Di manakah silapnya apabila Allah SWT melebihkan rezeki kepada seseorang dan mengurangkan rezeki kepada seseorang? Berdoa setiap kali selesai solat sering dilakukan, bekerja keras dan lebih masa sudah dibuat, malah berniaga secara kecil-kecilan untuk menambahkan pendapatan juga sudah diusahakan. Apa sahaja yang dilakukan asalkan hidup tidak susah dan rezeki bertambah, tetapi hasilnya tetap begitu juga; masih juga susah malah sering tidak cukup duit. Adakah ini tandanya rezeki seseorang itu terhijab dan doanya tidak dimakbulkan Allah SWT?
Ada pula yang bekerja biasa-biasa sahaja tetapi jarang mengeluh, tidak pernah meminjam duit, tidak pernah berhutang tetapi rezekinya sentiasa sahaja ada walaupun tidaklah kaya. Berbeza pula dengan yang bekerja siang dan malam tetapi hutang masih juga bertimbun, sering berasa sempit dan tidak cukup. Di manakah silapnya? Apabila anda berasakan hidup seperti ini, cuba-cubalah muhasabah diri dan jangan menyalahkan sesiapa.
Perlu diingat, apabila Allah SWT berkuasa menambahkan rezeki kepada hamba-Nya dari jalan yang tidak disangka-sangka, Allah SWT juga berkuasa untuk menghalang atau menghijab rezeki seseorang dari sebab yang tidak disangka-sangka. Adakah rezeki yang anda perolehi itu berkat atau tidak? Adakah anda bersyukur atau tidak?
Keberkatan di sini membawa maksud rezeki yang sedikit tetapi dirasakan banyak dan terlalu mencukupi. Sebaliknya tanpa keberkatan, hidup dirasakan sempit walaupun rezeki yang diperolehi cukup banyak. Ini juga ada kaitan dengan halal dan haram rezeki yang kita perolehi dan perlakuan kita terhadap Allah Maha Pemberi Rezeki.
Sama ada disedari atau tidak, kadangkala kita melakukan dosa besar atau dosa kecil secara berterusan tanpa ada ingatan untuk memberhentikannya. Kita mengingkari perintah Allah SWT sedangkan pada masa yang sama kita meminta Allah SWT memberikan rezeki kepada kita. Perhatikan diri kita, apakah dosa besar dan dosa-dosa kecil yang kita lakukan sehinggakan apa yang kita minta daripada Allah SWT terhijab?
Buktinya, perhatikan ayat al-Quran dalam surah al-A’araf ayat 96, Allah SWT mengingatkan hamba-Nya yang bermaksud :
“Jikalau sekiranya penduduk negeri-negeri beriman dan bertakwa, pastilah Kami akan melimpahkan kepada mereka barakah dari langit dan bumi, tetapi mereka mendustakan (ayat-ayat Kami) itu, maka Kami seksa mereka disebabkan perbuatan mereka sendiri.” (surah al-A’araf, ayat 96)
Punca rezeki terhijab
Rezeki bukan sahaja dalam bentuk wang. Rezeki Allah SWT hadir dalam pelbagai bentuk. Sihat, udara, makan minum, tempat tinggal, jodoh, anak, negara yang aman, keluarga yang baik, ibu dan ayah, hikmah, kebahagiaan, peluang menyambung belajar, peluang bekerja dan lain-lain. Antara sebab mengapa rezeki seseorang dihijabkan atau disempitkan antaranya adalah seperti berikut:
- Banyak berbuat maksiat dan mengingkari perintah Allah SWT.
- Melakukan dosa besar atau dosa kecil secara berterusan tanpa ada ingatan untuk memberhentikannya.
- Gemar mengungkit-ungkit pemberian.
- Asyik mencanang atau mengeluh perihal duit yang tidak cukup untuk urusan itu dan ini.
- Bakhil, kedejut dan berkira untuk bersedekah walaupun seringgit.
- Terlalu berkira untuk membantu memudahkan hal yang baik. Contohnya seperti membersihkan surau atau bergotong royong dalam komuniti masyarakat.
- Riak apabila bersedekah.
- Kurang beristighfar dan memohon ampun kepada Allah SWT.
- Tidak bersyukur dan banyak mengeluh.
- Abaikan isteri, keluarga serta ibu bapa.
- Memutuskan silaturrahim sesama muslim.
- Tidak menunaikan zakat.
- Suka marah dan panas baran.
- Suka bangun lewat dan lupa pada Pemberi Rezeki.
- Banyak tidur.
Kadang-kadang kita sibuk bekerja siang dan malam. Selepas habis waktu bekerja, berniaga pula menjual burger, atau berniaga secara sambilan atas talian atau melalui multi level marketing dengan mencari dan mengejar pelanggan dan sebagainya tetapi meninggalkan solat lima waktu yang wajib kerana mahu mengejar masa. Meninggal solat fardhu merupakan dosa besar kerana solat ialah tiang agama. Apabila tiang tidak ditegakkan, bagaimanakah bangunan hendak berdiri kukuh?
