Jika anda mempunyai minat dalam aktiviti sport fishing di laut, anda bukan sahaja perlu ada set perkakas joran yang baik tetapi anda pasti mempunyai keinginan untuk memiliki bot fiberglass sendiri. Maklumlah, asyik menumpang trip sahaja, kadang-kadang rasa nak upgrade juga, betul tak?
Oleh itu, berdasarkan pengalaman ini, maka dikongsikan setup terbaik bagi bot fiberglass yang bakal anda miliki berdasarkan bujet dan sumber kewangan masing-masing.
Cara Memilih Enjin Sangkut Yang Sesuai Untuk Bot Fiber Anda
- Bot fiberglass bersaiz 17 ft
Bot bersaiz 17 ft merupakan saiz minima yang selamat jika ingin memancing dalam lingkungan 0 – 5 bt nautika dari pantai. Kapasiti enjin optimum bagi bot bersaiz ini adalah 15hp. Namun, pada kapasiti setup ini, bilangan pemancing mestilah tidak melebihi 2 orang sahaja (termasuk tekong bot).
- Bot fiberglass bersaiz 18 – 19 ft
Jika anda mahu mendapatkan saiz enjin yang optimum bagi saiz bot ini, dicadangkan anda mendapatkan enjin berkuasa 30hp. Bilangan pemancing yang optimum untuk keluar ke laut adalah seramai 2 orang sahaja (termasuk tekong). Namun, kelebihan pada saiz bot ini adalah anda mempunyai ruang yang lebih luas untuk melakukan aktiviti memancing. Kuasa kuda yang lebih sedikit memberikan anda keyakinan untuk merentasi gelombang laut.
- Bot fiberglass bersaiz 21 ft
Saiz paling ekonomi dan sesuai untuk mengharungi gelombang di laut adalah pada saiz ini. Kebanyakkan nelayan tradisi di kawasan pantai timur menggunakan bot fiberglass saiz 21ft dengan kapasiti enjin 40hp. Kemampuan bagi kuasa kuda enjin ini mampu mengharungi gelombang dan membawa beban yang banyak. Bagi pemancing yang tidak perlu membawa pukat yang berat, jumlah pemancing maksima yang sesuai bagi enjin 40hp adalah seramai 3 orang sahaja (termasuk tekong). Kemampuan saiz bot ini dengan enjin membolehkan anda mengharungi lautan sejauh 10 – 15 bt nautika dari pantai.
- Bot fiberglass bersaiz 22 – 24 ft
Bot fiberglass bersaiz antara 22 – 24 ft adalah saiz yang sangat sesuai, selesa dan cukup bagi kaki pancing yang mahukan cabaran dan menjejaki kawasan laut yang lebih jauh. Dengan kapasiti enjin 60hp, ia sudah memadai untuk mendapatkan kepuasan memancing di laut. Bagi saiz bot fiberglass ini, jumlah maksima pemancing yang dicadangkan adalah seramai 4 orang sahaja (termasuk tekong).
- Bot fiberglass bersaiz 26 ft
Bagi saiz bot ini, kapasiti enjin yang optimum adalah 115hp. Dengan kekuatan kuasa kuda pada enjin 115hp, bilangan yang dicadangkan adalah 4 – 5 orang sahaja. Jumlah pemancing juga dipengaruhi oleh keadaan rekabentuk bot. Kalau ramai sangat rimas pulak nak memancing. Kelebihan enjin yang berkuasa tinggi ini memberikan anda kelebihan dari segi kepantasan ke lokasi yang dituju serta memberikan keyakinan dalam mengemudi bot pada arus gelombang yang kuat.
- Bot fiberglass bersaiz 32 ft
Bot bersaiz ini amat sesuai bagi mereka yang menjalankan perkhidmatan membawa pemancing dan membawa penumpang. Pada kebiasaan, pilihan kuasa enjin bagi saiz bot ini adalah 150hp. Jika anda seorang pemancing dihujung minggu, penggunaan bot besaiz ini kurang sesuai kerana ia melibatkan kos yang agak tinggi.
Tags: #bot fiber dengan enjin sesuai #bot memancing #bot memancing di laut #Cara Memilih Enjin Sangkut Yang Sesuai Untuk Bot Fiber #cara pilih bot fibreglass #enjin bot mana sesuai #kapasiti enjin bot dengan sampan #kuasa kuda enjin sangkut dan saiz bot #memancing dilaut #pilih enjin bot dengan saiz sampan #sampan fiberglass #setup enjin dengan sampan