Pada masa dahulu kepercayaan terhadap semangat hutan begitu tebal di kalangan orang Melayu. Masyarakat Melayu menganggap bahawa hutan mempunyai semangat yang keras. Selain didiami oleh binatang-binatang buas, hutan juga didiami oleh berbagai jenis jembalang, pari-pari dan mambang.
Kumpulan syaitan ini dipercayai mempunyai keistimewaan yang tersendiri dan boleh menyebabkan bencana kepada manusia. Lantaran kepercayaan tersebut, maka masyarakat Melayu pada zaman dahulu beranggapan perlu mengadakan upacara khas bagi mereka yang akan pergi ke hutan untuk mencari rotan, damar, kayu, buluh, akar kayu dan sebagainya atau untuk membuka tanah baru.
Masa berlalu, seiring dengan perkembangan ajaran Islam yang diajarkan oleh Nabi SAW, memasuki hutan pada masa kini bukan lagi seperti tradisi masyarakat dahulu yang meneroka hutan untuk kegunaan manusia. Selain daripada penerokaan hutan untuk dijadikan kampung halaman, masyarakat dahulu juga begitu gigih meneroka hutan bagi mencari bahan-bahan hutan untuk dijual atau digunakan sendiri.
Pada masa kini, peminat aktiviti outdoor mahupun mereka yang gemarkan apa-apa aktiviti yang melibatkan memasuki kawasan hutan untuk menjelajah air terjun, menawan puncak gunung, aktiviti 4×4 dan sebagainya, seharusnya perlu tahu serba sedikit tentang persediaan diri termasuk beberapa pantang larang sebelum memasuki hutan.
Pantang Larang Semasa Di Hutan
Terdapat beberapa petua yang patut menjadi ingatan kepada mereka yang akan ke hutan. Antara pantang larang tersebut adalah seperti petua semasa mula turun ke hutan, bersiul semasa dalam perjalanan, melaung ketika berada di hutan, berburu binatang dan tidur di atas pokok.
- Permulaan turun ke hutan
Andainya seseorang yang baru turun dari rumah untuk ke hutan tiba-tiba dilintasi ular dalam perjalanannya, maka dipercayai ini merupakan suatu petanda yang tidak baik. Orang tersebut haruslah naik semula ke atas rumah dan mengambil pinang sepiak dan memakannya kemudian barulah turun semula untuk meneruskan perjalanan. Turun tangga haruslah dengan langkah kaki kanan. Sebelum turun didahului dengan bacaan Bismillahirrahmanirrahim. Mereka juga tidak boleh berpatah balik.
- Bersiul semasa dalam perjalanan
Bersiul semasa dalam perjalanan adalah ditegah. la dipercayai menjemput kedatangan ular. Bersiul di dalam hutan pula dilarang sama sekali kerana ini akan menarik perhatian berbagai jenis binatang buas. Apabila kehadiran orang yang memasuki hutan itu diketahui oleh binatang buas, dirinya berada dalam keadaan bahaya.
- Melaung semasa di hutan
Perbuatan melaung di hutan juga ditegah. Melaung atau bercakap dengan kuat dipercayai akan menarik perhatian berbagai-bagai jenis jembalang serta binatang buas yang ada di dalam hutan. Sekiranya orang yang masuk hutan itu melaung, maka laungan itu dipercayai akan disahut oleh jembalang dan andainya perkara seumpama ini terjadi, maka kejadian seperti sesat di hutan akan berlaku.
- Berburu binatang
Sekiranya tujuan seseorang ke hutan adalah untuk berburu, dia tidak boleh berpecah daripada kumpulan kawan-kawannya. Sekiranya dia berpecah juga, maka akan terjadi sesuatu yang tidak baik, misalnya tertembak rakan sendiri atau sebagainya. Mengikut kepercayaan, jembalang akan menyerupai wajah rakan seseorang dan wajah rakan itu pula akan menyerupai binatang yang hendak diburu. Sekiranya hal ini terjadi, maka malanglah bagi mereka yang pergi berburu di hutan itu.
- Tidur di atas pokok
Mereka yang pergi ke hutan dilarang tidur di atas pokok. Jika berbuat demikian dipercayai mereka akan diganggu oleh jembalang terbang. Tujuan sebenarnya jika seseorang tidur di atas pokok, sukar baginya melarikan diri apabila berlaku sebarang musibah.
