Pengertian Badal Haji
Badal ertinya ‘ganti’,’pengganti’, atau yang ‘digantikan’. Oleh itu Badal Haji adalah menggantikan orang lain dalam melaksanakan ibadah haji kerana adanya halangan tertentu seperti penyakit ,usia tua (uzur) atau kematian bagi melaksanakan kesemua Rukun Islam. Seperti yang dimaksudkan dalam surah ‘Ali Imran ayat 97:
“Di sana terdapat ayat-ayat yang jelas dan ada makam Nabi Ibrahim,dan sesiapa yang memasukinya amanlah dia. Hanya untuk Allahlah kewajipan haji atas manusia , iaitu bagi sesiapa yang mampu melakukan perjalanan; dan sesiapa yang kafir (ingkar) sesungguhnya Allah Maha Kaya dari seluruh semesta alam.”
Apa itu Upah Haji?
Upah Haji ialah mengupah seorang yang telah pun menunaikan fardhu haji untuk dirinya sendiri dengan sempurnanya untuk melakukan fardhu haji bagi orang lain pula. Orang lain itu maksudnya sama ada telah meninggal dunia yang berupaya semasa hidupnya, tetapi tidak mengerjakan haji atau orang yang mempunyai cukup syarat wajib haji tetapi tidak mampu mengerjakan hajinya sendiri kerana keuzuran (sakit) yang tiada harapan untuk sembuh atau terlalu tua umurnya dan tidak mampu dari segi kesihatan untuk pergi sendiri menunaikan fardhu haji di Tanah Suci.
Beberapa syarat perlu dipatuhi agar pelaksanaan Badal Haji memenuhi kehendak syarak iaitu :
Syarat-syarat Mewajibkan Badal Haji (Al-Ihjaj)
Badal Haji hanya dapat dilaksanakan bagi pihak mereka yang disahkan tidak mampu melaksanakan ibadat haji menurut syarak. Ketidakmampuan ini merangkumi perkara-perkara berikut:
- Meninggal dunia;
- Dikurung (dipenjara atau sebagainya);
- Dihalang;
- Menghidap penyakit yang tidak akan sembuh;
- Mengalami kecacatan fizikal seperti buta (jika ia tidak mampu mengadakan pemandu);
- Usia tua yang tidak mampu melakukan ibadat haji dan menempuh perjalanan yang jauh
Ketidakmampuan yang disyaratkan ini hendaklah sesuatu yang dijangka akan berterusan sehingga seseorang yang wajib melakukan ibadat haji itu meninggal dunia.
Syarat-syarat Bagi Pelaksana Badal Haji
Pelaksanaan Badal Haji wajiblah dilakukan oleh mereka yang sudah melakukan ibadat haji untuk dirinya sendiri. Jika ia dilakukan oleh mereka yang belum melakukan ibadat haji, maka haji tersebut dianggap telah dilakukan bagi dirinya sendiri dan bukan bagi pihak mereka yang mewakilkan atau mengupahnya. Ini berdasarkan sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Imam Abu Daud dan Ibnu Majah daripada Ibnu Abbas r.a:
“Nabi Muhammad SAW telah mendengar seorang lelaki berkata: Wahai Rasulullah, adakah aku boleh menunaikan haji bagi Syubrumah? Rasulullah bertanya: Siapakah Syubrumah? Lelaki itu menjawab: Dia adalah saudaraku atau salah seorang dari kaum kerabatku. Rasulullah bertanya lagi: Adakah kamu telah menunaikan haji bagi dirimu? Lelaki itu menjawab: Belum. Rasulullah bersabda: Tunaikanlah haji bagi dirimu dahulu, kemudian barulah kamu menunaikan haji bagi Syubrumah.”
Syarat-syarat sah Badal Haji
- Mereka yang melaksanakan Badal Haji perlu mendapat keizinan daripada individu yang tidak mampu menunaikan ibadat haji (ma’dhub) tersebut jika dia masih hidup. Jika dia sudah meninggal dunia, mereka tidak memerlukan sebarang keizinan atau wasiat daripada si mati di dalam menunaikan Badal Haji tersebut.
