Ini Punca Suami Kahwin Lagi. Isteri Jangan Terkejut Kalau Baca!

Suami Kahwin Lagi. Ini Puncanya

Kenapa lelaki kahwin lagi? Secara jujur, sebagai seorang lelaki, penulis tidak mempunyai cita-cita atau bermimpi untuk bernikah lebih dari sekali. Adakah benar pendapat atau kata-kata wanita di luar sana bahawa kaum lelaki memang gatal untuk pasang ramai isteri, mahu kahwin lagi atau tidak puas dengan hanya mempunyai seorang isteri?

Sebelum mengulas lanjut tentang tajuk ini, mari kita lihat dahulu hukum-hukum perkahwinan dalam Islam.

Apakah hukum-hukum perkahwinan dalam Islam?

  • Wajib kepada orang yang mempunyai nafsu yang kuat sehingga boleh menjatuhkan ke lembah maksiat (zina dan sebagainya) sedangkan ia seorang yang mampu. Di sini mampu bermaksud ia mampu membayar mahar dan mampu menunaikan nafkah kepada bakal isterinya. Dalam permasalahan ini boleh didahulukan perkahwinan dari naik haji kerana gusar penzinaan akan berlaku, tetapi jika dapat dikawal nafsu, maka ibadat haji yang wajib perlu didahulukan kerana ia seorang yang berkemampuan dalam segala aspek.
  • Sunat kepada orang yang mampu tetapi dapat mengawal nafsunya.
  • Harus kepada orang yang tidak ada padanya galakan dan bantahan untuk berkahwin dan ini merupakan hukum asal perkahwinan.
  • Makruh kepada orang yang tidak berkemampuan dari segi nafkah batin dan lahir tetapi sekadar tidak memberi kemudaratan kepada isteri, sama ada ia kaya atau tiada nafsu yang kuat.
  • Haram kepada orang yang tidak berkempuan untuk memberi nafkah batin dan lahir dan ia sendiri tidak berkuasa (lemah), tidak punya keinginan berkahwin serta akan menganiaya isteri jika dia berkahwin.

Jika kita lihat dalam realiti, memang terdapat suami yang berkahwin lagi. Ada juga yang menyembunyikan perkahwinan kedua dari isteri pertama. Tapi sebagai seorang wanita dan isteri, pernahkah anda terfikir atau mengkaji, apakah faktor mereka mengambil keputusan untuk berkahwin lagi? Pada artikel kali ini, penulis ingin mengupas tentang punca sebenar lelaki kahwin lagi. Ini adalah berdasarkan kepada pendapat dan pandangan umum yang dikumpul, berikut adalah beberapa perkara yang perlu anda perhatikan.

  • Isteri lebih ‘hebat’dan tidak menghormati suami

Isteri pada zaman sekarang ramai yang merasa diri lebih hebat dari suami terutamanya jika pendapatannya jauh lebih banyak dari suami. Sama ada sedar atau tidak, kurang hormat isteri pada suami kurang dengan tidak menjaga kehormatan suami di depan kawan-kawan, saudara-mara, malah dihadapan ibu bapa. Corak pemikiran moden, ramai yang menganggap wanita dan lelaki sudah hampir sama taraf pada zaman sekarang!

Isteri sudah berpangkat besar, bergaji besar, segalanya besar-besar; dalam tidak sedar, mereka menjadi kurang hormat pada suami. Mereka fikir apa hebatnya suami mereka sehingga perlu dihormati seperti nabi, tambah-tambah lagi sudah duduk serumah sekian lama, bermacam-macam sikap buruk suami sudah diketahui. Ada wanita terlupa pangkat sebagai suami lebih besar dalam keluarga dan mempunyai banyak tanggungjawab. Apa yang suami buat, biarlah si suami yang menjawab dengan Tuhan. Tetapi sebagai isteri, sepatutnya lebih menghormati dan mentaati kepada suami. Apabila bercakap tentang syurga, isteri lupa bahawa syurga mereka berada di bawah tapak kaki suami, ramai isteri yang tahu, tapi dari segi praktikal dan amalan, tidak mantap, tidak diikuti. Lebih-lebih lagi ketika melepaskan perasaan dan membebel. Jadi, bagaimana perasaan suami jika ada wanita lain yang boleh menghormatinya, boleh melayannya dengan baik?

  • Komunikasi antara suami isteri, sikap isteri suka merungut dan membebel

Sesetengah lelaki mempunyai ego yang tinggi. Ini adalah sifat semulajadi lelaki. Tetapi terdapat ramai lelaki yang bersifat pemendam, simpan dalam hati dan tidak akan bercakap tentang perkara-perkara yang melibatkan perasaan kecuali sudah sampai ke peringkat kritikal. Bak gunung berapi, akhirnya meledak apabila sampai masanya. Inilah antara masalah paling besar antara makhluk bernama wanita dan lelaki. Wanita pula suka meluahkan isi hati walaupun hanya perkara yang remeh-temeh. Sebaliknya lelaki mengharapkan wanita memahaminya dari segi tingkah laku, perubahan sikap dan sebagainya.

