Amalan Isteri Derhaka Kepada Suami Walaupun Tanpa Disedari

Amalan Isteri Derhaka Kepada Suami Walaupun Tanpa Disedari

Wanita solehah adalah sebaik-baik perhiasan dunia sebagaimana sabda Nabi SAW yang bermaksud :

“Dunia ini adalah perhiasan dan sebaik-baik perhiasan itu adalah wanita solehah. ” (Hadis Riwayat Muslim)

Wanita cukup mudah untuk memasuki syurga Allah SWT apabila dia memenuhi empat ciri-ciri wanita solehah iaitu menunaikan solat fardu, puasa bulan Ramadan, menjaga maruah dan mentaati suaminya. Sebagaimana hadis Nabi SAW yang bermaksud :

“Apabila seorang wanita (isteri) itu telah melakukan sembahyang lima waktu, puasa bulan Ramadan, menjaga maruahnya dan mentaati perintah suaminya, maka ia dijemput di akhirat supaya masuk syurga mengikut pintunya mana yang ia suka (mengikut pilihannya).”(Hadis Riwayat Ahmad, Ibnu Hibban dan Thabrani)

Walaupun wanita mudah masuk syurga kenapa pula wanita ramai di neraka sebagaimana Nabi SAW melihat ketika Israk dan Mikraj.

“Aku telah meninjau syurga dan aku dapati kebanyakan penghuninya ialah kaum miskin, dan aku juga meninjau neraka dan aku dapati kebanyakannya penghuninya ialah kaum wanita .” (Hadis Riwayat Bukhari)

Walaupun banyak jalan kebaikan boleh dilakukan dan memudahkan wanita memasuki syurga Allah SWT, tetapi terdapat beberapa halangan terpaksa dihadapi oleh para wanita . Jika wanita tidak mengambil perhatian serius dan tidak berwaspada pada halangan, dugaan dan cabaran dikhuatiri wanita akan terjebak melakukan dosa dan dengan itu mereka akan dimasukkan ke dalam api neraka.

Seorang isteri tentulah mempunyai tugas dan tanggungjawab terhadap suami. Tanggungjawab ini adalah suatu perkara yang besar dan tidak boleh diabai-abaikan. Isteri yang mengabaikannya senang mendapat laknat dan dikhuatiri termasuk ke dalam kategori isteri derhaka (nusyuz).

Rasulullah SAW dalam sebuah hadis yang diriwayatkan oleh ‘Aisyah radhiallahu ‘anha bermaksud:

“Aku pernah bertanya kepada baginda: “Siapakah orang yang paling berhak ke atas isteri ?” Baginda menjawab:”Orang yang paling berhak kepada isteri ialah suaminya”. Kemudian aku bertanya lagi :”Dan siapakah orang yang paling berhak ke atas suami?” Baginda menjawab:”Orang yang paling berhak ke atas seorang suami ialah ibu kandungnya.” (Hadis Riwayat Bazar dan al-Hakim)

Dalam sebuah hadis yang lain pula baginda bersabda bermaksud:

“Sekiranya aku dibenarkan untuk memerintahkan seseorang bersujud kepada orang lain nescaya aku perintahkan seorang isteri bersujud kepada suaminya.” (Hadis Riwayat Tirmizi dan Ibnu Hibban)

Secara sedar atau tidak ramai dalam kalangan wanita yang bergelar isteri dewasa kini semakin lupa tanggungjawabnya sebagai isteri sejati, isteri yang taat dan isteri yang dijanjikan pembalasan syurga oleh Allah SWT.

Sesungguhnya, beruntung menjadi seorang isteri kerana diberikan ruang dan peluang yang maha luas untuk mendapat tempat di syurga. Dosa isteri ditanggung oleh si suami dan si isteri pula diberikan tempat tinggi di sisi Allah apabila mereka juga bergelar ibu. Syurga di bawah telapak kaki ibu, begitulah nilai seorang ibu buat anak-anak.

Tidak dapat dinafikan, pendedahan secara meluas dan tidak terkawal oleh media-media termasuk media massa  berkaitan hak-hak wanita menjadi antara sebab yang membantu kepada isteri -isteri melakukan kederhakaan kepada suaminya.

