Mata wang digital atau mata wang kripto ialah sebahagian daripada evolusi mata wang maya yang dicipta dan disimpan secara elektronik. Cryptocurrency, yang dahulunya kelihatan asing, kini telah menjadi salah satu produk pelaburan popular untuk pelabur di Malaysia.
Perkhidmatan dagangan mata wang digital bukanlah sesuatu yang baru, malah telah didagang di laman dagangan sejak sekian lama. Lebih 150 syarikat di seluruh dunia telah menggunakan mata wang digital sewaktu membuat urus niaga.
Mata wang digital ini membolehkan pemiliknya membuat pembayaran secara maya untuk barang dan perkhidmatan tanpa pembabitan orang ketiga seperti bank, memudahkan proses serta mengurangkan kos transaksi.
Antara contoh mata wang kripto ialah ‘Bitcoin’, ‘Ethereum’, ‘Rip-ple’, ‘Nem’ dan banyak lagi, namun yang paling popular adalah Bitcoin yang dilancarkan pada November 2008 oleh Nakamoto Satoshi.
Menurut www.bnm.gov.my, Bank Negara Malaysia, dalam kenyataannya pada 2 Januari 2014, menyatakan Bitcoin tidak diiktiraf sebagai sah diperlakukan di Malaysia. Bank Negara Malaysia tidak mengawal selia urus niaga Bitcoin. Oleh itu, orang ramai diingatkan supaya berhati-hati terhadap risiko berkaitan penggunaan matawang digital tersebut.
Namun begitu, Bitcoin merupakan antara pilihan utama untuk pelaburan matawang digital di Malaysia, dengan 52.6% pelabur matawang digital menjadikannya sebagai alternatif pelaburan. (2017)
Bitcoin menarik minat pelabur dan usahawan yang melaksanakan perniagaan pada peringkat global mahupun tempatan disebabkan kos transaksinya yang rendah, mengambil masa sangat singkat serta tidak mendedahkan maklumat pengguna.
Setakat ini, terdapat lebih kurang 700 mata wang digital yang didagangkan, tetapi Bitcoin didagangkan di lebih 40 buah negara di seluruh dunia. Status mata wang digital bermaksud tiada wang kertas atau duit syiling yang akan dikeluarkan oleh kerajaan, sebaliknya, wang ini akan dijana sepenuhnya oleh komputer.
Risiko Pelaburan Mata Wang Digital
Menurut laporan akhbar TheSun, kebanyakan rakyat Malaysia membeli Bitcoin kerana:
- Pelaburan (44%)
- Kepantasan transaksi yang memudahkan dengan kos berpatutan (16%)
- Urusan dagangan (15%)
Walaupun begitu, pengguna masih terdedah dengan risiko apabila melabur dalam mata wang Bitcoin. Antara risiko tersebut ialah:
- Terdedah kepada ancaman penggodam
Oleh kerana Bitcoin dan mata wang digital yang lain beroperasi dengan teknologi blockchain, kepantasan serta status perlindungan identiti pindahan wang menyebabkan ia berpotensi untuk menjadi platform dagangan pasaran gelap dan pengubahan wang haram (money laundering). Ciri seperti kepantasan dan perlindungan indentiti digemari oleh penjenayah, dan serangan penggodam Wannacry baru-baru ini memburukkan lagi keadaan.
Penggodam tersebut meminta wang tebusan dalam bentuk mata wang digital, menyebabkan permintaannya meningkat disebabkan kerisauan atas serangan yang sama pada masa akan datang. Serangan tersebut diikuti dengan godaman ke atas dagangan mata wang digital.
Tidak seperti serangan Wannacry, serangan kali ini merupakan DDoS (Distributed Denial of Service), yang memberi impak atas server, yang menjadikan sistem terganggu dan aktiviti dagangan tergendala.
