Untuk mengajarkan anak kecil solat memang amanah yang sukar. Apatah lagi untuk solat dengan sempurna. Tetapi semakin sukar sesuatu amanah, semakin besar ganjarannya. Anak-anak selayaknya sudah boleh diajar seawal umur dua atau tiga tahun.
“Jika seorang anak sudah mengetahui dan dapat membezakan tangan kanan dan kirinya, maka perintahkanlah dia untuk mengerjakan solat” (hadis Riwayat ath-Thabarani)
Mendidik anak kecil solat bukanlah satu proses yang sukar, jika kaedahnya betul. Malah mereka akan tertunggu-tunggu untuk solat dengan anda. Bak kata pepatah, melentur buluh biarlah dari rebungnya. Membina disiplin bukanlah sesuatu yang mudah.
Cara Melatih Anak Supaya Solat 5 Waktu
Bagi ibu bapa di luar sana, berikut adalah cara dan tips mudah tapi berkesan untuk mengajar anak kecil solat 5 waktu.
- Selalu Solat Depan Anak
Ibu bapa adalah model terbaik dalam apa-apa jua perkara pada mata anak-anak. Mereka akan menyerap dan meniru secara tidak langsung setiap apa yang dilakukan ibu bapa mereka. Oleh itu, gunakan kelebihan ini dalam mengajar anak kecil solat. Solatlah di tempat yang sentiasa dapat dilihat oleh anak. Contohnya di ruang tamu. Selalunya anak-anak kecil akan meniru gaya kita solat. Itu adalah petanda yang bagus kerana mereka sudah berminat dan rasa ingin tahu tentang solat.
- Ajak Anak Solat, Bukan Suruh.
“Along, mari solat…”
“Along, pergi solat!”
Anda perlu mengajak anak anda solat berjemaah bersama-sama anda, bukan menyuruhnya bersolat sendirian. Tidak perlu tunggu sehingga anak berumur 7 tahun untuk mengajak mereka bersolat. Walaupun anak baru berusia 2-3 tahun, ajak mereka supaya solat di sebelah kita. Pada waktu ini, bakat meniru mereka sangat hebat. Lakukan secara konsisten setiap masa untuk mengajak anak pada awal waktu.
Dengan cara ini kita menanamkan mindset supaya mereka bersedia setiap kali masuk waktu solat. Jika anak-anak sudah bersekolah, ajak anak solat subuh bersama sebelum keluar bekerja atau menghantar anak ke sekolah.
- Minta Laungkan Iqamah
Setiap kali solat berjamaah, minta anak untuk melaungkan iqamah. Mungkin mereka malu atau tidak tahu pada mulanya, tetapi bimbinglah mereka untuk melaungkan iqamah dengan betul. InsyaAllah, ini bukan sahaja mengajar mereka untuk berasa yakin, malah akan membuatkan mereka timbul rasa tanggungjawab setiap kali solat. Jika anda ada lebih dari seorang anak lelaki, anda boleh gilirkan tugas untuk melaungkan iqamah.
- Dengarkan Bacaan Dalam Solat Dengan Jelas
Kuatkan bacaan dalam solat supaya anak kita boleh mendengar. Dengan cara ini, secara tidak langsung akan membuatkan anak ingat surah-surah lazim yang sering kita bacakan. Anak juga akan memahami bagaimana sebenarnya tertib (langkah-langkah) dalam solat dilakukan.
- Bersalaman Dan Peluk Lepas Solat
Penting untuk kita bersalaman dengan anak-anak setelah selesai solat setiap kali. Bersalam yang diikuti dengan pelukan dan ciuman bukan sahaja mengeratkan hubungan kekeluargaan, malah dapat memberi persepsi positif kepada anak bahawa solat ini sebenarnya salah satu aktiviti untuk berkasih sayang. InsyaAllah ini akan membuatkan anak rasa gembira dan sentiasa menunggu waktu solat.
- Beri Pujian Untuk Setiap Perkara Positif
Jika anak menunjukkan kelakuan yang baik seperti tekun dan tidak bermain-main masa solat, berikan mereka pujian. Juga berikan pujian yang sewajarnya jika mereka menunjukkan persediaan untuk solat seperti memakai telekung, memakai kopiah, menghamparkan sejadah dan sebagainya. Beritahu bahawa mereka cantik memakai telekung atau kopiah dan anda bangga mendapat anak yang soleh seperti mereka. Dengan cara ini, mereka akan rasa gembira dan semakin tekun untuk solat.
- Ajar Wuduk Langkah-Demi-Langkah
Sebenarnya, cara mendidik anak kecil solat adalah bermula dari wuduk. Jika wuduk sempurna, insyaAllah solat juga akan sempurna. Ajarkan anak mengambil wuduk yang sempurna. Bimbing mereka secara langkah demi langkah. Tampalkan poster wuduk bergambar dalam bilik mereka.
Bersabarlah, mungkin perkara ini mengambil masa untuk dilakukan dengan sempurna oleh anak. Tetapi akan berbaloi jika mereka sudah pandai. Perhatikan juga setiap kali mereka mengambil wuduk dan tegur secara terus jika dia melakukan kesilapan. Dengan cara ini, setiap teguran akan kekal dalam kepala mereka. Jangan serahkan perkara ini kepada guru agama semata-mata.