- Perbelanjaan atau upah bagi melaksanakan Badal Haji ini hendaklah diambil daripada harta mereka yang tidak mampu menunaikan ibadat haji. Jika dia meninggal dunia, ia boleh diambil daripada sebahagian atau keseluruhan harta peninggalannya kerana ibadat haji adalah sama sebagaimana hutang seperti yang disebutkan di dalam hadis di atas.
Imam An-Nawawi menjelaskan melalui tulisan beliau iaitu Raudhatut Talibin, Badal Haji dilakukan di dalam dua keadaan bagi mereka yang tidak mempunyai sebarang harta atau si mati yang tidak mempunyai harta peninggalan. Dua keadaan tersebut ialah:
- Anak-anak, cucu-cucu dan mereka yang tidak mempunyai sebarang hubungan kekeluargaan (ajnabi) memberi bantuan kewangan dalam bentuk upah menunaikan Badal Haji. Bantuan kewangan yang diberi ini dianggap sebagai sedekah jariah.
- Anak-anak, cucu-cucu dan mereka yang tidak mempunyai sebarang hubungan kekeluargaan (ajnabi) tersebut boleh menunaikan sendiri Badal Haji ini dengan syarat:
- Sudah menunaikan ibadat haji;
- Ia ditunaikan oleh mereka yang boleh dipercayai dari segi syarak; dan
- Tidak mempunyai halangan untuk melaksanakan ibadat haji.
- Berniat menunaikan haji bagi pihak mereka yang tidak mampu menunaikan ibadat haji tersebut atau si mati seperti: “Sahaja aku berniat menunaikan haji bagi pihak si fulan bin si fulan dan berihram dengannya kerana Allah SWT”.
Di samping itu juga, sekiranya dia berniat melakukan Haji Qiran sedangkan dia telah diupah bagi melakukan Haji Ifrad, maka ibadat haji tersebut tetap sah dan diterima dari sudut syarak. Akan tetapi, jika dia berniat melakukan Haji Tamattu’ sedangkan dia telah diupah bagi melakukan Haji Ifrad, maka haji tersebut tidak sah.
- Seseorang yang menerima upah Badal Haji perlu melaksanakannya dengan dirinya sendiri (jika akad Ijarah ’Ainiyyah). Sekiranya dia sakit atau mempunyai halangan untuk melaksanakannya, dia boleh mewakilkannya kepada orang lain (jika akad Ijarah Zhimmiyyah) sekiranya mendapat:
- Keizinan daripada pengupah; atau
- Pengupah melafazkan akad secara umum.
- Para ulamak bersepakat bahawa mereka yang melaksanakan Badal Haji perlu melaksanakannya dari miqat mereka yang tidak mampu menunaikan ibadat haji atau si mati tersebut.
- Seseorang pelaksana Badal Haji hanya boleh menerima satu upah pelaksanaan Badal Haji bagi setiap musim haji.
- Seseorang pelaksana Badal Haji tidak melakukan sebarang perbuatan yang boleh membatalkan ibadat haji yang sedang ditunaikan seperti bersetubuh dan sebagainya. Jika perbuatan tersebut tetap dilakukan, dia wajib menqadha’kan ibadat haji yang telah terbatal.
Soal Jawab Badal Haji
S : Apakah hukum menghajikan orang yang telah meninggal dunia?
J : Jika orang yang telah meninggal dunia itu belum mengerjakan haji sedang dia ada meninggalkan harta maka hukumnya wajib dihajikan daripada hartanya. Kalau ia tidak ada harta peninggalan tidaklah wajib waris menghajikannya tetapi kalau dibuatkan adalah baik. Ini pada haji pertama. Adapun jika si mati sudah pernah mengerjakannya, semasa hidupnya maka tidaklah sah dihajikan lagi kecuali jika dia ada bernazar atau dia berwasiat supaya dihajikan.
