Lebih kurang beberapa hari lagi bulan Ramadan bakal meninggalkan umat Islam seluruh dunia.
Pastinya, perasaan lega dan sedih wujud dalam diri saat penghulu segala bulan ini melabuhkan tirainya.
Tatkala Ramadan berlalu pergi, 5 momen inilah akan membuatkan kita semua merindui bulan mulia berkenaan.
1. Lipatgandakan Amal Ibadat
Memasuki bulan Ramadan, umat Islam berlumba-lumba melipatgandakan amal ibadat masing-masing untuk merebut ganjaran pahala daripada Allah SWT. Masjid-masjid yang dahulunya sepi kembali meriah dengan pelbagai aktiviti kerohanian yang dirancang bagi menyemarakkan bulan sejuta rahmat ini. Kenangan mengerjakan solat terawih berjemaah bersama ahli keluarga dan kawan-kawan pastinya dirindui setiap kali tibanya bulan Ramadan.
2. Perbanyakkan Amal Jariah
Selain amal ibadat, amal jariah seperti bersedekah sangat digalakkan dalam Islam lebih-lebih lagi di bulan penuh keberkatan ini. Di bulan inilah, orang ramai memperbanyakkan amalan bersedekah dengan meringankan beban orang-orang yang kesusahan seperti anak yatim, orang kelainan upaya mahupun asnaf berbuka puasa dan membeli persiapan untuk berhari raya. Amalan mulia ini sedikit sebanyak memberi kesedaran untuk bersyukur dengan rezeki yang dikurniakan oleh Allah SWT kepada kita semua.
3. Iftar Bersama
Salah satu momen yang tidak dapat di lupakan sepanjang Ramadan apabila berpeluang berkumpul dan berbuka bersama-sama ahli keluarga, saudara- mara ataupun kawan-kawan. Bagi penulis, aktiviti sebegini dapat mengeratkan lagi hubungan ukhwah sesama kita lebih-lebih lagi dapat berjumpa dengan kawan-kawan lama seperti teman sekolah, universiti mahupun bekas rakan sekerja.
4. Lailatul Qadar
Satu hari yang ditunggu-tunggu oleh seluruh umat Islam di sepuluh hari terakhir bulan Ramadan. Dalam al-Quran menjelaskan bahawa Lailatul Qadar merupakan hari yang lebih baik dari seribu malam. Orang yang beribadat pada hari tersebut diibaratkan beribadat selama seribu bulan atau bersamaan dengan 82 tahun. Menurut ulama-ulama tempatan, Lailatul Qadar kebiasaannya akan terjadi pada tarikh ganjil di akhir Ramadan.
5. Juadah Ramadan
Momen yang paling istimewa di bulan suci ini adalah juadah-juadah yang dimasak dan dihidangkan ketika berbuka puasa yang tidak boleh didapati dihari-hari biasa. Sebagai contoh, bubur lambuk menjadi juadah popular yang dimasak ketika bulan Ramadan sahaja. Malah, aktiviti bertukar juadah sesama jiran tetangga juga menjadi sebahagian tradisi di bulan puasa terutamanya di kawasan kampung.
Tags: #Momen Dirindui Di Bulan Ramadan #Ramadan 2017 #saat indah bulan ramadhan #terbaik bulan ramadan