Untuk jadi seorang yang bijak dalam merancang kewangan, bukan wang saja yang perlu diurus dengan baik, malah hutang juga perlu ditadbir dengan baik supaya ia tidak menjadi beban. Hutang bukan menjadi satu masalah bagi seseorang yang bijak merancang kewangan kerana ada ketika ia boleh mendatangkan manfaat bagi yang tahu menjana wang dengan berhutang.
Namun begitu, ramai yang mengalami masalah hutang yang kronik kerana mereka meminjam untuk membeli barang-barang yang tidak akan bertambah nilai dan makin susut nilainya. Inilah dikatakan hutang lapuk. Bagi sesiapa yang mempunyai masalah hutang lapuk, ambillah masa untuk mengurus hutang anda. Pengurusan hutang bukanlah satu aktiviti yang merumitkan dan ia harus bermula dengan keinginan untuk menyelesaikan hutang lapuk dengan strategi yang betul.
Kaedah Terbaik Melangsaikan Hutang Secara Berhemat
Terdapat beberapa langkah boleh diambil untuk menguruskan hutang dengan berkesan dan efisien.
- Berhenti membuat hutang baharu
Langkah pertama ialah berhenti daripada membuat hutang yang baru terutamanya hutang kad kredit. Setiap pembelian seterusnya perlu dibuat secara tunai. Sekiranya anda terpaksa berhutang, itu bermaksud anda belum mampu untuk miliki barang berkenaan. Kumpul duit dan beli secara tunai.
- Sediakan senarai daftar hutang
Langkah kedua ialah dengan mempunyai senarai daftar hutang untuk menyusun kembali hutang. Apakah jenis hutang yang anda miliki dan berapa nilai kesemuanya? Berapa jumlah ansuran bulanannya? Berapa lagi tempoh bayaran balik? Ada bercagar atau tidak? Mempunyai perlindungan atau tidak? Dengan daftar hutang, anda boleh buat analisis dan mengira berapakah jumlah faedah yang akan anda bayar untuk menjelaskan hutang itu.
Daftar hutang ini boleh dibuat dengan membina satu jadual yang menyenaraikan setiap hutang kad kredit atau pinjaman peribadi yang perlu dilunaskan. Jalankan simulasi bagaimana hutang anda sebenarnya akan dapat dilunaskan lebih awal jika bayaran dibuat lebih daripada bayaran minimum.
- Gunakan duit lebihan untuk membayar hutang
Langkah ketiga ialah dengan menggunakan duit lebihan untuk membayar hutang. Lebihan wang boleh datang dari penjimatan yang dijalankan setiap bulan, ataupun bonus tahunan. Wang lebihan ini lebih untung untuk dibayar hutang daripada disimpan dalam simpanan tetap kerana simpanan tetap di bank pulangannya amat rendah berbanding faedah hutang kad kredit anda.
- Pemindahan baki kad kredit
Langkah keempat ialah melalui pemindahan baki kad kredit. Bagi anda yang mempunyai hutang kad kredit, anda perlu rajin mencari maklumat yang boleh menguntungkan anda dari segi mengurangkan faedah yang dikenakan ke atas hutang. Terdapat beberapa bank menawarkan produk yang membolehkan anda memindah baki hutang kad kredit dengan sebuah bank kepada mereka tanpa sebarang faedah dikenakan. Ini akan menjimatkan dan anda boleh menggunakan sejumlah wang yang sepatutnya anda bayar sebagai faedah pinjaman untuk mengurangkan baki pokok hutang anda.
- Menyelesaikan satu hutang dengan bayaran gandaan
Langkah kelima ialah menyelesaikan satu hutang dengan menggandakan pembayaran hutang lain. Inilah untungnya bagi anda yang mempunyai daftar hutang, di mana anda boleh tetapkan keutamaan untuk selesaikan mana-mana hutang terdahulu. Apabila ia sudah selesai, anda bukan saja lebih bermotivasi untuk selesaikan hutang-hutang lain dalam senarai, malah anda boleh gunakan lebihan wang untuk gandakan pembayaran hutang lain pula.
- Membina pendapatan kedua
Langkah keenam ialah membina pendapatan kedua. Pada dasarnya, hutang terbentuk bukan kerana tidak cukup wang, namun kita tidak berupaya mengawal nafsu untuk memiliki sesuatu yang diluar kemampuan. Bagi sesiapa yang sudah mempunyai kesedaran untuk menguruskan hutang, maknanya anda sudah insaf dan tidak akan mengulangi ‘dosa’ yang lalu. Dengan itu, fikirkan cara bagaimana untuk bina pendapatan kedua dan hasil dari pendapatan ini gunakan sepenuhnya untuk membayar hutang-hutang lapuk sedia ada.
Dalam menyelesaikan masalah hutang, terdapat 3 kaedah terbaik yang boleh anda praktikkan iaitu kaedah ‘snowball’, kaedah ‘debt stacking’ dan kaedah ‘snowflake’.
Kaedah ‘snowball’
Penasihat kewangan Amerika Syarikat, Dave Ramsay, menyarankan satu kaedah mudah yang dinamakan sebagai kaedah snowball. Menerusi kaedah ini, anda boleh menumpukan komitmen kewangan anda untuk membayar satu akaun hutang pada satu masa, manakala hanya membuat pembayaran minimum untuk akaun-akaun hutang yang lain.
Anda dinasihati untuk mengumpulkan sejumlah wang untuk tabungan kecemasan terlebih dahulu (misalnya, RM1,000). Selepas itu, anda boleh menggunakan pendapatan anda untuk membayar setiap satu akaun hutang anda satu persatu.
