Cara Memupuk Tabiat Kewangan Kanak-kanak & Mendidik Anak-anak Dengan Wang

Cara Memupuk Tabiat Kewangan Kanak Kanak Dan Mendidik Anak Anak Dengan Wang

Pendidikan kewangan semenjak usia muda adalah sangat penting bagi memupuk budaya menabung dalam kalangan kanak-kanak. Sebagai ibu bapa, tentu anda mencari-cari tip bagaimana untuk mengalakkan anak-anak anda mencipta kewangan mereka sendiri?

Pengetahuan kewangan perlu diterapkan kepada anak-anak semenjak usia kanak-kanak dalam memahami fungsi wang. Hal ini boleh dimulakan semenjak kanak-kanak berusia 1 tahun. Sebagai ibu bapa, tugas memastikan anak anda berada di landasan yang tepat ke arah pengurusan kewangan bijak adalah sangat penting. Semuanya bermula dengan memastikan mereka lebih memahami dan menghargai nilai wang itu sendiri. Malahan, pendidikan yang diberikan sekarang bakal menjadi panduan ketika anak anda dewasa kelak. Pendekatan apakah yang boleh gunakan bagi menarik minat anak-anak anda?

Teknik Mendidik Anak-anak Dengan Wang

  • Berikan anak anda wang setiap hari

Anda boleh mulakan dengan memberi wang kepada anak anda seawal usia 1 tahun atau 2 tahun. Anda boleh menyediakan tabung untuk anak anda menyimpan wang yang anda berikan setiap hari. Sambil anda memberikan wang, anda boleh menceritakan mengapa anak anda perlu menyimpan wang. Contohnya, maklumkan bahawa dengan wang tersebut, anak anda boleh membeli kereta mainan kawalan jauh dan apa-apa sahaja barangan kegemarannya.

  • Sediakan tabung berbentuk ikon kesukaan anak anda

Kanak-kanak mudah tertarik dengan tabung yang menggunakan pelbagai warna. Anda boleh membeli tabung ikon kesukaan anak anda. Jika anda seorang yang kreatif, anda juga boleh membuat tabung sendiri di rumah.

  • Membeli alat mainan hasil daripada simpanan wang anak anda

Anak anda selalunya akan meminta anda membelikan alat mainan yang mereka mahu. Walaupun anda mampu membelinya dengan wang anda, didik anak anda untuk membeli alat mainan hasil daripada wang simpanan mereka. Bawa wang atau tabung di kedai permainan. Anak anda akan belajar melalui amalan ini; sekiranya inginkan sesuatu, mereka perlu berusaha untuk menabung terlebih dahulu.

  • Bawa anak pergi membeli barangan dapur

Mungkin anda sering membeli-belah bersama anak-anak. Tetapi untuk sesi berikutnya, apa kata anda memberi peluang kepada mereka untuk membuat urusan membeli-belah sendiri? Cuba berikan sedikit wang kepada mereka, misalnya RM10.00. Seterusnya cabar anak-anak untuk membeli sebanyak mungkin barangan dengan wang yang diberikan. Untuk menjadikan ia lebih sistematik, anda boleh menyenaraikan jenis barangan makanan asas yang diperlukan oleh ‘bank makanan’, seperti susu, roti dan sebagainya.

Satu cara lagi adalah dengan membiarkan anak yang membuat pembelian barangan dapur, sambil membantu mereka dalam membuat pengiraan kos dan sebarang keputusan pembelian. Pastikan anda memberi ganjaran jika mereka memilih harga barangan yang lebih berpatutan!

  • Berikan wang secukupnya apabila anak anda inginkan sesuatu

Kadang-kadang aketika anda membawa anak-anak membeli-belah, anak-anak anda akan turut sama memilih barangan yang mereka mahu. Anda boleh melatih anak anda dengan memberikan sejumlah wang yang secukupnya untuk mereka bayar. Contoh, anda memberikan wang RM5 untuk melatih anak anda supaya membeli barangan yang sama harganya atau di bawah nilai RM5 tersebut.

  • Libatkan anak-anak anda dalam pengurusan bajet

Jika anak anda sudah cukup dewasa untuk memahami konsep bajet keluarga, apa kata beri peluang untuk mereka bertanggungjawab dalam menguruskan mana-mana seksyen dan kategori dalam bajet tersebut. Mereka boleh bermula dengan memilih untuk menguruskan satu kategori terlebih dahulu. Kategori yang dipilih mestilah dalam kategori perbelanjaan yang fleksibel, yang kita mempunyai kawalan terhadap berapa nilai yang mesti dibelanjakan dalam sebulan. Contohnya bajet hiburan atau barangan dapur.

