Ketika berada di dapur, anda perlu tahu satu perkara asas ketika menggoreng makanan. Perancangan dan penggunaan minyak masak secara betul dapat menjimatkan belanja dapur dan mengelak pembaziran.
Terdapat beberapa bahan masakan yang akan menyebabkan minyak masak tidak dapat digunakan lagi apabila anda menggoreng bahan-bahan masakan ini. Oleh sebab itu, anda perlu tahu, jika anda menggunakan minyak masak yang baharu, maka minyak masak tersebut akan berubah menjadi tidak jernih dan berbau, mengakibatkan minyak masak tersebut tidak dapat lagi digunakan untuk menggoreng.
Jadi, adalah penting untuk anda merancang dalam menggoreng. Ikuti turutan yang betul iaitu goreng bahan masakan yang tidak menjejaskan minyak masak terlebih dahulu. Kemudian, untuk gorengan yang terakhir sebelum minyak dibuang, barulah anda menggoreng bahan-bahan masakan seperti di bawah.
Tips Merancang Aktiviti Memasak Supaya Kekal Jimat
- Ikan masin
Ikan masin bukan sahaja akan membuat minyak masak berbau dan menjadi keruh, malah dapur anda juga akan dipenuhi aromanya yang kuat. Oleh itu, pastikan anda menggoreng ikan masin untuk kali terakhir selepas selesai menggoreng bahan masakan lain.
- Ikan pekasam
Seperti mana ikan masin, bahan masakan ini mempunyai sifat yang sama. Jadi, menggunakan minyak masak yang baharu akan menyebabkan pembaziran.
- Hati dan pedal ayam
Ketika menggoreng ayam, pastikan bahagian ini digoreng selepas anda siap menggoreng bahagian isi.
- Telur ikan
Ketika menggoreng telur ikan, selain akan menyebabkan minyak menjadi keruh, sisa telur yang tercerai akan menyebabkan minyak tersebut tidak sesuai lagi untuk diguna kembali.
- Telur dadar
Menggoreng telur dadar yang baik dan sedap memerlukan teknik yang betul. Tetapi, kesan selepas menggoreng telur dadar menyebabkan minyak masak tidak sesuai digunakan lagi kerana meninggalkan bau dan akan berbuih apabila menggoreng bahan masakan lain selepas itu.
- Bahan masakan berperap
Bahan masakan berperap seperti ikan cencari sambal, ayam perap madu, ayam berempah dan sebagainya akan meninggalkan bau yang kuat pada minyak masak. Malah, minyak masak akan tidak jernih lagi selepas menggorengnya.
- Makanan bersalut
Bahan masakan bersalut seperti ikan celup tepung, ayam bersalut tepung, ayam crispy dan sebagainya akan meninggalkan sisa salutan di dalam minyak.
- Ikan bilis
Menggoreng ikan bilis akan mengeruhkan minyak dan meninggalkan bau. Minyak tidak sesuai lagi digunakan selepas menggoreng ikan bilis.
- Bawang goreng
Menggoreng bawang goreng untuk dimakan bersama sup dan apa-apa sahaja hidangan lain akan ‘merosakkan’ minyak masak serta meninggalkan bau bawang yang kuat pada minyak minyak. Maka minyak selepas menggoreng bawang merah tersebut tidak elok lagi digunakan untuk menggoreng.
- Paru-paru dan organ dalaman
Seperti mana hati dan pedal ayam, menggoreng paru-paru lembu atau organ dalaman haiwan ternakan seperti lembu dan kambing akan menyebabkan minyak berbau dan keruh.
Tags: #Bahan masakan yang merosakkan minyak #bahan mengotorkan minyak masak #cara elak membazir minyak masak #cara jimat minyak masak #cara jimatkan minyak masak #cara menggoreng #elak minyak masak kotor #menggoreng #minyak masak keruh #minyak menggoreng #petua rancang memasak #tips guna minyak masak #tips jimat di dapur #tips menggoreng