Hutan Hujan Tropika di Semenanjung Malaysia merupakan satu ekosistem yang paling kompleks di dunia, yang telahpun wujud lebih dari berjuta-juta tahun. 44% dari keluasan Semenajung Malaysia diliputi hutan yang seluas 5.8 juta hektar.
Daripada keseluruhan luas hutan di Semenanjung Malaysia,terdapat taman negara dan taman negeri yang meliputi luas 590 ribu hektar. Sebagaimana yang kita telah maklum, hutan menjadi tempat tinggal pelbagai makhluk. Penghuni hutan bukan sahaja terdiri dari haiwan buas dan pelbagai jenis serangga, tetapi menjadi tempat tinggal pelbagai jenis jin yang tidak dapat dilihat dengan mata kasar manusia.
Oleh itu, perkara pertama yang perlu dipersiapkan oleh seseorang yang ingin masuk ke hutan ialah persiapan mental dan fizikal. Berdasarkan pengalaman penulis, terdapat perbezaan antara tahap sesuatu hutan. Terdapat hutan biasa, hutan di dalam kawasan taman negara dan taman negeri dan hutan dara.
Hutan dara antara tahap yang paling sukar kerana belum diterokai dan jarang mendapat kunjungan dari manusia. Jadi, walau apa pun tahap hutan, setiap manusia yang memasuki kawasan hutan perlu tahu adab dan menghormati penghuni lain di hutan. Hal ini bukan sahaja untuk keselamatan diri, malah untuk menghindarkan diri dari bahaya gangguan dari makhluk ghaib.
Pada pos ini, penulis ingin berkongsi sedikit tentang ilmu hutan dan beberapa perkara yang patut dielakkan apabila berada di dalam hutan.
- Adab dan percakapan di dalam hutan
Hutan yang menjadi tempat tinggal makhluk lain haruslah dihormati. Seperti mana seorang tetamu berkunjung ke rumah manusia, adab dan tingkah laku yang baik hendaklah sentiasa dijaga. Kesedaran yang rendah dalam penjagaan alam sekitar malangnya menyebabkan pengunjung yang memasuki hutan sering membuang dan meninggalkan sampah merata-rata.
Percakapan dan tingkah laku di dalam hutan perlu dijaga. Elakkan bercakap besar dan terlebih bersuka ria di dalam hutan. Mengikut pengamal perubatan Islam dan melalui pembacaan, jin mempunyai hijab yang tidak terbatas seperti manusia. Jarak pendengaran dan pengetahuan jin meliputi luas sehingga 20 ribu batu persegi.
Oleh sebab itu, sebelum seseorang itu memasuki mana-mana hutan, penghuni alam ghaib dalam hutan tersebut sudahpun dapat mendengar apa yang dikatakan dan dibualkannya, termasuklah kata-kata sombong dan bercakap besar. Ini bermakna, bukan sekadar bila di hutan kita ditegah untuk berkata-kata dengan tidak sopan, malah sebelum ke hutan elakkan berbual dan bercakap tentang perkara yang tidak sepatutnya.
Kebanyakan kes sesat, gangguan dan disorokkan di dalam hutan adalah berpunca dari tingkah laku dan percakapan. Jika tidak mahu perkara yang tidak diingini seperti ini berlaku, beradablah apabila memasuki hutan. Elakkan menjerit-jerit dan melolong dan ketawa yang melampau. Perbanyakkan zikir dan membaca ayat-ayat suci al-Qur’an adalah jauh lebih baik.
- Jangan membawa masuk sesuatu yang boleh mendatangkan kemarahan makhluk ghaib
Sehebat mana pun seseorang manusia, apabila memasuki hutan, usahlah dicabar dan diganggu makhluk lain. Sesetengah orang, cenderung untuk membawa tangkal, pelindung diri dan sebagainya.
Ada juga yang membawa apa-apa bahan yang bertujuan untuk menghalau dan menakutkan makhluk halus seperti lada hitam dan sebagainya. Sebaiknya, elakkan membawa perkara-perkara ini kerana hal ini dapat mendatangkan kemarahan makhluk halus, seolah-olah mencabar mereka.