Biarkan anak anda membuat sedikit kajian untuk mencari harga yang paling berpatutan, dan biarkan mereka meletakkan bajet pada tempat yang dirasakan paling sesuai. Tidak mengapa jika mereka membuat kesilapan, seperti terlebih belanja dan memilih barangan mahal. Ini akan memberikan peluang untuk mendidik mereka tentang perbezaan barangan keperluan dan kehendak, seterusnya menyelesaikan permasalahan apabila berdepan pelbagai pilihan barangan di pasaran.

  • Membezakan antara keperluan dengan kehendak

Kanak-kanak mudah tertarik dengan pelbagai tawaran dan iklan di media massa. Anda tidak akan terkejut sekiranya anak anda boleh mengenali beberapa jenama makanan segera terkemuka pada usia 1 atau 2 tahun. Anda boleh mendidik anak anda membezakan keperluan dan kehendak menggunakan flash card. Keperluan setiap individu adalah berbeza. Anda boleh menyediakan flash card dengan melukis sendiri atau membeli di kedai-kedai buku.

  • Bawa anak anda ke bank

Sudahkah anak anda mempunyai akaun simpanan? Jika tidak, apa tunggu lagi? Bawa anak ke bank dan buka akaun sekarang. Selepas membuka akaun, sebagai permulaan, terangkan bagaimana dividen yang diperoleh membuatkan duit mereka bertambah. Bagi menarik minat mereka tentang simpanan, belikan mereka tabung yang mempunyai bentuk yang menarik. Malahan, hampir setiap bank menghadiahkan tabung kepada kanak-kanak yang membuka akaun simpanan atau pelaburan bersama-sama mereka.

Apabila penyata akaun diterima, tariklah perhatian anak-anak anda dengan menekankan betapa pelaburan mereka sudah makin meningkat. Apabila sahaja ia sudah menjadi tabiat, tabung merupakan perkara pertama yang bermain di kepala anak anda apabila diberikan duit.

  • Biarkan mereka membuat kesilapan, asalkan mereka belajar

Jika anak anda membuat kesilapan dalam pengurusan kewangan, biarkanlah mereka. Hal ini disebabkan jumlah yang terlibat selalunya kecil sahaja. Contohnya, jika dia mahukan satu alat permainan dan berjaya mengumpulkan wang yang cukup untuk membelinya, jangan halang dia daripada membelinya. Ini supaya, dia akan dapat merasai bagaimana perasaan tidak mempunyai duit yang cukup untuk perkara-perkara lain.

Selepas itu, cuba tanya anak anda sama ada pilihan membelanjakan simpanan mereka tepat atau tidak. Anda akan terkejut melihat bagaimana cepat pertumbuhan pemikiran rasionalnya, dan akhirnya anak anda akan bijak membuat keputusan dalam berbelanja.

  • Bermain Monopoli atau Saidina

Anda boleh membelikan permainan Monopoli atau Saidina sekiranya anak anda telah memahami konsep wang. Permainan seperti ini melibatkan wang, iaitu untuk menjual beli aset, pelaburan, simpanan dan sebagainya. Anda boleh menjadikan permainan ini sebagai aktiviti sekeluarga pada masa lapang.

Kesimpulan

Pendekatan ini merupakan cadangan berdasarkan pengalaman mengadakan program-program pendidikan kewangan. Anda boleh mencuba mana-mana pendekatan yang bersesuaian dengan peringkat umur anak anda. Apabila berbincang tentang mendidik anak-anak mengenai pengurusan wang, anda kena percaya bahawa tiada istilah terlalu awal untuk bermula. Dengan mengajar mereka untuk menghargai nilai wang, anda akan membimbing mereka menjadi seseorang yang sangat bijak menguruskan wang di masa hadapan.  Semoga dengan cara-cara di atas, anda dapat memupuk sikap yang baik kepada anak-anak mengenai wang.

Loading...

Tags: #Cara memupuk tabiat kewangan kanak-kanak #cara mendidik anak-anak dengan wang #cara mengajar kewangan kepada kanak-kanak #didik anak dengan wang #Mendidik Anak-anak Dengan Wang #tips kewangan untuk kanak-kanak #tips mendidik anak dengan wang #tips mengajar anak menabung

Tragedi Nakba 1948 : Pembetukan Negara Haram Israel
Nakba (malapetaka atau tragedi dalam bahasa Arab) merujuk kepada peristiwa yang berlaku pada
Negara Mana Miliki Kapal Pengangkut Pesawat @ Aircraft Carrier?
Sesetengah negara mempunyai kapal pengangkut pesawat (aircraft carrier) sebagai sebahagian daripada kekuatan tentera
Masalah dan Punca Wanita Sukar Hamil
Ketidakupayaan untuk hamil atau sukar hamil disebut sebagai masalah kesuburan atau ketidaksuburan. Kemandulan
Cara Hindarkan Panggilan Scammer
Panggilan daripada penipu atau scammer boleh menjadi sangat memudaratkan dan mengancam keselamatan peribadi

Leave a reply "Cara Memupuk Tabiat Kewangan Kanak-kanak & Mendidik Anak-anak Dengan Wang"