Haruman semula jadi mampu memberikan aura segar, nyaman dan wangi sepanjang masa. Bunga-bungaan yang harum bukan sahaja menjadi kegemaran suri rumah dan pekebun malah setiap orang yang meluangkan masa di persekitarannya tentu dapat merasakan perbezaan kesegaran udara yang nyaman daripada bauan yang dihasilkan.
Senarai Pokok Bunga Wangi Yang Sesuai Di Laman Rumah Anda
Terdapat pelbagai tanaman hiasan yang menarik, tetapi sekiranya ianya menghasilkan bauan yang harum, tentu menambahkan lagi keunikan laman anda. Berikut adalah tanaman bunga yang mampu menjadi pewangi asli hingga menyuntik aroma segar di laman rumah anda.
- Wrightia religiosa (Melati)
Melati atau nama saintifiknya Wrigthia religiosa merupakan salah satu pokok yang cantik, mempesona dan berguna. Daunnya bulat, kecil dan berwarna hijau. Melati mengeluarkan bunga-bunga putih bersaiz kecil yang menghasilkan bau yang harum dan menarik. Ia berbunga untuk masa yang lama.
Buahnya berbentuk seperti kacang panjang dan berkembang akan menggantikan bunga seterusnya. Ia cepat membesar, lasak dan dapat bertahan dalam cuaca yang keterlaluan. Kebanyakan melati ditanam kerana kecantikan dan keharumannya.
Melati melambangkan kesederhanaan yang dipaparkan melalui bunga kecil yang berkembang. Warnanya yang putih bersih serta tidak terlalu menonjol, melambangkan kesucian dan keelokan budi. Aroma harum yang lembut dan tidak terlalu tajam melambangkan kelembutan, nyaman dan tenang.
- Plumeria obtusa (Kemboja putih)
Plumeria obtusa atau kemboja putih sangat cantik sekiranya dijadikan sebagai elemen taman. Pokok ini dianggap eksotik dengan bentuk batangnya yang sangat artistik dan dekoratif. Ia dapat hidup hingga puluhan tahun dan mencapai tinggi di antara 7-10 meter.
Daunnya berwarna hijau dengan urat daun jelas kelihatan. Kemboja berbunga sepanjang tahun. Bunga ini juga merupakan antara spesis daripada bunga Kemboja yang sememangnya mengeluarkan haruman terutama pada waktu malam. Bahkan, pada bulan-bulan tertentu bunganya begitu banyak. Nama bunga ini adalah bersempena nama seorang bangsawan Itali yang pada abad ke-16 yang menggunakan bunga ini untuk membuat haruman.
- Lily of the Valley
Bunga ini amat terkenal kerana bauannya yang harum dan sering digunakan sebagai pewangi. Namun begitu tumbuhan ini juga beracun dan perlu diberikan perhatian terutama kepada kanak-kanak. Ia tumbuh pada kawasan yang bercuaca dingin dan biasanya mengeluarkan bunga pada lewat musim bunga.
Bunganya yang cantik seakan-akan loceng bersaiz di antara 5-10 mm mengeluarkan bauan yang memikat. Walaupun ia beracun ia tetap merupakan antara bungaan yang popular dijadikan wangian.
- Murraya paniculata (Kemuning)
Bunga ini sememangnya harum dan biasanya dijual kepada pengeluar haruman untuk dijadikan pati haruman. Ia juga sering digunakan di spa-spa untuk perawatan berkaitan seperti mandi bunga dan sebagainya. Bunga kemuning atau nama saintifiknya Murraya paniculata merupakan spesies yang berbunga sepanjang tahun dan menghasilkan bau yang sangat tajam terutamanya pada waktu malam.
Warna bunganya pada peringkat awal adalah kehijauan dan bertukar menjadi putih bersih setelah mekar penuh. Kemuning menghasilkan aura yang menenteramkan. Justeru, ia sangat baik jika ditanam di halaman rumah sama ada dijadikan sebagai tanaman hiasan atau tanaman pagar.
- Rosa chinensis (Mawar)
Mawar atau bunga ros tidak asing lagi sebagai haruman yang sememangnya popular sejak dahulu lagi. Walaupun pohonnya berduri, mawar tetap menjadi pilihan setiap penggemar tanaman. Selain popular sebagai hadiah untuk meluahkan kasih sayang, bunga mawar juga digunakan untuk membuat haruman. Juga terdapat teh yang dihasilkan daripada bunga dan buah dari spesis bungaan ini. Haruman ros berbau lembut dan amat menyamankan.
- Mimusops elengi (Tanjung)
Pokok bunga tanjung atau Mimusops elengi adalah sejenis spesies malar hijau. Pokoknya sederhana besar dan biasa ditemui di tepi-tepi jalan. Dengan struktur daun yang lebat dan rendang, ia dapat memberi teduhan daripada pancaran matahari. Ia berbunga sekitar April dan berbuah pada bulan Jun.
Oleh kerana aromanya yang harum, bunga tanjung biasa digunakan sebagai hiasan kepala dan kalung leher oleh masyarakat Melayu tradisional dan kaum India. Bunga tanjung boleh bertahan lama. Untuk mengembalikan keharumannya, bunga tanjung yang telah kering boleh direndamkan dalam minyak kelapa.
- Cestrum nocturnum (Jasmin)
Cestrum nocturnum atau nama tempatannya Jasmin merupakan salah satu spesies tanaman malar hijau. Baunya yang manis dan menyegarkan itu dapat dikekalkan sehingga fajar. Pada waktu siang, bunganya akan menguncup, masih mengeluarkan bau tetapi dalam kuantiti yang sedikit.