Sebagai seorang yang beriman kepada Allah, seseorang itu perlu meletakkan tawakkal dan kebergantungan kepada Allah sebagai pelindung diri apabila berada di dalam hutan. Sebab itulah kita diajar untuk membaca doa, sentiasa suci dalam keadaan berwudhuk dan tidak meninggalkan kewajiban melakukan solat ketika berada dalam hutan.
- Tidak digalakkan membawa makanan mentah
Makanan mentah seperti daging lembu, daging ayam dan sebagainya tidak digalakkan untuk di bawa masuk ke dalam hutan. Apatah lagi jika membawa haiwan hidup untuk disembelih di dalam hutan. Selain menarik minat haiwan buas, makanan ini juga digemari oleh makhluk ghaib. Sebaiknya, bawalah makanan yang sudah dipek dalam tin dan sebagainya.
Apabila daging dipanggang atau digoreng, baunya yang kuat dapat menarik haiwan-hiawan datang. Tempat perkhemahan dan tempat tidur hendaklah sentiasa dibersihkan. Elakkan meninggalkan sisa-sisa makanan merata. Banyak kes berlaku, kawasan tapak perkhemahan diselongkar apabila terbangun pada pagi hari.
- Kawasan yang harus dijauhi dan tidak diusik
Ketika berada di dalam hutan, sama ada ketika anda trekking ataupun ingin mencari tempat untuk dijadikan tapak perkhemahan dan bermalam, elakkan beberapa tempat yang sememangnya menjadi tempat tinggal jin. Terdapat 174 spesis jin, di mana bunian juga termasuk dalam golongan jin. Jin di dalam hutan terdiri dari pelbagai spesis, dari spesis binatang hinggalah ke pelbagai lagi spesis yang menghuni kawasan hutan secara berkumpulan dan mempunyai ketua.
Pernahkah anda mendengar cerita sesetengah kawasan di hutan yang bunyinya riuh rendah seperti di pasar malam, terhidu bau masakan seperti bau gulai kari, sup dan pelbagai lagi bau masakan tidak kira pada apa-apa waktu. Kebiasaannya, apabila tiba waktu solat, akan terdengar juga bunyi azan dan suara mengaji di tengah hutan tebal.
Perkara ini bukanlah sesuatu yang pelik kerana hutan memiliki pelbagai penghuni yang tidak kita nampak dengan mata kasar, yang hidup di dalam alam mereka. Apabila manusia berkomunikasi dengan sedikit ucapan untuk mengatakan tujuan dan meminta perlindungan dari Allah SWT supaya dihindarkan dari makhluk lain yang tidak dapat dilihat, secara automatiknya bunyi dan bauan atau apa-apa yang kedengaran tidak ada lagi.
Berdasarkan pengalaman, terdapat beberapa kawasan yang patut dijauhi dan tidak patut diusik apabila berada di dalam hutan. Sebagaimana yang sedia maklum, perkara pertama yang perlu dititik beratkan dalam pemilihan tempat bermalam adalah dari segi kedudukan dengan sungai, jarak dari sungai yang kemungkinannya ada risiko kepala air, kelapangan kawasan atas yang bebas dari ranting dan dahan yang rapuh dan sebagainya.
Perkara yang kedua ialah keadaan sekeliling di mana anda perlu peka dengan kawasan yang anda pilih. Jika anda terjumpa sungai dengan persimpangan ‘Y’, anda perlu tahu kawasan mana yang harus dijadikan tempat rehat dan bermalam. Kawasan di sebelah kanan sungai adalah kawasan yang sepatutnya dijadikan kawasan rehat. Elakkan kawasan di bahagian atas dan kiri sungai kerana kawasan tersebut adalah kawasan untuk jin. Kebanyakan kes yang berlaku apabila salah memilih tempat di kiri dan atas sungai, pelbagai gangguan seram yang muncul.
