Di Malaysia, 45 peratus daripada keseluruhan komposisi sisa pepejal yang dibuang setiap hari terdiri daripada sisa makanan. Setiap kali anda membuang sisa dapur yang berlebihan, pernahkah anda terfikir, ia sebenarnya boleh dikitar semula untuk menghasilkan baja organik iaitu baja kompos?
Baja kompos menjadi bahan bualan untuk pekebun sekarang. Banyak manfaat baja kompos yang dapat kita nikmati selain mengurangkan bahan buangan di tapak pelupusan sampah. Baja kompos meningkatkan kadar penyerapan air dan saliran air tanah. Ia mengurangkan rumpai dan menambah nutrien kepada kebun. Jika anda baru dalam pengkomposan, amat mudah jika hanya menggunakan sisa dapur.
Pengkomposan sisa dapur boleh semudah dengan menanam sisa dapur itu atau mengguna tiga peringkat tong kompos. Hasilnya adalah satu bahan penambahbaik untuk tanah kita yang akan meningkatkan keporosan tanah dan membantu mengekalkan kelembapan tanah.
Hanya berbekalkan bekas untuk menyimpan kompos tanpa menggunakan peralatan mahal, baja kompos boleh dihasilkan di rumah dengan cara yang mudah. Bahan yang paling senang terurai adalah daun hijau. Adalah lebih elok jika kita potong sisa dapur kita sehingga 1 cm saiz kubik. Lagi kecil saiznya, lagi cepat ia terkompos. Paling lambat adalah daging dan produk tenusu.
Cara Pertama
Bahan-bahan yang diperlukan :
- Sisa makanan yang boleh dijadikan baja kompos :
- Sayur-sayuran yang telah rosak
- Kulit buah-buahan
- Bawang yang rosak
- Lain-lain yang boleh mereput tanpa meninggalkan bau yang busuk
- Biocatalyst yang mempercepatkan proses fermentasi, murah dan mudah diperoleh (rujuk gambar di bawah).
- Penimbang untuk mendapatkan jisim sisa makanan, jisim cecair fermentasi dan jisim baja kompos yang terhasil.
- Penapis untuk meletakkan sisa makanan yang terkumpul. Saiz penapis bertepatan dengan saiz tong pengumpulan yang digunakan (rujuk gambar di bawah).
- Tong penyimpanan yang mempunyai pengudaraan (rujuk gambar di bawah).
Langkah-langkah penghasilan baja kompos :
- Sisa makanan dikumpulkan selama seminggu dalam bekas kering. Pastikan tiada air bertakung untuk mengelakkan bau busuk (rujuk gambar di bawah).
- Sisa makanan yang dikumpulkan setiap hari ditimbang untuk mendapatkan jisim dan direkodkan dalam jadual. Contohnya seperti dalam gambar di bawah.
- Selepas satu minggu, sisa makanan dipotong kecil supaya proses fermentasi lebih cepat dan mudah berlaku (rujuk gambar di bawah).
- Jumlah sisa ditimbang terlebih dahulu. Biocatalyst ditabur atas penapis. Penapis dimasukkan ke dalam tong penyimpanan.
- Masukkan sisa dapur tadi yang telah ditimbang ke dlam tong.
- Taburkan lagi biocatalyst di atas sisa makanan. Tutup dan label tong.
- Simpan tong di tempat yang sesuai selama 2 minggu.
- Sediakan bekas untuk mengisi tanah dan tanah yang tidak mengadungi baja.
- Penapis yang mengandungi sisa dikeluarkan dari tong selepas dua minggu (rujuk gambar di bawah).
- Cecair fermentasi ditimbang dan direkod dalam jadual. Semakin banyak cecair dihasilkan, semakin baik proses fermentasi berlaku dan mempercepatkan proses pengkomposan (rujuk gambar di bawah).
- Sisa dapur yang telah mereput diletakkan ke dalam tanah dengan betul. Tutup sisa makanan dengan tanah yang berbaki untuk memenuhi bekas (rujuk gambar di bawah).
- Siram tanah dengan sedikit air untuk melembapkan tanah.
- Simpan bekas penghasilan baja kompos di tempat yang bersesuaian.
