Cara Meredakan Demam Jika Anda Tidak Ke Klinik

Demam

Bilakah kali terakhir anda demam? Bila seseorang demam, badan menjadi lemah dan kebanyakan orang mengambil langkah mudah iaitu memakan Panadol. Sebenarnya pengambilan Panadol secara kerap boleh memberi kesan yang buruk pada tubuh badan kita. Sememangnya panadol baik untuk demam, tetapi tidak baik untuk kesan jangka lama tubuh anda. Demam merupakan tindak balas normal badan terhadap jangkitan yang terkena pada badan anda. Ia bukanlah suatu penyakit berat. Jika suhu badan anda melepasi suhu normal iaitu 36.5C-37.5C, anda dikira sebagai demam.

Berikut merupakan beberapa cara untuk meredakan demam. Tapi diingatkan, jika demam anda berlarutan melebihi seminggu dan suhu badan terlalu tinggi mencecah 40°C adalah lebih baik untuk pergi berjumpa doktor.

  1. Banyakkan meminum air masak

Banyakkan minum air masak. Orang yang demam digalakkan untuk meminum sekurang-kurangnya segelas air masak setiap 2 jam. Hal ini kerana badan orang yang demam lebih panas dan memerlukan banyak bendalir di dalam badan untuk mengekalkan suhu badan yang optimum. Sekiranya mereka tidak mendapat air yang mencukupi, ia boleh memburukkan keadaan.

  1. Mandi dengan air suam/panas

Cuba mandi air suam atau air panas dan pastikan jangan terlalu panas. Orang yang demam dinasihatkan untuk mandi dengan air panas suam selama 5-10 minit. Melalui cara ini, ia boleh membantu badan mengeluarkan peluh, menyejukkan badan, dan ia dapat mengelakkan hidung daripada tersumbat disebabkan selesema dan menghapuskan virus melalui pernafasan.

  1. Sejukkan kepala dan mendemah

Jika mandi tidak boleh menyamankan badan anda untuk jangka masa yang lama, bolehlah menggunakan tuala lembab dan letakkannya di atas dahi. Rendam tuala kecil di dalam air paip, perah, kemudian letakkannya di atas dahi. Mendemah pula ialah cara yang selalu diamalkan oleh orang tua-tua iaitu ambil kain dan basahkan, kemudian letak di dahi, belakang kepala dan betis. Ia dipercayai dapat mengawal suhu badan.

  1. Minum teh herba

Teh herba mempunyai banyak kadar anti-oksida dan anti-keradangan yang boleh membantu badan anda untuk rehat, memudahkan pencernaan dan mengurangkan sakit demam. Sesetengah teh mengambil masa selama 2-3 jam sebelum memberikan kesan.

  1. Hirup sup panas

Apabila anda diserang demam, cuba amalkan makan sup panas. Ia adalah cara tradisional orang barat, dipercayai dapat mengelakkan dehidrasi dan juga wap panas yang masuk ke dalam hidung dapat merawat virus melalui pernafasan.

  1. Minum air beras

Apabila demam itu disertakan dengan cirit-birit atau ketakcernaan, anda boleh mengurangkannya dengan meminum air beras. Anda boleh sediakan air beras dengan mendidihkan 2 ½ sudu teh beras di dalam 1 liter air selama 30 minit. Kemudian asingkan beras tersebut, kemudian minum.

  1. Ambil vitamin C

Vitamin C sangat penting kerana ia mengandungi kandungan anti-oksida yang tinggi yang boleh membantu sistem pertahanan badan, mengawal gula dalam darah, meransang pembentukan sel, dan mengurangkan risiko penyakit kronik. Anda boleh dapatkan supplement vitamin C di farmasi, ataupun dari makanan seperti buah sitrus seperti oren, anggur dan lemon, sayuran seperti bayam, tomato dan brokoli dan buah-buahan seperti betik dan tembikai.

  1. Ambil magnesium

Magnesium sangat penting untuk penghasilan tenaga. Ia juga mengurangkan rasa gelisah, tekanan, keletihan dan sakit dada. Pada masa yang sama menstabilkan tekanan darah, kolestrol dan kadar gula dalam darah. Kekurangan magnesium boleh melemahkan sistem pertahanan badan. Antara makanan yang anda boleh makan untuk mendapatkan magnesium adalah ikan salmon, tuna, coklat hitam, sayuran hijau, kekacang, soya dan pisang.