Apabila terjumpa kawasan yang aneh dan cantik di dalam hutan tebal, contohnya kawasan yang memiliki pokok-pokok besar tetapi di lantai hutan bersih dan tiada tumbuhan kecil dan semak samun yang tumbuh, elakkan mengusik dan bermalam di kawasan seperti itu.
Kebiasaannya, kawasan itu berpenghuni. Menurut penerangan dari pengamal rawatan Islam dan orang yang berpengalaman, kawasan seperti itu merupakan tempat beradu dan beristirehat bagi golongan permaisuri, dalam erti kata lain, jin-jin betina.
- Jangan bawa balik batu atau apa-apa yang menarik
Ketika di dalam hutan, tidak dinafikan kawasan dan pemandangannya amat cantik dan menenangkan fikiran. Begitu juga dengan pelbagai batu-batan di dalam sungai yang cantik dan menarik. Anda dilarang untuk membawa pulang batu-batu yang cantik, bulu pelepah burung atau sebagainya keluar dari hutan. Kebanyakan kes yang berlaku, apabila membawa pulang, sesuatu dari hutan akan turut mengikut pulang dan mengganggu.
Ada batu-batu yang dijaga dan menjadi barang permainan makhluk ghaib di dalam hutan. Apabila anda membawa ia pulang, sudah pasti akan menimbulkan masalah. Mengikut kebiasaannya, kes membawa pulang dan tersilap membawa pulang sesuatu di dalam hutan, penyelesaiannya adalah perlu memulangkan dan menghantar kembali apa yang diambil ke tempat asal.
Pernah anda terfikir, adakah kayu balak di hutan ditebang begitu sahaja dan dibawa keluar dari hutan tanpa sebarang ritual sama ada secara Islamik ataupun tidak?
- Jangan memotong, mencantas dan menebang tumbuhan tanpa sebab
Ini merupakan perkara asas apabila memasuki hutan. Tidak kira walaupun hutan tebal ataupun tidak, bahkan jika anda trekking ke air terjun sekali pun, adalah ditegah untuk memotong, mencantas dan menebang tumbuhan di dalam hutan tanpa sebarang sebab. Jika anda memerlukan kayu untuk dibuat tongkat atau dibuat kayu pacak dan sebagainya, seeloknya, bacalah Bismillah terlebih dahulu. Begitu juga ketika menebas dan membuat denai di dalam hutan.
- Jangan membuang air sesuka hati tidak mengira tempat
Jika ingin membuang air di hutan, tidak kira air kecil ataupun air besar, janganlah membuang air merata-rata tempat. Baca doa sepertimana doa masuk ke tandas. Apabila ingin membuang air, mintalah perlindungan dari Allah. Cukuplah sekadar meminta agar kawasan itu dilapangkan dari makhluk lain.
Walaupun diucapkan dalam hati, alam mereka akan bergema dan secara terus mereka mengetahui apa yang kita ucapkan. Sekurang-kurangnya mereka tahu kita mempunyai adab ketika memasuki kawasan mereka dan telah meminta kepada Allah supaya kawasan itu bebas dari makhluk lain.
Jika anda membuang air sesuka hati, pasti akan menimbulkan masalah jika anda membuang air ke tempat tinggal makhluk ghaib ataupun terkena anak-anak atau keluarga mereka.
- Kenali denai dan elakkan bahaya ketika trekking
Di dalam hutan, terdapat denai manusia dan denai haiwan. Apabila trekking, pastikan anda mengikuti denai manusia dan bukannya denai haiwan sama ada denai babi hutan ataupun haiwan yang lebih besar. Apabila menemui tumbuhan kecil yang berbentuk seperti pintu gerbang, dikatakan ia adalah laluan masuk ke alam bunian. Tetapi kebenarannya. Hanya Allah yang lebih mengetahui.
Ketika trekking di dalam hutan tebal, keberangkalian untuk sesat adalah lebih tinggi. Berdasarkan pengalaman penulis, jika orang di hadapan sudah tidak kelihatan, memang sangat mudah untuk sesat di dalam hutan. Seterusnya, anda perlu mengetahui tentang haiwan liar.