Anda perlu menyenaraikan setiap hutang berdasarkan baki dan bayaran bulanan, dan anda perlu membayar akaun hutang yang mempunyai baki yang paling minimum terdahulu. Dengan melangsaikan hutang dengan jumlah terendah dulu, anda akan dapat melihat hasilnya dengan lebih cepat.
Pendekatan ini akan memotivasikan anda untuk terus membayar hutang anda sehingga semua baki dapat dijelaskan. Selain itu, anda juga digalakkan untuk mengelakkan diri daripada membuat permohonan pinjaman peribadi yang baru dan mengurangkan penggunaan kad kredit.
Walau bagaimanapun, kaedah ini mungkin mengambil tempoh masa yang lama bagi menyelesaikan semua hutang yang ada, dan pembayaran minimum mungkin akan menyebabkan pengumpulan faedah yang memanjangkan tempoh pembayaran semula akaun-akaun hutang yang lain.
Kaedah ‘debt stacking’
Kaedah ‘debt stacking’ memerlukan anda menyenaraikan dan menyusun semula hutang anda mengikut kadar faedah, dan hutang yang mempunyai kadar faedah tertinggi perlu dilangsaikan terlebih dahulu. Contohnya, anda mempunyai 4 akaun hutang :
Dengan menggunakan kaedah ini, anda disarankan untuk melangsaikan hutang yang mempunyai kadar faedah tertinggi terdahulu, iaitu baki hutang kad kredit dengan kadar faedah 18%. Pada masa yang sama, anda perlu membuat pembayaran minimum bagi akaun-akaun hutang yang lain.
Sebagai contoh, jadual di atas menunjukkan hutang yang berjumlah RM1,493.96. Untuk memastikan baki hutang tersebut dapat diselesaikan dengan kadar yang pantas, anda harus menggunakan semua wang lebihan anda untuk membayar baki hutang anda.
Jika anda memperuntukkan sebanyak RM1,600 untuk membayar hutang anda setiap bulan, anda akan menggunakan lebihan sebanyak RM106.04 (RM1,600.00 – RM1,493.96) untuk membayar hutang yang mempunyai kadar faedah tertinggi. Selepas anda melangsaikan baki hutang tersebut, anda perlulah membuat pembayaran untuk hutang dengan kadar faedah kedua tertinggi pula dengan lebihan sebanyak RM256.04 (RM150.00 + RM106.04) dan seterusnya.
Kaedah ini dapat mengelakkan anda daripada membayar kadar faedah berganda kerana anda akan menyelesaikan baki pinjaman yang mempunyai kadar faedah yang tertinggi terdahulu. Namun, proses ini akan memakan masa. Anda mungkin hanya akan melangsaikan akaun hutang pertama dan melihat hasil pembayaran dalam jangka masa yang lebih panjang berbanding kaedah ‘snowball’. Oleh itu, kaedah ini memerlukan disiplin diri dan komitmen yang tinggi.
Kaedah ‘snowflake’
Berbanding kaedah ‘snowball’ dan ‘debt stacking’ yang memerlukan anda memberikan komitmen kewangan bulanan yang tinggi untuk melangsaikan baki hutang, kaedah snowflake ialah kaedah yang lebih fleksibel.
Anda boleh membayar baki hutang anda mengikut kemampuan sendiri, tetapi dengan kekerapan yang lebih tinggi. Hal ini bermakna, walaupun anda sudah membuat pembayaran minimum untuk baki hutang anda, anda terus membayar baki hutang anda setiap kali anda mempunyai lebihan wang mengikut kemampuan anda. Contohnya, RM20 pada minggu pertama, RM50 pada minggu kedua, dan seterusnya. Dengan menggunakan kaedah ini, anda seakan-akan tidak terbeban dengan komitmen kewangan yang tinggi kerana anda hanya perlu membayar sikit demi sedikit. Anda mungkin dapat melangsaikan hutang tanpa anda sendiri menyedarinya.
Kaedah ini juga sesuai bagi orang yang bekerja sendiri, ‘freelance’ atau yang melakukan kerja sambilan. Walau bagaimanapun, kaedah ini mungkin menyebabkan anda perlu membuat pembayaran balik hutang dalam jangka masa yang lebih lama, dan anda tidak dapat menjangkakan bila hutang tersebut dapat dilangsaikan. Oleh itu, kaedah ini memerlukan perancangan yang teliti.
Anda hendaklah sentiasa mengemas kini baki hutang anda untuk mengelakkan caj-caj tersembunyi atau faedah terkumpul. Hal ini juga bagi memastikan yang anda dapat meramalkan jangka masa yang anda perlukan untuk melangsaikan semua hutang tersebut.
Sumber : https://www.imoney.my http://www.panduanmalaysia.com http://www.konsumerkini.net.my
Tags: #akpk #bayar hutang #cara cepat melunasi hutang dalam 1 hari #cara membayar hutang yang banyak #cara selesaikan hutang #Formula Hapus Hutang #hutang #kaedah debt stacking #kaedah membayar hutang #kaedah penyusunan #kaedah snowball #kaedah snowflake #kaedah terbaik melangsaikan hutang #langkah-langkah dan kaedah terbaik melangsaikan hutang secara berhemat #langkah-langkah terbaik melangsaikan hutang #melangsaikan hutang secara berhemat #membayar hutang dengan kaedah terbaik #selesai masalah hutang #teknik bayar hutang