Berkebun dengan menggunakan bekas seperti botol plastik, polibeg atau pasu boleh menjadi satu perkara yang menyeronokkan. Hal ini amat sesuai bagi sesiapa yang tiada kawasan yang luas untuk menanam. Tidak kira kita tinggal di rumah teres mahupun apartment, yang penting ada semangat untuk berkebun! Di sini terdapat 6 perkara yang harus kita ketahui apabila kita ingin berkebun menggunakan pasu atau pot.
Tips Menanam Sayur Di Ruangan Sempit
- Lokasi pasu
Perkara pertama yang perlu kita perlu ambil perhatian adalah lokasi pasu kita ingin berkebun. Di mana tempat kita hendak meletakkan pasu dan bekas tanaman kita? Adalah lebih baik jika kita letak pada tempat yang ada cahaya matahari seperti di tepi tingkap dan di tepi bangunan.
- Tanaman
Kita juga perlu tahu jenis tanaman yang hendak kita tanam di dalam bekas. Lain tanaman lain penjagaannya. Untuk pemula, dicadangkan menanam kangkung dan bayam kerana kedua-dua tanaman ini sangat senang tumbuh. Cuba tanam dahulu di dalam bekas dan lihat perkembangannya di lokasi yang telah kita pilih. Kemudian apabila sudah menuai tanaman tersebut, boleh cuba dengan tanaman lain. Mulakan sedikit demi sedikit, lama-lama menjadi bukit. Apa yang penting adalah pengalaman.
- Pengairan
Ramai yang ingat tanam menggunakan bekas tidak perlukan sistem pengairan yang baik. Jangan keliru istilah pengairan dengan penyiraman. Pengairan bermaksud air siraman diserap oleh pokok manakala lebihan air disalurkan keluar dari bekas tanaman. Kebanyakan sayur dan pokok buah tidak tahan dengan air bertakung di dalam bekas. Akar tumbuhan akan lemas dan seterusnya boleh menyebabkan kematian pokok. Pastikan setiap bekas yang kita gunakan mempunyai lubang pengairan di bawahnya agar air siraman yang lebih boleh mengalir keluar dari pasu.
- Baja
Pembajaan amat penting kepada pokok yang tumbuh di dalam bekas. Jika di atas tanah, akar pokok boleh menjalar jauh mencari sendiri air dan nutrien tetapi tidak di dalam bekas. Oleh itu, selalulah bekalkan kompos sebagai baja organik kepada tanaman kita di dalam bekas. Selang-selikan dengan baja kimia jika kita lihat kesannya lambat.
- Media tanaman
Media di sini dimaksudkan adalah jenis-jenis tanah yang boleh kita gunakan untuk bertanam. Ada yang guna tanah campur, tanah bakar ataupun kompos sebagai media dalam pasu kita. Untuk penanaman pasu, lebih elok kita gunakan media yang tidak berat seperti kompos. Campuran kompos dan tanah atas (top soil) sangat disarankan. Di samping kompos boleh menjadi baja, kompos juga bertindak sebagai media yang bagus untuk penanaman pokok kita seperti tanaman sayur. Ringan adalah kunci utama untuk penanaman dalam pasu.
- Penyiraman
Terdapat dua sistem siraman iaitu automatik dan manual. Biasanya kita lebih senang untuk menggunakan sistem siraman manual iaitu dengan terus menyiram dari paip air ataupun tong siraman. Terdapat beberapa inovasi yang boleh kita gunakan untuk menyiram secara automatik. Jika ada duit lebih, boleh kita upgrade menggunakan sistem titisan berasaskan sistem fertigasi. Tetapi jika ingin jimat kos, guna sahaja siraman automatik menggunakan bahan terbuang.
Ramuan Rahsia Campuran Tanah Untuk Tanaman Sayuran Dalam Pasu
Apabila kita berkebun menggunakan pasu, antara perkara penting perlu kita fokuskan adalah pada media tanaman yang kita gunakan. Ramai yang membeli campuran tanah yang dijual di nurseri pokok dan kedai pertanian. Tetapi tahukah anda bahawa sebenarnya kita boleh buat sendiri campuran tanah ini? Di sini akan diterangkan tiga formula yang biasa digunakan oleh pekebun nurseri dalam menanam tanaman mereka dalam pasu. Sebelum itu, kita ketahui dahulu bahan-bahan asas yang perlu ada dalam campuran tanah ini.
