Masih ingat dengan artikel bertajuk 6 Selebriti Wanita Malaysia Ini Miliki Darah Campuran?. Sempena sambutan tahun 2018, penulis senaraikan pula 6 selebriti lelaki Malaysia yang berdarah kacukan. Penasaran? Jom intip artikel di bawah!
1. Zul Ariffin
Siapa yang tidak mengenali pelakon kacak dan berbadan sasa yang semakin meningkat naik iaitu Zul Ariffin. Namanya mula meledak selepas membintangi drama bersiri popular tanah air, Rindu Awak 200% bergandingan dengan heroin pujaan malaya, Ayda Jebat. Selain Rindu Awak 200%, pemuda berdarah Melayu dan Belanda ini turut berlakon dalam Titian Cinta, Istikharah Cinta, Uda & Dara, M.A.I.D dan Mr London Ms Langkawi.
Memulakan langkah seninya sejak 2008, aktor kelahiran Taiping, Perak ini pernah diiktiraf beberapa anugerah dalam bidang seni termasuklah Pelakon Filem Lelaki Popular Di Anugerah Bintang Popular Berita Harian (ABPBH) 30, Anugerah Lelaki Pilihan di Anugerah Melodi 2015 dan Pelakon Drama Lelaki Pilihan di Anugerah Drama Festival Kuala Lumpur (DFKL) 2015.
2. Daler Yusuf
Penangan drama bersiri popular iaitu Titian Cinta dan Encik Suami Mat Salih Celup sedikit sebanyak melonjakkan nama Daler Yusuf di persada seni hiburan tanah air. Meskipun baru setahun jagung bergelar anak wayang, jejaka berdarah campuran Melayu di sebelah ibu dan Uzbekistan di sebelah ayahnya berjaya mencuri tumpuan para peminat tempatan serta menjadi rebutan para penerbit dan pengarah sebagai pelaris projek seni seperti drama dan telefilem.
Dalam perkembangan terbaharu, figura kacak ini bakal muncul dengan drama bersiri berjudul Nota Buat Cempaka yang akan ditayangkan di kaca televisyen tidak lama lagi. Sebelum terjun ke bidang lakonan, Daler yang dilahirkan pada 31 Disember 1992 ini memulakan kembara seninya di pentas peragaan dan iklan komersil. Di samping dapat bercakap dialek Kelantan, lelaki berkulit cerah ini boleh berbahasa Parsi dan Rusia.
3. Miller Khan
Nama Miller Khan mungkin kurang dikenali di tanah air namun jenamanya sangat gah di arena seni hiburan Indonesia. Sama seperti Daler Yusuf, anak jati Johor Bahru, Johor ini memulakan langkah seni di negara seberang sebagai seorang model di pentas peragaan dan iklan-iklan komersil sebelum bergelar aktor.
Sepanjang 10 tahun sebagai pelaku seni, pemuda yang mewarisi darah kacukan Melayu, Cina, Arab dan Pakistan ini telah membintangi pelbagai sinetron dan filem seperti Surga Yang Ke 2, Cinta Di Langit Taj Mahal, Separuh Aku, Love You..Not Love You, Hantu Perawan Jeruk Purut dan Sepet. Selain Miller, ketiga-tiga adik beradiknya iaitu Aliff Ali, Farali Khan dan Isa Khan turut bergiat aktif dalam dunia seni hiburan Malaysia dan Indonesia.
4. As’ad Motawh
As’ad Ahmad Mohammad Motawh atau nama komersilnya As’ad Motawh adalah penyanyi baharu yang sedang menerpa nama menerusi single pertamanya berjudul Senyum. Lagu nyanyian figura berusia 16 tahun ini semakin meniti dibibir para peminat dan acapkali diputar di corong-corong radio tanah air.
Tidak hanya memiliki suara yang unik dan merdu, bintang muda yang bernaung dibawah label BeeGood Music ini juga boleh bermain gitar yang telah dipelajarinya melalui saluran YouTube sejak di tingkatan dua lagi. Untuk pengetahuan para pembaca, As’ad mempunyai darah campuran Melayu di sebelah ibu dan Arab di sebelah ibunya.
5. Idris Khan
Berbekalkan wajah yang tampan, personaliti menarik serta berbakat besar dalam bidang lakonan dan modeling, Idris Khan mudah diterima oleh para peminat dan pemerhati seni. Pinggan Tak Retak Nasi Tak Dingin, Duda Terlajak Laris, Mr Donat Karamel, Abang Sado Jemur Kain, Bodyguard dan Cik Serba Tahu merupakan antara drama bersiri yang dilakonkan oleh anak kelahiran Libya, Afrika Utara ini.
Sebelum mencipta nama di lapangan seni negara, bakat figura berbada sado ini dicungkit menerusi program pencarian Hero Remaja 2007/2008 yang turut disertai oleh Kamal Adli, Fizo Omar dan Jaslin Puasa. Lelaki berdarah Melayu Pakistan ini dikatakan bakal menamatkan zaman bujangnya dengan wanita warga Maghribi bernama Sanaa Jaafar tidak lama lagi.
6. Fahad Iman
Fahad Iman kini dilihat semakin ligat mengorak langkah dalam menawan industri seni lakon tempatan. Kelibatnya mula mendapat perhatian para peminat tanah air apabila membintangi drama rantaian seperti Ku Kirim Cinta, Suri Hati Mr Pilot, Kerna Syurga Bukan Percuma, Isteri VS Tunang, Sayang Papa Saya Tak, Interview Jodoh dan Anak Mat Saleh Tapi Melayu.
Sedang menyinari bakat dan populariti, aktor berdarah campuran Melayu, Cina dan Arab ini juga muncul dalam beberapa iklan komersil tempatan termasuklah Traveloka Malaysia, KFC, Mc Donald’s, TM Unifi, Coca Cola Zero dan Maggi.
Bukan itu sahaja, anak kedua daripada lima beradik ini turut mengembangkan bakatnya di pentas teater sementelah beliau merupakan graduan dalam jurusan seni persembahan di Sunway University. Antara teater yang dilakonkannya adalah Wayang…The Story Of Kuala Lumpur, Y.E.S Live! Broadway Kuala Lumpur, Puteri Nyamuk, Suara Rimba dan Tic Tac Toe.
Tags: #artis darah kacukan #Artis Lelaki Malaysia Berdarah Campuran #Artis Lelaki Malaysia Berdarah Kacukan #As'ad Motawh #Daler Yusuf #Fahad Iman #Idris Khan #Lelaki Malaysia Miliki Darah Campuran #Miller Khan #Selebriti Lelaki Malaysia Berdarah Campuran #Selebriti Lelaki Malaysia Berdarah Kacukan #Selebriti Lelaki Malaysia Miliki Darah Campuran #Zul Ariffin