  1. Elakkan pengambilan kafein

Pengambilan kafein yang berlebihan boleh memudaratkan demam anda. Kafein yang berlebihan boleh menyebabkan sakit kepala, pening, insomnia dan cirit-birit. Pengambilan kafein juga boleh menyebabkan badan anda cepat hilang air, dehydration. Oleh itu, cubalah elakkan daripada minum air kopi, nescafe, coklat, air bergas dan apa-apa yang mengandungi kafein semasa anda demam.

  1. Jangan berselimut

Elakkan daripada berselimut tebal kerana ia akan meningkatkan lagi suhu badan anda. Sebaiknya pakailah pakaian yang longgar, tidak terlalu ketat, dan paling penting adalah selesa. Hal ini untuk memberikan keselesaan kepada badan. Elakkan memakai pakaian tebal dan selimut yang tebal kerana ia boleh mengurangkan peredaran udara. Elakkan daripada kipas terkena terus pada badan.

  1. Rehatkan badan

Bagi orang yang demam, rehat dapat membantu proses penyembuhan dan menguatkan sistem imun badan. Kurangkan pergerakan badan dan tidur jika mahu. Satu kajian menunjukkan bahawa kurang tidur boleh melemahkan sistem imun, meningkatkan tekanan diri (stress), boleh menyebabkan penyakit kronik dan lain-lain.

  1. Elakkan makanan yang menyebabkan keradangan

elakkan makanan yang menyebabkan keradangan (inflammatory) ketika anda demam. Makanan tersebut boleh memudaratkan pesakit yang demam, sama ada semakin teruk atau berlanjutan. Ia juga boleh menyebabkan ketidakcernaan dan kembung perut lalu membuatkan anda tidak selesa. Antara makanan yang tergolong dalam kalangan ini adalah:

  • Roti, pastri dan donut
  • Makanan yang digoreng, atau berminyak
  • Minuman berkarbonat seperti soda
  • Daging merah
  1. Makan makanan anti-keradangan

Orang yang demam digalakkan makan makanan anti-keradangan (anti-Inflammatory) untuk mengurangkan demam. Anda digalakkan untuk memakan makanan berikut semasa demam:

  • Buah-buahan seperti oren
  • Kekacang
  • Sayur-sayuran hijau, yang tinggi anti-oksida
  • Ikan
  1. Kurangkan suhu bilik

Suhu yang tinggi di dalam bilik boleh memudaratkan lagi pesakit dan menyebabkan berpeluh dengan lebih banyak lantas membawa kepada dehydration. Buka tingkap dan pintu, dan jika berehat/tidur di ruang yang luas juga boleh membantu. Adalah terbaik sekiranya anda berada di rumah semasa sakit, kerana suhu mudah dikawal berbanding di luar.

  1. Elakkan merokok

Merokok boleh melemahkan sistem imun badan terutama dalam keadaan badan yang sakit disebabkan jangkitan ini selain dapat menyebabkan sakit tekak dan sakit kepala. Maka, sebaiknya pesakit menjauhkan diri daripada semua unsur rokok, nikotin dan produk-produk tembakau yang lain.

IMG_20171206_114610-150x150 Cara Meredakan Demam Jika Anda Tidak Ke Klinik

A. Manaf Mohammad

More Posts

Loading...

Tags: #cara merawat demam #cara meredakan demam #demam panas dewasa #jenis demam #makanan baik ketika demam #makanan harus dielak ketika demam #penyebab demam pada orang dewasa #penyebab demam tinggi mendadak #petua merawat demam #petua meredakan demam #sembuhkan demam dirumah #suhu demam bayi #suhu demam kanak-kanak #tanda demam panas #tanda demam urat #tips sembuh dari demam

Tips Berucap Untuk Majlis : Teknik Ini Membantu Anda Berucap Dengan Baik!
Memberi ucapan yang baik boleh menjadi pengalaman yang bermakna buat anda. Ucapan yang
Cara Rawatan Awal Gatal-gatal Pada Kulit
Gatal kulit boleh disebabkan oleh pelbagai faktor, termasuk tindak balas alahan, kulit kering,
Penyakit TB : Cara Tersebar Penyakit Tuberkulosis (TB) Gejala dan Pencegahan
Tuberkulosis (TB) adalah penyakit berjangkit yang disebabkan oleh bakteria Mycobacterium tuberculosis. Penyakit ini
Vaksinasi Hepatitis B : Adakah Ia Perlu?
Vaksin hepatitis B adalah cara yang paling berkesan untuk mencegah jangkitan virus hepatitis

Comments are closed.