Negeri Kedah bukan sahaja terkenal dengan kebudayaan dan destinasi pelancongan menarik bahkan masyarakatnya turut berbakat dalam pelbagai bidang termasuklah seni hiburan.
Berbicara tentang seni hiburan, ramai anak kelahiran negeri jelapang padi ini bergelar penyanyi, pelakon, pengacara, pelawak dan lain-lain lagi.
Untuk kali ini, penulis senaraikan 5 selebriti popular Malaysia yang berasal dari Kedah. Siapa saja mereka? Here they are!
1. Janna Nick
Aktres cantik manis bernama Janna Nick ini tidak asing lagi di layar kaca. Namanya mula meledak selepas membintangi drama berantai popular, Syurga Nur bergandingan Azrel Ismail dan Erwin Dawson. Sejak itu, anak jati Sungai Petani, Kedah ini mula menjadi buruan para penerbit dan pengarah tempatan dalam menjayakan projek seni seperti drama, telefilem dan filem.
Antara drama dan telefilem lakonan figura berdarah kacukan Melayu, Cina dan Pakistan ini adalah Kau Aku Kita, Biar Aku Jadi Penunggu, Dia, Isteriku Miss Sally, Mek Klate, Gadis Kampung Paling Popular dan Suami Tanpa Cinta.
Bukan sahaja handal berlakon, pemilik nama lengkap Nurul Jannah Muner ini turut melebarkan sayapnya di pentas nyanyian. Single pertamanya berjudul Mungkin Saja berjaya membius para penikmat muzik tanah air sehingga masuk ke separuh akhir Muzik-Muzik 2016.
Sepanjang bergelar anak seni, anak kedua daripada empat beradik ini dinobatkan sebagai Artis Baharu Wanita Popular di Anugerah Bintang Popular Berita Harian (ABPBH) 2015 dan Aktres Pilihan di Anugerah Drama Festival Kuala Lumpur 2016.
2. Rozita Che Wan
Siapa yang tidak mengenali pelakon terkenal, Rozita Che Wan atau lebih dikenali sebagai Che Ta. Berasal dari Alor Setar, Kedah, wanita berusia 44 tahun ini mula mengetuk pintu industri seni lakonan pada 2005 bersama adiknya iaitu Ayu Raudhah.
Drama dan telefilem yang berjaya mengangkat namanya di persada seni hiburan tempatan seperti Kiah Pekasam, Kak Marr, Jelatang, Kem Pink, Miss Octopus dan Susuk 2.
Sebelum menerpa nama sebagai anak wayang, Che Ta pernah berkhidmat sebagai seorang pramugari di Malaysia Airlines (MAS) serta bergelar peragawati selama enam tahun.
Mengenakan hijab sepenuhnya pada tahun 2015, isteri kepada Zain Saidin ini turut berjinak-jinak dalam bidang pengacaraan. Di samping Primadona, figura jelita ini juga mengendalikan program Air Tangan Bonda dan Teh Tarik Che Ta.
Malah, ibu kepada tiga orang cahaya mata ini turut menjalankan bisnes minyak wangi berjenama Precious dan Gorgeous serta produk penjagaan diri wanita iaitu Jus Goyang Rapat dan Pencuci Goyang Segar.
3. Farid Kamil
Tidak dinafikan pelakon kacak bernama Farid Kamil ini berbakat besar dalam bidang lakonan. Sama ada protagonis atau antagonis, anak jati Alor Setar, Kedah ini pasti berjaya menjiwai karakter sesuatu watak sehingga memberi impak kepada para penonton dan peminatnya.
Siapa sangka, jejaka yang suka merempit di zaman remajanya kini bergelar seorang pelakon, penulis lakonlayar serta pengarah yang hebat dan berkaliber.
