Elakkan Diri Dari Terkena Jangkitan Kencing Tikus. Faktor Risiko, Tanda-Tanda, Pencegahan & Tempat Berisiko Mendapat Penyakit Ini!

Jangkitan Kencing Tikus

Penyakit kencing tikus atau Leptospirosis yang juga dikenali sebagai sindrom Weil, demam canicola atau demam ladang tebu merupakan penyakit berjangkit zoonosis yang berpunca daripada bakteria spirochaete dalam genus Leptospira yang menjejaskan manusia dan sejumlah besar haiwan, termasuk mamalia, burung, amfibia, dan reptilia. Penyakit ini pertama kali ditemukan oleh Adolf Weil pada tahun 1886 apabila dia melaporkan “penyakit jangkitan akut dengan bengkak spleen (“splenomegaly”), penyakit kuning dan nephritis“. Leptospira pertama kali dilihat pada 1907 dari hirisan buah pinggang bedah siasat. Pada 1908, Inada dan Ito pertama kali mengenal pasti ia sebagai organisma penyebab dan pada 1916, menyedari kehadirannya pada tikus.(Wikipedia)

Penyakit berjangkit ini disebarkan melalui haiwan. Jika tidak dirawat segera, penyakit ini boleh merebak dan membawa maut. Pada mulanya, bakteria ini dikenal pasti datangnya dari tikus. Namun kini, banyak jenis haiwan boleh menjadi perumah bakteria ini, sama ada haiwan liar atau peliharaan. Haiwan dijangkiti ada kalanya menunjukkan tanda sakit, tetapi sekadar menjadi pembawa dan tidak memindahkan jangkitan. Secara umumnya bakteria Leptospira boleh menjangkiti anjing, tikus dan haiwan liar lain seperti rakun dan serigala.

Kencing Tikus di Malaysia

Dipetik dari panduansihat.com, Leptospirosis di Malaysia telah dikesan buat pertama kalinya pada tahun 1925 oleh seorang saintis bernama Fletcher W. Setelah itu, para saintis telah membuat kajian yang lebih terperinci bagi menjejaki kes-kes Leptospirosis di Malaysia. Sebagai rumusan, para saintis mengumumkan bahawa penyakit Leptospirosis amerupakan endemik di negara kita pada waktu tersebut.

Kes pada tahun 1925 tersebut merupakan kes yang membawa maut (fatal case) yang disebabkan oleh bakteria Leptospirosis icterohemorrhagiae. Pada tahun 1926 pula empat kes telah dikesan di Singapura (yang ketika itu masih sebahagian daripada Malaysia) oleh saintis Galloway.

Pada peringkat awal penyakit ini dikesan di Malaysia, kebanyakan pesakit menunjukkan simptom demam kuning (jaundis), manakala dalam kalangan askar pula, simptom yang ditunjukkan adalah demam panas. Bilangan kes dan kematian yang disebabkan oleh Leptospirosis pada waktu itu sangat membimbangkan. Para saintis telah menggelar penyakit ini sebagai penularan penyakit baru dalam kalangan masyarakat Malaya.

Mengikut statistik Kementerian Kesihatan, pada tahun 2006, sebanyak 527 kes kencing tikus telah dicatatkan, dan pada tahun 2007 pula, terdapat peningkatan sebanyak 929 kes dilaporkan. Pada tahun 2010, negara digemparkan dengan berita kematian enam individu akibat Leptospirosis dan Melioidosis Hutan Lipur Lubuk Yu, Maran.

Penyebaran Penyakit

Leptospirosis boleh menjangkiti manusia secara langsung mahupun tidak langsung melalui pendedahan kepada air kencing haiwan pembawa. Bakteria genus Leptospira ini boleh memasuki saluran darah melalui luka, kulit yang melecet dan melalui membran bermukus seperti mata, hidung dan mulut.

