Had Zon Operasi Vesel Menangkap Ikan Kawasan Pantai Barat Semenanjung Malaysia
Zon Konservasi (0-1 batu nautika dari garis pantai)
Zon konservasi adalah kawasan perairan paling hampir dengan pantai. Di pantai barat semenanjung Malaysia, permukaan dasar pantai biasanya berselut dan ditumbuhi pokok-pokok bakau yang merupakan kawasan sumber makanan kepada ikan.
Selain itu, ia juga menjadi kawasan perlindungan ikan untuk membiak. Oleh yang demikian, hanya aktiviti melibatkan komuniti nelayan, akuakultur dan perternakan ikan sangkar sahaja dibenarkan di kawasan ini. Sebarang aktiviti penangkapan ikan di kawasan ini adalah dilarang sama sekali.
Zon A (1-8 batu nautika dari garis pantai)
Zon A adalah kawasan utama bagi operasi untuk vesel tradisi enjin dalam dan sampan enjin sangkut (outboard/enjin galah). Di kawasan ini, hanya nelayan tradisi yang mengusahakan sendiri vesel mereka dibenarkan menjalankan aktiviti menangkap ikan. Biasanya peralatan utama bagi vesel yang beroperasi dikawasan ini adalah menggunakan peralatan pukat hanyut, bubu dan kail mengail. Saiz muatan vesel adalah tidak melebihi 40 GRT.
Akan tetapi, peraturan ini mengecualikan vesel zon A yang menggunakan peralatan komersil seperti pukat jerut bilis. Vesel zon A yang menggunakan peralatan khas pukat jerut bilis dibenarkan beroperasi di kawasan ini kerana penangkapan ikan bilis hanya dapat dilakukan di kawasan berhampiran pantai.
Jadi amatlah wajar vesel zon A menggunakan peralatan pukat jerut bilis dibenarkan beroperasi di kawasan ini. Namun ia tertakluk kepada tempoh operasi vesel pukat jerut bilis iaitu bermula pada jam 6.00 pagi hingga 7.00 malam. Pengoperasi vesel peralatan pukat jerut bilis tidak dibenarkan pada waktu malam.
Zon B (5-15 batu nautika dari garis pantai)
Vesel bermuatan tidak melebihi 25 GRT dibenarkan beroperasi dikawasan ini. Kebiasaan peralatan yang digunakan oleh vesel untuk beroperasi di kawasan ini adalah peralatan komersil iaitu pukat jerut ikan dan pukat tunda. Bagi vesel yang ingin mengoperasikan peralatan pukat tunda di zon B ini, mereka diwajibkan memasang alat MAED atau (Juvenile and Trash Excluder Device (JTED) .
Alat ini diperkenalkan oleh penyelidikan DOF, Malaysia bagi menghalang ikan baja secara berleluasa disamping ia berfungsi meloloskan penyu daripada terperangkap di dalam pukat tunda. Selain itu, vesel yang beroperasi di kawasan ini perlu memasang alat AIS yang berfungsi menjejaki kedudukan vesel sewaktu beroperasi melalui Sistem Pemantauan Vesel (VMS) oleh DOF, Malaysia. Adalah menjadi satu kesalahan jika vesel yang berada di zon ini mengoperasikan vesel mereka ke zon yang lebih dekat dengan pantai iaitu zon A.
Zon B1 (8-15 batu nautika dari garis pantai)
Vesel yang beroperasi di kawasan ini mestilah bermuatan antara 25 hingga 40GRT. Peralatan menangkap ikan yang digunakan oleh vesel beroperasi di kawasan ini adalah peralatan komersil iaitu pukat jerut ikan dan pukat tunda sahaja.
Vesel menggunakan peralatan pukat tunda di kawasan ini diwajibkan memasang peralatan Automatic Identification System (AIS) di atas vesel mereka. Alat ini berfungsi menjejaki kedudukan vesel sewaktu beroperasi melalui Sistem Pemantauan Vesel (VMS) oleh DOF, Malaysia. Pengusaha vesel pada zon B1 dibenarkan menggunakan tenaga kerja asing sebanyak 80% daripada jumlah kru yang dibenarkan. Adalah menjadi satu kesalahan jika vesel yang berada di zon ini mengoperasikan vesel mereka ke zon yang lebih dekat dengan pantai iaitu zon A dan B.
Zon C (15 batu nautika ke atas)
Vesel yang beroperasi di kawasan ini mestilah bermuatan antara 40 hingga 70 GRT. Peralatan menangkap ikan yang digunakan oleh vesel beroperasi di kawasan ini adalah peralatan komersil iaitu pukat jerut ikan dan pukat tunda sahaja.
Vesel dengan peralatan pukat tunda di kawasan ini diwajibkan memasang peralatan Automatic Identification System (AIS) di atas vesel mereka. Alat ini berfungsi menjejaki kedudukan vesel sewaktu beroperasi melalui Sistem Pemantauan Vesel (VMS) oleh DOF, Malaysia. Pengusaha vesel pada zon B1 dibenarkan menggunakan tenaga kerja asing sebanyak 100%. Adalah menjadi satu kesalahan jika vesel yang berada di zon ini mengoperasikan vesel mereka ke zon yang lebih dekat dengan pantai iaitu zon A, B dan B1.
Zon C3 (Lautan Hindi dan Antarabangsa)
Vesel yang beroperasi di kawasan ini mestilah bermuatan 70 GRT ke atas. Kawasan operasi vesel ini adalah di kawasan ZEE atau ke lautan hindi. Peralatan menangkap ikan yang digunakan oleh vesel beroperasi di kawasan ini adalah peralatan pukat jerut ikan dan rawai tuna. Vesel-vesel yang beroperasi di kawasan ini diwajibkan memasang peralatan MTU.
Alat ini berfungsi menjejaki kedudukan vesel sewaktu beroperasi melalui Sistem Pemantauan Vesel (VMS) oleh DOF, Malaysia. Pengusaha vesel pada zon C3 dibenarkan menggunakan tenaga kerja asing sebanyak 100%. Adalah menjadi satu kesalahan jika vesel yang berada di zon ini mengoperasikan vesel mereka ke zon yang lebih dekat dengan pantai iaitu zon A, B, B1 dan C.
Sumber : Fisheries Officer DOF, Malaysia
Tags: #bot nelayan kelas A #bot nelayan kelas B #bot nelayan kelas c #bot nelayan kelas c2 #kategori lesen nelayan #kelas bot nelayan #lesen bot nelayan #nelayan pantai barat #pengezonan semula perikanan malaysia #peraturan zon dan vesel #vesel menangkap ikan #zon koservasi #zon penangkapan ikan #zon penangkapan ikan malaysia #zon penangkapan ikan pantai barat semenanjung #zon perikanan