Berkesempatan bercuti bersama-sama rakan-rakan di Krabi pada awal Mac 2016 lalu membuatkan penulis mula ‘jatuh cinta’ sebaik menjejakkan kaki ke sini.
Terletak di Selatan Thailand, Krabi kaya dengan khazanah alam seperti lanskap pantai yang menarik, pandangan laut yang membiru dan pulau-pulau yang mempesonakan.
Panorama di Krabi yang memukau mengundang tetamu dari segenap pelusuk dunia, malah ada diantara mereka khususnya pelancong luar negara sanggup mengembara sehingga berhari-hari semata-mata mahu menikmati dan berkongsi anugerah alam di sini.
Di Krabi juga, terdapat pelbagai jenis hotel murah dan berpatutan serta mempunyai banyak ejen pelancongan yang menawarkan pakej-pakej ‘tour’ ke tempat-tempat menarik di sini samada untuk half day tour atau full day tour.
Salah satu tempat di Krabi yang popular dan stategik untuk menginap adalah di Pantai Ao Nang. Di pantai Ao Nang, kami memilih Suksai Buri Resort sebagai tempat penginapan. Paling menarik, banyak kedai-kedai makanan halal seperti tom yam, ikan bakar, nasi berlauk dan sebagainya di sekitar pantai berkenaan.
Percutian selama tiga hari dua malam terisi padat dengan pelbagai aktiviti menarik seperti melawat pulau, mandi-manda di pantai, snorkeling, menunggang gajah dan banyak lagi.
Selain itu, kami turut dibawa bersiar-siar di Krabi Town, Aonang Walking Street dan Seven Heaven serta membeli-belah di Krabi Night Market dan Shell Fossil Beach untuk membeli mutiara.
Dengan pelbagai pakej yang menarik di Krabi, tidak mustahil pengunjungnya tidak akan terfikir dua kali untuk kembali ke destinasi tersebut bagi merehatkan diri dan mencari ketenangan.
Di sini, penulis berkongsi antara aktiviti-aktiviti yang dilakukan oleh kami sepanjang bercuti di sana.
1. Island Hop (Melawat Pulau)
Kami melawat pulau-pulau indah di Krabi dengan menaiki long speed boat. Antara pulau-pulau popular yang dilawati kami ialah Phi Phi Island, Koh Gai (Chicken Island), Koh Poda dan Tub Island. Paling menjadi igauan penulis ialah Phi Phi Islands dimana dasar lautnya terisi terumbu karang dan kehidupan marin yang cantik seperti ikan dan penyu. Untuk info, Phi Phi Islands merupakan lokasi pengambaran filem The Beach lakonan pelakon hebat, Leonardo Decaprio.
Kami juga sempat bermandi-manda di Koh Poda yang merupakan pantai dimana pasirnya putih dan menjadi kawasan perairan penyu. Terdapat batu besar di hadapannya yang menjadi mercu tanda Krabi seperti yang terdapat di dalam poster atau poskad. Jangan lepaskan peluang kalau anda ke sini untuk ‘selfie’ dengan batu besar itu. Selain mandi-manda, kami juga melakukan aktiviti snorkeling di Koh Gai dan Tub Island.
2. Kolam Emerald (Sa Morakot) & Air Terjun Hot Spring
Tempat ini terletak lebih kurang 60 hingga 70 kilometer dari pantai Ao Nang. Kolam Emerald adalah sebuah kolam semulajadi yang hijau dan airnya yang jernih terletak di dalam hutan. Keluasan kolam ini lebih kurang suku padang bola dan dikelilingi oleh pokok-pokok hutan semulajadi.
Tidak jauh dari Kolam Emerald terletaknya kolam air panas semula jadi yang juga tidak kurang menariknya. Pertama kali sampai di sini, anda mungkin lihat Hot Stream ini seperti anak sungai biasa. Namun, kepanasan dan kesegarannya terasa apabila anda masuk ke dalam kolam tersebut. Sangat Awesome!
3. Menunggang Gajah
Merupakan satu pengalaman yang tidak dapat dilupakan oleh penulis dan rakan-rakan kerana pertama kali menunggang gajah. Seekor gajah akan dinaiki dua penumpang sambil dipandu oleh pelatih gajah. Gajah yang dinaiki dibawa masuk ke dalam hutan, meredah sungai, menurun bukit dan diberi makan sambil diawasi oleh pelatih.
Mula-mula terasa berdebar dan sedikit risau tetapi apabila melihat pelatih yang sangat berkemahiran mengawal gajah, terus rasa risau hilang dan berganti dengan perasaan teruja. Tiket kemasukan yang dikenakan ialah sebanyak 500 bath (bersamaan RM62.69). Rugi kalau tak cuba.
4. Urut dan Santai
Urutan Thailand tidak perlu diperkatakan lagi kerana ia merupakan salah satu urutan yang popular di Asia Tenggara. Di sini, anda boleh mendapatkan perkhidmatan urut bermula di tepi pantai hingga rawatan serba mewah di spa.
Selain mengurut, pelancong juga boleh mengambil kesempatan meluangkan masa bersama keluarga atau rakan-rakan dengan menikmati sepenuhnya suasana santai dengan berjalan di sekitar pulau, berjemur di pantai, meredah hutan, sewa motosikal untuk bersiar-siar atau membeli-belah.
5. Seven Heaven
Merupakan taman hiburan terbaharu di Krabi. Terletak di daerah Mueang, anda boleh melihat pelbagai replika patung menarik dan luar biasa yang memenuhi setiap ruang seperti watak kartun terkenal, model pesawat dan kenderaan, rumah, buah-buahan, pencuci mulut, haiwan, papan catur besar dan banyak lagi.
Beroperasi pada Isnin hingga Jumaat (11 pagi-9 malam) dan Sabtu hingga Ahad (9 pagi-9 malam). Harga tiket yang dikenakan ialah 50 bath (bersamaan RM6.27) bagi pengunjung tempatan manakala 100 bath (bersamaan RM 12.54) untuk pelancong asing.
Tags: #air terjun krabi thailand #aktiviti menarik di krabi thailand #apa ada di krabi thailand #best place krabi thailand #gajah di krabi thailand #island hoping krabi thailand #krabi points of interest #krabi thailand #krabi thailand hotels #krabi thailand nightlife #krabi thailand resorts #krabi thailand things to do #massage di krabi thailand #pakej ke krabi thailand #percutian ke krabi thailand #seven heaven krabi thailand