Selain J- Evolusi dan Tombirou: Penunggu Gua, aktor tinggi lampai ini turut membintangi filem-filem pecah panggung seperti Evolusi KL Dritf, Jutawan Fakir, Cinta Kolestrol, Remp-it dan Lagenda Budak Setan.
Sedar atau tidak, Farid sudah 18 tahun berkelana di industri seni hiburan tanah air.
Lulusan seni persembahan dari Universiti Teknologi Mara (UiTM) pernah menerima Anugerah Bakat Muda Seni Lakon Negara di Anugerah Seni Negara (ASN) 2009 yang telah disampaikan oleh bekas Yang DiPertuan Agong, Tuanku Mizan Zainal Abidin.
Paling manis, anak sulung daripada lima beradik ini menamatkan zaman bujangnya dengan pelakon cantik, Diana Danielle pada tahun 2012 dan dikurniakan dua cahaya mata.
4. Yuna
Dan Sebenarnya, Lelaki Tak Guna, Terukir Di Bintang, Pulang dan Cinta Sempurna merupakan antara untaian hit penyanyi wanita popular negara, Yuna atau nama sebenarnya Yunalis Mat Zarai.
Meskipun dibesarkan di Subang Jaya, Selangor, anak kelahiran Alor Setar, Kedah ini sedang rancak memperluaskan pengaruh seninya di luar negara iaitu di Amerika Syarikat dan berkerjasama dengan beberapa artis terkenal antarabangsa seperti Pharrell William dan Usher.
Sehingga kini, wanita berusia 31 tahun ini telah merakamkan enam album studio seperti Decorate (2010), Terukir Di Bintang (2012), Yuna (2012), Nocturnal (2013), Material (2015) dan Chapters (2016) serta dua album EP iaitu Yuna EP (2008) dan Sixth Street (2013).
Pelbagai kejayaan luar biasa telah dilakar oleh Yuna termasuklah Anugerah Kembara di Anugerah Industri Muzik (AIM) 2016, Anugerah Rentas Planet di Anugerah Planet Muzik (APM) 2016 serta Anugerah Penyanyi Wanita Popular di Anugerah Bintang Popular Berita Harian (ABPBH) 2011 dan 2010.
Pada 5 Ogos 2017, graduan jurusan Undang-Undang dari Universiti Teknologi Mara (UiTM) ini mengikat tali pertunangan dengan jejaka bernama Adam Sinclair.
5. Scha Al Yahya
Selepas menjuarai program Dewi Remaja 2005/2006, nama Sharifah Nor Azean Syed Mahadzir Al Yahya atau nama pentasnya Scha Al Yahya mula mencuri perhatian para peminat dan pengiat seni tempatan.
Rezeki anak kelahiran Sungai Petani, Kedah ini di dalam bidang lakonan semakin melimpah ruah selepas menjayakan drama bersiri komedi iaitu Awan Dania yang disiarkan di Astro Ria sekitar tahun 2008 hingga 2010.
Bukan sahaja aktif berlakon, wanita berdarah campuran Melayu, Cina dan Hadharami ini juga bergelar seotang pengacara. Muzik-Muzik, Gempak Superstar, Sehati Berdansa dan Hero Remaja 2017 adalah rancangan televisyen yang dikendalikannya.
Duta Yakult dan Rexona ini mendirikan rumah tangga dengan pelakon dan pengacara stailo, Awal Ashaari pada 2012. Hasil perkahwinan tersebut, pasangan merpati dua sejoli ini dianugerahkan seorang anak perempuan iaitu Lara Alana yang kini berusia empat tahun.
Tags: #anak jati kedah #artis dari kedah #artis kelahiran kedah #Artis Malaysia Berasal Dari Kedah #Farid Kamil #janna nick #kedah tempat tempat artis menarik #pelakon lelaki dari kedah #Rozita Che Wan #Scha Al Yahya #selebriti malaysia anak kedah #Selebriti Popular Malaysia Kelahiran Negeri Kedah #wanita negeri mana paling cantik #Yuna