Tidak ada gunanya bekerja siang dan malam dengan tujuan untuk menambahkan rezeki tetapi kita meninggalkan solat fardhu yang diwajibkan? Bagaimanakah Allah SWT mahu menunaikan kewajipan-Nya jika kita sendiri tidak menunaikan kewajipan terhadap Allah SWT? Bagaimanakah doa kita hendak dimakbulkan Allah?
Walaupun kita melihat seseorang yang hidupnya dilimpahi rezeki dengan kemewahan dan kekayaan, tetapi adakah hidup mereka tenang? Tidak ada siapa yang tahu jika hati seseorang yang dilihat senang tetapi sebenarnya susah hati, bimbang harta akan berkurangan, suasana rumahtangga bergolak tetapi hakikatnya batin tersiksa.
Sebagai seorang muslim, kita sewajarnya tahu apakah dosa-dosa besar yang tidak sepatutnya kita lakukan dan dosa-dosa kecil yang sepatutnya kita tinggalkan. Meskipun kita sebagai manusia tidak terlepas daripada melakukan kesalahan, tetapi elakkanlah daripada melakukan apa sahaja bentuk perbuatan yang boleh mengundang dosa. Doa-dosa itulah yang menjadi halangan untuk kita memperolehi rezeki.
Pastikan apa juga perbuatan yang hendak kita lakukan bertujuan untuk memperolehi kemurahan rezeki, biarlah berupa kebajikan dan memberikan manfaat kepada orang lain. Jadilah seorang yang pemberi dan jangan mengharap menjadi seorang yang meminta-minta.
Amalan menjemput rezeki
Ayuhlah kita berubah dengan meninggalkan apa sahaja perkara yang dilarang di dalam agama dan lakukanlah apa yang Allah SWT perintahkan. Berikut adalah amalan-malan baik yang menjemput rezeki.
- Amal makruf nahi mungkar
- Solat awal waktu
- Melakukan solat-solat sunat seperti solat sunat Dhuha, tahajud, taubat, hajat dan sebagainya.
- Sentiasa berzikir dan istighfar.
- Niat yang baik.
- Berbakti kepada ibu bapa.
- Selalu bersedekah.
- Menjaga kebersihan.
- Permudahkan urusan orang, jangan dipersulitkan.
- Merapatkan silaturrahim.
Timbul persoalan, si polan sering melakukan maksiat dan ingkar perintah Allah, berdoa pun tidak pernah tetapi hidupnya dilimpahi kemewahan dan kekayaan; bagaimanakah Allah boleh memberikan rezeki? Ini termasuklah kepada orang yang kafir dan tidak beriman kepada Allah.
Hadis daripada Muslim ini menjelaskan persoalan di atas. Dari Anas bin Malik r.a, Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud :
“Sesungguhnya apabila orang-orang kafir mengerjakan kebajikan di dunia, dia diberi upah dengan amalnya itu berupa rezeki di dunia. Sedangkan orang-orang mukmin, pahala kebajikan disimpan Allah SWT untuknya di Akhirat kelak serta diberinya rezeki di dunia berhubung dengan taatnya.”
Perlu diingatkan, apa yang mereka perolehi itu hanyalah kemewahan sementara di dunia sebagai satu ujian sedangkan di Akhirat mereka menderita. Ada yang namanya Islam, berbuat kemungkaran tetapi tetap memperoleh rezeki yang melimpah ruah. Ketahuilah itu nikmat yang paling azab di kemudian hari dan dipanggil ‘istidraj’.
Rezeki yang diperolehi tanpa keberkatan akan merosakkan diri sendiri. Kita wajar dapat membezakan rezeki yang diperolehi oleh orang kafir dengan orang Islam tidak sama. Kita akan mendapat pahala di dunia dan Akhirat sedangkan orang kafir tidak mendapat apa-apa pun balasan sama ada di dunia atau Akhirat. Marilah kita berubah agar rezeki kita masuk tidak putus-putus, semoha rezeki kita berkat dan semoga amalan-amalan kita diterima oleh-Nya.
Rujukan : http://motivasiislamik.blogspot.my
Tags: #amalan menjemput rezeki #hutang #Inilah punca sebenar kenapa rezeki anda susah masuk #kesempitan hidup #melakukan dosa menyempitkan rezeki #menjemput rezeki #miskin #papa kedana #perkara menjauhkan rezeki #punca Allah sempitkan rezeki #punca rezeki sempit #punca rezeki susah nak masuk #punca rezeki terhijab #Punca Sebenar Kenapa Rezeki Anda Susah Masuk #rezeki #sebab payah nak kaya #sebab rezeki susah nak masuk