Kencing tikus turut disebarkan melalui air mani haiwan yang dijangkiti. Pekerja rumah penyembelihan boleh dijangkiti melalui sentuhan dengan cecair badan dan darah.

Manusia boleh dijangkiti melalui pendedahan kepada air, makanan atau tanah yang mengandungi kencing haiwan yang dijangkiti bakteria ini. Ini juga mungkin berlaku dengan menelan makanan atau air yang dicemari, atau melalui sentuhan luka pada kulit

Selain itu, orang awam juga boleh terdedah kepada bakteria ini melalui permukaan air bertakung, terutamanya selepas hujan dan banjir. Kawasan yang kotor dan tidak terjamin tahap kebersihannya, adalah lebih berisiko tinggi untuk menjadi kawasan Leptospira.

Jangkitan daripada manusia kepada manusia lain bagi penyakit ini jarang berlaku. Tetapi Leptospirosis ini masih boleh menular melalui hubungan seksual dan melalui penyusuan badan. Bakteria Leptospira masih boleh menjangkiti manusia lain melalui urin walaupun setelah berbulan-bulan selepas jangkitan.

Faktor Risiko Kencing Tikus

  • Melakukan pekerjaan yang terdedah kepada panas – Petani, penternak, peladang, pekerja rumah penyembelihan, doktor haiwan, pemotong kayu, pekerja sistem pembentungan, pesawah dan anggota tentera.
  • Aktiviti rekreasi dalam air seperti berenang, berkayak dan berbasikal di laluan denai di kawasan panas.
  • Terdedah kepada peralatan di rumah termasuk binatang peliharaan seperti anjing, binatang peliharaan untuk disembelih, ruang perangkap air dan mengambil makanan yang telah digigit oleh binatang seperti tikus, tupai dan arnab.
  • Terdedah di tempat yang banjir dimana air kencing tikus tercemar di dalamnya, apabila terkena kulit yang luka, masuk dalam mata, hidung atau mulut(terminum), virus akan menjangkiti.

Tanda dan Gejala

  • Masa pengeraman antara 2 hingga 26 hari (anggaran 10 hari).
  • Bermula dengan demam, menggigil, sakit anggota tubuh, sakit kepala, demam panas, sakit-sakit otot.
  • Ruam, demam kuning dan sensitiviti mata terhadap cahaya mula menyerang beberapa hari setelah simptom-simptom di atas mula reda.
  • Penglihatan pesakit pula menjadi sedikit kabur. Simptom-simptom ini boleh berlanjutan sehingga beberapa hari dan mungkin juga berterusan selama berminggu-minggu
  • Batuk tidak berkahak.
  • Loya, muntah dan cirit-birit, sakit sendi, sakit tulang, sakit tekak dan sakit perut.
  • Radang selaput mata.
  • Pesakit mungkin mengalami sakit otot, pembesaran limpa atau hati, bengkak salur kelenjar, sakit tekak, kekerasan otot, perubahan bunyi pada peparu atau ruam.
  • Meningitis (radang selaput otak) dan pendarahan di paru-paru juga boleh berlaku. Leptospirosis juga lambat-laun boleh membawa maut.

Rawatan dan Ubatan

Leptospirosis biasanya dirawat dengan antibiotik seperti doxycycline atau penicillin. Ujian dan diagnosis mengambil masa yang lama dan pesakit boleh menjadi lebih parah jika terus menunggu. Oleh itu, doktor akan memulakan rawatan dengan pengambilan antibiotik sebelum mengesahkan pesakit dengan Leptospirosis. Rawatan antibiotik adalah kaedah yang paling efektif untuk Leptospirosis jika rawatan itu dimulakan awal. Ubatan Cephalosporim, Penicillins,doxycycline, chloramphenicol, dan erythromycin boleh diberi untuk rawatan leptospirosis. Penjagaan sokongan diperlukan bagi kes yang rumit dan bermasalah.

Langkah Pencegahan

Kencing tikus adalah penyakit yang boleh dielakkan. Beberapa tip langkah penjagaan boleh diamalkan bagi mencegah pendedahan kepada bakteria Leptospira.