- Tanah Atas
Tanah atas adalah lapisan tanah yang paling atas di atas tanah (sama seperti namanya). Tanah atas ini berfungsi membekalkan nutrien dan menyimpan air untuk akar pokok nanti. Tanah atas yang terbaik adalah tanah atas yang diambil di pinggir hutan. Tanah yang hitam kaya dengan bahan organik. Jika tiada, gunakan tanah merah. Jika tiada juga, boleh guna tanah campuran yang dijual di nurseri.
- Bahan Organik
Bahan organik berfungsi sebagai pemberi nutrien dan kesuburan tanah. Contoh bahan organik yang ada adalah mana-mana najis haiwan ternakan (ayam, arnab, kambing, lembu, kuda), kompos, dan sabut kelapa halus. Mana-mana bahan organik kita boleh gunakan dalam campuran tanah nanti.
- Pasir
Pasir berfungsi memberi ruang rongga pada campuran tanah. Ruang rongga ini memberi ruang untuk akar berkembang dengan baik. Seterusnya dapat menyerap oksigen dengan baik. Pasir yang terbaik adalah pasir sungai atau pasir lombong. Untuk mudah, kita boleh gunakan pasir yang dibeli di kedai hardware.
Pasir pantai tidak sesuai digunakan atas sebab pasir pantai terlalu halus dan mengandungi garam yang tinggi. Ini akan merencat pertumbuhan tanaman kita nanti. Alternatif lain, kita boleh ganti pasir dengan perlit, vermikulit ataupun zeolit. Ketiga-tiga bahan ini sesuai untuk menjaga struktur tanah campuran.
Setelah kita tahu tiga asas dalam campuran tanah, barulah kita masuk ke dalam formulasi campuran tanah ini. Selain daripada tiga bahan asas yang dinyatakan di atas, kita boleh menambah sabut kelapa halus, sekam padi, dan sekam bakar sebagai bahan tambahan. Bahan tambahan ini membantu perkembangan bibit dalam pasu.
Formula 1: Campuran Tanah 3:2:1
Formula 3:2:1 paling banyak digunakan oleh pekebun nurseri untuk tanaman pasu. Nisbah 3:2:1 ini dimulai dengan tanah atas, bahan organik dan pasir. Secara mudahnya, 3 tanah atas, 2 bahan organik dan 1 pasir. Formula ini sesuai untuk segala jenis tanaman termasuk sayur, buah dan bunga.
Formula 2: Campuran Tanah 2:1:1
Campuran 2:1:1 ini sesuai untuk tanaman sayur. 2 tanah atas, 1 kompos, 1 sabut kelapa halus. Ramuan ini mampu memberi nutrien dan penyerapan air yang bagus untuk pokok.
Formula 3: Campuran Tanah 1:1:1
Campuran tanah 1:1:1 ini sesuai untuk tanaman semaian. Kita boleh gunakan campuran ini untuk menyemai benih sayur dahulu sebelum terus dipindahkan atas batas atau pasu lebih besar. Setelah kita campurkan semua bahan-bahan di atas, kita perlu gaulkan sehingga semua bahan menjadi sebati. Apabila kita membuat campuran tanah ini, perkembangan pokok akan lebih teratur dan subur.
Selamat mencuba!
Rujukan : http://www.kebunbandar.com
Tags: #6 perkara perlu diketahui jika menanam sayur di dalam pasu #berkebun sayur di rumah #campuran tanah untuk tanaman dalam pasu #cara menanam sayur dalam pasu #media tanaman terbaik untuk tanaman dalam pasu #pertanian organik #ramuan rahsia campuran tanah untuk tanaman sayuran dalam pasu #tanam sayur #tanam sayuran #teknik menanam sayur dalam pasu yang betul #tips berkebun #tips dan panduan menanam sayur dalam pasu di ruang sempit