Masalah kelumumur boleh terjadi kepada semua orang di dunia ini tanpa mengira umur, jantina atau bangsa. Jika tidak diatasi segera, kulit kepala semakin gatal dan membuatkan rambut anda berbau kurang menyenangkan.
Kehadirannya sangat merimaskan dan membuatkan seseorang itu berasa tidak selesa dengan diri sendiri terutamanya apabila berdepan dengan masyarakat. Jangan buang masa lagi, atasi masalah kelumumur dengan menggunakan lima bahan ini sebagai amalan penjagaan diri anda. Selamat mencuba!
1. Limau Purut
Limau purut atau bahasa saintifiknya Citrus Hystrix ini bukan sahaja digunakan secara meluas dalam dunia masakan malahan boleh diamalkan untuk kecantikan terutamanya rambut.
Ianya dikatakan mampu mengatasi masalah kelumumur, membersihkan kulit kepala serta menyegar dan mengharumkan rambut si pemakai.
Cara rawatan:
- Ambil beberapa biji limau purut dan potong kepada dua bahagian. Kemudian, gosokkan pada kulit kepala dan biarkan dalam 5 hingga 10 minit sebelum dibilas dengan air bersih. Lakukan 3 kali seminggu untuk mendapat kesan yang lebih baik.
2. Cuka Putih
Tahukah anda, asid asetik yang terdapat dalam cuka putih mampu mengatasi masalah kelumumur dengan menghalang pertumbuhan kulat pada kulit kepala kita.
Cara rawatan:
- Campurkan setengah cawan cuka putih dengan setengah cawan air ke dalam mangkuk (boleh tambah sedikit air kalau tidak mencukupi). Kacau sehingga sebati kemudian sapukan pada kulit kepala dan rambut. Usap perlahan-lahan dan biarkan selama 10 hingga 15 minit. Bilas rambut dengan air bersih atau syampu (supaya rambut tidak berbau cuka).
3. Santan Kelapa
Selain limau purut dan cuka, santan kelapa juga dapat membantu merawat kulit, mengatasi masalah kelumumur dan menyuburkan rambut anda. Pastinya rambut anda kelihatan bersinar dan hitam jika diamalkan selalu.
Cara rawatan:
- Sebelum menyapukan santan kelapa, pastikan anda bilas rambut anda sehingga bersih. Seterusnya, sapukan santan kelapa ke seluruh bahagian rambut dan kulit kepala. Kemudian, tutup kepala anda dengan tuala selama 15 hingga ke 20 minit. Selepas itu, cucikan rambut anda sehingga bersih.
4. Daun Pandan
Tidak dinafikan, daun pandan mempunyai keistimewaannya tersendiri. Daunnya bukan sahaja membangkitkan aroma wangi kepada rumah anda bahkan dapat menghalang haiwan-haiwan perosak berkeliaran di sekitarnya.
Di samping itu, daun pandan juga dapat mengurangkan masalah kelemumur, melebatkan rambut dan menghilangkan masalah rambut berbau.
Cara Rawatan:
- Ambil empat atau lima helai daun pandan dan cuci sehingga bersih. Kisar daun pandan bersama air menggunakan mesin pengisar sehingga hancur. Kemudian, tapis air daun pandan untuk dibuat perapi selepas syampu rambut. Buang hampasnya setelah ditapis. Sapu air daun pandan ke seluruh kulit kepala dan rambut sambil membuat urutan secara perlahan-lahan. Biarkan selama 10 minit dan cuci seperti biasa. Lakukan sebanyak dua atau tiga kali seminggu untuk mendapat hasil yang memberangsangkan.
5. Serbuk Penaik (Baking Soda)
Siapa sangka, serbuk penaik atau baking soda mempunyai pelbagai manfaat kepada kita semua. Selain digunakan sebagai bahan masakan dan agen pencuci, serbuk ini sangat berguna untuk penjagaan diri lebih-lebih lagi dalam soal kesihatan rambut.
Kebiasaanya, serbuk penaik ini dijadikan skrub yang berfungsi sebagai membuang kulit-kulit mati di kepala dan kelemumur yang melekat di rambut anda.
Cara rawatan:
- Campurkan satu sudu serbuk penaik dengan secawan air bersama beberapa titik minyak rosemary (jika ada) di dalam mangkuk. Kemudian, sapukan di kulit kepala. Tunggu sehingga 5 hingga 10 minit dan cuci rambut anda sehingga bersih.
Tags: #Atasi Masalah Kelumumur #kelumumur #kepala gatal #mengatasi kelumumur pada rambut #petua alami hilangkan kelumumur #petua hilangkan kelumumur #rambut ada kelumumur #rawat rambut berkelumumur #rawatan kelumumur rambut #tips hilangkan kelumumur