Bayam atau dalam bahasa Inggerisnya dikenali sebagai ‘Spinach’ adalah spesies Amaranthus gangeticus yang mengandungi banyak khasiatnya. Di antaranya seperti mempunyai kalori yang rendah tetapi tinggi dengan kandungan vitamin A dan K, mencegah kanser, meningkat sistem imuniti badan, mengekalkan kesihatan otak, merendahkan tekanan darah dan kadar kolesterol. Terdapat dua jenis pokok sayur bayam iaitu berdaun merah dan juga berdaun hijau.
Terdapat beberapa jenis bayam di negara kita. Antaranya ialah bayam hijau (Amaranthus spp.), bayam merah (Amaranthus gangeticus) dan bayam tricolor (Amaranthus tricolor). Semua bayam ini tergolong dalam keluarga Amaranthaceae dan berasal dari Amerika. Bayam spinach (Spinacia oleraceae) pula mengandungi gen, fizikal dan rasa yang berbeza walaupun berasal dari keluarga yang sama. Bayam spinach tidak sesuai ditanam di negara beriklim tropika seperti Malaysia kerana ia cepat berbunga dan tidak banyak daun.
Keistimewaan bayam :
- Kaya dengan vitamin A, C dan E, fosforus, zat besi, kalium, magnesium, beta karoten dan zink.
- Sumber baik asid berlemak omega 3, niasin dan selenium.
- Bayam juga dipercayai memberi khasiat kepada kanak-kanak, ibu yang menyusu dan pesakit yang mengidap demam panas, kurang darah, mengalami pendarahan dan mereka yang menghadapi masalah ginjal.
- Bayam tua yang direbus dan diminum dapat membaiki kualiti penglihatan dan memperkuatkan fungsi hati.
Panduan Mudah Menanam Bayam Dalam Pasu
- Dapatkan biji benih sayur bayam
Anda boleh dapatkan biji benih di nurseri ataupun beli sahaja di pasar raya yang ada bahagian gardening. Untuk mula mencambahkan biji benih, sediakan satu dulang (atau tin muffin) dan letakkan tanah. Masukkan biji benih dan tekan sedalam 1/2 inci. Biarkan biji benih bercambah sekurang-kurangnya 2 – 3 helai daun pucuk (5 – 14 hari) barulah anda pindahkan ke pasu atau bekas yang lebih besar dan sesuai.
- Pasu pilihan
Pastikan pasu anda sekurang-kurangnya 6 – 8 inci kedalamannya. Tidak perlu dapatkan yang terlalu dalam tetapi lebih baik ambil yang lebar. Anda juga boleh gunakan pasu-pasu kecil atau dalam kotak kayu yang panjang (mudah untuk diletakkan di tepi tingkap).
- Ruang selesa
Sebaik-baiknya ruang di antara dua pohon adalah 3 inci, jika anda mahu lebar daun yang lebih beri ruang sebanyak 5 inci. Jika anda mahu petik sayur pada usia muda, cukup ruang hanya 2 inci sahaja. Jika anda menggunakan kotak kayu yang panjang, letak penghadang antara dua pohon agar lebih mudah untuk anda mengagak jarak yang sesuai di antara keduanya.
- Penanaman
Bayam sesuai tumbuh dalam campuran tanah atau medium tanaman yang agak lembap serta gembur dan juga mengandungi banyak bahan organik. Campuran yang disyorkan adalah campuran tanah untuk pokok berpasu iaitu dalam nisbah 3:2:1 (Tanah Peroi: Bahan Organik: Pasir Sungai). Pokok bayam mudah ditanam kerana anda hanya perlu menabur benihnya di plot tanaman yang telah digembur atau dicampur medium tanamannya. Seterusnya berikan penjagaan yang diperlukannya. InsyaAllah hasilnya cukup memuaskan.
Untuk menyemai dan menanamnya ikuti langkahnya seperti berikut:
- Campurkan biji benih pokok bayam yang halus itu dengan pasir halus.
- Tabur terus di tanah yang telah digemburkan terlebih dahulu dan berikan siraman dua kali sehari agar medium semaiannya senantiasa lembap.
- Apabila anak benih telah tumbuh empat helai daun bolehlah dijarangkan iaitu dengan mencabut beberapa anak benih di sekeliling anak benih yang ingin dibiarkan membesar.
- Manakala anak benih yang dicabut tadi bolehlah ditanam semula di ruang kosong yang terdapat di plot tanaman anda.
- Selepas ditanam dan disiram letakkannya di tempat teduh dahulu sehingga mula tumbuh barulah dipindahkan ke kawasan yang mendapat cahaya matahari yang banyak untuk pertumbuhannya dan seterusnya berikan penjagaan seperti di bawah ini.
- Penjagaan
Teknik penjagaan bayam adalah seperti berikut ;
- Bayam perlu didedahkan kepada cahaya yang banyak untuk tumbuh subur.
- Siram 2 kali sehari iaitu pada waktu pagi dan petang bagi memastikan medium tanamannya lembap sentiasa agar anak bayam cepat tumbuh membesar.
- Gunakan baja organik seperti najis ayam untuk pertumbuhan pokok yang lebih subur. Ikuti arahan mengenai cara dan kekerapan penggunaannya seperti tertera di pek baja yang digunakan.
- Pokok bayam boleh dipetik apabila pokoknya mencapai anggaran umur lebih kurang 2 hingga 3 bulan selepas disemai bijinya dan ini juga bergantung kepada cara penjagaan selepas penanamannya.
- Yang pastinya anda boleh berbangga dengan hasilnya apabila tiba masanya untuk memetik pokok sayur bayam yang anda tanam sendiri itu tanpa membelinya untuk dijadikan masakan seperti sayur goreng, sayur air dan sebagainya.
- Peringatan
Posisi – Pastikan anda letakkan sayur ini di kawasan yang teduh kerana panahan matahari yang terik boleh merosakkan sayur ini.
Tanah – Gunakan tanah yang kaya dengan kandungan nutrien organik. Tekstur tanah harus dalam keadaan yang polos dan tidak padat. Ini untuk mengelak sayur anda ‘lemas’. pH tanah juga harus neutral.
Siraman – Jangan siram sehingga air bertakung dalam pasu/bekas. Cukup dengan membiarkan tanahnya lembap untuk memastikan irigasi dalam pasu/bekas berfungsi baik.
Baja – Berikan sayur ini sumber nitrogen yang mencukupi. Sebaiknya letakkan baja siap-siap bersama tanah sebelum menanam biji benih sayur ini. Gunakan baja organik seperti kompos untuk lebih selamat.
Tags: #bayam #campuran tanah untuk tanam sayur #cara mudah tanam bayam #cara mudah tanam bayam dalam pasu #jenis-jenis bayam di Malaysia #kelebihan makan sayur bayam #khasiat bayam #manfaat bayam #Panduan Mudah Menanam Bayam Dalam Pasu #panduan tanam sayur #sayur bayam #spinach #tanam bayam di ruang sempit #tanam bayam di rumah #tanam bayam sendiri dalam pasu