S : Adakah wajib dihajikan orang yang telah meninggal dunia dari harta peninggalannya sedangkan semasa hayatnya beliau belum lagi menyempurnakannya walaupun kemampuannya telah mencukupi?
J : Ya, wajib di hajikan daripada harta peninggalannya kerana kewajipan itu tertakluk kepada harta dan menjadi tanggungjawab waris mengeluarkan bahagian hajinya.
S : Apakah wajib ke atas si waris untuk menghajikan orang yang meninggal dunia yang tidak meninggalkan sebarang harta pusaka?
J : Tidak wajib.
S :Apakah pahala yang dapat diperolehi jika mengerjakan haji bagi orang yang meninggal dunia?
J : Orang yang mengerjakannya dapat pahala membantu dalam perkara kebajikan. Orang yang mati itu pula gugur kewajipan.
S : Bolehkah seorang yang tua atau uzur kerana sakit dan tidak ada harapan sembuh mewakilkan kepada orang lain untuk mengerjakan haji bagi dirinya?
J : Ya. Boleh mewakilkan orang lain jika ia tidak ada harapan lagi untuk mengerjakan hajinya sendiri. Orang ini termasuk dalam erti kata “makdhub”.
S : Bolehkah seorang wanita mengerjakan haji untuk seorang lelaki yang meninggal dunia?
J : Boleh.
S : Bolehkah seseorang mengerjakan haji untuk orang yang meninggalkan dunia lebih dari seorang?
J : Setiap orang hanya boleh mengerjakan haji untuk seorang di dalam satu-satu tahun itu.
S : Bolehkah seorang mengerjakan umrah untuk orang lain sesudah dia mengerjakan haji dan umrah wajibnya?
J : Ya. Boleh.
S : Apakah istilah berkemampuan dalam ibadat haji?
J : Kemampuan ialah:
a. Ada perbelanjaan bagi diri sendiri, tanggungan yang dibawa dan orang yang tinggal yang wajib ditanggung nafkahnya.
b. Sihat badan
c. Aman perjalanan dan ada kenderaan.
d. Tidak suntuk masa untuk pergi setelah ada kemampuan pada tahun itu.
S : Adakah hukumnya salah, apabila seseorang mengerjakan haji dari perbelanjaan yang dikeluarkan oleh orang lain?
J : Tidak salah. Tetapi tidak wajib ia menerimanya kerana takut menanggung budi.
S : Bolehkah seseorang berhutang untuk menunaikan fardhu haji?
J : Tidak wajib haji selagi belum ada kemampuan. Dengan ini tidak perlu berhutang. Kalau dia berhutang juga sedang dia tidak ada cagaran untuk membayarnya maka ia berdosa kerana menyusahkan dirinya dengan perkara yang belum diwajibkan.
S : Adakah dibolehkan seorang mengerjakan haji sedangkan dia belum melunaskan semua hutangnya yang dibayar setiap bulan dari potongan gajinya?
J : Ya, dia boleh mengerjakan haji kerana ia ada mempunyai cagaran untuk membayar hutangnya. Malah jika dia ada wang simpanan yang memang tidak digunakannya untuk membayar hutang, wajiblah ia mengerjakan haji apabila sampai masanya sebagaimana ia wajib menzakatkan wang itu melainkan kalau digunakannya wang itu semua untuk membayar hutangnya itu.
S : Sahkan haji seseorang yang menggunakan wang si mati di mana dia adalah penerima yang pertama?
J : Sah hajinya
Tags: #apa itu badal haji #Badal haji #haji badal #maksud badal haji #pengertian badal haji #soal jawab badal haji #soal jawab upah haji #syarat badal haji #syarat-syarat bagi pelaksana badal haji #syarat-syarat mewajibkan badal haji #syarat-syarat sah badal haji #upah haji