Pemberian ubat cacing secara teratur memainkan peranan penting untuk kesihatan dan tumbesaran kucing kesayangan anda. Pernahkah anda melihat kucing mengheret duburnya ke lantai sambil duduk? Atau selalu menjilat dubur mereka?
Kelakuan ini mungkin agak kelakar, tetapi tahukah anda sebenarnya perbuatan seperti itu menunjukkan bahawa kucing anda telah mengalami kecacingan dan perlu diberi rawatan segera. Dubur kucing yang gatal disebabkan oleh pergerakan cacing halus berwarna putih seperti benang di kawasan tersebut.
Kenapa Perlu Memberi Ubat Cacing Pada Kucing Anda?
Antara jenis-jenis cacing yang sering terdapat pada kucing ialah cacing pita, cacing gelang (roundworms), hookworms dan whipworms.
Cacing Pita (tapeworms)
Cacing paling biasa didapati pada badan kucing. Berbentuk panjang dan pipih seperti pita. Badan bersegmen di mana segmen yang uzur atau tua boleh dilepaskan atau terputus dan keluar melalui najis.
Berwarna putih atau krim. Saiznya boleh mencapai ukuran sehingga 70 cm panjang. Apabila matang ia boleh mengeluarkan 5-30 biji telur.
Bagi kes cacing seperti ini, rawatan yang sesuai ialah dengan ubat cacing yang mengandungi Prazyquantel, dichlorphen atau febendanzole.
Cacing Gelang (roundworms)
Ia berbentuk seperti silinder, bulat, berwarna dari putih hingga pink. Ia sering menyerang kucing terbiar melalui pemakanan seperti tikus. Cacing ini mudah menjangkiti anak kucing melalui penyusuan ibu kucing yang terkena cacing.
Cacing dewasa boleh mencapai ukuran 15-35 cm panjang. Ia menyerang hati dan buah pinggang dan boleh menyebabkan usus tersumbat. Cacing ini boleh menjangkiti manusia terutama pada kanak-kanak.
Bagi kes cacing seperti ini, rawatan yang sesuai ialah dengan ubat anti parasit Selamectin. Dalam kes-kes biasa, bulu kucing akan menjadi kusam dan tiada simptom lain. Jika kritikal, kucing akan memuntahkan cacing, sembelit mahupun cirit-birit dan berlaku penurunan kadar sel darah merah (anemia). Perut buncit dan mengelembung ke bawah.
Cacing Kerawit (Hookworms)
Ia berbentuk kecil, kurus dan berukuran kurang dari seinci. Mempunyai gigi untuk memudahkan mereka bergantung dan melekat pada dinding usus. Hidup dengan menghsiap darah dan tisu dalam badan kucing.
Jangkitan cacing ini boleh menyebabkan kematian pada kucing jika tidak dirawat kerana ia menyebabkan kucing hilang darah yang banyak dan hilang selera makan. Mudah berjangkit pada kucing kerana boleh menembusi kulit seperti terpijak najis. Boleh menghasilkan 5,000-10,000 telur. Agak sukar dikesan melalui najis.
Larva cacing boleh menjangkiti manusia tetapi tidak berkembang ke peringkat dewasa. Ia boleh menyebabkan iritasi, kegatalan dan radang kulit pada manusia.
Cacing Cambuk (Whipworms)
ia berbentuk cambuk atau cemeti. Kurus atau tirus di hadapan dan tebal di belakang. Cacing dewasa berukuran 2-3 inci panjang. Melekat di dinding usus besar dan memakan darah. Lazimnya cacing jenis juga terdapat pada anjing.
Simptom kucing anda dijangkiti
- Kurus dan berat badan sukar naik.
- Sembelit mahupun cirit birit.
- Hadirnya darah pada najis.
- Warna najis gelap dan hitam.
- Perut buncit, tiada selera makan atau terlebih makan.
- Hilang berat badan walaupun makan dengan seimbang.
- Gusi pucat tanpa sebab, badan kucing menjadi lemah.
- Bulu tidak berseri dan kusam.
- Berlaku radang kulit terutama pada celah kaki, ia menandakan larva sedang bermigrasi.
Langkah pencegahan penyakit cacing pada kucing
Cacing juga boleh disebabkan oleh kutu yang bertelur pada badan kucing. Ia berlaku apabila kucing menjilat ketika membersihkan badan mereka. Adalah penting untuk kita memberi ubat cacing pada kucing, kutu juga tiada pada mereka. Lebih baik kutu dirawat terlebih dahulu dan setelah beberapa hari kutu hilang, barulah kucing diberi ubat cacing.
Pemberian ubat cacing mampu menyingkikan cacing pada kucing secara relatifnya dengan mudah dan rawatannya juga tidak begitu mahal. Oleh itu, lakukan rawatan berkala kerana terdapat juga cacing yang begitu mudah berjangkit pada manusia.
Apakah dos sesuai pada kucing?
- Usia 2-12 minggu – berikan dos setiap 2 minggu
- Usia 4 -6 bulan – berikan dos setiap 1 bulan
- Usia 6 bulan ke atas – berikan dos setiap 3 bulan.
Membersihkan Litter Tray
Harus anda tahu bahawa Litter tray atau bekas najis kucing jika tidak dibersihkan dengan baik tidak akan memutus atau membinasakan kitaran hidup cacing walaupun kucing telah diberi rawatan ubat cacing.
Memantau pemakanan kucing anda!
Kucing outdoor atau indoor tidak terkecuali daripada dijangkiti cacing melalui pemakanan. Elakkan kucing dari mengejar atau makan lipas dan tikus. Elakkan daripada memberi makan makanan mentah pada kucing seperti daging, ayam dan ikan.
Pemberian makanan mentah boleh mempercepatkan jangkitan cacing. Jika anda mahu teruskan memberi makanan mentah, anda harus memberikan ubat cacing dalam tempoh sebulan atau dua bulan sekali, bergantung kepada pemberian makanan kepada kucing.
Tags: #cacing pada kucing #dos ubat cacing kucing #kecacingan pada kucing #kenapa perlu beri ubat cacing pada kucing #langkah mencegah kecacingan pada kucing #Langkah pencegahan penyakit cacing pada kucing #rawatan cacing pada kucing #simptom kucing kena cacing #ubat cacing kucing