- Selepas dua minggu, sisa makanan di dalam tanah dikeluarkan dan ditimbangkan. Pengurangan jisim sisa makanan menunjukkan proses pereputan berlaku dengan baik. Sisa makanan juga bertukar menjadi kehitaman dan sedia untuk digunakan.
- Biji benih ditaburkan ke atas tanah yang mengandungi baja kompos. Biarkan selama seminggu untuk proses percambahan. Pastikan anda menyiram tanah setiap hari.
Cara Kedua
- Gunakan bekas tertutup, seperti polisterin/ bekas ais yang mana bahagian bawahnya ditebuk lubang dan diletakkan tanah.
- Simpan sisa makanan, lebihan dapur (kecuali yang berminyak), seperti kulit telur, sayur-sayuran, sisa kopi atau teh, bawang juga timun, roti dan sebagainya selain yang berminyak.
- Selepas itu tuangakan dan campurkan ke dalam polistrin yang ada tanah itu tadi. Biarkan proses semula jadi lakukan tugasnya, yang mana mikroorgnisma, cacing, semut akan lakukan proses sehingga sisa tadi hancur. Pastikan ia tertutup. Proses ini lebih kurang selama sebulan.
- Kemudian, akan terhasillah mendapan baja organik, yang dikenali senagai ‘black gold’. Untuk hasil lebih baik, boleh campur dengan sisa boiler sawit sikit.
Cara Ketiga
- Sediakan Tong sampah berpenutup.
- Masukan 20% tanah dalam tong tersebut.
- Masukan air dalam tong tersebut melebihi paras tanah tadi.
- Masukan sisa dapur (nasi, batang sayuran, dan lain-lain) dan tutup tong.
- Peram sisa dapur sehingga 14 hari.
- Masukan sebotol Yakult.
- Masukan juga yis (serbuk penaik pun boleh) sebagai biocatalyst.
- Peram semula dan tunggu 7 hari.
Selepas 7 hari peraman tersebut akan menghasilkan cecair fermentasi. Cecair fermentasi tersebut banyak mengandungi bahan organik. Anda boleh mengunakan cecair ini untuk membaja, sama ada mencampurkan cecair ini dengan air biasa atau terus ke pokok. tetapi sebaiknye mencampurkan sedikit air biasa. sebanyak mana pun cecair ini digunakan, ia adalah selamat.
Cecair fermentasi ini juga boleh disembur pada beberapa kawasan yang sesuai untuk kediaman:
- Tangki septik
- Longkang yang berbau
- Sinki / tandas yang tersumbat
- Timbunan sampah
Kaedah Lain
Selain daripada tiga cara di atas, anda juga boleh membuat baja kompos dengan kaedah menanam di dalam tanah jika anda mempunyai kawasan tanah yang cukup. Anda hanya perlukan cangkul dan ruang kecil di belakang rumah untuk pengkomposan. Korek lubang sedalam 30 sentimeter, dan masukkan sisa dapur. Kemudian kambus dengan tanah. Untuk proses pengkomposan berjalan dengan cepat, potong kecil sisa dapur sebelum dikambus masuk ke dalam lubang.
Anda juga boleh membuat satu timbunan kecil di sudut luar rumah dengan isinya adalah daun-daun gugur, sisa potong rumput dan tanah. Pastikan tempat itu terdedah kepada cahaya matahari. Gaulkan kompos itu sekali seminggu agar kelembapannya rata untuk semua bahan. Masukkan sisa dapur juga.
Pengkomposan memerlukan suhu sekurang-kurangnya 70 °C, kelembapan sederhana, dan ruang untuk membolak balik timbunan itu. Anda boleh menjadikan pengkomposan sisa dapur seringkas dan sekompleks mungkin, bergantung kepada citarasa anda. Apa yang penting hasilnya yang menakjubkan. Anda juga boleh menggunakan cacing sebagai bantuan. Teknik ini dinamakan vermikompos.
Selamat mencuba!
Tags: #baja kompos #baja organik #baja organik terbaik #baja organik untuk tanaman sayuran #cara buat baja bunga #cara buat baja kompos #cara buat baja kompos dengan sisa dapur #cara buat baja kompos dengan sisa makanan #kaedah pengkomposan sisa makanan #pengkomposan #pengkomposan sisa dapur #pengkomposan sisa makanan #pertanian