Jasmin memang terkenal dan digunakan untuk membuat haruman. Jasmin sesuai ditanam berhampiran dengan laluan masuk, tingkap atau pintu utama, di mana keharumannya dapat dirasai dan dihargai. Selain daripada bauan yang harum warnanya yang putih juga menjadi simbol kesucian pokok ini. Maka haruman jasmin menjadi salah satu haruman yang sesuai sekali bagi wanita.
- Sweet Alyssum
Sweet Alyssum adalah tumbuhan yang kecil yang berbunga sepanjang tahun. Pokok hanya sekitar 5-30 cm sahaja. Pokok ini akan dipenuhi dengan bunga-bunga bersaiz kecil iaitu 5 mm sahaja dan mengeluarkan bauan yang manis.
Bunganya mempunyai 4 kelopak dari warna seperti putih, pink, merah, violet atau lilac. Pokok ini berasal dari kawasan di Mediterranean dan kawasan sekitarnya. Penanamannya adalah melalui biji yang biasanya diterbangkan angin.
- Chocolate Cosmos
Bunga istimewa ini berasal dari Mexico dan adalah dari spesis bunga kosmos namun mempunyai bauan yang harum seakan-akan vanilla atau coklat. Mempunyai ketinggian antara 49-60 cm dan boleh berbunga sepanjang tahun.
Cuma usia pokok ini tidaklah terlalu lama. Bunga ini juga dikatakan telah pupus namun diperkenalkan semula pada tahun 1902. Bauannya lebih ketara ketika musim panas.
- Wisteria
Wisteria merupakan spesis tumbuhan kekacang yang melilit pada pohon lain untuk tumbuh dan mendapatkan lebih cahaya matahari. Ia merupakan tumbuhan asal di bahagian Timur Amerika Syarikat, China, Jepun dan Korea. Spesis yang dikatakan mengeluarkan bauan yang harum adalah daripada jenis Chinese Wisteria.
Tumbuhan ini juga tumbuh dengan melilit pada pohon yang lain dan adakalanya boleh mengancam tumbuhan tersebut. Jadi bagi tumbuhan ini sebaiknya ia disediakan sokongan sendiri.
- Sweet Pea
Juga merupakan tumbuhan kekacang yang melilit. Ia merupakan hasil daripada pendebungaan silang untuk menghasilkan bauan yang lebih enak pada lewat tahun 1870an oleh pengeluar bungaan berbangsa Scottish. Terdapat pilihan warna dari merah ke pink atau putih ke kuning. Pokok ini boleh memanjat sehingga 1-2 meter dan mempunyai bunga yang bersaiz 2-3.5cm.
- Gardenia (Bunga Cina)
Bunga Gardenia terdiri dari beberapa spesis yang juga dikenali di negara kita sebagai bunga Cina dengan bauan yang harum seakan-akan bunga melur. Bunganya yang mempunyai kelopak yang tebal dan berwarna putih kekuningan ini mempunyai bau yang kuat tetapi lembut.
Ia merupakan satu lagi bunga yang sering digunakan di dalam wangian. Pokok bunga ini agak besar dan ada juga spesis yang lebih kecil. Bauan daripada bunga ini jelas sekiranya ia berada di halaman rumah.
- Four O’Clock
Bunga ini juga dikenali sebagai Marvel of Peru atau nama saintifiknya Mirabilis Jalapa mempunyai bunga yang pelbagai warna. Terdapat juga pokok yang menghasilkan pelbagai warna selain daripada kombinasi pelbagai warna pada satu bunga.
Bauannya adalah bertujuan menarik perhatian serangga yang terdiri daripada rama-rama jadi bunganya kembang pada lewat petang dan layu keesokan harinya.
14. Michelia alba (Cempaka Putih)
Michelia alba atau lebih dikenali dengan nama Cempaka putih adalah sejenis pokok berkayu yang biasanya tumbuh di hutan dengan ketinggian mencapai hingga 30 meter. Cempaka memiliki 3 spesis dengan warna bunga yang berbeza iaitu warna putih, warna kuning,dan warna merah.
Daun cempaka putih mempunyai permukaan yang licin. Baunya lebih kuat pada waktu senja untuk menarik serangga pendebungaan yang aktif pada waktu malam.
15. Bunga Kenanga
Pokok Kenanga merupakan sejenis tumbuhan yang terdapat di hutan Malaysia serta di negara-negara Asia Tenggara yang lain. Bunga Kenanga merupakan bunga tradisional yang amat digemari di Malaysia pada suatu masa dahulu kerana baunya yang harum semerbak.
Bunganya sering dipetik dan disimpan dalam lipatan kain bagi mengharumkan baju, dan rumah. Baunya lebih kuat pada waktu senja, kemungkinannya disebabkan faktor bagi menarik serangga pendebungaan yang aktif pada waktu tersebut.
Pokok Kenanga merupakan sejenis pokok saka hutan malar hijau yang besar. Bagaimanapun pokok kenanga kawin mampu berbunga walaupun mencapai ketinggian kurang dari 2 meter. Pokok kenanga kawin biasanya kurang kuat keharumannya berbanding pokok kenanga tradisional asal.
Tags: #bunga cina #bunga harum sesuai ditanam di laman rumah #bunga jasmin #bunga kemboja putih #bunga kemuning #bunga pewangsi asli taman #bunga ros #bunga tanjung #bunga yang harum sesuai untuk laman #cempaka putih #Chocolate Cosmos #Four O'Clock #Jenis Pokok Bunga Berbau Harum #Jenis Pokok Bunga Berbau Harum Jika Ditanam Di Laman Rumah Anda! #Lily of the Valley #pokok bunga berbau wangi #pokok bunga harum di laman rumah #pokok bunga kenanga #Sweet Alyssum #Sweet Pea #tanaman bunga yang harum #tanaman harum sesuai untuk laman #tanaman hiasan harum sesuai untuk rumah #Wisteria