Bagi orang berpengalaman, mereka mampu untuk mengetahui tempoh masa sesuatu tapak kaki haiwan yang dijumpai sama ada haiwan tersebut melalui kawasan itu pada beberapa hari lepas, baru sahaja lalu ataupun sudah beberapa jam.
Jika hutan menjadi sunyi, kemungkinan ada haiwan pemangsa sedang memerhati. Jika terdengar bunyi haiwan seperti ungka dan spesis beruk lain yang bising di atas kanopi pokok, petanda ada haiwan pemangsa besar yang berada di bawah.
Jika anda terjumpa beruang, buatlah bunyi bising. jika terserempak dengan gajah, beredarlah dengan senyap. Kawanan gajah yang mempunyai anak kecil biasanya lebih agresif dan garang, anda perlu berhati-hati dan sebaiknya lari.
Sebegitu juga jika menemui babi hutan, terutamanya babi tunggal yang sangat garang, adalah lebih baik untuk lari menyelamatkan diri. Kecederaan yang disebabkan oleh babi tunggal adalah sangat serius, ia mampu mengoyak bahagian isi peha dengan teruk.
Dalam kawanan babi hutan, apabila si anak telah besar, ia akan beradu dengan alpha iaitu ketua kawanan untuk menjadi ketua yang baru. Yang tertewas akan meninggalkan kawanan dan hidup sendirian, sebab itulah ia dipanggil sebagai babi tunggal.
Bagi raja hutan iaitu harimau belang, kehadiran mereka dapat dikesan dengan bau busuk seperti bangkai. Harimau yang berada dekat dengan manusia akan mengeluarkan bunyi yang perlahan, sebagai amaran untuk menakutkan manusia.
Jika berseorangan, keberangkalian untuk diserang adalah sangat tinggi. Jika lebih dari seorang, kebiasaannya seekor harimau belang tidak akan menyerang. Manusia bukanlah makanan mereka, mereka hanya menganggap manusia sebagai ancaman.
Jika terjumpa haiwan liar, ada dua pilihan sama ada anda lari atau laungkan kalimah Allahuakbar sekuat hati. Itulah petuanya, setiap makhluk ciptaan Allah akan tunduk dan takut pada Penciptanya.
- Darah kotor jangan diletakkan merata
Bagi wanita yang datang bulan, sebaiknya kawasan hutan adalah kawasan yang tidak harus dimasuki sama ada untuk berkelah, berkhemah dan sebagainya. Tetapi, andai kata ketika di dalam hutan, seseorang wanita itu sedang mengalami haid, jagalah kebersihan dengan sebaiknya. Jangan dibuang merata tuala wanita atau tampon yang mengandungi darah kotor. Seeloknya, simpan dengan baik.
Seperti yang sedia kita maklum, darah haid ini merupakan makanan dan menjadi penarik kepada makhluk ghaib. Apa pun jenis darah, pastikan ia dibersihkan kerana bimbang akan mengundang makhluk lain.
- Jangan menyuluh tidak tentu hala
Apabila tiba waktu malam, memiliki lampu suluh sama ada lampu kepala, lampu suluh tangan atau apapun jenis lampu adalah satu perkara yang penting. Tetapi, jangan disuluh tidak tentu hala. Elakkan menyuluh ke atas.
Jika nasib anda tidak baik, anda mungkin tersuluh mata yang bukan berwarna kuning atau hijau apabila terpantul dengan cahaya. Bagi haiwan dan manusia, refleksi cahaya pada mata akan menjadikan warna mata dari kuning hingga hijau. Jika selain daripada itu, seperti merah contohnya, itu adalah makhluk lain yang anda mungkin tidak mahu melihat rupa bentuknya.
- Jangan trekking dan melakukan aktiviti ketika beberapa waktu
Bila berada di hutan, sebaiknya jangan melakukan aktiviti semasa masuknya waktu solat. Ketika masuknya waktu solat, apabila anda membuat bising dan sebagainya, tidakkah anda terfikir di dalam hutan juga terdapat golongan jin Islam yang beribadat kepada Allah?
