Balasan Jika Tidak Menunaikan Solat Fardhu, Ini Jelas Disebutkan Dalam Al-Quran dan Hadith!

Balasan Jika Tidak Menunaikan Solat Fardhu, Ini Jelas Disebutkan Dalam Al Quran Dan Hadith!

Mengerjakan solat fardhu adalah satu kewajiban bagi umat Islam. Solat lima waktu merupakan antara salah satu rukun Islam yang wajib dilakukan oleh umat Islam. Solat fardhu lima waktu sehari dan semalam adalah wajib ditunaikan oleh setiap muslim selagi masih sempurna akalnya. Muslimah juga tidak mempunyai alasan untuk meninggalkan solat melainkan mereka yang sedang haid dan nifas. Manakala, orang yang sakit tenat juga tidak terlepas untuk mendirikan solat iaitu jika tidak dapat berdiri untuk mendirikan solat, maka solat tersebut boleh dilakukan dengan duduk atau berbaring.

Solat fardhu adalah wajib ditunaikan segera dan tidak bolek dilambat-lambatkan waktunya. Seseorang yang melambat-lambatkan waktu solat akan mendapat balasan yang amat buruk di Akhirat kelak dari Allah SWT. Dipetik dari azharjin.blogspot.my, di dalam kitab Zawajir halaman 114 jilid pertama, terdapat sebuah hadith yang menyatakan ancaman bagi seseorang yang merasakan berat untuk menunaikan solat fardhu, khususnya solat Subuh dan Isyak. Al-Bazzar berkata :

“Kemudian Nabi SAW datang kepada satu golongan yang dilempar kepalanya dengan batu. Ketika kepala itu dilempar dengan batu-batu tersebut, maka kembalilah ia seperti sediakala dan tiada satu pun yang berhenti dari mereka akan keadaan itu. Rasulullah s.a.w bersabda: ‘Hai Jibrail, siapakah mereka itu?’ Malaikat Jibrail lalu berkata, ‘Mereka itu adalah orang-orang yang merasa berat kepalanya untuk menunaikan solat.”

Islam menganggap orang yang tidak mahu menunaikan solat sebagai melakukan suatu perlanggaran besar dalam agama. Mereka telah melakukan kerosakan dan jenayah yang boleh merosakkan dirinya sendiri, keluarga dan masyarakat. Terdapat sebanyak 67 kali perkataan solat disebut di dalam al-Quran dan terdapat 17 kali perintah untuk mengerjakannya. Ini bermakna, perintah mengerjakan solat merupakan perintah yang terberat berbanding dengan perintah-perintah yang lain. Antara ayat yang memberi amaran keras mengenai orang-orang yang melalaikan solat fardhu lima waktu ialah pada ayat ke-59 dalam Surah Maryam yang bermaksud:

“Kemudian datanglah sesudah mereka (yang taat), pengganti yang mengabaikan solat serta menurut hawa nafsunya, maka mereka akan menghadapi azab dalam neraka.”

Seseorang yang meninggalkan solat akan ditimpa ancaman di dunia dan di Akhirat. Barang siapa yang mengabaikan solat, pasti Allah akan menyeksa dengan seksaan iaitu lima seksa di dunia, tiga seksa ketika menghadapi Sakaratulmaut, tiga seksa di dalam kubur dan tiga lagi seksa di hari Akhirat.

Seksa ketika di dunia

  • Dicabut keberkatan pada umurnya.
  • Dicabut tanda kesolehan pada wajahnya.
  • Setiap amalannya tidak akan diberikan pahala.
  • Doanya tidak akan diangkat ke langit.
  • Matinya tidak ada iman.

Seksa ketika menghadapi Sakaratulmaut

  • Matinya dalam keadaan yang hina.
  • Matinya dalam keadaan yang lapar.
  • Matinya dalam keadaan yang dahaga.

Seksa ketika di dalam kubur

  • Allah akan menyempitkan liang lahad sehingga akan bersilang tulang rusuknya.
  • Allah akan menyulutkan (ditekan dari atas) ke atasnya di dalam kubur.
  • Dia akan dipanggang di dalam kuburnya siang dan malam.
  • Didatangkan kepadanya seekor ular bernama Suja’ul Aqra untuk menerkamnya dan menyeksanya selama kira-kira waktu solat.