  • Tutup luka dan lecetan kulit dengan balutan yang kalis air sebelum anda memulakan aktiviti/kerja di ladang/kebun atau tempat-tempat yang berpotensi untuk pendedahan kepada bakteria ini.
  • Pakai pakaian pelindung seperti sarung tangan, pelindung mata atau gogel, apron dan kasut but apabila bekerja di ladang ataupun bekerja dengan haiwan-haiwan yang berpotensi untuk dijangkiti dengan Leptospira, terutamanya apabila anda berpotensi untuk terdedah pada urin haiwan tersebut.
  • Bersihkan diri dan tangan selepas membuat kerja-kerja di ladang dan kebun.
  • Pastikan anda tidak makan atau merokok semasa berada berhampiran dengan haiwan-haiwan yang mungkin dijangkiti ataupun semasa bekerja di kebun/ladang yang anda mungkin terdedah pada tanah yang telah dikontaminasi dengan bakteria tersebut.
  • Elakkan aktiviti rekreasi atau berenang di tempat-tempat yang berkemungkinan dicemari oleh urin haiwan pembawa.
  • Kawal kehadiran tikus di tempat anda dengan memastikan kebersihan yang optimum. Buang semua sampah sarap dan kemaskan buangan sisa makanan, bagi mengelak kehadiran tikus.
  • Sebelum minum atau membuka makanan di dalam tin, pastikan anda membasuh/membilas penutupnya terlebih dahulu bagi mengelak kemungkinan dijangkiti bakteria ini. Tin-tin ini mungkin terdedah pada urin haiwan pembawa Leptospira ketika di dalam stor.
  • Pastikan haiwan peliharaan anda mendapat vaksin dan rujuk kepada klinik veterinar bagi mengelak haiwan peliharaan anda daripada dijangkiti bakteria Leptospira. Elakkan berkunjung ke kawasan yang ada air bertakung.
  • Simpan makanan atau minuman dengan baik agar tidak dicemari.
  • Cuci tangan dengan sabun sebelum makan.
  • Bersihkan diri selepas melakukan aktiviti luar seperti berkebun dan apa jua aktiviti yang terbuka.
  • Untuk majikan pula mereka harus memberi perlindungan kepada pekerja mereka yang mempunyai risiko yang tinggi dijangkiti seperti memberi sarung tangan dan sebagainya.
  • Menjaga kebersihan sekeliling, sediakan tempat membuang sampah yang bertutup, bersihkan tempat bekas air dan kolam renang, pastikan tiada tikus dikawasan sekeliling terutama rumah anda,membuat semburan disinfeksi tempat yang telah dicemari.
Rujukan :
http://www.panduansihat.com
https://ms.wikipedia.org
Loading...

Tags: #bahaya kencing tikus #faktor risiko kencing tikus #kawasan sering terkena jangkitan kencing tikus #leptospira #leptospirosis #mencegah kencing tikus #penyakit kencing tikus #punca kencing tikus

Cara Rawatan Awal Gatal-gatal Pada Kulit
Gatal kulit boleh disebabkan oleh pelbagai faktor, termasuk tindak balas alahan, kulit kering,
Penyakit TB : Cara Tersebar Penyakit Tuberkulosis (TB) Gejala dan Pencegahan
Tuberkulosis (TB) adalah penyakit berjangkit yang disebabkan oleh bakteria Mycobacterium tuberculosis. Penyakit ini
Vaksinasi Hepatitis B : Adakah Ia Perlu?
Vaksin hepatitis B adalah cara yang paling berkesan untuk mencegah jangkitan virus hepatitis
Hepatitis B @ Bengkak Hati : Punca dan Cara Menghindari serta Kaedah Rawatan Pesakit Hepatitis B
Hepatitis B adalah penyakit hati yang disebabkan oleh virus hepatitis B (HBV). Virus

Comments are closed.