Simpan di Tabung Haji juga boleh dilakukan asalkan tetap dan berterusan dan menyimpan lebih daripada 10% gaji setiap bulan.
Memiliki Kenderaan Bersesuaian Dengan Kemampuan Gaji
Beli kereta bukanlah perkara yang salah. Tetapi yang salah adalah membeli kereta yang tidak sepadan dengan gaji. Habis separuh gaji digunakan untuk membayar ansuran kereta. Jika anda baru bekerja, belilah dahulu kereta tempatan yang mampu milik.
Bebas Daripada Membuat Hutang Jahat
Anda perlu bijak memilih untuk berhutang. Tidak perlu hendak berhutang demi perkahwinan yang gilang gemilang. Jauhi hutang peribadi untuk perkara-perkara yang tidak penting.
Berangan Seiring Usaha
Tidak salah untuk berangan. Angan-angan tu merupakan langkah pertama untuk mencapai kejayaan. Tapi kalau tidak disertakan dengan usaha, ia sekadar angan-angan kosong. Usaha tangga kejayaan. Kejayaan tidak akan datang bergolek.
Berfikiran Terbuka
Anda perlu sentiasa berfikiran terbuka kerana lain situasi, lain caranya untuk anda tangani dan begitu juga lain orang lain. Dengan berfikiran terbuka, anda akan lebih positif dan akan dapat melihat kehidupan dengan lebih jelas.
Banyakkan Sedekah
Bersedekah tidak akan buat anda jadi miskin. Jika anda bersedekah RM100, mungkin Tuhan akan gantikan anda lebih daripada nilai yang anda sedekahkan itu. Mungkin bukan berbentuk wang tapi daripada segi kesihatan, kebahagiaan dan sebagainya.
Kehidupan Perlu Diteruskan
Kehidupan yang dimiliki adalah anugerah yang tidak ternilai harganya. Walaupun kadangkala anda harus berdepan dengan pelbagai situasi yang merumitkan dan menyedihkan, langkah ke hadapan tetap perlu diteruskan. Kata orang, biarlah kita mengalah tapi jangan sesekali menyerah.
Tags: #belajar dari pengalaman orang berjaya #cara hidup untuk berjaya #cara untuk berjaya #panduan untuk berjaya #petua berjaya dalam hidup #rahsia berjaya dalam hidup #rahsia untuk berjaya #Rahsia Untuk Berjaya Yang Perlu Anda Praktikkan Dalam Kehidupan #rahsia untuk jadi orang berjaya #sikap untuk berjaya #teknik urus diri #tips untuk kaya