Daerah Hulu Langat merupakan salah satu daripada sembilan daerah yang terdapat di negeri Selangor, Malaysia. Ia merupakan daerah ke-5 terbesar di Negeri Selangor.
Daerah ini terletak di dalam kawasan Lembah Klang. Hulu Langat mungkin mengambil nama sempena nama ‘langat’ yang kemudiannya ditambahkan perkataan “hulu” atau “ulu” kerana terletak di bahagian pedalaman negeri Selangor, lalu menjadi Hulu Langat.
Apa yang menjadi daya tarikan di daerah Hulu Langat ini ialah kawasan air terjunnya.
Bentuk muka bumi yang berbukit dan indah dengan hamparan hutan semula jadi yang berusia jutaan tahun menjadikan daerah ini kawasan yang dikunjungi ramai kerana terkenal dengan air terjunnya yang cantik dan sesuai untuk aktiviti keluarga mahupun aktiviti lasak.
Sekitar bulan Mac dan April tahun ini, keadaan cuaca yang baik membolehkan penulis untuk menjejaki 4 air terjun yang terdapat di daerah Hulu Langat ini.
Perjalanan ke Hulu Langat dari pusat bandar raya Kuala Lumpur hanya mengambil masa sekitar 40 hingga 50 minit, tidaklah terlalu jauh.
Lebih-lebih lagi, anda akan seronok bila melalui jalan bengkang-bengkok mendaki bukit dan dijamu dengan pemandangan yang cantik.
Berikut merupakan 4 air terjun popular yang terdapat di Hulu Langat.
1. Air Terjun Sungai Gabai
Air Terjun Sungai Gabai merupakan satu kawasan rekreasi yang sesuai untuk keluarga. Kawasan rekreasi ini sangat tinggi dengan ketinggian lebih 50 meter, bercuram dan licin. Perjalanan ke tempat rekreasi boleh diakses dengan kenderaan melalui jalan kecil satu lorong sejauh lebih kurang 2 kilometer sebelum menemui pintu gerbang.
Tingkat bawah air terjun ini sangat cantik kerana anda dapat melihat air terjun yang turun tinggi dari kawasan bercerun sambil mandi di kolam yang agak besar tetapi selamat kerana tidak dalam.
Terdapat banyak kemudahan yang disediakan seperti pondok-pondok, tandas awam, bilik mandi dan gerai makanan termasuklah anak tangga yang dibuat untuk pengunjung mendaki ke tingkat atas.
Sepanjang pendakian melalui lebih 300 anak tangga, anda dapat melihat pemandangan air terjun yang cantik. Terdapat wakaf istirehat di bahagian atas bagi anda berhenti rehat ketika mendaki.
Bagi penulis, kepuasan sebenar bila mengunjungi air terjun ini apabila anda sampai ke tingkat kedua. Anak tangga berakhir dan anda menemui satu jambatan yang merentasi sungai.
Berdekatan dari situ terdapat satu lagi kolam mandi dan anda boleh menggelongsor di situ.
Penulis berkesempatan untuk mendaki ke atas lagi dan menemui beberapa lagi terjunan air yang tidak tinggi serta kawasan kolam untuk mandi. Tetapi kolam di bahagian tersebut lebih dalam melebihi paras kepala.
Di tingkat kedua juga terdapat kawasan untuk berteduh dan menyalin pakaian, tetapi tidak selengkap kemudahan yang terdapat di tingkat bawah.
2. Air terjun Ulu Perdik
Tidak berapa jauh dari Sungai Gabai, terdapat satu lagi air terjun yang cantik iaitu Air Terjun Ulu Perdik. Lokasinya terletak di antara perjalanan ke Sungai Congkak dan Pangsun.
Untuk sampai ke air terjun ini, pengunjung perlu trekking dan mendaki sejauh 2.5 kilometer. Denai ke air terjun ini tidaklah mencabar bagi mereka yang biasa mendaki dan memasuki kawasan hutan.
Perjalanan ke air terjun mengambil masa antara 45 minit hingga 1 jam mengikut tahap stamina masing-masing.
Biasanya, paling lambat pun, dalam sejam anda akan menemui air terjun yang agak tinggi ini, lebih dari 30 meter. Pengunjung perlu menyeberangi 3 anak sungai dan mendaki beberapa kawasan yang agak curam.
