Jika anda mengimpikan satu pelancongan mewah dengan bajet yang murah, Star Cruises menawarkan pakej pelancongan 4 hari 3 malam ke Phuket dan Krabi dengan harga permulaan dari RM1000 ke atas dengan pelbagai pilihan kabin.
Penulis berkesempatan untuk mengikuti pelayaran tersebut sebanyak dua kali. Dengan bermodalkan wang kurang dari RM2000, anda berpeluang untuk menikmati gaya hidup mewah di atas kapal persiaran SuperStar Libra beserta perbelanjaan membeli belah di Phuket dan Krabi.
Star Cruises yang dimiliki oleh Genting Hong Kong mendominasi pasaran Asia Pasifik dan memiliki beberapa buah kapal persiaran yang menawarkan pelbagai pakej pelayaran ke serata Asia. Untuk rakyat Malaysia, anda tidak perlu bersusah ke luar negara untuk menikmati pelayaran mewah kerana Star Cruises beroperasi di Pulau Pinang.
Satu-satunya kapal persiaran Star Cruises yang beroperasi di Malaysia ialah SuperStar Libra yang menawarkan pelbagai pakej selain pelayaran 4 hari 3 malam ke Phuket dan Krabi. Pakej lain yang disediakan ialah pelayaran satu malam di Perairan Malaysia dan pelayaran Islamik.
Satu kelebihan Star Cruises ialah menyajikan makanan yang halal. Kebanyakan kapal persiaran mewah seperti Royal Carribean sememangnya tidak menyajikan makanan yang halal, mungkin menjadi masalah bagi penumpang beragama Islam untuk menikmati makanan yang enak.
Apa yang menarik tentang pelayaran dengan Superstar Libra, anda boleh menikmati makanan dengan sepuas-puasnya secara percuma di tiga buah restoran iaitu Four seasons Western Cuisine dan Ocean Palace Chinese Cuisine di Dek 4, serta Mariners Buffet International buffet di Dek 9.
Selain itu, terdapat beberapa lagi restoran ekslusif iaitu Blue Lagoon, Taipan, dan Spices Restaurant dengan kadar bayaran yang tidak terlalu mahal.
Pelayaran ke Thailand dengan kapal 11 dek tersebut berlepas di Swettenhem Pier di Georgetown pada pukul 5 petang dan belayar selama 18 jam untuk tiba di Phuket pada keesokan pagi.
Pada hari pertama, penumpang akan menikmati Sail Away Party dan makan malam BBQ di dek terbuka.
Pelbagai persembahan akan dipertontonkan sambil menimati pelbagai menu mewah di dek terbuka iaitu dek 10 dan 11. Sepanjang pelayaran, pelbagai aktiviti di atas kapal telah dijadualkan dari pukul 9 pagi sehinggalah pukul 3 pagi.
Penumpang boleh memilih sama ada untuk berehat atau menghadiri mana-mana aktiviti yang disediakan seperti pelbagai pertunjukan di Stardust Lounge dan lain-lain tempat di atas kapal yang ada kalanya berlangsung secara serentak.
Antara persembahan yang menarik ialah persembahan silap mata oleh ahli silap mata terkenal yang dijemput dari Las Vegas dan serata dunia.
Penulis berkesempatan untuk menyaksikan persembahan silap mata dari Leslie McKinney dari Las Vegas pada pelayaran pertama dan pemegang rekod 5 kali Guinness World Record, Richard Burr pada pelayaran kali kedua.
Selain daripada itu, terdapat banyak lagi persembahan menarik seperti komedi, tarian lincah, Color of Asia, dan juga persembahan dewasa. Bagi kanak-kanak, pelbagai aktiviti untuk kanak-kanak yang diadakan sepanjang pelayaran.
Tiba di Phuket, kapal akan berlabuh sehingga pukul 12 tengah malam waktu Malaysia untuk memberi kesempatan kepada penumpang melakukan aktiviti di luar kapal.
Penumpang boleh memilih untuk melakukan aktiviti sendiri atau membeli pakej yang disediakan oleh Star Cruises.
Bagi penulis, pelbagai pakej yang disediakan oleh Star Cruises lebih berbaloi kerana dapat menjimatkan perbelanjaan dari segi tambang pengangkutan dan makan minum.
Antara tempat menarik yang boleh dikunjungi ialah menikmati persembahan memukau mata di Phuket Fantasy, menunggang gajah dan menyaksikan pertunjukan gajah dan monyet terlatih di Island Safari, membeli belah di Kompleks Beli-Belah Jungceylon, Phuket Premium Outlet dan Patong Beach, melihat keindahan matahari terbenam di Tanjung Promthep serta melakukan aktiviti air di pulau-pulau menarik di Phuket.
Memandangkan keadaan cuaca di Phuket dan Krabi yang agak panas, anda dinasihatkan untuk memakai losyen anti sinaran matahari dan membawa bekalan air masak yang mencukupi.
Hari ketiga di Krabi, penumpang ditawarkan banyak pakej untuk aktiviti air ke pulau dengan menaiki bot laju, pakej urutan Thai, membeli-belah dan sebagainya.
Namun, waktu untuk melakukan aktiviti di Krabi lebih singkat kerana SuperStar Libra akan mula belayar pada pukul 6 petang waktu Malaysia.
Seawal pukul 8 malam, para penumpang akan menghadiri Gala Dinner di semua restoran bersama semua pengurus, para pegawai dan kapten SuperStar Libra sebelum sekali lagi dijamu dengan barbeku di dek terbuka pada pukul 10 malam. Malam terakhir dipenuhi dengan pelbagai persembahan menarik serta parti perpisahan.
Pelayaran berakhir pada hari keempat apabila kapal tiba kembali di Pulau Pinang pada pukul 12 tengah hari. Sebelum pulang, penumpang boleh membeli belah di ruangan bebas cukai di Dek 5.
Semua bayaran dan perbelanjaan di atas kapal dikreditkan ke dalam kad penumpang.
Semua penumpang akan menjelaskan bayaran untuk perbelanjaan di atas kapal sebelum mendaftar keluar pada pukul 12 tengah hari.
Bagi pasangan yang ingin berbulan madu dan bagi mereka yang ingin bercuti dengan keluarga dan rakan-rakan, pastinya pelayaran seperti ini menjadi salah satu pilihan yang baik dan mampu memberi pengalaman dan memori manis buat anda.
Anda boleh melayari laman web Star Cruises di www.starcruises.com untuk melihat pakej yang disediakan. Terdapat banyak agensi pelancongan yang menawarkan harga yang berpatutan untuk pakej pelayaran dengan Star Cruises.
Anda juga boleh mengunjungi Matta Fair yang diadakan di seluruh negara untuk membuat tempahan pakej dan mendapatkan harga yang terbaik.
Tags: #bercuti naik kapal mewah #cruise from penang to phuket 2017 #cruise to phuket from penang #kapal star cruises #libra cruise penang-phuket-krabi #melancong ke thailand #menarik di krabi #menarik di phuket #pakej star cruises penang #penang star cruise #star cruise from bangkok to phuket #star cruise libra penang phuket krabi review #star cruise penang package 2017 #SuperStar Libra