Doa Masuk Hutan
Sebelum memasuki hutan, setiap orang hendaklah mengamalkan doa masuk hutan dan doa penggerak. Letakkan kebergantungan kita kepada Tuhan semasa berada di dalam hutan. Dipetik dari buku `Rawatan Pesakit Menurut Al-Quran dan As-Sunnah’ karangan Dr. Amran Kasimin dan Prof. Dr. Haron Din, cetakan Keempat (1990).
- Dimulakan dengan membaca surah al-Fatihah sebelum masuk hutan.
- Kemudian baca doa penggerak sebelum masuk hutan :
بِسْمِ اللهِ الذِّي لاَ يَضُرُّ مَعَ اسْمِهِ شَىْءٌ فِي الأَرْضِ وَلاَ فِي السَّمَاءِ وَهُوَ السَّمِيْعُ العَلِيْمُ
Sebutan : bismillahillazi la yadhurru ma’asmihi syaiun fil ardhi wala fis sama’ie wa huas sami’un alim
Ertinya : “Dengan nama Allah yang tidak memberi mudharat akan sesuatu yang dibumi dan yang dilangit (selagi)bersama dengan Nama-Nya dan Dia Maha Mendengar lagi Maha Mengetahui.”
- Baca ayat ini ketika melangkah ke dalam hutan dengan perlahan-lahan sebanyak 7 langkah dan pada setiap langkah di baca ayat ini :
سَلاَمٌ عَلىَ نُوْحٍ فِي العَالَمِيْنَ إِنَّكَ حَمِيْدٌ مَجِيْدٌ
Sebutan : salamun ‘ala nuhin fil ‘alamina innaka hamidun majid
Ertinya : “kesejahteraan ke atas nabi nuh di seluruh alam…”
Rasulullah SAW didengari berkata sesiapa yang berdoa, “Dengan nama Allah yang tidak memberi mudharat akan sesuatu yang dibumi dan yang dilangit (selagi) bersama dengan Nama-Nya dan Dia Maha Mendengar lagi Maha Mengetahui” sebanyak tiga (3) kali, maka dia tidak akan ditimpa kesusahan bala dan musibah sehinggalah subuh esoknya, dan barangsiapa membacanya ketika waktu subuh sebanyak tiga (3) kali, dia tidak akan ditimpa kesusahan bala dan musibah sehingga petangnya (Riwayat Abu Daud, At-Tirmizi dan Ahmad)
Doa Ketika Membuang Air
Ketika ingin membuang air di hutan, cukuplah sekadar membaca :
بِسمِ اللَّهِ الرَّحمٰنِ الرَّحيمِ
Dan meminta perlindungan dihindari kawasan membuang air itu dari makhluk Allah yang tidak dapat dilihat dengan mata kasar. Ataupun membaca doa hendak masuk ke tandas iaitu :
بِسْم الله اللَّهُمَّ إِنِّي أَعُوذُ بِكَ مِنَ الْخُبُثِ وَالْخَبَائِثِ
Sebutan : bismillahi Allahumma inni ‘au zubika minal khubuthiawal khoba ith
Ertinya : “Dengan Nama Allah, Ya Allah aku berlindung denganMu daripada syaitan jantan dan syaitan betina.”
Doa Ketika Ternampak/Terdengar Hantu/Jin/Syaitan
Ketika terdengar dan ternampak makhluk ghaib di dalam hutan, bacalah :
العنك بلعنت الله
Sebutan : Al laknuka bilaknatillah
Ertinya : “Laknatlah engkau dengan laknat dari Allah”
Jika terdengar tetapi tidak ternampak, maka bacalah doa ini :
اعوذ بكلمات الله تامات من شر ما خلق ومن شر الشياطين وان يحضرون
Sebutan : Au’zubikalimaatillahi taammaati minsyarrima khalaq, wamin syarri syayaatin wai’n yahdhurun
Ertinya : “Aku berlindung dengan kalimah-kalimag Allah Yang Maha Sempurna, daripada sebarang kejahatan apa yang diciptakan, dan juga dari kejahatan syaitan-syaitan bila mereka menjelma.”
Tags: #amalan doa di dalam hutan #doa jika terdengar hantu #doa jika ternampak hantu #doa jika ternampak jin dan syaitan #doa kencing dalam hutan semak #doa masuk hutan #pantang larang hutan #pantang larang ketika masuk hutan #persediaan masuk ke hutan #sebelum masuk hutan #senarai doa ketika dalam hutan