- Nilai mata wang tidak menentu
Menurut Ringgit Edisi 89, Pada Januari 2017, Bitcoin sekali lagi mendapat liputan meluas kerana telah melepasi nilai AS$1,000 untuk satu Bitcoin. Bitcoin juga merupakan mata wang dengan prestasi terbaik pada tahun 2016, dengan nilai yang melonjak 120%, melebihi kenaikan 20% oleh mata wang Ruble dari Rusia dan Real dari Brazil.
Antara faktor yang mendorong kepada kenaikan nilai Bitcoin ialah polisi penyemakan nilai mata wang di India dan juga pelaksanaan langkah membanteras rasuah yang lebih ketat di China kerana mata wang digital digunakan untuk menyembunyikan wang rasuah.
Oleh kerana mata wang digital Bitcoin mempunyai nilai yang turun naik, bermakna jika nilainya naik, keuntungan yang anda boleh jana amat tinggi. Tetapi, kejatuhan nilainya juga akan menyebabkan anda menanggung kerugian.
- Menjadi mangsa penyalahgunaan
Sehingga kini, masih tiada lagi fatwa berkaitan penggunaan Bitcoin dari kaca mata syariah di Malaysia, secara tidak langsung menyebabkan penggunaan Bitcoin boleh jadi berisiko kerana belum diiktiraf di bawah mana-mana perundangan oleh mana-mana negara serta tiada aset yang mendasarinya.
Akibatnya, perlindungan undang-undang dan cagaran aset terhadap pengguna Bitcoin sangat lemah. Ringkasnya, Bitcoin boleh digunakan secara rahsia tanpa disertakan perincian maklumat pengguna, selain daripada nombor yang berbentuk kriptografi di seluruh negara, merentas sempadan tanpa pengawalan daripada mana-mana pihak.
Disebabkan ciri unik Bitcoin yang tidak dikawal selia mana-mana institusi, ada risiko untuk penyalahgunaan Bitcoin seperti penipuan, pembersihan wang haram, pencurian serta manipulasi berkaitan penawaran dan permintaan yang akan menyebabkan jurang turun naik harga yang tinggi secara mendadak.
- Risiko kecurian
Walaupun rangkaian penggunaan Bitcoin yang menggunakan sistem DLT dikatakan sangat sukar digodam, dompet digital pengguna tidak 100 peratus dijamin terselamat daripada risiko kecurian dan penipuan. Wujud juga ancaman bagi pengguna yang menyimpan dompet Bitcoin dalam komputer peribadi mereka yang berisiko mengalami kecurian jika tidak melindungi komputer dengan perisian antivirus.
Selain itu, perkembangan akta keselamatan siber yang tidak seiring dengan kelajuan perkembangan teknologi Bitcoin juga membuka ruang kepada penjenayah siber untuk beraksi.
Kesimpulan
Bitcoin dan mata wang digital yang lain dianggap sebagai mata wang masa hadapan. Pelaburan dalam Bitcoin bergantung kepada sejauh mana seseorang pelabur itu sanggup menerima pelbagai jenis risiko.
Untuk pelabur konservatif yang tidak gemarkan risiko, Bitcoin ibarat perjudian, dan kekurangan dari segi ketelusan menyukarkan proses untuk meramal status mata wang digital ini, sama ada ia bakal meningkat ataupun tidak.
Nilai Bitcoin yang turun dan naik boleh memberi kesan kepada pelaburan anda. Kesimpulannya, anda berpotensi untuk menjana keuntungan dari Bitcoin, tapi ingat apabila nilainya turun, anda bakal menanggung kerugian yang tinggi.
Sumber : https://www.comparehero.my/ https://www.bnm.gov.my
Tags: #apa itu bitcoin #bahaya bitcoin #bahaya melabur bitcoin #bitcoin #bitcoin melabur #BTC #Ketahui risiko pelaburan mata wang digital #mata wang kripto #matawang bitcoin #pelaburan bitcoin #risiko bitcoin #risiko mata wang kripto #risiko pelaburan bit coin #risiko pelaburan mata wang maya