- Tazkirah Santai Selepas Solat
Ambil sedikit masa selepas solat untuk memberi tazkirah kepada anak-anak. Tidak perlu terlalu formal. Cukup dengan gaya bersahaja dan menyentuh perkara-perkara asas seperti rukun solat, soal jawab bacaan surah lazim, kisah nabi-nabi dan isu-isu semasa. Pada waktu ini, jiwa anak-anak adalah lebih tenang. Oleh itu, ini adalah waktu terbaik untuk memberi pengajaran kerana mereka akan lebih mudah untuk menyerap.
- Sentiasa Dekatkan Anak Dengan Azan
Ajarkan anak untuk menghormati azan. Apabila terdengar azan dilaungkan, berhenti bercakap dan beritahu anak supaya diam. Sebutkan cara menjawab azan dengan jelas supaya anak juga boleh dengar. Selepas itu, baca bersama-sama dengan anak doa selepas azan. Sentiasa praktikkan ini tidak kira di mana jua, sama ada di luar rumah atau di dalam kereta. Amalkan setiap kali mendengar azan.
Ini dapat memberi contoh kepada anak bagaimana untuk menghormati azan, dan secara tidak langsung mengajarkan anak membaca sendiri doa selepas azan. Jika berkesempatan, ceritakan kepada anak apa tujuan azan dan siapakah orang pertama yang melaungkan azan.
- Bawa Anak Ke Masjid
Adalah satu rahmat yang besar jika rumah anda berdekatan dengan masjid. Bawa anak anda ke masjid untuk solat berjamaah bersama-sama. Ini bertujuan mendedahkan mereka dengan suasana solat berjamaah dan menanamkan semangat cintakan masjid.
Jika anda sibuk, usahakan untuk mencari ruang masa sekurang-kurangnya sekali seminggu untuk menghadiri masjid bersama anak-anak. Mungkin anak-anak akan bermain-main dan bising, tetapi salah satu kaedah mengawal anak adalah mengajak mereka solat di sebelah. Mungkin anda tidak dapat solat di saf hadapan, tetapi ada dapat mengawal tingkah laku anak-anak agar tidak mengganggu jamaah lain. InsyaAllah anak juga akan lebih tekun dan tidak mudah terganggu dengan kawan-kawan lain.
- Tegur Kesilapan Anak
Selepas sesi berdoa, biasanya adalah waktu yang sesuai untuk menegur kesilapan solat anak. Mulakan dengan pujian. Setiap kali ingin memperbetulkan sesuatu kesalahan, tarik perhatian anak dengan puji mereka. Ini bukan sahaja dapat mengekalkan fokus anak, malah adalah kaedah mendidik yang sangat baik bagi setiap anak-anak. Jadikan setiap kali sesi solat medan untuk bermesra, bukan untuk tempat melepaskan kemarahan. Ingat, mereka masih kecil. Jangan jadi ibu bapa pemarah.
- Belikan Telekung Atau Kopiah Yang Cantik
Salah satu cara untuk meningkatkan mood anak adalah membelikan mereka kelengkapan solat seperti sejadah, telekung dan kopiah. Lebih-lebih lagi jika telekung atau kopiah itu cantik. Dalam bab itu, berikan kebebasan kepada anak untuk memilih apa yang dia berkenan. Puji mereka agar mereka semakin bersemangat. InsyaAllah usaha mendidik anak akan lebih senang jika mereka dapat beribadah dalam pakaian kegemaran mereka sendiri.
- Amalkan Doa Pelembut Hati Anak-Anak
Semakin anak anda membesar, anda tentu susah hati apabila melihat anak anda liat untuk bersolat. Disuruh beberapa kali, masih tidak berganjak. Terus bertenggek di hadapan televisyen atau gajet eletronik masa kini. Cuba amalkan doa dari Surah Ibrahim, ayat 40 setiap kali selepas solat dan sebelum tidur iaitu dihembuskan di umbun-umbun mereka.
(40) رَبِّ اجْعَلْنِى مُقِيمَ الصَّلوةِ وَمِن ذُرِّيَتِى رَبَّنَا وَتَقَبَّلْ دُعَآءِ
Maksudnya: Wahai Tuhanku! Jadikanlah daku orang yang mendirikan sembahyang dan demikianlah juga zuriat keturunanku. Wahai Tuhan kami, perkenankanlah doa permohonanku.
Kesimpulan
Solat adalah modul latihan yang paling ampuh bagi membina kekuatan jiwa, mental dan iman anak-anak. InsyaAllah, jika anak-anak dilatih solat sejak kecil, mereka tidak akan berasa kekok untuk mengutamakan solat apabila semakin besar. Pahala kerajinan anak-anak bersolat, akan turut melimpah kepada ibu bapa yang gigih melatih anaknya itu bersolat. Maka usah bertangguh lagi dalam mendidik anak anda bersolat. Selamat menunaikan amanah menjinakkan anak-anak dengan solat.
Rujukan :
https://akuislam.com
Tags: #anak malas solat #anak solat #anak tidak mahu solat #cara mendidik anak menunaikan solat #Cara mengajar anak solat #cara menjinakkan anak dengan solat #mengajar anak untuk rajin solat #panduan mengajar anak untuk solat #tips ajak anak solat berjemaah #tips mendidik anak menunaikan solat tanpa paksaan #tips mengajak anak kecil solat #tips mengajar anak kecil solat lima waktu #tips mengajar anak mula solat