Penyakit Kayap! Simpton, Rawatan, Petua & Pantang Larangnya

Penyakit Kayap, Virus Varicella Zoster 

Apa itu penyakit kayap?

Kayap merupakan sejenis penyakit kulit dan saraf yang disebabkan oleh jangkitan Virus Varicella Zoster (VZV). Kayap juga dikenali sebagai herpes zoster dalam istilah perubatan.

Risiko-risiko utama penyakit ini adalah :

  • Umur yang semakin meningkat (lebih daripada 50 tahun) di mana ketahanan sistem imun berkurangan
  • Kelemahan sistem imun (pertahanan badan) kerana pelbagai sebab seperti jangkitan kuman Human Immunodeficiency Virus (HIV)dan kesan ubat-ubatan (seperti ubat steroid)

Sepanjang hayat seseorang, lebih kurang 10% hingga 30% akan menghidapi penyakit ini. Penyebab penyakit kayap adalah pengaktifan virus varicella zoster.

Virus ini mula menghuni badan seseorang pesakit apabila dia menghidapi penyakit cacar air (chickenpox). Selepas cacar air sembuh, virus ini berhibernasi di dalam pusat saraf (ganglion).

Apabila sistem imun menjadi lemah, ia menjadi aktif semula. Ia menyerang urat saraf dan menyebabkan keradangan saraf tersebut.

Gejala dan tanda

Kayap selalunya menyebabkan keradangan satu urat saraf (dermatome) pada satu bahagian badan sahaja. Ia lazimnya melibatkan bahagian dada (thoracic) dan muka (trigeminal).

Tanda terawal penyakit ini adalah rasa sakit, kebas dan panas di bahagian urat saraf yang terlibat, demam, keletihan dan sakit kepala. Simptom tersebut dialami sebelum tanda-tanda kulit timbul. Ia lazimnya dialami oleh 80% pesakit. Ia akan berterusan untuk 3 hingga 5 hari.

Pada bahagian urat saraf yang terlibat, tanda pertama adalah tompok-tompok kemerahan yang menyakitkan. Selepas 1 hingga 2 hari, timbul gelembong-gelembong air yang kecil. Air di dalam gelembong-gelembong tersebut berwarna kekuningan.

Dua hari kemudian, air tersebut akan menjadi semakin keruh dan akhirnya gelembong-gelembong tersebut akan kering. Kulit kering (crusts) tersebut akan jatuh dengan sendiri dalam masa 1 hingga 2 minggu yang berikutnya.

Selalunya doktor akan dapat mengenali penyakit kayap sekiranya pesakit datang dengan tanda-tanda yang lazim bagi penyakit ini termasuk gelembong-gelembong air pada urat saraf di satu bahagian badan.

Namun demikian, jikalau pesakit datang dengan tanda terawal tanpa tanda-tanda pada kulit, doktor mungkin mengalami kesulitan untuk membuat diagnosa penyakit ini.

Komplikasi

Komplikasi awal semasa adanya tanda-tanda kulit termasuk jangkitan kuman bakteria pada gelembong-gelembong air pada kulit dan pendarahan di dalam gelembong-gelembong tersebut.

Kadang-kadang gelembong-gelembong tersebut mungkin merebak ke kawasan yang lain. Ini selalunya berlaku pada pesakit-pesakit yang mengalami kelemahan sistem imun.

Pesakit-pesakit tersebut juga mungkin mengalami tanda-tanda kulit untuk jangka masa berpanjangan.

Jika kayap melibatkan bahagian muka, ia mungkin menyebabkan komplikasi kepada mata termasuk menjadi buta dan kepada saraf facial menyebabkan paralisis otot-otot muka (facial palsy).

Kadang-kadang, kayap akan menyebabkan keradangan organ dalaman termasuk otak (meningoencephalitis), jantung (carditis), paru-paru (pneumomitis) and usus (enterocolitis).

Setelah tanda-tanda kulit sembuh, bahagian kulit tersebut mungkin akan menjadi parut. Komplikasi kronik yang lain lazimnya adalah post herpetic neuralgia (kesakitan pada bahagian urat saraf yang terlibat untuk jangka masa yang panjang).

Komplikasi tersebut selalunya dialami oleh pesakit-pesakit yang lebih tua (lebih daripada 65 tahun). Kesakitan berterusan ini akan menjejaskan kualiti hidup pesakit.

Komplikasi kronik yang lain termasuk komplikasi mata (keradangan mata dan menjadi buta) dan komplikasi urat saraf (keradangan urat saraf dan saraf tunjang).

Rawatan penyakit kayap

Tujuan-tujuan utama rawatan adalah untuk :

  • Meredakan kesakitan
  • Mengurangkan tempoh masa penyakit tersebut
  • Mengelakkan komplikasi penyakit terutamanya post herpetic neuralgia.

Beberapa kaedah meredakan kesakitan penyakit ini termasuklah :

  • Menyapu ubat seperti potassium permanganateuntuk mengeringkan gelembong-gelembong air
  • Menggunakan ubat penahan sakit seperti non steroidal anti-inflammatory drugs(NSAIDs) seperti diclofenac
  • Menggunakan ubat neuroaktif seperti amitryptiline.

Penggunaan ubat antiviral dalam masa beberapa jam selepas gelembong-gelembong air timbul pada kulit dapat membantu mengelakkan komplikasi, mengurangkan tempoh masa jangkitan dan menghadkan jangkitan dari merebak.

Ubat-ubat antiviral termasuk acyclovir, valacyclovir dan famciclovir. Ubat-ubatan tersebut lazimnya diberikan untuk tempoh seminggu.

