Sekiranya berlaku kematian dalam sesebuah keluarga, seluruh rumah akan diselubungi kesedihan. Ada waris yang akan ambil langkah proaktif untuk mempercepatkan proses pengurusan jenazah tetapi ada juga yang tidak tahu apa yang perlu dibuat atau siapa untuk dihubungi.
Apabila berlaku kematian dalam sesebuah keluarga, 3 perkara berikut perlu disegerakan oleh waris iaitu:
- Uruskan jenazah si mati
- Selesaikan segala hutang si mati
- Uruskan harta dan pusaka si mati
Pengurusan Jenazah
Pengurusan jenazah merupakan fardhu kifayah. Dalam sesebuah keluarga perlu ada seorang waris yang mengambil langkah mengetuai proses pengurusan jenazah. Disarankan agar pengurusan jenazah disegerakan kerana tidak elok sekirannya jenazah dibiarkan lama di rumah sehingga 1 hingga 2 hari.
Perkara pertama yang perlu dilakukan ialah mendapat pengesahan kematian dari doktor klinik atau hospital. Selepas mendapat surat pengesahan, waris perlu membuat laporan polis di balai polis berdekatan untuk mendapatkan permit pengkebumian atau surat mati sebelum boleh meneruskan pengkebumian.
Untuk proses pengurusan jenazah, waris boleh rujuk pada masjid kariah yang terdekat. Selalunya pihak masjid ada sediakan pakej pengurusan jenzah lengkap daripada memandikan hingga pengkebumian.
Selesaikan Segala Hutang Si Mati
Selesai proses pengkebumian, wakil daripada waris perlu ambil tahu mengenai hutang-hutang si mati. Kadang-kadang kita terlepas pandang hutang-hutang kecil seperti baki tunggakan plan telefon bimbit, duit barang basah di kedai runcit yang belum sempat dibayar si mati atau duit kopi yang si mati pinjam daripada rakannya. Hutang kecil seperti ini yang mungkin akan menjadi sebab roh si mati tergantung antara bumi dan langit.
Oleh sebab itu, kita yang masih hidup ini disarankan agar mencatat atau sekurang-kurangnya memberi tahu waris atau rakan terdekat tentang hutang kita walaupun sekecil mana pun. Malah telah dinyatakan dalam al-Quran tentang perkara ini.
“Wahai orang-orang beriman, apabila kamu ada hutang yang perlu diselesaikan pada tempoh masa tertentu maka catatlah.” (Surah al-Baqarah, ayat 282)
Hutang lain termasuk hutang kereta, loan bank dan lain-lain yang berkaitan adalah penting juga untuk si waris bertanggunjawab menyelesaikan kesemua hutang tersebut.
Pengurusan Harta dan Pusaka
“Kamu diwajibkan, apabila seseorang dari kamu hampir mati, jika ia ada meninggalkan harta, (hendaklah ia) membuat wasiat untuk ibu bapa dan kaum kerabat dengan cara yang baik (menurut peraturan agama), sebagai suatu kewajipan atas orang-orang yang bertaqwa.” (Surah al-Baqarah, ayat 180)
Pengurusan harta pusaka merupakan satu topik yang sering dielakkan oleh masyarakat kita. Alasannya, takut menjadi perbalahan antara adik beradik atau kurangnya ilmu mengenai cara yang betul bagaimana untuk menguruskan urus pusaka yang ditinggalkan. Tapi bagaimana pula dengan nasib waris yang tidak mendapat hak, nasib waris yang ditinggalkan tanpa tempat bergantung dan nasib si mati yang hutangnya tidak dilangsaikan?
Bila masuk bab harta dan pusaka, selalunya masyarakat kita mudah sensitif dan tidak kurang juga yang ambil mudah. Ada yang kata “Eh, tanah kubur arwah masih merah lagi, takkan nak bincang pasal duit dah?”
Perlu kita ingat tentang hutang si mati tadi? Sanggup ke si waris keluarkan duit poket sendiri untuk langsaikan hutang-hutang si mati? Sementara semua waris sudah berkumpul selepas kematian, apa kata teruskan dengan perbincangan harta dan pusaka. Bimbang jika dibiarkan sahaja, mungkin tidak diurus sampai bertahun tahun lamanya sehingga mengundang fitnah dan gosip dari sanak saudara.
Perkara pertama yang perlu dititik beratkan adalah melantik seorang Wasi dalam kalangan waris yang tinggal. Wasi ini akan bertanggungjawab untuk membahagikan dan mengurus tadbir harta pusaka si mati sebelum diberi kepada waris.
Seterusnya, haruslah dikumpul semua geran-geran tanah, buku akaun dan lain-lain dokumen yang perlu untuk pengurusan harta pusaka. Perlu tahu bahawa ada harta yang boleh diwariskan, ada juga yang tidak boleh diwariskan. Daripada keseluruhan harta si mati juga wajib 1/3 daripadanya digunakan untuk melangsaikan hutang, membuat sedekah dan menyempurnakan hutang Allah yakni Haji dan saham akhirat.
Setelah itu barulah 2/3 daripada harta si mati tadi boleh dibahagikan kepada waris. Pembahagian juga harus mengikut wasiat yang ditinggalkan dengan persetujuan semua waris. Sekirannya si mati tidak meninggalkan wasiat, harta perlu dibahagikan mengikut sistem faraid.
Sekiranya ada waris yang membantah pembahagian harta mengikut sistem faraid, masih ada solusi yang lain. Semua waris perlu bersetuju untuk membuat pembahagian sama rata dalam kalangan mereka atau salah seorang waris melepaskan hak beliau kepada waris lain berserta akad yang ikhlas dan dalam keadaan waras. Ini adalah supaya tidak timbul ungkit-mengungkit 10 tahun akan datang dalam kalangan waris.
Pengurusan harta dan pusaka ini bukan mudah dan tidak juga diambil mudah kerana khuatir roh si mati tidah tenang di alam sana dan bimbang juga sekiranya waris yang tinggal termakan harta haram yang bukan hak mereka. Topik tentang pengurusan harta pusaka sebenarnya merupakan topik panjang yang memerlukan huraian dan penjelasan untuk mengelak kekeliruan.
Tags: #apa yang harus dilakukan setelah kematian ahli keluarga #bagaimana mengurus jenazah ahli keluarga #bagaimana pengurusan harta dan pusaka #kematian anggota keluarga #macam mana urus si mati #mengurus harta pusaka selepas kematian #meninggal dunia #pengurusan harta pusaka si mati #perkara wajib selepas berlaku kematian #perkara yang harus dilakukan oleh anak selepas kematian ibu bapa #perkara yang harus dilakukan oleh waris dengan segera selepas kematian ahli keluarga #Perkara yang harus disegerakan oleh waris selepas kematian ahli keluarga #urus keluarga meninggal #waris meninggal