Terdapat kolam yang besar dan airnya yang sejuk akan membuatkan badan anda kembali bertenaga setelah penat mendaki. Kawasan kolam boleh dikatakan selamat untuk bermandi-mandi kerana tidak terlalu dalam.
Kawasan air terjun ini sangat sesuai untuk berkelah tapi tidak sesuai untuk mereka yang ingin membawa anak-anak kecil memandangkan lokasinya hanya boleh diakses dengan berjalan dan mendaki.
3. Air Terjun Sungai Lepoh
Menghala ke Pangsun, terdapat satu lagi air terjun yang terletak di Kampung Kuala Pangsun iaitu Air Terjun Sungai Lepoh. Denai untuk ke air terjun bermula di Asli Adventure Base Camp di mana anda akan meletak kenderaan anda di situ dan mendaftar nama untuk masuk ke air terjun.
Perjalanan ke air terjun tidaklah mencabar. Cuma jaraknya sekitar 4 kilometer boleh dikatakan jauh bagi mereka yang tidak biasa.
Sepanjang perjalanan, anda akan menemui pondok dan batang paip yang besar sebagai tanda bahawa anda berada di denai yang betul. Perjalanan biasanya mengambil masa sekitar 1 hingga 2 jam tetapi berbaloi kerana kawasan air terjun yang bakal anda jumpa sangat cantik.
Airnya sangat bersih dan jernih. Terdapat kolam mandi yang agak dalam tapi selamat untuk mandi memandangkan tiada insiden lemas yang berlaku di tempat tersebut. Apa yang menariknya di sini, anda juga boleh menggelongsor di atas batu.
4. Air Terjun Bukit Apek
Satu lagi destinasi popular bagi mereka yang gemarkan aktiviti lasak ialah Air Terjun Bukit Apek yang terletak di Bukit Apek.
Berjauhan dari 3 lokasi air terjun lain di atas, Bukit Apek terletak bersebelahan dengan Bukit Saga. Pintu masuk untuk mendaki Bukit Apek terletak di kawasan Taman Cheras Awana, Batu 9.
Trek untuk ke air terjun ini boleh dikatakan agak mencabar dan menguji ketahan fizikal anda. Anda perlu mendaki dan menuruni bukit dan melintasi anak sungai sebanyak dua kali sebelum mendaki ke puncak Bukit Apek.
Bukit Apek mempunyai 6 stesen atau check point. Boleh dikatakan 70% trek pendakian memang agak mencanak dan curam dan kekuatan fizikal kaki anda akan diuji dengan maksima.
Apabila sampai di stesen 2 dari stesen 1, anda perlu mengambil simpang ke kanan untuk sampai ke stesen 5 yang perlu melalui stesen 3A dan stesen 3 terlebih dahulu.
Di Stesen 5, simpang ke kiri akan membawa anda ke stesen 6 iaitu Apek Hilltop manakala simpang ke kiri akan membawa anda ke air terjun.
Perjalanan ke air terjun dari stesen 5 boleh dikatakan agak jauh dan laluannya agak curam ketika menuruni bukit untuk sampai ke air terjun.
Kawasan air terjun ini tidaklah luas tetapi agak seronok apabila dapat membasahkan badan dan bermandi mandi setelah fizikal kita diuji untuk sampai ke situ. Kawasan air terjun ini sesuai untuk golongan yang lasak dan gemar menguji daya tahan kardiovaskular.
Bagi mereka yang ingin berpeluh dan bersenam, Bukit Apek dan Bukit Saga adalah tempat yang baik untuk tujuan itu.
Bagi penulis, lebih seronok melakukan aktiviti jika habuan akhirnya ialah dapat merendamkan badan yang penat dalam air sungai yang sejuk dan mata dijamu dengan pemandangan yang cantik.
Tags: #Air Terjun Bukit Apek #Air Terjun di Hulu Langat #air terjun di Selangor #air terjun kemensah #Air Terjun Pangsun #air terjun sungai congkak #Air Terjun Sungai Gabai #Air Terjun Sungai Lepoh #Air Terjun Ulu Perdik #air terjun ulu yam #Bukit Apek #Bukit Saga #Daerah Hulu Langat #Hulu Langat #pusat rekreasi sungai congkak hulu langat selangor malaysia #rekreasi air terjun serendah serendah selangor malaysia #Sungai Gabai #Sungai Lepoh #Sungai Lopo #tempat berkelah #tempat best hulu selangor #tempat mandi manda di selangor #tempat rekreasi di Selangor #Ulu Perdik