Tahukah anda, terdapat ramai lagi selebriti popular tanah air yang merupakan anak kelahiran negeri Pahang selain Ippo Hafiz, Liyana Jasmay dan Fizz Fairuz.
Untuk kali ini, penulis senaraikan tentang 5 selebriti yang berasal dari Pahang. Here they are!
1. Dato’ Seri Siti Nurhaliza
Siapa yang tidak mengenali penyanyi nombor satu negara, Dato’ Seri Siti Nurhaliza. Dari kanak-kanak sehingga warga emas, pastinya meminati dan mengagumi ikon seni yang berasal dari Kuala Lipis, Pahang ini. Sedar atau tidak, pelantun lagu Biarlah Rahsia, Cindai dan Kau Kekasihku ini sudah lebih 20 tahun berkelana di persada seni hiburan Malaysia.
Beliau menamatkan zaman solonya dengan ahli perniagaan, Datuk Khalid Muhd Jiwa pada 2006. Selepas 11 tahun mendirikan rumah tangga, Siti bakal melahirkan cahaya mata sulung pada Mac 2018. Selain sibuk dengan aktiviti seni, wanita berusia 39 tahun ini aktif dalam bidang bisnes iaitu SimplySiti dan Creation by Siti Nurhaliza.
Sepanjang bergelar penyanyi dan penghibur, Siti telah diiktiraf dengan pelbagai kejayaan dan anugerah termasuklah Anugerah Seri Perak di Anugerah Bintang Popular Berita Harian (ABPBH) 2011, Artis Terbaik Wanita di Anugerah Planet Muzik (APM) 2015, Penyanyi Wanita Terhebat Pilihan Online di Anugerah Pilihan Online (APO) 2016 dan Penyanyi Pilihan Malaysia di Anugerah Industri Muzik (AIM) 2016.
2. Fazura
Mengetuk pintu dunia seni lakonan pada 2004 sebagai pelakon, pemilik nama Nur Fazura Sharifuddin atau Fazura sentiasa menjadi buruan para pengarah dan penerbit tempatan untuk menjayakan sesuatu projek seni termasuklah drama, telefilem dan filem.
Tidak hanya laris di kaca televisyen, anak ketiga daripada empat beradik aktif di layar lebar. Antara drama, telefilem dan filem yang telah dibintanginya adalah Hero Seorang Cinderella, Kisah Cinta, Wanita Terindah, Kasih Suci, Pisau Cukur, J Revolusi, Langit Cinta dan Kayangan.
Anak jati Pekan, Pahang ini turut mengembangkan portfolio seninya ke bidang seni suara. Sayang Dirimu, Hancur Aku (duet bersama Estranged), Bisa Apa, Bangun dan Nothing Like Pag-Ibig (duet bersama Jason Dy) merupakan sebahagian lagu nyanyiannya.
Bukan itu sahaja, suri hati kepada Fattah Amin ini juga memiliki bisnes berasaskan butik pakaian wanita yang dikenali sebagai House of Doll bertempat di Bangsar.
3. Kamal Adli
Selepas menjuarai program Hero Remaja 2007/2008, jejaka bernama Kamal Adli terus mekar mewangi di lapangan seni hiburan sehingga hari ini.
Di samping Duda Pujaan Dara dan Black Belt Kaler Pink, kekasih hati Emma Maembong ini turut menjayakan drama seperti #AssamualaikumCinta, Sha & Shah, Jodoh Sebelah Pintu, Pencetus Ummah Wid dan Putera Rayyan.
Terus mencabar diri, anak kelahiran Bentong, Pahang ini terjun ke pentas pengacaraan di mana telah mengendalikan bermacam-macam program televisyen seperti From Spain To Morocco, Curi Curi Cuti, Rentak Juara 2008 dan Pandanganku Ceritaku. Terbaharu, jejaka berusia 32 tahun ini akan mengacarakan program Gegar Lawak bersama Fad Bocey yang akan disiarkan mulai 19 Januari 2018 menerusi saluran Astro Warna 132.
Paling menarik, graduan jurusan Penyiaran dari Malaysian Institute of Intergrative Media (Akademi TV3) ini dinobatkan juara program Super Spontan Superstar 2017.
4. SonaOne
Buat para penikmat muzik Hip Hop, pastinya mengenali lelaki bernama Mikael Adam Mohd Rafee Michel Lozach atau nama komersilnya SonaOne. Namanya mula mencuri tumpuan netizen selepas berduet bersama Joe Flizzow menerusi lagu Havoc dan Apa Khabar.
Untuk info, jejaka berasal dari Kuantan, Pahang ini memperdagangkan bakatnya sebagai rapper sejak 2010 dengan lagu-lagu rap berbahasa Inggeris seperti I Don’t Care (duet bersama Karmal), Like A Dream (duet bersama Dennis The Menace & Dandee), No Snooze dan Problem (duet bersama Sayla & Tatsuro Miller).
Pelbagai kejayaan manis dicapai oleh figura berdarah campuran Melayu-Perancis ini termasuklah menjuarai Anugerah Juara Lagu (AJL) 29 menerusi lagu Apa Khabar, Lagu Hip Hop Terbaik di Anugerah Industri Muzik (AIM) 2014, Lagu Inggeris Tempatan Terbaik di AIM 2016 dan Kolaborasi Terbaik (Artis) di Anugerah Planet Muzik (APM) 2017.
Kalau anda nak tahu, Sonaone pernah bekerja sebagai pelukis graffiti sebelum terjun ke dunia seni nyanyian.
5. Karl Shafek
Bagi peminat setia rancangan membeli-belah secara atas talian iaitu CJ Wow Shop, Karl Shafek bukanlah satu nama yang cukup asing di halwa telinga kita semua. Tidak hanya CJ Wow Shop, anak jati Pekan, Pahang ini juga pernah mengemudikan program seperti Nasi Lemak Kopi O, HipTV, Aroma Tradisi, Jelajah Ramadan dan 3 Hari 2 Malam.
Selain mengacara, anak ketiga daripada empat beradik ini berbakat besar dalam bidang lakonan. Pemuda berusia 38 tahun ini turut berlakon dalam drama seperti Rindu Awak 200%, Masihkah Anda Cinta, Anak Aku Artis, Cinta Itu Milikku dan Hotel Mania.
Figura berbintang Aries ini pernah menyertai program realiti masakan, Masterchef Selebriti Malaysia namun tersingkir di minggu keempat. Sebelum menceburi ke arena seni hiburan, Kark pernah bekerja sebagai wartawan penyiaran dan pramugara di Malaysia Airlines.
Seperti selebriti tempatan yang lain, bintang filem Zaiton Ceritaku ini turut menjalankan bisnes pakaian berjenama sendiri iaitu Neonate Clothing yang memartabatkan fesyen jalanan.
Tags: #Anak Jati Pahang #Artis Dari Pahang #Artis Kelahiran Pahang #Artis Negeri Pahang #Artis Popular Malaysia Berasal Dari Pahang #Dato' Seri Siti Nurhaliza #fazura #kamal adli #karl shafek #Pelakon Berasal Dari Pahang #Pelakon Kelahiran Pahang #Penyanyi Berasal Dari Pahang #Penyanyi Kelahiran Pahang #Selebriti Dari Pahang #Selebriti Kelahiran Pahang #Selebriti Malaysia Berasal Dari Pahang #Selebriti Negeri Pahang #sonaone