Laksa Johor adalah masakan yang berasal dari negeri Johor. Laksa Johor amat berbeza dengan laksa di Kelantan, Terengganu, Penang dan Kedah yang menggunakan tepung beras sebagai bahan utama. Laksa Johor pula menggunakan spaghetti sebagai bahan laksanya dan ia dimakan bersama kuah yang penuh dengan rempah ratus. Kelazatan dan keistimewaan Laksa Johor adalah pada keseimbangan campuran bahan yang digunakan. Hasil masakan laksa ini telah menghasilkan kuah yang menepati citarasa semua bangsa dan lapisan masyarakat di Malaysia dan antarabangsa.
Lazimnya kuah laksa Johor agak pekat kerana kuah laksa Johor dimasak bersama isi ikan dan bahan-bahan terpilih. Adunan bahan seperti santan, kerisik kelapa dan juga ramuan-ramuan herba menyebabkan rasa laksa Johor amat unik untuk dinikmati sekeluarga. Pada asalnya, kuah laksa Johor dimasak menggunakan ikan parang kerana penggunaan ikan ini mempunyai isi yang halus dan cukup enak sekali.
Memandangkan harga ikan tersebut cukup mahal, ramai yang memilih ikan selayang sebagai ganti bahan membuat kuah laksa Johor. Bahan utama ikan selayang merupakan bahan asas juga bagi penyediaan kuah laksa Kelantan, Terengganu, Penang dan Kedah. Jom kita ikuti cara-cara memasak laksa Johor.
Bahan-bahan :
- 1 Pakej Spaghetti (rebus)
- Santan 1 biji kelapa
- 10 Ekor ikan Selar/ Kembong / Selayang (rebus)
- 1 Ketul asam keping
- Garam secukupnya
- Minyak masak (menumis paste)
- 2 Sudu besar serbuk kari
- Daun kesum
- Bunga kantan (dipotong 4 bahagian)
Bahan tumis :
- 10 Tangkai Cili Kering
- 3 Biji Bawang Besar
- 3 Biji Bawang Kecil
- 3 Ulas Bawang Putih
- 3 Sudu Besar Udang Kering (Rata)
- 1 Sudu Besar Jintan Manis (Rata)
- 1 Sudu Besar Ketumbar (Rata)
- Sehiris Halia
- Sehiris Lengkuas
- Sebatang Serai
Hirisan ulam-ulaman :
- Taugeh
- Timun
- Kacang panjang
- Lobak jeruk
- Daun kesum
- Bunga kantan
- Daun selasih
- Bawang besar
- Limau kasturi (perah)
Cara memasak :
- Spaghetti direbus dan ditoskan.
- Ikan direbus, kemudian diambil isinya dan dikisar halus.
- Semua bahan untuk tumis dikisar sehingga sebati dan halus.
- Panaskan minyak masak, masukkan semua bahan tumis kisar tadi.
- Tumis sehingga naik bau dan masukkan serbuk kari.
- Tumis lagi hingga pecah minyak, sentiasa kacau supaya tak hangus.
- Campurkan isi ikan bersama bahan tumis tadi dalam satu periuk.
- Masukkan santan yang cair dahulu, masak hingga mendidih.
- Masukkan asam keping, daun kesum dan bunga kantan.
- Masukkan pula santan pekat dan garam secukup rasa.
- Masak sehingga ramuan mendidih dan tutup api.
- Masukkan spaghetti dan semua ulam-ulaman ke dalam pinggan dan tuangkan kuah laksa.
- Masakan laksa boleh hidangkan bersama sambal belacan.
Tags: #cara nak masak laksa johor #cara-cara masak laksa johor #gambar laksa johor #masak laksa johor dirumah #memasak laksa johor ringkas #resepi paling sedap laksa johor #resepi senang laksa johor