Mungkin mereka tidak sedar, tetapi begitulah manusia, sering terbabas ke kancah khilaf akibat nafsu dan hasutan. Sedarlah wahai isteri, sesungguhnya kedudukan si isteri adalah bersama suaminya. Betapa buruk dan teruk pun suami itu, adalah tanggungjawab isteri untuk menghormati dan memperbetulkan kesilapan si suami.

Ingatlah syurga bagi isteri adalah terletak pada suaminya sendiri. Sabda Rasulullah SAW maksudnya:

“Wanita yang taat berkhidmat kepada suaminya akan tertutup pintu-pintu neraka dan terbuka pintu-pintu syurga. Masuklah dari mana-mana pintu yang dia kehendaki dengan tidak dihisab.”

Apakah ciri atau tanda isteri yang derhaka itu? Ini perlu diketahui semata-mata untuk dijadikan langkah waspada agar para isteri terhindar daripadanya. Berikut adalah antara ciri-ciri atau amalan isteri derhaka sama ada sedar atau tidak disedari:

  1. Tidak mensyukuri kebaikan yang dilakukan suami.

Sabda Rasulullah SAW bermaksud:

“Aku lihat api neraka, tidak pernah aku melihatnya seperti hari ini, kerana ada pemandangan yang dahsyat di dalamnya. Telah aku saksikan kebanyakan ahli neraka ialah wanita. Rasullullah Sallallahu ‘Alaihi Wasallam ditanya: “Mengapa demikian ya Rasulullah?” Baginda menjawab: “Wanita mengkufurkan suaminya dan mangkufurkan ihsannya. Jikalau engkau berbuat baik kepadanya seberapa banyak pun dia masih belum merasa berpuas hati dan merasa cukup.” (Hadis Riwayat al-Bukhari)

Isteri yang mementingkan harta dunia, suka kepada kemewahan dan perhiasan dunia tidak akan ada sifat qanaah dan sering membebankan suami dengan perkara-perkara di luar kemampuan suami. Sifat kebendaan ini akan menyebabkan mereka tidak akan bersyukur di atas nikmat rezeki yang diberikan oleh suaminya.

Harus dingat, jika ada isteri yang  menyatakan kekesalahnya berkahwin dengan suaminya seperti “aku menyesal kahwin dengan kau…”, sekalipun suaminya sangat jahat, maka Nabi SAW menyifatkan pada saat kata-kata itu diungkapkan maka secara automatik terpadamlah semua pahala amalan baik isteri sepanjang hidup berumah tangga .

  1. Suka menyakiti hati suami.

Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud:

“Kebanyakan ahli neraka adalah terdiri daripada kaum wanita.” Maka menangislah mereka dan bertanya salah seorang daripada mereka: “Mengapa terjadi demikian, adakah kerana mereka berzina atau membunuh anak atau kafir ?” Baginda menjawab : “Tidak, mereka ini ialah mereka yang menggunakan lidah menyakiti hati suami dan tidak bersyukur akan nikmat yang disediakan oleh suaminya.”(Hadis Riwayat Muslim)

Isteri yang suka menyakiti hati suami akan menerima balasan buruk sebagaimana sabda Rasulullah SAW:

 “Seorang wanita menyakiti suaminya, maka isterinya yang bidadari itu berkata: ‘Janganlah kamu menyakitinya semoga Allah mengutukmu, kerana dia (suami) itu disampingmu hanyalah sebagai orang asing yang akan berpisah denganmu menuju kami’.” (Hadis Riwayat Ibnu Majah)

Biasanya apabila seorang wanita (isteri) memegang jawatan yang tinggi daripada suaminya, mempunyai keluarga yang berharta atau sibuk memegang jawatan di dalam masyarakat akan wujud sifat riak dan bangga diri. Suaminya dipandang sepi dan sukar untuk diberi nasihat. Bila di rumah sifat menjadi “bos” ketika di pejabat akan terbawa-bawa di rumah, dengan ini sifat menghormati suami akan hilang dan jadilah dia seorang isteri yang derhaka.