Keadaan lebih parah jika si isteri mempunyai sikap yang tidak elok iaitu kuat merungut dan suka membebel! Apa sahaja yang dilakukan, mesti ada yang tidak kena, tidak puas hati dan tidak bersyukur. Oleh itu, nilailah kembali asas dan tanggungjawab masing-masing. Kenali diri dan siapa kita. Lelaki dan wanita tetap ada perbezaan dan tidak akan jadi sama walaupun semoden mana pun dunia ini. Dalam hidup berumahtangga, kedua-dua pihak harus saling bertolak ansur dan sama berusaha untuk kebaikan. Jika sebelah pihak sahaja mencuba, maka hidup tidak akan bahagia lagi.

  • Perubahan perasaan

Dalam bab penampilan, tidak dinafikan ramai suami yang boleh faham apabila sudah lama berkahwin, penampilan isteri sudah menjadi kurang mantap, tidak sama lagi semasa awal perkahwinan. Begitu juga dengan penampilan suami. Penampilan bukanlah isu penting, tapi isu perasaan lebih penting dan ramai wanita yang kurang faham tentang isu ini. Sebab utamanya, ramai lelaki memendam perasaan, makan hati, kalau tidak puas hati dan jarang hendak menegur isteri. Dikuatiri isteri akan merajuk, terasa hati dan lain-lain. Wanita pula susah untuk memahami suami jika tidak cakap secara terang-terangan.

Jika setakat lelaki bagi klu atau hint, atau lelaki berubah sikap, ramai isteri yang gagal untuk faham. Inilah antara masalah utama lelaki dan wanita. Untuk memahami lelaki, isteri perlu banyak memahami apa yang tersirat bukan apa yang tersurat, kerana yang tersurat daripada lelaki selalunya cantik, tersusun, ceria, lawak dan tenang. Lelaki akan cuba sorokkan apa yang kurang cantik, kesedihan, resah, gelisah dan masalah walaupun sedikit kerana lelaki dijadikan untuk memimpin dan membantu orang lain. Lelaki dan wanita sama-sama memerlukan sahabat dan teman yang sanggup bersama dikala senang mahupun susah sepanjang masa. Namun dalam hal ini, perubahan perasaan lelaki kurang difahami dan tidak boleh disalahkan kepada isteri semata-mata. Lelaki juga mungkin perlu berubah. Jika ada keperluan, berbincanglah dengan isteri, berkomunikasi dan tegur secara berhemat. Isteri pula, perlu pandai mengambil hati suami, seperti saat-saat awal perkahwinan dahulu kerana jika dibiarkan, kemungkinan yang paling ditakuti ialah akan berlaku perubahan perasaan. Termakan hati, kecewa, bosan adalah pencetus kepada beralihnya perhatian kepada insan lain.

  • Isteri tidak mengambil berat soal penampilan diri

Apabila sudah lama berkahwin, isteri sudah tidak mengambil berat soal penampilan diri mereka. Terutama di rumah. Jika ke luar rumah, bukan main lagi bersolek dan berdandan untuk perhatian umum, tetapi apabila berada di rumah, tiada usaha untuk berpenampilan cantik. Isteri secara kebiasaannya nampak lebih selekeh ketika berada di rumah. Keadaan seperti ini sudah terbalik. Sepatutnya isteri berhias dan cantik untuk suami dan bukan untuk orang lain. Lebih memburukkan keadaan, si suami pula berkain pelekat dengan singlet atau t-shirt lusuh, kekadang tidak berbaju sehingga ternampak perut yang boroi. Isteri pula berkain batik, memakai baju buruk, rambut pula tidak diurus kemas dan berserabai. Jadi, apa tarikan yang ada untuk pasangan masing-masing?

Jadi untuk para suami, kalau hendak isteri anda cantik, jangan kedekut untuk membelanjakan duit kepada isteri anda. Belikanlah produk atau apa sahaja barangan untuk kecantikan isteri. Beli pakaian yang cantik, selalu puji isteri anda. Cantik atau tidak isteri anda, bergantung juga kepada sikap suami. Bagi isteri pula, sentiasalah berusaha untuk menjadi cantik dan memikat suami anda. Tidak bolehkah jika pakai sedikit seksi atau cantik-cantik di rumah? Kalau ada anak-anak di rumah, pakailah cantik-cantik supaya sejuk mata pasangan anda lihat. Anak-anak pun bangga melihat ibubapa mereka kelihatan cantik dan segak.

