Himpunan Amalan Sunat Dilakukan Pada Hari Jumaat

Himpunan Amalan Sunat Dilakukan Pada Hari Jumaat

Hari Jumaat merupakan penghulu segala hari atau sering disebut sebagai Saiyyidul Ayyam. Ini kerana terdapat pelbagai keberkatan dalam hari tersebut jika kita melakukan amalan sunat di hari Jumaat. Amalan sunat pada hari Jumaat sering diabaikan oleh kita kerana kesibukan kita dalam melakukan tugasan dan aktiviti harian. Sedangkan terdapat banyak sekali kelebihan amalan sunat ini yang telah tercatit di dalam al-Quran dan Hadith. Antara amalan sunat yang dianjurkan antaranya ialah :

  1. membersihkan diri dengan mandi, bersugi, memakai wangi-wangian dan memakai pakaian yang terbaik

Amalan ini telah disebut di dalam sebuah hadith yang diriwayatkan oleh al-Bukhari :

“Tidak mandi seorang lelaki pada hari Jumaat dan membersihkan dirinya setakat yang termampu, seterusnya beliau meminyakkan rambut, mengenakan wangi-wangian harum yang dimilikinya di rumah, lantas dia keluar (ke masjid) dan dia tidak mencelah di antara dua orang (di dalam masjid), lalu dia bersolat apa yang diwajibkan ke atasnya. Dan sesudah itu duduk diam sewaktu imam sedang berkhutbah, melainkan diampunkan segala dosanya dari Jumaat tersebut hinggalah ke Jumaat yang akan datang.” [Riwayat al-Bukhari]

  1. Membaca surah al-Kahfi

Membaca surah al-Kahfi ini mempunyai pelbagai kelebihan yang boleh kita dapati, antaranya ialah dapat menghindarkan diri kita daripada fitnah Dajal dan pelbagai lagi.

“Sesiapa yang membaca surah al-Kahfi pada hari Jumaat nescaya akan diterangkannya dengan satu cahaya di antara dua Jumaat.” [Riwayat al-Nasaei, al-Baihaqi dan al-Hakim]

  1. Mendirikan solat sunat Ba’diyah Jumaat

Daripada Abu Hurairah RA bahawa Rasulullah SAW bersabda :

“Barangsiapa di antara kamu yang hendak bersolat, maka hendaklah bersolat empat rakaat sesudah solat jumaat.” [Riwayat Imam Muslim]

Manakala daripada Ibnu Umar RA, dia berkata :

“Rasulullah SAW bersolat dua rakaat sesudah (solat) Jumaat dua rakaat di rumahnya.” [Riwayat Imam al-Nasaei]

  1. Memendekkan khutbah dan memanjangkan solat

Khutbah merupakan antara rukun yang terdapat di dalam Rukun-Rukun Khutbah. Di dalam hadith yang diriwayatkan Muslim, ada menerangkan sebab kenapa perlu memendekkan khutbah dan memanjangkan solat.

“Sesungguhnya lamanya berdiri solat seseorang lelaki dan pendeknya khutbah yang dibacanya adalah petanda kemahiran ilmu fiqhnya (mendalam pengetahuan agamanya). Maka hendaklah kamu memanjangkan solat dan memendekkan bacaan khutbah!” [Riwayat Muslim]

  1. Memotong Kuku

Islam amat mementingkan kebersihan dan kekemasan. Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud :

“Lima perkara daripada fitrah iaitu berkhatan, mencukur bulu ari-ari, mencabut bulu ketiak, memotong kuku dan menggunting misai.” [Riwayat Al-Bukhari dan Muslim]

Persoalan kebersihan hendaklah diberi perhatian pada sepanjang masa terutama pada hari Jumaat kerana pada hari tersebut kita akan pergi beramai-ramai ke masjid dan berjumpa dengan saudara seagama. Sudah tentu kita tidak mahu dipandang hina oleh orang lain hanya kerana kita tidak mahu menjaga kebersihan dan kekemasan diri.

  1. Memperbanyakan Doa

Doa adalah senjata bagi orang-orang yang beriman. Kita mempunyai ramai musuh sama ada di dalam atau luar diri kita, di samping berhadapan dengan banyak cabaran sepanjang hidup kita. Sehubungan itu, kita amat mengharapkan pertolongan dan rahmat daripada Allah SWT untuk menghadapi segala ujian ini. Antaranya dengan cara berdoa.

Kita digalakkan untuk banyak berdoa, apatah lagi pada malam dan hari Jumaat terutama sekali semasa waktu-waktu mustajab berdoa.