  1. Menerima kedatangan seorang lelaki di rumah tanpa izin suaminya.

Suasana di akhir zaman ini kadang kala pergaulan bebas antara lelaki dan wanita tanpa batas. Wanita muslim terbawa-bawa sikap wanita barat yang bebas bergaul walaupun mereka sudah menjadi isteri seperti keluar makan bersama di tempat kerja, keluar membeli belah di pasar raya dan membawa kawan lelaki datang ke rumah dengan alasan membincangkan urusan perniagaan atau aktiviti masyarakat.

Akibat daripada pergaulan bebas tanpa had ini amat mudah boleh mengakibatkan wanita (isteri) berlaku curang kepada suaminya di luar rumah. Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud :

“Tidak boleh seorang isteri mengerjakan puasa sunat, jika suaminya ada dirumah, serta tidak dengan izinnya dan tidak boleh memasukkan seorang lelaki ke rumahnya dengan tidak izin suaminya.”(Hadis Riwayat Bukhari dan Muslim)

Walaupun lelaki yang datang ke rumah isteri tersebut adalah terdiri daripada mahramnya perlulah mendapat keizinan suaminya terlebih dahulu. Tetapi jika suami tidak ada halangan di atas kehadiran mereka tidak menjadi masaalah .

  1. Keluar rumah tanpa izin suami.

Maksud firman Allah:

“Janganlah mereka (perempuan-perempuan) menampakkan perhiasannya melainkan untuk suaminya.” (Surah an-Nur ayat 31)

Nabi SAW bersabda maksudnya :

“Apabila perempuan keluar rumah, sedangkan suaminya membencinya, dia dilaknat oleh semua malaikat di langit, dan semua apa yang dilaluinya selain daripada jin dan manusia sehingga dia kembali.” (Hadis Riwayat Thabarani di dalam al-Awsat)

Wanita sering keluar rumah dengan berhias, berwangi-wangian dan berpakaian tanpa menutup aurat yang sempurna. Terdapat kebanyakkan wanita muslim tidak menjaga aurat ketika keluar rumah. Suka memakai seluar jean, berbaju kemeja T-lengan pendik, tudung tiga segi yang nipis dan kecil dan berpakaian ketat menampakkan susuk tubuh mereka. Walaupun suaminya mengizinkan isterinya memakai pakaian tersebut (tidak sempurna berpakaian menurut Islam), dari segi akhlak Islam suami dan isteri tersebut akan mendapat dosa di sisi Allah SWT.

  1. Meminta cerai daripada suami.

Sabda Rasulallah SAW yang bermaksud :

“Mana-mana isteri yang meminta suaminya menceraikannya dengan tiada sebab yang dibenarkan oleh syarak haram baginya bau syurga.” (Hadis Riwayat Abu Daud dan Tirmizi)

Dalam kes meminta cerai kepada suaminya, seorang isteri dibenarkan sekiranya terdapat beberapa sebab yang dibenarkan syarak seperti suami tidak memberikan nafkah zahir dan batin, suka memukul isteri dan menyuruh isteri melakukan perkara yang haram. Isteri boleh mengadu pada mahkamah syariah di atas perbuatan suaminya dan boleh menuntut fasakh. Jika isteri sudah merasakan tidak bersesuaian untuk hidup bersama suaminya dia boleh juga mengadu di makhamah syariah untuk Tebus Talak iaitu memberikan beberapa sejumlah wang sebagai tebusan kepada suaminya untuk dia diceraikan.

Tetapi dalam kes suami hendak berpoligami dan suami berkemampuan ketika ini isteri tidak ada hak untuk meminta cerai . Ini adalah kerana hukum berpoligami telah termaktub di dalam al-Quran dan dihalalkan oleh Allah SWT. Jika suaminya telah pun berkahwin lain tanpa pengetahuannya dan jika dia memaksa suaminya menceraikan madunya, dia akan mendapat laknat Allah dan berdosa besar. Suaminya akan menjadi dayus apabila mengikut telunjuk isteri pertama dengan mengabaikan isteri keduanya.

Jalan sebaik-baiknya isteri pertama perlulah bertolak ansur dan janganlah mengikut nafsu amarah dan membelakangi hukum agama. Jika kalian bersabar dan menerima kehadiran isteri kedua dengan hati yang tenang dan terbuka dan berfikiran positif, ganjaran yang akan kalian terima cukup besar di sisi Allah SWT. Jika kalian bertindak secara melulu tanpa didorong oleh iman dan takwa berdasarkan hadis di atas, tidak akan masuk syurga isteri yang meminta cerai tanpa alasan yang dibenarkan syarak.