  • Tidak menemani suami makan

Ini adalah perkara penting dalam rumahtangga yang sering dianggap remeh oleh kaum wanita tetapi sangat besar bagi lelaki. Kalau boleh temankanlah suami anda sewaktu makan! Bab makan ini, ramai isteri yang pandai memasak, membeli barang basah, goreng lauk, menggulai, lalu hidang atas meja. Tetapi apabila suami mahu makan, isteri boleh pula buat kerja lain seperti menonton televisyen, menjahit, menjaga anak, berkemas rumah atau tidur dengan alasan, “Saya dah siapkan semua makanan kat dapur, tapi selera makan saya pulak takde, jadi saya mahu berehat sekejap, abang makan sorang la ye?”

Lalu makanlah si suami seorang diri bersama syaitan yang akan menghasut suami dengan pelbagai perkara durjana. Nampak remeh, tapi hakikatnya, perkara ini adalah sangat bahaya! Membiarkan si suami makan seorang diri adalah kesalahan yang sangat besar dalam dunia rumahtangga!

Dalam satu penelitian yang merujuk kepada lima pasangan yang bercerai, perkara ini adalah salah satu punca sehingga berlaku perceraian. Kesilapannya ialah membiarkan suami makan seorang diri bersama syaitan. Nampak remeh, tapi suami yang makan sendirian bersama syaitan akan lebih mudah menceraikan isteri berbanding suami yang selalu ditemani isteri. Bagi isteri-isteri sekalian, tidak menjadi masalah jika anda tidak pandai memasak sekalipun kerana anda boleh membeli makanan di kedai dan itu tidak menjadi kesalahan. Tetapi jika tidak menemani suami makan, adalah satu kesalahan dan akibatnya, suami akan mudah bergaduh dengan anda, melepaskan kesepian dengan wanita lain dan akhirnya menjurus kepada perceraian ataupun berkahwin lain. Jadi, walaupun isteri tidak mahu makan, duduklah teman suami anda sehingga dia selesai makan.

  • Menolak hubungan kelamin dan tidak tidur bersama

Dalam bab ini, apabila menolak ajakan bersetubuh dan suami diam sahaja, mungkin si isteri sangka suami tidak apa-apa. Tetapi hakikatnya suami mengalami kecederaan dalaman yang teruk. Perkara ini sangat merbahaya! Jangan terlalu kerap menolak ajakan bersetubuh dari suami. Hal ini walaupun nampak sangat kecil, namun kesannya sangat dasyat!

Bahkan, terdapat hadith yang mengatakan Malaikat akan melaknat isteri sampai ke subuh jika menolak ajakan suami untuk bersetubuh. Dalam satu hadith lagi, jika suami mengajak bersetubuh walhal anda sudah di atas unta (kereta pada zaman ini), isteri wajib tunaikan, tetap tidak boleh menolak!

Jika suami mengajak bersetubuh dan andai kata isteri terpaksa menolak atas sebab yang patut, seperti demam, pening kepala, atau lain-lain, jangan lupa qadha balik seberapa segera apabila sudah pulih daripada semua itu. Kalau boleh, lafazkan dengan kata-kata seperti, “Bang, semalam maaf sangat sebab kepala pening, sekarang sudah sihat, jom qadha bersetubuh!”

Tahukah wanita, betapa cair dan berbunganya hati si suami apabila mendengar kata-kata begini dari mulut isterinya. InsyaAllah, isteri yang berbuat demikian, suaminya akan berfikir seratus kali sebelum mahu berkahwin lagi! Percayalah!

Punca-punca lain mengikut kebiasaan dan pandangan umum kenapa lelaki ingin kahwin lagi

Berikut adalah faktor dan punca lain mengapa lelaki berkahwin lagi :

  • Isteri bukan pilihan hati yang sebenar
  • Jatuh hati disebabkan selalu mendengar masalah wanita lain
  • Isteri tidak boleh mengandung
  • Isteri tiada keghairahan seks
  • Ingin mengikut sunnah rasul
  • Dorongan kawan-kawan yang berkahwin ramai
  • Isteri suka mengongkong
  • Isteri sudah tidak manja dan tidak mahu melayan seperti saat awal perkahwinan
  • Berhubung semula dengan bekas kekasih dan kembali bercinta
  • Terkena sihir atau ilmu pengasih
  • Percaya boleh berlaku adil dan berkemampuan
  • Isteri tidak mahu anak atau tidak mahu tambah anak
  • Tidak mendapat layanan yang baik dari isteri
  • Godaan yang banyak dari luar dan tiada godaan di rumah
  • Kurang iman dan agama, tidak berasa berat untuk memikul amanah Allah SWT
  • Kurang aktiviti bersama dengan isteri
  • Bosan dan jemu dengan isteri
  • Isteri tidak pandai melayan karenah suami
  • Isteri tidak memahami isi hati

