Dalam hadis dinyatakan tiga masjid yang mempunyai kelebihan berbanding masjid lain. Hal ini seperti sabda Nabi Muhammad S.A.W bermaksud:
“Tidak sepatutnya (bersusah payah) keluar belayar (untuk menziarahi mana-mana masjid kecuali (untuk pergi) ketiga-tiga masjid (yang berikut): Masjidil Haram (di Makkah), dan masjid Rasulullah (di Madinah) dan Masjid al-Aqsa (di Baitulmaqdis).” : (Hadis riwayat Bukhari)
Umat Islam yang ingin berziarah ke luar negara untuk beribadat kepada Allah S.W.T tidak perlu bersusah payah ke tempat lain, selain berziarah ke Tanah Suci, terutama untuk mengerjakan ibadat haji dan umrah.
Tiga masjid utama yang mempunyai fadilat besar apabila mengerjakan ibadat sembahyang dalamnya adalah :
- Masjidil Haram di Makkah
- Masjid Nabawi di Madinah
- Masjidil al-Aqsa di Baitulmaqdis
Antara fadilatnya mengerjakan solat di masjid berikut adalah :
- Kelebihan Masjidil Haram adalah mereka yang bersembahyang dalamnya akan mendapat 100,000 (lebih afdal daripada) sembahyang di tempat lain. Dalamnya terletak Kaabah yang menjadi kiblat utama umat Islam.
- Kelebihan Masjid Nabawi pula adalah mereka yang bersembahyang dalamnya akan mendapat 1,000 (lebih afdal daripada) sembahyang di tempat lain. Dalamnya ada makam Nabi dan sebagai sebuah taman daripada taman syurga.
Dari Jabir R.A bahawasanya Rasulullah S.A.W bersabda:
“Solat di masjidku (Masjid Nabawi) lebih baik dari seribu kali solat di masjid lainnya kecuali di Masjidil Haram (Makkah). Dan solat di Masjidil Haram lebih baik dari seratus ribu kali solat di masjid lainnya.”(HR.Ibnu Majjah, disahihkan oleh al-Bani)
Dalam sebuah hadis lagi ada menerangkan pula secara khusus kelebihan orang yang mengerjakan sembahyang di masjid Nabi sebanyak 40 waktu berturut-turut iaitu :-
Ertinya :
Dari Anas bin Malik R.A, Rasulullah S.A.W bersabda :
” Sesiapa sembahyang di masjidku 40 sembahyang ( dengan syarat ) ia tidak ketinggalan dalam satu sembahyang (waktu) pun, nescaya akan ditulis baginya kelepasan dari api neraka, dan kelepasan dari azab siksa dan (ia juga akan bersih ) dari sifat munafik.”
- Kelebihan Masjid al-Aqsa pula adalah mereka yang bersembahyang dalamnya akan mendapat 500 (lebih afdal daripada) sembahyang di tempat lain. Keistimewaannya adalah ia masjid Nabi yang terdahulu dan tempat Israk dan Mikrajnya.
Mengenai kelebihan Masjidil Aqsa pula ada diterangkan dalam hadis-hadis yang lain yang bermaksud;
“Satu sembahyang yang dikerjakan di masjid itu lebih afdhal daripada 500 sembahyang yang dikerjakan di masjid-masjid yang lain kecuali Masjidil Haram di Mekah dan Masjid Nabawi di Madinah.”
Nabi S.A.W menggalakkan umat Islam untuk menziarahi ketiga-tiga masjid yang bersejarah iaitu Masjidil Haram, Masjid Nabawi dan Masjidil Aqsa.
Di samping itu, Baginda menggalakkan umat Islam sama ada yang menetap di Makkah dan Madinah atau yang datang dari seluruh dunia untuk mengerjakan ibadat haji atau umrah, mengerjakan sembahyang sebanyak-banyak yang dapat di kedua-dua masjid mulia itu bagi mendapat pahala berganda.
Biasanya orang-orang yang pergi menunaikan haji dan menziarahi masjid dan makam Nabi di Madinah, untuk mendapatkan kelebihan ini mereka akan tinggal di Madinah selama 8 hari sekurang-kurangnya iaitu untuk mengerjakan sembahyang dalam 40 waktu selain daripada mengerjakan sembahyang-sembahyang sunat yang dituntut.
Selain itu, Nabi Muhammad S.A.W mengakui bahawa Masjid Quba’ adalah sebuah masjid yang dikasihinya. Baginda kerap menziarahi serta sembahyang dalamnya.
- Masjid Quba’
Abdullah bin Omar meriwayatkan adalah Nabi S.A.W selalu berziarah ke Masjid Quba’. Satu riwayat lagi menyatakan Rasulullah berziarah ke Masjid Quba’ setiap Sabtu, kadang-kadang menunggang unta dan berjalan kaki serta menunaikan sembahyang sunat dua rakaat dalamnya.
Usaid bin Zahir pula meriwayatkan sebuah hadis bermaksud:
“Satu sembahyang dalam Masjid Quba’ diberi pahala seperti menunaikan satu ibadat umrah.”
Tags: #fadilat solat #fadilat solat berganda #fadilat solat di masjid nabawi #fadilat solat di masjid quba #fadilat solat di masjidil al aqsa #fadilat solat di masjidil haram #ganjaran solat sunat #Kelebihan Sembahyang Di masjid nabawi #Kelebihan Sembahyang Di Masjidil al aqsa #Kelebihan Sembahyang Di Masjidil Haram #kelebihan tanah suci #Masjid Nabawi di Madinah #masjid quba #masjid terbaik dalam dunia #Masjidil al-Aqsa di Baitulmaqdis #Masjidil Haram di Makkah #Mengerjakan Shalat Sunnat #mengerjakan solat sunat #Pahala Berganda Solat #pahala satu umrah #Solat di 3 Masjid Utama #tanah haram #tiga masjid yang mempunyai kelebihan #umrah #umrah tanah suci #ziarah tanah suci