Pening kepala dalam memilih jurusan kuliah untuk melanjutkan pelajaran di universiti?
Salah satu jurusan yang boleh anda pilih adalah Komunikasi Massa. Bukan sahaja di universiti awam malahan kolej-kolej swasta turut memperkenalkan jurusan ini buat bakal mahasiswanya.
Di jurusan ini, anda akan mempelajari mengenai dunia kewartawan, penyiaran, periklanan dan pengurusan komunikasi korporat. Kebiasaannya, pensyarah-pensyarah yang mengajar subjek dalam jurusan ini terdiri daripada wartawan, bekas pengalaman media, penggiat seni atau editor yang berpengalaman lebih lima tahun ke atas.
Paling menarik, pelbagai peluang kerjaya di luar sana yang menanti mahasiswa yang mengambil ‘course’ ini.
Nah, ini 5 kerjaya buat anda yang bergelar mahasiswa jurusan Komunikasi Massa. Take a look!
1. Wartawan
Buat anda yang pintar menulis dan suka menghadapi cabaran baru setiap hari, kerjaya sebagai wartawan boleh dijadikan pilihan untuk masa depan. Terdapat tiga jenis kerjaya wartawan iaitu wartawan penyiaran (televisyen dan radio), wartawan media cetak (surat khabar dan majalah) dan wartawan digital (portal berita secara atas talian).
Antara tugas harian yang dilakukan sesorang wartawan adalah menemubual sumber berita, mencari info tambahan, menulis berita dan rencana serta menyunting berita sebelum dihantar kepada editor.
Selain dapat berjumpa dengan selebriti popular dan pemimpin negara, wartawan juga berperanan penting dalam menyebarkan maklumat terkini negara dan antarabangsa kepada masyarakat.
2. Pegawai Perhubungan Awam
Tahukah anda, kerjaya ini sangat penting di mana-mana syarikat atau organisasi sama ada kerajaan mahupun swasta. Pegawai Perhubungan Awam atau Public Relation Officer berperanan untuk memikir segala strategi komunikasi dari sesebuah syarikat kepada masyarakat.
Di samping itu, kerjaya ini juga bertanggungjawab dalam mengurus hal ehwal korporat termasuklah membuat kenyataan akhbar syarikat kepada media, menguruskan urusan temuramah bersama pihak media serta menguruskan mesyuarat dan acara berkaitan.
Sebagai Pegawai Perhubungan Awam, anda mestilah seorang yang berfikiran positif, kreatif serta bijak menguruskan masa dan masalah yang bakal dihadapi.
3. Periklanan
Merupakan sektor yang semakin berkembang pesat di dunia. Setiap produk atau perkhidmatan dalam dunia ini memerlukan iklan untuk mempromosikan barangan mereka.
Pelbagai iklan boleh dilakukan sama ada secara bercetak, elektronik atau digital. Di dalam bidang ini, kita hendaklah membuat iklan yang menarik, kreatif, memanipulasi minda pembaca atau penonton serta menepati selera dan objektif pihak yang mengeluarkan barangan atau perkhidmatan tersebut.
4. Perancang Acara
Saat menguruskan sesebuah majlis, kita hendaklah membuat segala perancangan secara keseluruhan berkaitan acara dengan betul dan benar. Tema majlis, lokasi, bilangan tetamu, katering, khemah, bajet antara aspek penting yang perlu diambil kira oleh seseorang perancang acara.
Kerjaya ini semakin menjadi pilihan golongan muda kerana saban hari pasti sahaja ada majlis atau acara diadakan seperti sambutan hari jadi, majlis kesyukuran dan doa selamat, majlis pertunangan serta perkahwinan.
5. Fotografi
Fotografi merupakan subjek wajib yang perlu diambil oleh semua mahasiswa jurusan Komunikasi Massa di menara gading. Di sinilah, para pelajar di dedahkan mengenai asas dan teknik penting dalam fotografi.
Antara kerjaya menarik dalam bidang ini adalah jurugambar dan wartawan foto. Bagi yang suka mencari pendapat lebih, anda boleh jadi sebagai jurugambar sambilan untuk sambutan hari jadi atau majlis perkahwinan.
Tags: #graduan mahasiswa komunikasi massa #Karier Pelajar Komunikasi Massa #Kerjaya Buat Mahasiswa Komunikasi Massa #lepasan ijazah komunikasi massa #mahasiswa komunikasi massa