  1. Isteri yang tidak menunaikan hajat suami.

Sabda Rasulullah SAW maksudnya :

“Apabila memanggil suami akan isterinya ke tempat tidur, tetapi ditolaknya sehingga marahlah suaminya, maka akan tidurlah wanita itu di dalam laknat malaikat sehingga ke pagi.”(Hadis Riwayat Bukhari dan Muslim)

Rasulullah SAW terlihat wanita yang mengagumkan baginda. Kemudian baginda mendatangi isterinya (iaitu Zainab r.ha) yang sedang membuat adunan roti. Lalu baginda melakukan hajatnya (berjimak dengan isterinya). Kemudian baginda bersabda: Sesungguhnya wanita itu menghadap dalam rupa syaitan dan membelakangi dalam rupa syaitan (mengajak kepada hawa nafsu). Maka, apabila seseorang dari kalian melihat seorang wanita (yang mengagumkan), hendaklah ia mendatangi isterinya. Kerana yang demikian itu dapat menolak apa yang ada di dalam hatinya. (Hadis Riwayat Muslim, Tirmidzi, Abu Daud, Ahmad dan Baihaqi)

  1. Menghina atau mengumpat suami

Bersifat amanah iaitu menjaga maruah diri sendiri sebagai isteri dan menjaga maruah suami terutama dalam perkara-perkara rahsia peribadi dan rumah tangga. Isteri ialah orang yang paling hampir kepada suami yang tahu segala kekurangan dan kelemahan suaminya. Membuka rahsia suami atau menyebarkannya akan menjejaskan kewibawaan suami, sekali gus menggugat keharmonian rumah tangga kerana suami telah hilang kepercayaan terhadap isteri. Jika membuka rahsia suami dianggap menjejaskan kewibawaan suami, apatah lagi menghina atau mengumpat suami.

  1. Mengherdik dan menceritakan kelemahan serta kekurangan suami pada orang lain

Sifat ini terlalu berat dan buruk untuk ditanggung oleh seorang suami. Si isteri tidak sepatutnya dalam apa keadaan sekalipun mengherdik dan menceritakan kelemahan serta kekurangan suami pada orang lain. Adalah sepatutnya kita sebagai isteri sentiasa bersedia untuk menggembirakan hati suami, sama ada dengan tingkah laku yang menawan, tutur kata yang menjadi penawar serta perhiasan diri zahir dan batin.

Rasulullah SAW bersabda maksudnya :

“Tiada faedah yang paling baik diperoleh seorang mukmin (suami yang beriman) selepas bertaqwa kepada Allah azza wa jalla selain isteri yang solehah.”

  1. Isteri mendoakan kecelakaan buat suami

Isteri yang solehah adalah isteri yang sentiasa mendoakan kebaikan, kesejahteraan dan rahmat Allah SWT bagi suaminya dan bukan sebaliknya.

  1. Membenci kegemaran suami

Mengakui dan menerima kenyataan bahawa suami adalah ketua di dalam kepimpinan keluarga sesebuah rumah tangga. Tiada siapapun yang menyangkal bahawa suami telah diberikan kelebihan satu darjah daripada isteri. Satu kurniaan Allaw SWT yang meletakkan suami bertanggungjawab menjaga serta mengawal keselamatan dan kesejahteraan perjalanan hidup keluarganya di dunia dan akhirat serta suami wajib memberi nafkah isteri dan anak-anaknya. Sememangnya ada ketika dan masa, terasa kehendak sebagai isteri tidak dipenuhi sewajarnya. Namun yang demikian itu tidak bermakna isteri dengan sewenang-wenangnya berhak menafikan kesukaan atau kegemaran si suami.

