Kacang botor atau kacang kelisa dengan nama saintifiknya Psophocarpus tetragonolobus D.C. adalah sejenis sayuran berbuah yang sangat kaya dengan protein dan lemak serta vitamin A dan B. Ianya dipercayai berasal dari Papua New Guinea dan Asia Tenggara.
Kacang botor adalah tumbuhan memanjat separa berkayu. Batangnya berbentuk silinder, licin tanpa bulu, liat, berwarna hijau ketika muda dan bertukar perang setelah tua. Daun jenis majmuk trifoliat, susunan berselang-seli, tangkai panjang dan halus.
Bunganya bersaiz sederhana, kelopak berwarna ungu, terdapat 1 hingga 10 kuntum dalam 1 jambak bunga yang keluar dari celah ketiak daun. Buah memanjang, bersegi empat dengan sayap di setiap sisi, sepanjang tepi sayap bergerigi kecil, berwarna hijau ketika muda bertukar coklat apabila tua, mengandungi banyak biji benih di tengahnya.
Buahnya berukuran 15-20 cm panjang dan mempunyai 4 sayap yang bergerigis. Biji sederhana besar, berwarna hijau ketika muda, coklat kehitaman apabila telah tua, berbentuk bulat membujur, keras seperti biji kacang soya.
Pokok kacang botor tumbuh melilit dan memerlukan pancang/kayu junjung untuk memanjat. Ia selalu ditanam sebagai tanaman jangka pendek di kebun sayur atau di tepi-tepi pagar rumah. Biasanya kacang botor digunakan dalam masakan dan juga dimakan mentah sebagai ulam.
Panduan Menanam Pokok Kacang Botor
Menanam kacang botor tidaklah sukar. Berikut merupakan panduan untuk penanaman pokok kacang botor.
- Media tanah
Kacang botor boleh ditanam di berbagai-bagai jenis tanah iaitu dari ringan berpasir hingga kepada tanah lempong serta tanah gambut. Elakkan dari menanam di kawasan yang bertakung air. Tanah yang gembur, subur, baik salirannya dan pH 5.5 hingga 6.0 adalah paling sesuai.
- Menyedia kawasan
Bajak dan gemburkan tanah sedalam 20 cm hingga 30 cm untuk memudahkan akar tumbuh dengan baik. Sediakan batas berukuran 1.3 meter lebar, 30 cm tinggi dan panjangnya 7.5 m atau mengikut keadaan kawasan. Jarak antara batas adalah 30 cm.
- Menanam
Kacang botor dibiakkan dengan biji benih. Biji benihnya boleh diambil dari buah-buah yang telah cukup tua yang berwarna perang kehitaman. Gaul biji benih dengan racun kulat dengan kadar 3 gram bagi 100 gram biji benih sebelum menanam.
Biji benih boleh ditanam dengan jarak 50 cm antara pokok dan 1 meter antara barisan ataupun 60 cm x 60 cm. Tiap-tiap batas mengandungi dua barisan pokok. Tanam terus biji benih ke atas batas sebanyak dua biji selubang, lebih kurang 2.5 cm dalam. Biji benih akan bercambah dalam masa 14 hari. Cabut dan tinggalkan hanya satu anak benih yang sihat pada setiap lubang.
- Menyedia junjung
Untuk mendapatkan hasil yang baik kacang botor perlu diberi junjung. Sokong anak-anak tanaman dengan menggunakan kayu pancang berukuran 2 meter hingga 2.5 meter panjang. Condongkan kayu-kayu sokongan yang bertentangan supaya bersilang dan ikat di bahagian atas tempat bertemu untuk mendapatkan sokongan yang kuat. Kemudian lentangkan kayu-kayu pada tiap-tiap tempat persilangan. Pastikan anak-anak tanaman melilit kayu sokongan. Cara ini sesuai untuk kawasan penanaman yang kecil.
Satu cara lagi untuk menyokong pokok adalah dengan sistem trellis. Pacakkan sebatang kayu/tiang beruti yang berukuran lebih kurang 2.5 meter panjang dan bergaris pusat 8 cm hingga 10 cm di bahagian tengah kedua-dua hujung tiap-tiap batas. Pacakkan pula tiang kayu berukuran 0.6 meter panjang dan 5 cm hingga 6 cm garis pusat di hujung penjuru tiap-tiap batas. Sambungkan tiang-tiang kayu yang bertentangan antara kedua hujung batas dengan dawai kasar. Gunakan tali rafia untuk membantu anak pokok memanjat junjung.
- Menyiram
Siram pokok 2 kali sehari iaitu pagi dan petang kerana anak pokok memerlukan air yang banyak untuk membesar.
- Membaja
Pembajaan asas dengan baja organik atau baja asli seperti tahi ayam reput dan kompos sebanyak kira-kira 22.5 kg untuk 1 batas yang berukuran 1.3 meter x 7.5 meter adalah mencukupi. Baja ini digaulkan ke dalam tanah seminggu sebelum menanam. Untuk baja tambahan gunakan baja kimia iaitu baja sebatian N:P2O5:K2O:MgO 12:12:17:2 + T.E. sebanyak lebih kurang 1.5 kg sebatas atau 15-20 g/pokok ketika berumur 3, 5 dan 8 minggu. Baja boleh ditabur di keliling pokok sejarak 10 cm dari pangkalnya atau ditabur berjalur mengikut barisan tanaman. Pembajaan berikutnya boleh dibuat selepas memungut hasil atau apabila kesuburan pokok kelihatan merosot.
- Merumput
Rumpai perlu dikawal sepanjang masa bagi mengelakkan persaingan dengan pokok untuk mendapatkan zat makanan, cahaya matahari dan air. Kerja merumput biasanya dilakukan dengan tangan, cangkul atau tajak.
- Mengikat tali rafia
Apabila anak-anak pokok berumur 2 minggu, bolehlah mula mengikat tali rafia ke dawai junjung untuk membantu pokok memanjat. Ikatkan tali-tali rafia tersebut bersilang menghubungkan dawai bahagian bawah dengan dawai bahagian atas. Tentukan pokok meliliti tali-tali rafia tersebut.
- Penuaian hasil
Hasil buah boleh dikutip selepas 10 hingga 12 minggu selepas ditanam. Pilihlah buah yang hijau serta rapuh dan berukuran 15 cm hingga 20 cm panjang. Kutipan boleh dibuat setiap 2 hingga 3 hari sekali untuk mengelakkan daripada buah banyak menjadi tua. Buah yang tua akan bersabut dan tidak sedap dimakan. Pokok yang subur boleh menghasilkan 10 biji buah sepokok sekali petik selang dua hari.
Tags: #cara menanam pokok kacang botor #Kacang Botol Merah Berbuah Saiz Besar #kacang kelisa #panduan menanam pokok kacang botor #Pokok Kacang Botor #tanam kacang botol #TANAM KACANG BOTOR #teknik tanam kacang botor #Tip tanam kacang botor #ulam kacang botor