Kesimpulan

Sebagai suami isteri, jika terdapat sebarang masalah yang berlaku di dalam rumahtangga anda, perkara pertama yang perlu dilakukan adalah berbincang dan merujuk kepada al-Quran dan hadith, kemudian sunnah-sunnah nabi dan pendapat alim ulamak. Itu adalah cara yang terbaik. Bukan merujuk kepada kawan-kawan yang pro kepada anda sahaja, sudah semestinya jawapan yang anda terima akan berat sebelah dan mungkin juga hanya bersifat teori duniawi semata-mata. Si suami jika ingin berpoligami, pastikan anda melihat diri anda terlebih dahulu. Tanya diri anda :

  • Kenapa perlu berpoligami?
  • Layakkah anda berpoligami?
  • Mampukah dari segi zahir?
  • Mampukah dari segi batin?
  • Bagaimana cara pengurusan rumahtangga setelah berpoligami?
  • Bagaimana tentang masa depan anak-anak dan bakal anak-anak?
  • Jika berlaku kematian kepada anda, apa yang bakal anda tinggalkan untuk isteri-isteri dan anak-anak anda? Kukuhkah ekonomi anda?
  • Apa perasaan isteri anda dan cara anda memujuknya? Walaupun isteri redha tetapi jauh di lubuk hatinya masih ada juga bibit-bit sedih dan tertanya-tertanya, mengapa anda kahwin lagi?
  • Apa perasaan ibu bapa mentua? Bagaimana hendak jelaskan pada mereka?
  • Apa perasaan anak-anak? Terjejaskah mereka dengan tindakan anda?

Pendek kata, sebagai seorang suami, anda harus memikirkan dari segenap sudut, bukan hanya memikirkan kemahuan dan perasaan nafsu anda sahaja. Jangan juga cuba meringkaskan jawapan anda dengan menjawab “Kahwin 2,3,4 kan sunnah nabi.”

Bab kahwin ikut sunnah, bab lain-lain pula bagaimana? Keluarga umpama sebuah kapal dan suami sebagai nakhoda. Kepada si isteri, jika si suami sudah cukup layak dari segi syariat seperti yang diajar di dalam Islam, redha dan restuilah niat baik suami anda, berbincanglah berdasarkan ajaran Islam yang amat lengkap. Insyaallah anda akan mendapat balasan yang baik di dunia dan akhirat.

Senang cerita, jika kita semua mengamalkan ajaran Islam yang sempurna, kita akan selamat dan terlindung dari segala masalah. Sebagai suami, adakah anda mengamalkan ajaran islam yang sempurna? Sebagai isteri, adakah anda mengamalkan ajaran Islam yang sempurna? Tepuk dada, tanyalah iman.

IMG_20171206_114610-150x150 Ini Punca Suami Kahwin Lagi. Isteri Jangan Terkejut Kalau Baca!

A. Manaf Mohammad

More Posts

Loading...

Tags: #cara kahwin ramai #hukum perkahwinan dalam islam #Isteri Tak Perlu Risau Lebih #kesalahan isteri punca suami kahwin lagi #kesilapan isteri dalam rumahtangga #kesilapan suami isteri punca poligami #nak kahwin dua #nikah di thailand #poligami #punca anda dapat madu #Punca lelaki kahwin lagi #punca lelaki nak kahwin lagi #punca lelaki pasang ramai #punca mengapa lelaki berkahwin lagi #punca poligami #punca suami cari bini baru #punca suami kahwin lagi #punca suami nikah lagi #sebab lelaki kahwin lebih dari satu #sebab lelaki nak kahwin lagi #sebab suami kahwin lain #Suami Kahwin Dua #suami kahwin lagi #suami mahu kahwin lagi

Kaitan Bangsa Yahudi dengan Nabi Yusuf A.S
Makam Nabi Yusuf A.S Makam Nabi Yusuf adalah tempat suci dalam Islam dan
Cara Hindarkan Panggilan Scammer
Panggilan daripada penipu atau scammer boleh menjadi sangat memudaratkan dan mengancam keselamatan peribadi
15 Perkara Yang Menurunkan Bala Kepada Umat Akhir Zaman
Daripada Ali bin Abi Thalib r.a Rasulullah saw bersabda ; “Apabila umatku telah
Kelebihan Pelaburan Dalam Hartanah dan Aset
Pelaburan dalam aset dan hartanah boleh memberikan beberapa kelebihan kepada pelabur. Berikut adalah

Comments are closed.