  1. Merebut peluang dan ruang yang dikatakan waktu mustajab doa pada hari Jumaat

Berdasarkan hadith Abu Hurairah RA beliau berkata Rasulullah SAW memperkatakan mengenai hari Jumaat. Lalu baginda bersabda :

“Sesungguhnya pada hari Jumaat ada satu saat yang tidaklah bertepatan seorang hamba Muslim solat dan memohon sesuatu kebaikan kepada Allah melainkan akan diberikan kepadanya, beliau berisyarat dengan tangannya akan sedikitnya waktu tersebut.”

Di antara hadis Rasulullah SAW mengenai perkara ini ialah :

Sabda baginda yang bermaksud, “Waktu mustajab berdoa itu ialah masa di antara imam duduk sehingga selesai solat.” [Riwayat Muslim]

  1. Berselawat

Berselawat ke atas Nabi Muhammad SAW. Pada hari Jumaat, kita juga disunatkan supaya banyak berselawat ke atas junjungan besar Nabi Muhammad. Sabda baginda yang bermaksud :

“Sesungguhnya hari kamu yang paling utama ialah hari Jumaat. Maka perbanyakkanlah selawat ke atasku pada hari itu. Sesungguhnya selawat kamu akan dibentangkan di hadapanku.”

Antara perkara-perkara sunat lain yang boleh dilakukan pada hari Jumaat ialah :

  • Mandi sunat hari Jumaat.
  • Sunat memakai pakaian yang berwarna putih. Keluar ke masjid dengan niat untuk menunaikan sembahyang Jumaat pada seawal waktunya secara berjalan kaki dengan penuh tenang dan sopan di samping membanyakkan membaca zikir, berselawat dan bertahmid kepada Allah.
  • Disunatkan bagi orang yang mengantuk ketika mendengar khutbah pada hari Jumaat supaya berpindah tempat duduknya.
  • Sunat mengelokkan rupa parasnya dan membersihkan anggota tubuh badan sebelum keluar bersembahyang seperti memotong kuku, misai, mencabut bulu ketiak, mencukur bulu air-ari, menggosok gigi dan sebagainya.
  • Melakukan sembahyang sunat 4 rakaat sebelum Jumaat dan 4 lagi selepasnya.
  • Sunat membaca surah al-Fatihah, al-Ikhlas, al-Falaq dan an-Nas setiap satunya sebanyak 7 kali selepas memberi salam sembahyang Jumaat.

Sabda Rasulullah SAW :

“Sesiapa membaca surah Fatihah, al-Ikhlas, al-Alaq dan an-Nas sebanyak 7 kali sebelum ia mengubah cara duduknya setelah imam selesai memberi salam pada hari Jumaat, nescaya akan diampuni dosa-dosanya yang telah dilakukan dan yang akan datang serta diberi ganjaran pahala sebanyak bilangan orang yang beriman kepada Allah dan Rasul-Nya.”

IMG_20171206_114610-150x150 Himpunan Amalan Sunat Dilakukan Pada Hari Jumaat

A. Manaf Mohammad

More Posts

Loading...

Tags: #amalan baik hari jumaat #amalan hari jumaat bagi wanita #amalan sunat hari jumaat #amalan sunat jumaat #hari jumaat #Himpunan Amalan Sunat Dilakukan Pada Hari Jumaat #kelebihan hari jumaat #Perkara Sunat dilakukan pada Hari Jumaat #perkara sunat hari jumaat #perkara sunat yang boleh dilakukan pada hari jumaat #Perkara Sunat Yang dilakukan Pada hari Jumaat #solat jumaat #sunat hari jumaat

Kaitan Bangsa Yahudi dengan Nabi Yusuf A.S
Makam Nabi Yusuf A.S Makam Nabi Yusuf adalah tempat suci dalam Islam dan
15 Perkara Yang Menurunkan Bala Kepada Umat Akhir Zaman
Daripada Ali bin Abi Thalib r.a Rasulullah saw bersabda ; “Apabila umatku telah
Peperangan Khandak Dalam Sejarah Perkembangan Islam
Perang Khandak, juga dikenali sebagai Perang Parit, adalah pertempuran yang berlaku pada 5
Peperangan Uhud Dalam Sejarah Perkembangan Islam
Perang Uhud adalah pertempuran penting yang terjadi pada tahun 3 Hijriah (sekitar Oktober

Leave a reply "Himpunan Amalan Sunat Dilakukan Pada Hari Jumaat"