Kumbang Rove adalah serangga yang biasa terdapat di Malaysia. Badan serangga ini mengandungi toksin ‘paederin’ (‘Paederous dermatitis’) yang akan menyebabkan kepanasan pada kulit setiap kali kumbang ini dihancurkan dan terkena pada kulit.
Kumbang Rove atau lebih dikenali juga dengan nama tempatan Semut Semai, Semut Kayap atau Charlie, mempunyai saiz kurang daripada 1 cm panjang. Badannya berwarna kuning gelap manakala bahagian atas, bawah abdomen dan kepala berwarna gelap. Bahagian tengah abdomen berwarna hijau tua mempunyai sepasang sayap keras. Selalunya, kumbang ini kelihatan merangkak dengan pantas di kawasan sekeliling dengan menyembunyikan sayapnya dan sekali pandang ia lebih menyerupai semut. Apabila diganggu, serangga ini akan menaikkan bahagian abdomennya supaya kelihatan seperti kala jengking untuk menakutkan musuh. Ia boleh terbang dan berlari pantas di atas air.
Kumbang ini tidak menyegat atau mengigit. Cecair hemolimf yang terdapat di dalam badan serangga ini mengandungi toksin yang paling berbisa dikenali sebagai ‘paederin’. Jika tersentuh kumbang ini semasa bergerak atau tidur, menghancurkannya pada badan atau mengosok dengan jari yang kotor akan menyebabkan konjunktivitis dan penyakit kulit yang teruk yang dikenali sebagai ‘dermatitis linearis’.
Kebiasaannya kumbang ini terbang masuk ke dalam rumah melalui lubang tingkap kerana ia mudah tertarik kepada cahaya lampu pada waktu malam. Ia mudah terdapat di kawasan bukit atau hutan. Kawasan perumahan atau pangsapuri di sebelah lereng bukit dan hutan seringkali terdedah dengan kehadiran serangga berbahaya ini.
Berikut merupakan maklumat berkenaan kumbang Rove atau Charlie :
Nama Am : Kumbang Rove
Class : Insecta
Order : Coleoptera
Family : Staphylinidae
Species : Paederus fuscipes Curtis
Nama Tempatan: Semut Semai, Semut Kayap, Charlie
Kesan : Boleh menyebabkan konjunktivitis dan penyakit kulit yang teruk.
Cara mengelak dari terkena bisa serangga ini jika hinggap di badan
- Anda hanya perlu menggunakan air dan alirkan kearahnya dengan menggunakan paip air.
- Jangan picit atau bunuh serangga tersebut di atas badan kita kerana serangga berkenaan mempunyai toksid dan racun yang mampu mengakibatkan kulit melecur. (lihat gambar)
Langkah pencegahan kehadiran kumbang Rove atau Charlie di kediaman anda:
- Menyembur racun serangga atau ubat serangga di sekeliling dan kawasan kemungkinan menjadi tarikan serangga ini.
- Elakkan dari menggunakan cahaya lampu pada waktu malam.
- Menggunakan perangkap serangga elektrik. Boleh didapati di kedai elektrik dengan pelbagai bentuk dan jenama.
- Jika terkena gigitan atau cairannya badan serangga ini, segera basuh tempat tersebut dengan aliran air yang banyak dan dapatkan rawatan doktor sekiranya ia menunjukkan rasa sakit pada kulit.
- Gunakan minyak sapu seperti minyak gamat, minyak alfiat pada kawasan yang terkena bisa serangga ini.
Tags: #gambar semut charlie #kawasan semut charlie suka hinggap #kenapa semut charlie bahaya #kesan serangga charlie #langkah elak semut charlie #maklumat kumbang rove #panduan rawatan semut charlie #semut charlie