Seksa di hari Akhirat

  • Seutas rantai akan digantung di leher mereka,berukuran sepanjang 70 hasta kemudian akan dimasukkan ke dalam mulutnya dan akan ditarik keluar dari duburnya. Lalu malaikat mengisytiharkan, “Ini adalah balasan bagi orang yang meninggalkan kewajipan-kewajipan Allah SWT.” Menurut Ibnu Abbas r.a, “Sekiranya lingkaran rantai itu jatuh ke bumi, pasti bumi akan terbakar.”
  • Allah SWT tidak akan memandangnya dengan pandangan rahmat.
  • Allah SWT tidak akan menyucikannya dari dosa dan ia akan diseksa dengan azab yang amat pedih. Di dalam neraka jahanam terdapat sebuah jurang yang disebut Lamlam yang terdapat banyak ular-ular yang sangat berbisa. Saiz setiap ekor ular adalah sebesar leher unta, manakala panjangnya pula adalah sepanjang selama satu bulan perjalanan dan ular tersebut akan mematuk orang yang meninggalkan solat sehingga mendidih bisanya di dalam tubuh manusia selama 70 tahun kemudian daging akan menjadi busuk.

Orang yang meninggalkan solat akan dimasukkan ke dalam neraka

Terdapat banyak ayat-ayat yang menerangkan tentang hukuman serta seksaan yang akan ditanggung oleh golongan yang melalaikan solatnya. Pada ketika itu iaitu hari Akhirat, golongan ini akan menanggung seksaan yang teramat beratnya serta bukan kepalang seksaannya. Kehidupan mereka akan berakhir dengan dihalau masuk ke dalam neraka Jahanam secara berbondong-bondong, ibarat seorang pengembala yang menghalau haiwan ternakannya masuk ke sungai untuk dimandikan. Perkara ini jelas diterangkan di dalam ayat suci al-Quran.

Firman Allh SWT :

Mereka orang-orang kafir dibawa ke dalam neraka jahanam secara beramai-ramai sehingga apabila mereka sampai ke neraka, dibukalah pintu-pintunya. Dan berkatalah penjaga-penjaga neraka itu, “Apakah belum pernah sampai kepadamu rasul-rasul antaramu yang menyampaikan ayat-ayat Tuhanmu dan memperingatkan kamu akan pertemuan pada hari ini?” Mereka menjawab, “Ya, tetapi apalah boleh buat, azab telah pasti berlaku bagi orang-orang kafir.” (Surah Az-Zumar, ayat 71)

Ancaman bagi mereka yang meninggalkan solat fardhu lima waktu nyata dan tegas disebutkan di dalam Al-Quran. Sekurangnya ada dua nama neraka yang disebut-sebut di dalam Al-Quran buat mereka yang tidak mengerjakan solat. Neraka yang pertama bernama Neraka Saqar, dan yang kedua bernama Neraka Wail.

Neraka Saqar

Di dalam Al-Quran diceritakan bagaimana orang-orang yang sedang diseksa di dalam neraka Saqar ditanya tentang sebab mereka dimasukkan ke dalamnya. Meskipun ada beberapa penyebab, ternyata jawapan mereka yang pertama adalah kerana mereka meninggalkan solat.

Allah berfirman :

Penduduk Syurga bertanya kepada ahli neraka, “Apakah yang memasukkan kamu ke dalam Saqar (neraka)?” Mereka menjawab, “Kami dahulu tidak termasuk orang-orang yang mengerjakan solat.” (Surah Al-Muddatsir, ayat 42-43)

Tentu sekali yang dimaksudkan dengan solat yang ditinggalkan bukanlah solat sunat kerana solat sunat itu tidak berdosa kalau ditinggalkan. Solat yang ditinggalkan di sini dan menjadi penyebab seseorang dimasukkan ke dalam neraka Saqar adalah solat fardhu lima waktu.

Lembah Wail

Dalil tentang neraka Wail terdapat di dalam ayat berikut :

Maka celakalah bagi orang-orang yang solat, iaitu yang lalai dari mengerjakan solatnya. (Surah Al-Ma’un, ayat 4-5)

Ramai orang menjadikan ayat ini sebagai ancaman buat orang yang tidak khusyuk dalam solatnya sehingga seolah-olah orang yang solatnya tidak khusyuk akan mendapat kecelakaan. Padahal sebenarnya ayat ini bukan membicarakan tentang orang yang tidak khusyuk dalam solat, melainkan membicarakan tentang orang yang meninggalkan atau sengaja tidak mengerjakan solat. Lalai dari mengerjakan solat bukan maksudnya tidak khusyuk, tetapi tidak mengerjakan solat atau meninggalkan solat.( www.panggilandarisurau.com)

Sebahagian ulama mengatakan bahawa selain makna wail adalah celaka, wail juga merupakan nama sebuah lembah di dalam neraka. Diriwayatkan bahawa Rasulullah SAW bersabda :

“Telah diperlihatkan neraka Jahannam kepadaku, maka aku tidak melihat lembah yang lebih besar dari Al-Wail.”

