Antara punca hati tidak bahagia adalah sifat mazmumah yang bersarang di dalam hati. Antara mazmummah utama yang menghilangkan bahagia dihati ialah :
1. Pemarah
paling mudah dikesan atau dilihat dan paling banyak di dalam diri manusia. Orang seperti ini jarang mendapat kawan dan hati tentunya tidak terang. Siapa yang mahu mendekati jika asyik hendak marah.
2. Pendendam
Dendam yang tersembunyi di dalam hati ibarat mengumpul lahar di dalam dada. Orang seperti ini sentiasa mencari-cari peluang untuk membalas dendam walaupun secara yang kecil-kecil sekalipun seperti sakitkan hati atau tempelak orang yang didendami itu. Sebab itulah orang pendendam mudah diserang sakit jantung.
3. Hasad Dengki
Amalanya hangus akibat hasad dengkinya itu kerana ia memiliki sifat ketuhanan. Bagaimana hati akan bahagia jika tersarang hasad dengki di dalamnya. Jika tidak dikawal, sifat dengki boleh membawa keburukan kepada diri dan lebih teruk jika merosakkan kehidupan orang lain.
4. Bakhil
Sentiasa merasakan orang lain menginginkan harta, kesenangan, pangkat dan lain-lain dari dirinya. Contohnya sentiasa berdalih mengatakan dia tiada duit. Allah lebih sayang orang yang fasiq tetapi pemurah tetapi benci orang yang abid tetapi bakhil. Kerana walaupun fasiq, pemurahnya itu tetap memberi manfaat pada orang lain kerana kadangkala rezeki itu Allah beri melalui makhluk.
5. Tamak
Orang yang tidak puas dengan yang sedikit nescaya tidak akan puas dengan yang banyak kerana dunia ini ibarat meminum air laut, walau berapa banyak yang diminum tetap tidak habis juga. Ingatlah bahawa yang dikatakan harta atau rezeki kita bila ia dipakai atau digunakan oleh kita. Selagi tidak diguna iaitu disimpan, itu belum boleh dikatakan rezeki kita. Biarlah rezeki itu sedikit tetapi mendapat keberkatan iaitu dapat dimanfaatkan.
6. Tidak sabar
Andainya perkara yang kecil pun tidak boleh bersabar apatah lagi hal-hal yang lebih besar. Oleh itu banyakkanlah bersabar bila menghadapi dugaan. Sesungguhnya Allah bersama orang yang sabar.
7. Ego dan Sombong
Ego merupakan ibu segala mazmummah. Ia membuatkan seseorang paling tidak tenang hatinya. Orang yang memiliki sifat ini pantang tercabar dari sudut zahir mahupun batin
8. Riak dan Takbur
Orang yang riak terseksa sendiri kerana sentiasa tercari-cari peluang untuk dipuji. Sentiasa berlakon di depan orang. Jika dia dipuji, dia akan menambah amalnya tetapi jika dikeji, dia akan mengurangkan amalnya. Allah marah kalau kita riak dan takabbur dengan apa yang kita ada sama ada harta, ilmu, amal dan lain-lain.
9. Mencintai Dunia
Bila tidak dapat menderita, bila dapat pun menderita kerana bila sudah dapat susah pula menjaganya. Berharta tidak mengapa tetapi kawal hati jangan diletakkan pada harta itu. Cinta dunia merupakan “neraka dunia” kerana dunia itu “panas” akibat ia merupakan barang buruan dan rebutan. Jadi letakkanlah akhirat itu di hati dan dunia itu di tangan supaya dunia itu senang dibahagi-bahagi dan akhirat dibawa mati.
Tags: #9 sifat buat hati tidak bahagia #9 Sifat Penyebab Hati Tidak Bahagia #ego dalam perhubungan #Jiwa Tak Tenteram #Mengapa Hati Kosong #penyakit hati #Penyakit Hati Penyebab Jiwa Tidak Bahagia #penyebab Anda sulit bahagia #punca hati tidak bahagia #Resah dan Gelisah #sifat bakhil #sifat pendendam #sifat tamak #sikap membuatkan hati tak senang