Johor Bahru Darul Takzim. Bercakap tentang negeri yang terletak paling selatan di tanah air itu, pasti membuatkan anda terfikir akan keenakan asam pedas dan nasi briyani gam kambingnya.
Bukan sahaja mempunyai pelbagai kaum yang hidup dalam harmoni dan aman damai, Johor Bahru juga merupakan sebuah negeri yang kaya dengan tarikan utama pelancong.
Air terjun, gunung-ganang, pulau, pantai, tasik, hutan simpan, taman tema dan kawasan reakreasi cukup popular di negeri ini.
Terletak kira-kira 300 kilometer dari bandaraya Kuala Lumpur, ramai yang sanggup untuk ke Johor bagi merasai sendiri pengalaman di sana.
Bukan sahaja dari segi tempat menarik untuk dilawati dan dit, variasi pelbagai jenis makanan tradisi dan popular turut menjadi perkara utama setibanya anda di negeri Darul Takzim ini.
Berikut disenaraikan beberapa tempat makan menarik dan terkenal di sekitar negeri Johor dan daerah-daerahnya.
1) Restoran ZZ Sup Tulang, Johor Bahru
Bagi kaki sup, restoran ZZ Sup Tulang ini merupakan syurga dan lubuk utama bagi anda melepaskan gian untuk menghirup sup secara panas-panas.
Terletak di Jalan Mariamah Johor Bahru berhampiran bangunan JKR negeri, sup tulang ZZ pastinya tidak akan menghampakan anda semua.
Menu istimewa yang ditawarkan ialah sup tulang yang menjadi kegilaan orang di sini dan tiga jenis mi rebus iaitu ayam, daging dan tulang.
Kuah supnya dan mi rebusnya yang pekat dan mantap, pasti akan membuatkan anda tidak menoleh ke belakang dan akan datang ke sini lagi.
Bukan sahaja sup tulang dan mi rebus, Restoran ZZ juga menawarkan aneka makanan barat dan kerang sambal untuk dicuba.
2) Senibong Seafood, Johor Bahru
Menawarkan pelbagai aneka jenis makanan laut kepada pelanggan, Senibong Seafood merupakan syurga bagi penggemar dan kaki seafood untuk makan di sini.
Terletak di kawasan perkampungan nelayan di Masai, Johor, tempat makan ini menyediakan pelbagai jenis gerai dan kedai makan yang majoritinya menjual lauk-pauk berasaskan seafood.
Sebagai contoh, lala masak sambal, ikan siakap tiga rasa, udang goreng butter bersama telur masin, tomyam campur, sotong goreng butter dan banyak lagi yang pastinya memikat selera anda.
Paling menarik, sambil menjamu selera, anda akan dapat menyaksikan suasana tepi pantai yang mengasyikkan sambil menghirup hembusan udara segar pantai.
Dibuka setiap hari, pengunjung boleh datang ke Kampung Nelayan Senibong bermula pukul 4 petang hinggalah ke 2 pagi dengan harga menarik yang ditawarkan.
3) Restoran Singgah Selalu, Johor Bahru
Sesuai dengan namanya, Singgah Selalu, ia bermaksud agar para pengunjung akan selalu singgah ke situ setiap kali datang ke Johor.
Terletak di Jalan Kolam Air berhadapan dengan Danga Bay yang hanya mengambil masa kira-kira lima minit dari pusat bandar, ia menawarkan pelbagai aneka jenis makanan kepada anda.
Jika sudah sampai ke sini, menu yang paling wajib anda cuba ialah Nasi Goreng Seafood Teppanyaki yang menjadi kegilaan dan favourite bagi mereka yang selalu ke sini.
Bukan itu sahaja, satay dan sup ekor di sini juga amat popular dan menjadi menu wajib pilihan pelanggan pada kadar harga yang cukup berbaloi.
4) Nasi Lemak Wak Kentut, Kulai
Bagi mereka yang pertama kali mendengari dan datang ke sini, pasti akan tertanya mengapakah begitu unik dan pelik nama kedainya.
Nasi Lemak Ayam Goreng Wak Kentut sememangnya tidak asing bagi mereka yang tinggal di Kulaijaya dan kawasan yang berhampiran dengannya.
Bukan sahaja peminat dari Kulaijaya, namun pelanggan dari Singapura, Melaka dan Kuala Lumpur juga sanggup untuk ke sini semata-mata mahu merasai keenakan nasi lemak ayam goreng panasnya.
Mengikut sejarah, nama warung tersebut diberi oleh penduduk dan pengunjung kepada pengasas asal warung yang digelar Wak Kentut dan nama tersebut kekal hingga sekarang.