Ibnu Al-Abbas r.a mengatakan bahawa Al-Wail adalah nama sebuah lembah yang terdapat di dalam neraka Jahannam, di dalamnya mengalir nanah dari penghuni Jahannam. An-Nu’man bin Basyir menyebutkan bahawa Al-Wail adalah nama sebuah lembah (wadi) di dalam neraka Jahannam, yang di dalamnya terdapat azab yang bermacam-macam. Diriwayatkan bahawa Al-Wail adalah lembah di dalam neraka Jahannam yang mengalirkan nanah dari para penduduk Jahannam.

Orang yang meninggalkan solat tidak diterima amalannya

Solat merupakan tiang agama. Terdapat sebuah hadith riwayat Thabrani yang menyebut bahawa setiap amalan kebaikan itu ada kuncinya iaitu solat lima waktu. Hal ini bermaksud, kebaikan tidak akan bererti jika tidak terdapat kuncinya. Selain itu, hadith Tabrani ini juga ada menyebut bahawa di Akhirat nanti, seorang hamba akan disekat dengan hanya disebabkan oleh amalan solat yang dilakukan di dunia.

Jika amalan solat yang dilakukan sempurna, maka segala amalan yang dilakukan akan diterima. Jikalau sebaliknya pula iaitu solat yang dilakukan tidak sempurna, maka segala amalan yang dilakukan akan ditolak. Hal tersebut boleh dirujuk berdasarkan hadith Rasulullah SAW yang bermaksud :

“Amalan seorang hamba yang pertama sekali dihisab di Akhirat ialah solatnya. Jika solatnya baik, maka amalan yang lainnya juga dianggap sempurna. Dan jika solatnya rosak maka amalan yang lain akan turut dianggap rosak.” (Hadith Riwayat Thabrani)

Orang yang meninggalkan solat dihukum kafir

Orang yang meninggalkan solat lima waktu kerana menolak serta mengingkari tentang hukum wajibnya akan dihukumkan kafir menurut sesetengah ulama. Mereka telah mengetahui akan hukumnya meninggalkan solat itu, namun tetap jua melakukannya. Maka, dalam hal tersebut, mereka wajib dihukum oleh pihak yang berkuasa jika mereka enggan bertaubat. Pendapat ulama ini adalah merujuk kepada hidith sahih Imam Ahmad, daripada bapanya sebagai sumber rujukan yang bermaksud :

“Jaminan berbaik-baik antara kita dengan mereka yang mengaku dirinya Islam ialah mengerjakan solat. Sesiapa yang meninggalkan solat, maka sesungguhnya termasuklah ia dalam kekafiran.” (Hadith Riwayat Imam Ahmad)

Di dalam hadith lain pula ada menyebut :

Daripada Jabir r.a berkata, “Aku mendengar bahawa Rasulullah SAW bersabda; perkara yang menghubungkan seseorang hamba dengan kekufuran ialah meninggalkan solat.”

Menurut azharjin.blogspot.my, di dalam kitab al-Muhazzab pula menerangkan jika seseorang yang meninggalkan solat kerana malas sedangkan mereka faham dan tahu akan hukum meninggalkan solat serta tahu akan kewajipan menunaikannya, maka mereka perlu dihukum sebagai fasiq.

Rujukan :

http://www.panggilandarisurau.com
http://azharjin.blogspot.my
Loading...

Tags: #ancaman kepada mereka yang meninggalkan solat #Apa Jadi Kalau Tak Solat #azab meninggalkan solat #balasan di dalam kubur kerana meninggalkan solat #balasan di dunia kerana meninggalkan solat #balasan di hari Akhirat kerana meninggalkan solat #Balasan Jika Tidak Menunaikan Solat Fardhu #balasan ketika sakaratulmaut kerana meninggalkan solat #balasan mengabaikan solat lima waktu #balasan meninggalkan solat #balasan meninggalkan solat fardhu #balasan tidak solat #dalil tentang balasan meninggalkan solat #dosa meninggalkan solat #dosa tidak mengerjakan solat #hadis tentang balasan meninggalkan solat #kewajiban solat fardhu #lembah wail #muslim tinggal solat #neraka bagi golongan yang meninggalkan solat #neraka wail #nerka saqar #orang islam tak sembahyang #seksaan meninggalkan solat #tidak sembahyang #tinggal solat fardu

Kaitan Bangsa Yahudi dengan Nabi Yusuf A.S
Makam Nabi Yusuf A.S Makam Nabi Yusuf adalah tempat suci dalam Islam dan
15 Perkara Yang Menurunkan Bala Kepada Umat Akhir Zaman
Daripada Ali bin Abi Thalib r.a Rasulullah saw bersabda ; “Apabila umatku telah
Peperangan Khandak Dalam Sejarah Perkembangan Islam
Perang Khandak, juga dikenali sebagai Perang Parit, adalah pertempuran yang berlaku pada 5
Peperangan Uhud Dalam Sejarah Perkembangan Islam
Perang Uhud adalah pertempuran penting yang terjadi pada tahun 3 Hijriah (sekitar Oktober

Comments are closed.