Selain daripada itu, jika anda sedang trekking, mendaki atau sebagainya, disarankan untuk berhenti ketika beberapa waktu seperti waktu matahari tegak di atas kepala dan waktu matahari tergelincir.
Hal ini demikian kerana waktu tersebut adalah waktu pertembungan. Makhluk alam lain keluar. Kes sesat di hutan, gelap mata dan disorokkan banyak terjadi ketika waktu sebegini. Jika tersesat dalam hutan, gelap mata atau tidak nampak laluan, anda haruslah tidak cepat panik dan tenang. Cuba duduk, berzikir dan membaca ayatul Kursi.
- Jangan membunuh, mengusik dan mencederakan hidupan lain
Hutan merupakan tempat tinggal berbagai spesis flora dan fauna. Serangga berbisa, pelbagai jenis ular dan reptilia, mamalia karnivor dan herbivor dan spesis haiwan terbang. Jangan sesekali membunuh haiwan dan serangga dengan sengaja dan tanpa sebab.
Di dalam hutan, jin juga mengambil rupa dan menjelma sebagai binatang seperti ular, katak hitam, kala jengking dan sebagainya. Bayangkan jika anda terbunuh jin, apakah mudaratnya yang bakal anda tanggung?
- Jangan memakai wangian yang melampau
Bila masuk ke hutan, tidak perlulah untuk memakai wangian seperti hendak pergi ke pejabat atau ke pusat membeli belah. Bau wangian yang kuat boleh menarik haiwan buas dan makhluk ghaib. Ada haiwan yang alah dengan bau-bauan. Cukuplah sekadar membawa pelaralatan kendiri untuk kebersihan diri seperti sabun, syampu, pewangi ketiak, ubat gigi dan sebagainya.
- Hindari hutan jika lemah semangat dan penakut
bagi seseorang yang lemah semangat dan bersifat penakut, adalah lebih baik jika tidak melibatkan diri dalam aktiviti di dalam hutan. Perkara seperti gangguan, histeria dan ternampak kelibat yang menakutkan sering terjadi kepada mereka yang lemah semangat.
Penulis bukan hendak menakut-nakutkan, tetapi inilah hakikatnya. Dalam perubatan Islam, mereka yang mempunyai sejarah pernah diikut pulang oleh makhluk alam ghaib mempunyai keberangkalian tinggi untuk diikut pulang setiap kali memasuki hutan. Hal ini demikian kerana, terdapat ‘laluan’ yang sudah terbuka di dalam tubuh mereka yang memudahkan golongan jin untuk memasuki tubuh.
Umumnya, jin terdiri dari golongan jin kafir dan jin Islam. Jin kafir atau jin jahat ini lebih cenderung untuk mengganggu manusia. Apabila mereka melihat manusia, mereka boleh mengetahui tahap ketinggian ilmu atau kehebatan seseorang dengan agama dan amalannya.
Mereka dapat mengetahui sama ada seseorang itu jenis berani ataupun penakut, lemah semangat ataupun tidak. Maka, sasaran yang mudah bagi mereka sudah semestinya golongan manusia yang lemah semangat dan mempunyai sifat takut.
Tags: #ADAB DAN PANTANG LARANG MASUK KE HUTAN #Adat dan Pantang Larang Masuk Hutan #bahaya hutan #gangguan jin dalam hutan #haiwan buas dalam hutan #ilmu hutan #jin dan bunian #makhluk ghaib #menghindar gangguan makhluk ghaib di dalam hutan #panduan berada di hutan #pantang larang hutan #pantang larang ketika di hutan #perkara harus dielakkan dalam hutan #perkara yang dilarang di dalam hutan #perkara yang harus dielakkan di dalam hutan untuk menghindar gangguan makhluk halus #Petua baru sebelum masuk hutan #Petua ilmu hutan #petua masuk hutan #Tarbiah: Panduan di hutan #tips berada di hutan #tips berkhemah di dalam hutan #tips jika bertemu haiwan liar di dalam hutan #Tips Masuk Hutan #Tips Penting Jika Masuk Atau Bermalam Di Hutan #tips trekking dlaam hutan