Kadang-kadang, pesakit-pesakit yang mengalami penyakit kayap yang teruk berserta dengan sistem imun yang lemah akan memerlukan rawatan di wad dengan ubat antiviral intravena.

Pesakit dengan penyakit kayap pada bahagian muka yang berdekatan dengan mata perlulah mendapat rawatan segera daripada pakar mata.

Pakar mata akan memeriksa dan merawat mata pesakit tersebut untuk mengelakkan komplikasi terutamanya menjadi buta.

Vaksin bagi menghalang penyakit ini boleh diambil individu yang berumur 60 tahun ke atas dan tiada kontra-indikasi kepada vaksin tersebut.

Petua mengurangkan sakit dan merawati kayap

  • Petua 1

Masukkan dua bahagian baking soda atau tepung jagung ke dalam cawan. Campurkan satu bahagian air dan adunkan sebati sehingga menjadi pes. Sapukan pes campuran tersebut pada kulit berkayap dan biarkan selama 10 hingga 15 minit. Kemudian bilas bersih dan lapkan dengan tuala. Ulangi sapuan beberapa kali sehari mengikut keperluan.

  • Petua 2

Menggunakan daun pokok duit-duit yang ditumbuk hancur kemudian ambil daunnya serta air perahannya ditekap pada tempat yang kena kayap dan dibengkung semalaman.

  • Petua 3

Gunakan daun cili dan kapur makan. Tumbukkan atau ramas daun cili serta campurkan sedikit kapur kemudian sapukan di bahagian yang terkena kayap. Lakukan dua kali sehari. InsyaAllah kayap akan pudar dan baik dalam masa beberapa hari.

  • Petua 4

Guna akar rumput kerbau, basuh dan celup dalam bedak sejuk kemudiannya sapu pada tempat bahagian kulit yang dijangkiti kayap.

  • Petua 5

Pucuk daun bunga melur, pucuk daun buah delima, daun setawar dan pucuk daun mambu ditumbuk atau dikisar. Kemudian, campurkan kesemuanya dengan bedak sejuk dan dibancuh pekat. Sapu atau tampal pada bahagian terkena kayap. Lakukan setiap hari sehingga baik, disapu 2 hingga 3 jam sekali.

  • Petua 6

Ubi larut ditenyeh atau digosok di belakang lesung. Kemudian, ambil patinya untuk disapu di bahagian yang sakit.

  • Petua 7

Daun delima ditumbuk sehingga lumat dan dicampur dengan bedak sejuk. Sebatikan, tampal atau sapu di daerah kulit yang dijangkiti kayap. InsyaAllah, gelembung-gelembung air akan kering dalam 3 hingga 4 hari.

  • Petua 8

Menggunakan garam bukit (rock salt). Ambil sedikit garam bukit dan campur sedikit air, biarkan garam bukit tersebut separuh larut lalu sapukan di kawasan kayap tersebut. Amalkan 2 kali sehari sebelah pagi dan malam. Selepas itu, ambil 4 cubit garam bukit dan masukkan dalam segelas air, kacau sehingga larut sambil berselawat dan minum. ini adalah rawatan secara dalaman & luaran, insaAllah penyakit kayap sembuh. Selain itu juga boleh merawat untuk jerawat, gatal serta penyakit-payakit kulit yang lain.

  • Petua ke 9

Ambil sebatang pokok keladi candik. Atau nama lainnya keladi merbah. Seterusnya, keluarkan air dari batang pokok keladi tersebut. Sapukan air tersebut pada kawasan badan yang dijangkiti kayap.

  • Petua 10

Asah kulit pokok kerayong dan sapukan ke tempat yang dijangkiti. Kayap tersebut akan kering dan boleh dikoyakkan begitu sahaja.

  • Petua 11

Ambil 10 duri pokok kekabu. Asahkan duri itu sehingga terkeluar cecair yang agak pekat. Tadahkannya dalam satu bekas. Kemudian, sapukan cecair duri pokok kekabu itu pada bahagian kayap di anggota badan. Amalkan petua ini berulang kali sehingga kayap sembuh.

Pantang larang

  • Jangan makan makanan berminyak
  • Jangan makan buah tempatan yang bersifat sejuk
  • Tidak boleh terkena sabun dan bahan kimia
  • Tidak boleh makan buah atau sayur yang menjalar atau berjalur. Contoh : tembikai, timun, kangkung dan labu
  • Tidak boleh makan makanan yang boleh menyebabkan gatal. Contoh : makanan laut, ayam, telur
Loading...

Tags: #cara merawat sakit kayap #gejala dan tanda penyakit kayap #herpes zoster #kayap ular #komplikasi penyakit kayap #pantang larang ketika diserang kayap #penyakit kayap #petua mengurangkan sakit kayap #petua merawat kayap #rawatan penyakit kayap #risiko kayap #simpton kayap #ubat kayap #ubat untuk penyakit kayap #Virus Varicella Zoster

Tips Berucap Untuk Majlis : Teknik Ini Membantu Anda Berucap Dengan Baik!
Memberi ucapan yang baik boleh menjadi pengalaman yang bermakna buat anda. Ucapan yang
Cara Rawatan Awal Gatal-gatal Pada Kulit
Gatal kulit boleh disebabkan oleh pelbagai faktor, termasuk tindak balas alahan, kulit kering,
Penyakit TB : Cara Tersebar Penyakit Tuberkulosis (TB) Gejala dan Pencegahan
Tuberkulosis (TB) adalah penyakit berjangkit yang disebabkan oleh bakteria Mycobacterium tuberculosis. Penyakit ini
Vaksinasi Hepatitis B : Adakah Ia Perlu?
Vaksin hepatitis B adalah cara yang paling berkesan untuk mencegah jangkitan virus hepatitis

Comments are closed.