Kita pasti merungut apabila pokok yang ditanam tidak hidup. Ada yang menyalahkan diri sendiri dan ada menyalahkan pokok atau baja yang dikatakan tidak sesuai. Lebih melucukan apabila ramai mempercayai mitos kononnya menanam pokok ada kaitan dengan ‘tangan panas’ dan ‘tangan sejuk’.
Mereka yang ‘tangan panas’ dikatakan sukar menanam pokok kerana walaupun dijaga sebaik manapun, pokok sukar tumbuh subur dan mati. Berbeza dengan ‘tangan sejuk’ walaupun cuma mencampak benih, tanamannya pasti menjadi dan subur pula!
Apapun alasan diberi, punca utama masalah ini disebabkan kita kekurangan ilmu mengenai teknik dan cara penanaman yang betul. Apakah teknik yang betul dalam penanaman pokok?
Teknik Asas Berkebun Kepada ‘Beginner’
Penanaman atas tanah
Perkara pertama adalah tanah yang digunakan. Tanah yang paling sesuai perlu mempunyai ciri-ciri tekstur tanah gembur, peroi dan berongga kerana ia membolehkan pengaliran udara atau pengudaraan yang elok, saliran air yang baik dan memudahkan akar menjalar untuk mencari nutrien dan makanan.
Tanah yang baik juga perlu mengandungi air, udara dan sumber makanan yang diperlukan, selalunya mempunyai nutrien yang seimbang. Selain itu, tanah perlu bebas daripada patogen atau serangan perosak dan bahan toksik. Sebelum tanah dicampurkan, komponen utama yang perlu ada ialah tanah loam (tanah atas 0.5 meter di atas permukaan tanah dengan pH5.5 hingga 6.5), bahan organik, pasir dan baja asas.
Penggunaan bahan organik penting bagi membantu menyerap air, selain menggemburkan tanah dan menggalakkan lagi perkembangan mikro organisme. Pasir pula diperlukan kerana membantu pengudaraan dan saliran air. Seeloknya gunakan pasir yang kasar seperti pasir sungai.
Penanaman dalam pasu
Bagi penanaman dalam pasu, gunakan pasu yang mempunyai lubang manakala pasu yang tidak berlubang hanya sesuai untuk tumbuhan akuatik seperti melati air dan cattail. Sebelum mula menanam masukkan serpihan pasu atau batu untuk mengelak campuran tanah terkeluar selain mengelakkan air mengalir deras seterusnya membawa keluar tanah.
Kemudian masukkan tanah campuran satu pertiga pasu. Selepas itu potong bahagian bawah polibeg yang menjadi tempat semaian pokok dan tanam dalam pasu. Timbus tanah campuran untuk menutup akar pokok dan sedia untuk menghias laman.
Sebagai tambahan, kaedah menggunakan pasu boleh digunakan untuk semua jenis pokok mengikut kesesuaian dan cita rasa masing-masing. Namun, pastikan bebola akar tidak pecah atau rosak. Pemasuan semula boleh dipraktikkan untuk pokok yang sudah lama dalam pasu bagi menyelamatkan pokok berkenaan atau membiakkan semula pokok.
Punca pokok atau tumbuhan mati
- Kekeringan tanah
Semua makhluk memerlukan air untuk hidup termasuk tumbuhan. Kegagalan membekalkan air kerana tanah kering boleh menyebabkan pokok mati. Ada banyak spesies tumbuhan dapat bertahan dalam keadaan tanah kering atau jadual penyiraman tidak menentu. Namun, kegagalan membekalkan air mencukupi sewaktu tumbuhan mulai bertunas boleh mengakibatkan pucuk muda menjadi layu seterusnya menyebabkan tumbuhan mati.
- Terlebih siraman
Antara sebab utama tumbuhan dalam pasu mati adalah kerana terlebih siraman. Siraman terlalu kerap menyebabkan akar sentiasa basah, seterusnya menjadi rosak. Akar yang rosak menyebabkan tumbuhan gagal menyerap air dan nutrien yang diperlukan. Kesudahannya pokok jadi layu, daun gugur dan akhirnya mati.
- Cahaya matahari berlebihan
Kematian tumbuhan akibat pancaran terik matahari terjadi kepada jenis tumbuhan yang berasal daripada tempat teduh atau terlindung, dipindahkan secara mengejut ke kawasan terdedah kepada pancaran terus matahari. Perubahan suhu mendadak menyebabkan daun seperti tercelur dan hangus, seterusnya pokok boleh mati.
- Kekurangan cahaya
Tumbuhan memerlukan cahaya yang mencukupi untuk aktiviti fotosintesis. Pencahayaan yang suram di dalam rumah seperti di ruang tamu atau sudut yang jauh dari tingkap, walaupun tidak membunuh tumbuhan dalam jangkamasa pendek, namun suasana sebegini menyebabkan daun cepat bertukar menjadi kuning dan gugur. Kadar pembesaran tumbuhan menjadi terencat dan tidak akan berbunga. Untuk menjamin kesegaran pokok di kawasan seperti ini, tukarkan lokasinya setiap dua minggu sekali.
Tags: #cara menanam pokok atas tanah #cara menanam pokok dalam pasu dengan betul #garden #jenis tanah untuk menanam pokok #kenapa pokok dalam pasu tidak subur? #mengapa pokok layu dan mati? #panduan menanam pokok dalam pasu #panduan menanam pokok dengan betul #punca penyebab pokok dalam pasu mati #punca penyebab tanaman mati #sukatan tanah menanam pokok #taman #tanaman #Teknik Asas Berkebun Kepada 'Beginner' #teknik menanam pokok #teknik menanam pokok dengan betul