Panduan Lengkap Menderma Darah Di Malaysia

Panduan Lengkap Menderma Darah Di Malaysia

Menderma darah adalah satu amalan yang baik. Selain dapat membantu insan lain yang memerlukan darah, menderma darah dapat memberi banyak manfaat kepada penderma dari segi kesihatan dan sebagainya.

Proses Menderma Darah

Proses menderma darah adalah ringkas dan tidak mengambil masa yang lama. Setiap individu yang menderma darah dengan Pusat Darah Negara (PDN) akan melalui proses pendermaan seperti berikut :

  1. Mengisi borang PDN3/2000/Pin. 1 atau 2. Sebarang keterangan atau bantuan mengisi borang ini boleh diperolehi daripada kakitangan PDN yang bertugas.
  2. Menjalani pemeriksaan darah untuk tahap kepekatan sel darah merah (paras hemoglobin) dan mengenal pasti kumpulan darah ABO.
  3. Menimbang berat badan.
  4. Melalui sesi soal selidik atau kaunseling pra-pendermaan untuk mengenal pasti sebarang masalah perubatan dan tahap risiko penderma.
  5. Pendaftaran dan penderma diberikan buku penderma darah.
  6. Penderma yang layak menderma akan menjalani proses pengambilan darah (phlebotomy). Proses menderma darah biasanya mengambil masa di antara 7 hingga 15 minit.
  7. Setelah selesai proses pengambilan darah, penderma akan diberikan sedikit makan dan minuman ringan.

Kriteria Penderma Darah Dan Aferesis

Sebelum layak mendaftar diri sebagai seorang penderma darah, seseorang bakal penderma perlulah memenuhi beberapa kriteria asas berikut :

Penderma darah penuh (whole blood) :

  • Berumur di antara 18 hingga 60 tahun (jika berumur 17 tahun, perlu mendapatkan kebenaran bertulis ibubapa/penjaga)
  • Berat badan melebihi 45 kg.
  • Sihat fizikal dan mental serta tiada masalah kesihatan yang kronik.
  • Tidak mengambil sebarang ubat-ubatan dan tidak mengambil minuman beralkohol dalam jangka waktu terdekat sebelum hari pendermaan.
  • Tidak berpuasa dan telah mendapat tidur yang cukup (lebih 5 jam) sebelum menderma darah.
  • Menetap di Malaysia sekurang-kurangnya selama 1 tahun (bagi bukan warganegara Malaysia)

Bagi penderma aferesis, selain kriteria di atas, terdapat beberapa kriteria tambahan iaitu :

  • Berumur tidak melebihi 55 tahun.
  • Berat badan 55 kg dan ke atas.
  • Telah menderma darah penuh sekurang-kurang 2 kali dan pendermaan terakhir tidak lebih daripada 6 bulan.
  • Mempunyai salur darah yang sesuai (besar dan jelas).

Kelayakan seseorang untuk menderma darah akan ditentukan oleh pegawai perubatan atau jururawat yang bertugas. Seseorang bakal penderma hendaklah berada pada tahap kesihatan yang baik bagi memastikan proses pendermaan darah tidak akan memudaratkan penderma dan darah yang didermakan juga tidak akan memudaratkan pesakit yang bakal menerima darah tersebut.

Pihak tabung darah menjalankan prosedur yang ketat dalam pemilihan penderma bagi menjamin kualiti darah. Selain tahap kesihatan yang baik, penderma daripada kalangan mereka yang mengamalkan cara hidup berisiko tinggi adalah dilarang sama sekali untuk menderma darah.

Para pemderma dilarang menderma darah jika terlibat di dalam sebarang kegiatan berisiko tinggi seperti berikut :

  • Hubungan jenis sesama jantina (homoseksual).
  • Hubungan jenis dengan kedua-dua jantina (biseksual).
  • Hubungan jenis dengan pekerja seks komersial / pelacur.
  • Bertukar-tukar pasangan hubungan jenis.
  • Mengambil dadah secara suntikan.
  • Menjadi pasangan hubungan jenis kepada mana-mana golongan di atas.

Bagi penderma wanita, syaratnya mestilah tidak mengandung, tidak datang haid dan tidak menyusukan anak. Jangan menderma darah jika anda:

  • Pernah tinggal di United Kingdom (England, Northern Ireland, Scotland, Wales, Isle of Man atau Channel Island) atau Republik Ireland dari tahun 1980 hingga 1996 untuk tempoh 6 bulan atau lebih.
  • Pernah tinggal di benua Eropah dari tahun 1980 hingga sekarang untuk tempoh 6 bulan atau lebih.

Pendermaan darah perlu dibuat dengan rasa tanggungjawab untuk membantu para pesakit. Oleh itu, semua bakal penderma hendaklah jujur semasa menjalani sesi kaunseling sebelum menderma. Keengganan berbuat demikian hanya akan menambahkan risiko kepada pesakit yang berkemungkinan menerima darah yang tercemar.