Keenakan sambal tumis dan ayam goreng yang cukup dengan sebatian rempah menjadikan Nasi Lemak Wak Kentut dikenali ramai dan sentiasa mendapat sambutan tanpa mengira kaum.
Dibuka setiap hari bermula pada pukul 4 petang hingga 12 tengah malam, ia merupakan destinasi wajib singgah jika anda sudah sampai ke Johor Bahru khususnya di Kulaijaya.
5) Mi Racun Parit Raja, Batu Pahat
Namanya sahaja sudah menakutkan dan mengerikan. Adakah ia diperbuat daripada racun yang diletak di dalam mi tersebut.
Jangan khuatir, tidak ada sedikit racun pun diletakkan di dalamnya. Namun selepas siap menjamu selera, pasti jiwa anda akan diracuni untuk kembali ke sini dan mencubanya lagi.
Mi Racun amat popular dalam kalangan penduduk di sekitar Batu Pahat, Johor. Terdapat tiga port utama untuk anda cuba mi tersebut iaitu di Medan Selera Jaya Sultanah, Taman Seri Jaya dan Jalan Timah Sari.
Terdapat dua jenis mi racun yang ditawarkan iaitu mi racun tulang gear box dan mi racun biasa.
Kuahnya yang pekat dan penuh dengan tauhu goreng pasti menambat selera anda untuk terus makan tanpa mempedulikan orang di sebelah.
Fizikalnya seakan-akan mi bandung Muar dan mi kari, namun ia ternyata bukan dan jauh lebih sedap daripada lain-lain mi itu.
Bagi sepinggan mi racun, ia dijual pada kadar harga bermula RM3.50 hingga RM7 sepinggan mengikut jenis.
Selamat meracunkan jiwa anda dengan mi racun di Batu Pahat!
6) Roti Bakar dan Kopi Railway, Kluang
Terletak betul-betul bersebelahan dengan Stesen Keretapi Kluang, warung yang menjual roti bakar dan kopi kaw kaw sering menjadi tumpuan pengunjung.
Rasa roti yang dibakar bersama planta dan kaya di dalamnya membuatkan anda seakan-akan dilamun seketika.
Manakan tidak, tekstur roti yang lembut dan cair di mulut amat memukau sesiapa sahaja yang mencubanya lebih-lebih lagi ditemani secawan kopi panas.
Kopi O dan kopi susunya juga amatlah sedap dan wajib dicuba bagi anda yang pertama kali menjejakkan kaki di sini sambil melihat ragam para penumpang menunggu keretapi.
Harga satu set roti bakar hanyalah RM1.60 sen dan bagi secawan kopi pula ialau RM1.50 sen hingga RM2 mengikut jenis.
Nasi lemak bungkus dan telur separuh masak juga ada dijual di sini.
Bukan sahaja popular dan menjadi kegemaran masyarakat sekitar Kluang, ia juga digemari pengunjung dari luar termasuk DYMM Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar bersama kerabatnya. Apa tunggu lagi? Meh la kita mengopi secawan dua dulu.
7) Asam Pedas Empangan Mahkota, Batu Pahat
Dah alang-alang sampai di Johor, wajibla try asam pedas ikan tawar @ sungai yang cukup popular tu.
Bagi peminat dan kaki asam pedas ikan seperti penulis, Restoran Ikan Air Tawar Empangan Mahkota di Ayer Hitam merupakan lubuk dan syurga asam pedas yang wajib anda singgahi.
Paling popular dan mendapat tempat di hati pengunjung ialah asam pedas ikan baung yang betul-betul kaw sehingga menjilat jari sambil mengelap titisan peluh.
Ia dibuka pada setiap hari dan hanya beroperasi ketika waktu makan tengahari sahaja iaitu bermula 11 pagi hingga 3 petang.
Terletak kira-kira hanya 15 minit dari pusat bandar Kluang dan hanya 5 minit dari exit tol Ayer Hitam arah Selatan, anda sudah boleh nampak kemeriahan pelanggan yang menyerbu restoran asam pedas tersebut di bahu jalan utama.
Harganya yang amat berpatutan dan rasa asam pedas yang betul-betul enak sangat sesuai untuk dilawati bersama keluarga dan sahabat handai tersayang.
Tags: #asam pedas ayer hitam #cafe menarik di johor bahru #danga bay #empangan mahkota #johor #kampung nelayan senibong #kedai makan best di johor #kedai makan best jb #kluang railway coffee #kulai #makan tengahari di jb #nasi lemak wak kentut #sarapan pagi di johor bahru #senibong #singgah selalu #sup tulang zz #tempat makan best di jb 2017 #tempat makan best di johor bahru 2017 #tempat makan best di taman universiti skudai #tempat makan best johor #tempat makan enak di johor bahru #Tempat makan menarik johor