Keluarga merupakan satu masyarakat yang kecil sebelum terbentuknya sebuah masyarakat yang lebih luas. Mendirikan dan membentuk sebuah keluarga yang berteraskan Islam, sakinah, mawaddah wa rahmah harus dimulai dengan meletakkan asas keislaman yang kukuh, yang dimulai dengan memilih jodoh mengikut cara Islam, proses walimatul ‘urus, membangun keluarga dari tahap awal, dan mendidik anggota keluarga .
Apabila telah bergelar suami dan isteri maka ketika itu masing-masing mempunyai tugas dan tanggungjawab yang tidak boleh diabaikan. Suami bertanggungjawab untuk memberi nafkah secukupnya, mendidik isteri dan anak-anaknya supaya sentiasa mentaati Allah SWT dan beramal dengan Islam. Isteri pula bertanggungjawab mentaati dan menghormati suami dan menjaga kehormatan diri ketika ketiadaan suami di rumah dan melaksanakan tanggungjawab mendidik anak-anaknya dengan didikan Islam.
Seorang isteri tentulah mempunyai tugas dan tanggungjawab terhadap suami. Tanggungjawab ini adalah suatu perkara yang serius dan tidak boleh diabai-abaikan. Isteri yang mengabaikannya senang mendapat laknat dan dikhuatiri termasuk ke dalam kategori isteri derhaka.
Jika ada para isteri yang tidak menunaikan tanggungjawabnya kepada suami dengan sebaik-baiknya, dan menganggap tanggungjawab terhadap suami itu hanya membebankan dan menyusahkan dirinya, maka isteri yang sedemikian itu dikhuatiri termasuk di dalam kategori isteri yang menderhaka atau nusyuz.
Ini perlu diketahui semata-mata untuk dijadikan langkah waspada agar para isteri terhindar daripadanya. Berikut diketengahkan antara tanda-tanda awal seseorang isteri derhaka terhdapa suaminya.
Tanda-tanda Awal Isteri Menderhaka Kepada Suami
- Keluar rumah tanpa izin suami
“Apabila perempuan keluar rumah, sedangkan suaminya membencinya, dia dilaknat oleh semua malaikat di langit, dan semua apa yang dilaluinya selain daripada jin dan manusia sehingga dia kembali.” (Diriwayatkan oleh Thabarani di dalam al-Awsat)
- Puasa sunat tanpa keizinan suami
Sabda Rasulullah SAW maksudnya :
“Tidak boleh seorang isteri mengerjakan puasa sunat, jika suaminya ada dirumah, serta tidak dengan izinnya dan tidak boleh memasukkan seorang lelaki ke rumahnya dengan tidak izin suaminya.” (Hadis Riwayat Bukhari dan Muslim)
- Membenci kegemaran suami
Mengakui dan menerima kenyataan bahawa suami adalah ketua di dalam kepimpinan keluarga sesebuah rumah tangga, tiada siapapun yang menyangkal bahawa suami telah diberikan kelebihan satu darjah daripada isteri. Satu kurniaan Allah SWT yang meletakkan suami bertanggungjawab menjaga serta mengawal keselamatan dan kesejahteraan perjalanan hidup keluarganya di dunia dan akhirat serta suami wajib memberi nafkah isteri dan anak-anaknya. Sememangnya ada ketika dan masa kita rasa kehendak sebagai isteri tidak dipenuhi sewajarnya. Namun yang demikian itu tidak bermakna kita dengan sewenang-wenangnya berhak menafikan kesukaan atau kegemaran si suami.
Firman Allah :
”Kaum lelaki itu adalah pemimpin bagi kaum wanita, oleh kerana Allah telah melebihkan sebahagian mereka (lelaki) atas sebahagian yang lain (wanita), dan kerana mereka (lelaki) telah menafkahkan sebahagian daripada harta mereka.” (An-Nisa : 34)
- Menghina atau mengumpat suami
Isteri perlu menjaga maruah suami terutama di dalam perkara-perkara rahsia peribadi dan rumah tangga. Isteri ialah orang yang paling hampir kepada suami yang tahu segala kekurangan dan kelemahan suaminya. Membuka rahsia suami atau menyebarkannya akan menjejaskan kewibawaan suami, sekali gus menggugat keharmonian rumah tangga kerana suami telah hilang kepercayaan terhadap isteri. Jika membuka rahsia suami dianggap menjejaskan kewibawaan suami, apatah lagi menghina atau mengumpat suami.
- Mengungkit-ungkit janji suami
Redha dan bersyukurklah dengan setiap pemberian suami. Sesungguhnya itulah nikmat dan rezeki yang terbaik bagi isteri.
- Mengherdik dan menceritakan kelemahan serta kekurangan suami pada orang lain
Isteri tidak sepatutnya dalam apa keadaan sekalipun mengherdik dan menceritakan kelemahan serta kekurangan suami pada orang lain. Adalah sepatutnya sebagai isteri sentiasa bersedia untuk menggembirakan hati suami, sama ada dengan tingkah laku yang menawan, tutur kata yang menjadi penawar serta perhiasan diri zahir dan batin.
- Mendoakan kecelakaan buat suami
Doakan kebaikan, kesejahteraan dan rahmat Allah SWT bagi suami, bukan sebaliknya.
- Tidak menunaikan hajat suami
Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud :
“Apabila memanggil suami akan isterinya ke tempat tidur, tetapi ditolaknya sehingga marahlah suaminya, maka akan tidurlah wanita itu di dalam laknat malaikat sehingga ke pagi.” (Hadis Riwayat Bukhari dan Muslim)
- Menjadi tekanan kepada suami
Isteri perlu bersikap bijaksana dan rasional dalam mentadbir harta benda suami tanpa membazirkannya. Jangan meminta sesuatu yang di luar kemampuannya kerana hal yang demikian akan menyebabkan tekanan dan ketegangan di dalam kehidupan suami. Di samping itu juga, adalah lebih baik jika si isteri sama-sama membantu menguruskan rumahtangga agar ini dapat mengurangkan tekanan kepada si suami.
“Apabila suami menyuruhnya, ia mentaatinya. Jika suami memandangnya ia menggembirakan hati suaminya. Sekiranya suami bersumpah, ia memenuhi sumpah suaminya itu. Apabila ia keluar kerana bertugas atau berjuang, ia menjaga maruahnya dan maruah suaminya serta menjaga harta benda suaminya dengan cara berjimat cermat membelanjakannya.” (Riwayat Ibnu Majah)
Tags: #ciri-ciri isteri derhaka #dosa besar isteri #dosa isteri #elak jadi isteri derhaka #isteri derhaka #isteri tak cium bau syurga #jadi isteri derhaka tanpa sedar #perkara derhaka yang sering Isteri lakukan Terhadap Suami #Tanda awal isteri derhaka pada suami #Tanda Awal Isteri Menderhaka Kepada Suami #tanda-tanda awal isteri derhaka #tanda-tanda isteri derhaka #tanggungjawab isteri