Tips Selepas Menderma Darah

Selepas menderma,penderma dinasihatkan berehat di katil menderma darah selama sekurang-kurangnya 10 minit. Selepas itu, bolehlah bangun daripada katil sekiranya tiada apa-apa masalah seperti loya, pening, kepucatan atau rasa hendak pitam.

Penderma juga digalakkan mengambil minuman dan makanan yang telah disediakan selepas menderma. Dinasihatkan meminum banyak air selepas dalam tempoh 12 jam selepas menderma menderma Ini adalah untuk mengembalikan cecair yang hilang semasa pendermaan darah.

Jangan mengambil minuman beralkohol untuk beberapa jam selepas menderma. Jangan mengambil bahagian di dalam aktiviti-aktiviti berat seperti payung terjun, menyelam, berenang mendaki gunung serta sukan lasak dalam tempoh 24 jam selepas menderma.

Pusat-Pusat Pendermaan Darah

Pendermaan darah boleh di buat di Pusat Darah Negara, Kuala Lumpur dan juga tabung-tabung darah hospital kerajaan yang terpilih di seluruh negara. Perkhidmatan menderma darah di tabung darah ini dibuka pada setiap hari bekerja mengikut waktu pejabat (sila hubungi tabung darah masing-masing untuk jadual terperinci).

Berikut ialah senarai daftar tabung darah di hospital-hospital utama seluruh negara beserta nombor telefon untuk dihubungi :

  • Pusat Darah Negara (03-2695 5557 / 58)
  • Hospital Sultanah Aminah (07-356 5034)
  • Hospital Tuanku Jaafar (06-762 3333)
  • Hospital Melaka (06-282 2344)
  • Hospital Tengku Ampuan Rahimah (03-3375 7000)
  • Hospital Raja Permaisuri Bainun (05-253 3333)
  • Hospital Sultanah Bahiyah (04-7406265)
  • Hospital Pulau Pinang (04-200 2161)
  • Hospital Tuanku Fauziah (04-976 3333)
  • Hospital Raja Perempuan Zainab II (09-790 9333)
  • Hospital Sultanah Nur Zahirah (09-621 2121)
  • Hospital Tengku Ampuan Afzan (09-557 2085)
  • Hospital Umum Sarawak (082-276 666)
  • Hospital Queen Elizabeth (088-206 385)

Unit Pendermaan Darah Bergerak (Mobile Blood Donation)

Selain daripada pendermaan di tabung darah, program pendermaan darah bergerak juga giat dijalankan bagi memberi kemudahan kepada orang ramai untuk menderma darah. Ianya dijalankan di pejabat-pejabat dan bangunan-bangunan kerajaan dan swasta, kilang-kilang, pusat-pusat pengajian tinggi serta pusat-pusat membeli belah. Program ini dijalankan melalui kerjasama dan sokongan daripada pihak Badan Bukan Kerajaan (NGO), Pertubuhan-pertubuhan pelajar serta badan-badan kerajaan dan syarikat-syarikat swasta.

Orang ramai boleh mendapatkan maklumat atau pertanyaan lanjut berkaitan pendermaan darah dan waktu menderma darah ini dengan menghubungi Pusat Darah Negara atau tabung-tabung darah di hospital yang berhampiran.

Layari laman web pusat darah negara untuk info lanjut :

Loading...

Tags: #derma darah #jadual derma darah 2017 #jenis darah #keburukan derma darah #kelebihan derma darah #kempen derma darah 2017 #kriteria penderma darah #mobile blood donation #panduan derma darah #panduan derma darah di Malaysia #panduan lengkap menderma darah #penderma aferesis #penderma darah penuh #proses menderma darah #pusat darah negara #pusat pendermaan darah #senarai tabung darah dalam malaysia #syarat untuk menderma darah #tabung darah #tips menderma darah #tips selepas menderma darah

Cara Rawatan Awal Gatal-gatal Pada Kulit
Gatal kulit boleh disebabkan oleh pelbagai faktor, termasuk tindak balas alahan, kulit kering,
Penyakit TB : Cara Tersebar Penyakit Tuberkulosis (TB) Gejala dan Pencegahan
Tuberkulosis (TB) adalah penyakit berjangkit yang disebabkan oleh bakteria Mycobacterium tuberculosis. Penyakit ini
Vaksinasi Hepatitis B : Adakah Ia Perlu?
Vaksin hepatitis B adalah cara yang paling berkesan untuk mencegah jangkitan virus hepatitis
Hepatitis B @ Bengkak Hati : Punca dan Cara Menghindari serta Kaedah Rawatan Pesakit Hepatitis B
Hepatitis B adalah penyakit hati yang disebabkan oleh virus hepatitis B (HBV). Virus

Comments are closed.