Firman Allah SWT yang bermaksud:

Kaum lelaki itu adalah pemimpin bagi kaum wanita, oleh kerana Allah telah melebihkan sebahagian mereka (lelaki) atas sebahagian yang lain (wanita), dan kerana mereka (lelaki) telah menafkahkan sebahagian daripada harta mereka. (An-Nisa : 34)

  1. Menjadi tekanan kepada suami

Tidak dinafikan keadaan ekonomi hari ini adakalanya mampu memberi impak besar kepada sesebuah institusi kekeluargaan. Namun begitu, si isteri perlu bersikap bijaksana dan rasional dalam mentadbir harta benda suami tanpa membazirkannya. Jangan meminta sesuatu yang di luar kemampuannya kerana hal yang demikian akan menyebabkan tekanan dan ketegangan di dalam kehidupan suami. Di samping itu juga, adalah lebih baik jika si isteri sama-sama membantu menguruskan rumah tangga agar dapat mengurangkan tekanan kepada si suami.

“Apabila suami menyuruhnya, ia mentaatinya. Jika suami memandangnya ia menggembirakan hati suaminya. Sekiranya suami bersumpah, ia memenuhi sumpah suaminya itu. Apabila ia keluar kerana bertugas atau berjuang, ia menjaga maruahnya dan maruah suaminya serta menjaga harta benda suaminya dengan cara berjimat cermat membelanjakannya.” (Riwayat Ibnu Majah)

  1. Mengungkit-ungkit janji suami

Redha dan bersyukurklah dengan setiap pemberian suami. Sesungguhnya itulah nikmat dan rezeki yang terbaik bagi isteri.

Sabda Rasulullah SAW bermaksud:

“Aku lihat api neraka, tidak pernah aku melihatnya seperti hari ini, kerana ada pemandangan yang dahsyat di dalamnya. Telah aku saksikan kebanyakan ahli neraka ialah wanita. Rasullullah SAW ditanya: “Mengapa demikian ya Rasulullah?” Baginda menjawab: “Wanita mengkufurkan suaminya dan mangkufurkan ihsannya. Jikalau engkau berbuat baik kepadanya seberapa banyak pun dia masih belum merasa berpuas hati dan merasa cukup.”(Riwayat al-Bukhari)

Penutup

Demikian sebahagian daripada ciri-ciri atau amalan isteri derhaka dan balasan buruk yang akan diterima di akhirat nanti. Semoga akan memberikan manfaat dan kesedaran bagi kita semua, khususnya pihak isteri supaya 12 amalan dan ciri-ciri yang boleh mendatangkan derhaka (nusyuz) dapat dielakkan.

Jika reda anak datang daripada reda ibu bapa maka reda isteri datang daripada reda suami. Isteri yang solehah akan menjadi ketua bidadari di syurga nanti sedangkan isteri yang nusyuz tempatnya di neraka . Kalian pilihlah mana yang terbaik kerana ahli hikmah ada berkata :

“Wanita yang cerdik adalah wanita yang sanggup mengorbankan sedikit daripada perasaannya dan bersusah payah di dunia semata-mata untuk mencapai kebahagiaan di hari akhirat.”

IMG_20171206_114610-150x150 Amalan Isteri Derhaka Kepada Suami Walaupun Tanpa Disedari

A. Manaf Mohammad

More Posts

Loading...

Tags: #12 penghalang isteri ke syurga #Amalan isteri derhaka kepada suami walaupun tanpa sedar #amalan isteri derhaka tanpa anda sedari #ciri-ciri isteri derhaka #ciri-ciri isteri nusyuz #derhaka kepada suami #isteri #perbuatan isteri yang berdosa terhadap suami #petanda isteri derhaka #punca isteri tidak masuk syurga #tanda-tanda isteri derhaka

Kaitan Bangsa Yahudi dengan Nabi Yusuf A.S
Makam Nabi Yusuf A.S Makam Nabi Yusuf adalah tempat suci dalam Islam dan
Cara Hindarkan Panggilan Scammer
Panggilan daripada penipu atau scammer boleh menjadi sangat memudaratkan dan mengancam keselamatan peribadi
15 Perkara Yang Menurunkan Bala Kepada Umat Akhir Zaman
Daripada Ali bin Abi Thalib r.a Rasulullah saw bersabda ; “Apabila umatku telah
Kelebihan Pelaburan Dalam Hartanah dan Aset
Pelaburan dalam aset dan hartanah boleh memberikan beberapa kelebihan kepada pelabur. Berikut adalah

Leave a reply "Amalan Isteri Derhaka Kepada Suami Walaupun Tanpa Disedari"